MUZIUM TYT / TYT MUSEUM

TUAN YANG TERUTAMA, YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA

TUAN YANG TERUTAMA, YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA TUN DATUK SERI UTAMA SYED AHMAD AL-HAJ (1984 – KINI)
Tuan Yang Terutama, Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al-Haj dilahirkan pada 4 Mei 1925 di Kulim, Kedah. Beliau merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik (empat lelaki dan seorang perempuan).

Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad mengangkat sumpah jawatan pada 4 Disember 1984 sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka yang kelima. Seorang yang berwibawa dan memiliki keperibadian yang tinggi dan mulia.

Tun Datuk Seri Utama pernah menjadi Menteri Besar Kedah, Timbalan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura selama beberapa tahun sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka. Beliau sentiasa beriltizam untuk melihat Melaka yang semakin maju dan berkembang. Tun juga berhasrat meningkatkan taraf hidup masyarakat negeri, disamping membasmi kemiskinan serta menaikkan taraf ekonomi negeri.

Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Shahabudin mendapat pendidikan formal di samping mengaji Al-Quran pada sebelah petang. Setelah tamat persekolahan darjah empat, beliau melanjutkan pelajaran ke Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Pengajiannya terhenti ketika di darjah tujuh kerana Pendudukan Jepun di Malaya. Beliau berhenti belajar dan menggangur selama beberapa tahun.

Demi menyara keluarga, beliau menarik beca, menjual pisang goreng, menjual suratkhabar, menjadi buruh ladang dan 'petisien writer'. Beliau juga dikerah memasuki sekolah Jepun semasa Perang Dunia Kedua hingga mahir berbahasa Jepun walaupun belajar selama dua bulan sahaja. Di samping itu, beliau menyertai Kumpulan Pemuda Jepun untuk mempelajari latihan tinju dan kawad. Beliau meneruskan pelajarannya di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga lulus Senior Cambridge pada tahun 1947.

Sebaik sahaja lulus Senior Cambridge, beliau memulakan kerjayanya sebagai pegawai kerajaan di Pejabat Perbendaharaan Alor Setar sehingga tahun 1955. Di samping itu, beliau terlibat menubuhkan Angkatan Kesetiaan Pemuda Melayu pada tahun 1951/52 yang kemudiannya bergabung dengan Kesatuan Pemuda-Pemuda Melayu Negeri Kedah di bawah pimpinan Dato' Seri Dr.Mahathir Mohamad (kini Perdana Menteri Malaysia) untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Beliau memenangi pilihanraya umum untuk menduduki kerusi Dewan Undangan Persekutuan (Federal Legislative Council) dari tahun 1955 hingga 1959. Dalam tempoh itu juga, Tun Syed Ahmad dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Beliau turut dipilih sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) dari tahun 1959. Beliau menjadi Menteri Besar Kedah selama sepuluh tahun sehingga 1978. Pada pilihanraya umum 1978, beliau memenangi kerusi Parlimen Padang Terap dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri sehingga September 1980. Beliau sekali lagi memenangi kawasan parlimen Padang Terap dalam pilihanraya umum 1982. Beliau pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Selain memegang pelbagai jawatan di dalam arena politik kebangsaan dan kepartian, Tun Syed Ahmad juga menabur bakti di bidang kemasyarakatan. Beliau pernah dipilih sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Persatuan Jaksa Pendamai Kedah dan Pengerusi St. John Ambulans Kedah.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Toh Puan Sharifah Hanifah bte Syed Alwi pada 1950 dan mendapat enam orang cahayamata. Sepuluh tahun kemudian beliau bertemu jodoh pula dengan Toh Puan Marfuzah bte Sheikh Mohd. Osman dan dikurniakan empat orang cahayamata. Toh Puan Sharifah Hanifah meninggal dunia pada 5 Julai 1993.

Tun Syed Ahmad mempunyai hobi memelihara burung, mendengar muzik tradisional dan membaca buku. Masa lapang beliau juga dipenuhi dengan kegiatan sukan, terutamanya golf.

Loading

TOP