MUZIUM TYT / TYT MUSEUM

PENGENALAN

Seri Melaka merupakan bekas kediaman rasmi dan pejabat Gabenor Belanda di Melaka pada kurun ke 17. Pada zaman pemerintahan Inggeris hinggalah selepas kemerdekaan, bangunan ini masih digunakan lagi sehinggalah pada September 1996, kediaman rasmi dan pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) berpindah dari Bukit St. Paul ke Istana Melaka di Bukit Beruang, Melaka.

Fungsi Institusi TYT sebagai Pemerintah Tertinggi Negeri, Sejarah Ringkas Institusi Kesultanan, Penubuhan Gabenor Negeri-Negeri hinggalah kepada Peranan dan Institusi TYT dipamerkan bagi mengimbas kembali kewujudan TYT sebagai pemerintah. Secara umumnya, turut dipamerkan ialah peranan Ketua Menteri Melaka yang mentadbir negeri ini sepanjang melaksanakan tugas bersama TYT.

Tumpuan utama diberikan kepada Gabenor/Tuan Yang Terutama (selepas merdeka) yang telah berkhidmat di Melaka iaitu bermula dari Tun Leong Yew Koh (Gabenor Pertama), Tun Haji Abdul Malek bin Haji Yusuf (Gabenor Kedua), Tun Haji Abdul Aziz bin Abdul Majid (Gabenor Ketiga), Tun Syed Zahiruddin bin Syed Hassan (Gabenor Keempat) dan Tun Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin (TYT Kelima sehingga kini) dengan menampilkan pelbagai koleksi peribadi milik mereka.

Pameran di muzium ini juga mengekalkan sebahagian daripada kegunaan ruang asal bangunan. Ianya juga mengetengahkan sumbangan TYT terhadap pembangunan negeri seperti perindustrian, pertanian, pelancongan, pentadbiran, keagamaan dan sebagainya yang berkembang dari masa ke semasa sambil dibantu oleh setiap Ketua Menteri di bawah pimpinannya dalam membangunkan Negeri Melaka.

OBJEKTIF PENUBUHAN MUZIUM TUAN YANG TERUTAMA (SERI MELAKA):

  • Untuk mengimbas kembali jasa dan sumbangan yang diberikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka dalam menjana pembangunan negeri dan pertumbuhan ekonomi negeri Melaka.
  • Menyalurkan maklumat kepada generasi akan datang tentang Institusi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.
  • Untuk menjadikan muzium tersebut sebagai tempat kajian dan penyebaran maklumat kepada pelajar mengenai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

PERANAN MUZIUM TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI

  • Memaparkan segala sumbangan yang diberikan oleh setiap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dalam menerajui pembangunan Melaka untuk dijadikan teladan dan iktibar kepada generasi akan datang.
  • Membantu Kerajaan Negeri dalam mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan.
  • Mendalami sendiri cara sebenar seorang Tuan Yang Terutama menjalani kehidupan seharian dalam menjalinkan hubungan bersama rakyat.

Loading

TOP