MUZIUM TYT / TYT MUSEUM

KETUA MENTERI MELAKA

TAN SRI DATO KURNIA JASA OTHMAN BIN TALIB KETUA MENTERI MELAKA PERTAMA (31.8.1957 – 31.5.1959)
Tan Sri Dato Kurnia Jasa Othman bin Talib adalah merupakan Ketua Menteri Melaka yang pertama selepas negara mencapai kemerdekaan. Beliau memegang jawatan Ketua Menteri pada 31 Ogos 1957 sehingga 31 Mei 1959.

Tan Sri Dato Kurnia Jasa Othman telah dilahirkan pada 12 Jun 1906 di Kampung Teja, Kota Baru, Perak. Beliau telah mendapat pendidikan di Anderson School, Ipoh sebelum melanjutkan pelajarannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak. Pada tahun 1926, beliau telah menyertai ‘Malay Administrative Service’ (MAS) dan pada tahun 1939 pula, beliau telah menyertai ‘Malayan Civil Service’(MCS).

Selepas tamat belajar, beliau mula berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dari tahun 1948 hingga tahun 1949. Kemudian beliau menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1949 hingga tahun 1953. Pada tahun 1953 pula, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Perak hingga tahun 1957. Selepas Perang Dunia II tamat, Tan Sri Dato Kurnia Jasa Othman telah melawat England sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1950, untuk mempelajari selok-belok perjalanan pilihanraya umum, pada tahun 1951, untuk mengambil kursus ‘Devonshire Courses for Senior Officers’, dan pada tahun 1954, untuk mempelajari prosedur Parlimen.

Semasa beliau menjadi Ketua Menteri Melaka, banyak projek pembangunan yang telah dapat dilaksanakan. Melaka telah dibangunkan menjadi sebuah pusat pelabuhan perdagangan bertaraf kelas pertama. Selain itu, sebuah kem tentera bernilai RM30 juta telah dibina di Bukit Terendak yang mampu menampung seramai 3,000 unit tentera Komanwel. Sebuah institut penyelidikan perikanan bernilai RM21 juta turut dibina di Batu Berendam. Pada sambutan ulangtahun kemerdekaan yang kedua iaitu pada 31 Ogos 1958, sebuah bangunan ‘Malaccan Club’ telah dibaikpulih dan dijadikan bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di hadapan Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka. Rancangan pembangunan RM1 juta yang melibatkan penduduk Melayu dan China di dua tempat iaitu Kemendor dan Solok Menggong turut menjadi agenda utama Tan Sri Dato Kurnia Jasa Othman. Di samping itu, pembinaan saluran paip dalam laut sepanjang 2,800 kaki untuk Terminal Melaka di Tanjong Kling turut dibina.

Tan Sri Dato Kurnia Jasa Othman juga tidak mengabaikan pembangunan kemudahan infrastruktur. Projek bekalan air bernilai RM1.8 juta di Gadek, turut dilaksanakan untuk kemudahan bekalan air penduduk daerah Alor Gajah, Tampin dan Negeri Sembilan. Beliau juga mewujudkan pelan perumahan berjumlah RM104 ribu di Pulau Sebang, pembinaan balairaya di Tanjong Kling bernilai RM20 ribu dan sebuah poliklinik di Jalan Kubu berjumlah RM500 ribu. Beliau juga menyediakan peruntukan berjumlah RM113,118 ribu bagi tujuan keagamaan dan kebudayaan Melayu.

Dari segi pentadbiran, Tan Sri Dato Kurnia Jasa Othman telah memperkenalkan penggunaan Bahasa Melayu dalam semua urusan surat-menyurat. Beliau juga memastikan semua jabatan dan agensi-agensi kerajaan negeri Melaka mempunyai kerani berbangsa Melayu. Di dalam eranya juga, Melaka telah menjadi tuan rumah kepada satu persidangan antarabangsa iaitu ‘Pacific Area Travel Association Conference’.

Tan Sri Dato Kurnia Jasa Othman telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 9 September 1984 di Hospital Besar Kuala Lumpur ketika berusia 77 tahun kerana menghidap barah hati. Jasad beliau telah disemadikan di tanah perkuburan Bukit Chandan Kuala Kangsar, Perak. Beliau meninggalkan seorang isteri, Nik Rafeah Alang Ahmad dan enam orang anak iaitu tiga orang perempuan dan tiga orang lelaki.

TUN GHAFFAR BIN BABA KETUA MENTERI MELAKA KEDUA (1.6.1959 – 5.10.1967)
Tun Abdul Ghaffar ialah Ketua Menteri Melaka yang kedua dan yang pertama dipilih oleh rakyat mula berkhidmat pada 1 Jun 1959 sehingga 5 Oktober 1967. Tun Abdul Ghafar juga ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 5 Mei 1986, di samping pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia pada tahun 1986. Beliau juga merupakan pemimpin yang paling lama berkhidmat dalam kerajaan semenjak terpilih memenangi pilihanraya yang pertama pada tahun 1955.

Tun Abdul Ghafar telah dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 18 Februari 1925. Bapanya bernama Baba bin Abdullah, berasal dari Sungai Udang, Melaka dan ibunya bernama Saodah binti Saleh, berasal dari Kampong Bemban, Melaka.

Tun Abdul Ghafar berasal daripada sebuah keluarga yang miskin. Bapanya pernah bekerja sebagai pemandu teksi, penarik beca, pemandu kereta lembu dan penoreh getah. Tun Abdul Ghafar adalah anak yang keenam daripada sembilan orang adik-beradik. Beliau menjadi anak yatim piatu ketika berumur 8 tahun. Semenjak itu, Tun Abdul Ghafar tinggal bersama bapa saudaranya. Tun Abdul Ghafar terpaksa berdikari bagi menampung perbelanjaan hariannya dengan menjadi ‘caddy’, pemungut bola tenis dan penjual kayu api.

Tun Abdul Ghafar sedar bahawa pendidikan amat penting untuk mengubah kehidupannya yang miskin. Beliau mula mendapat pendidikan di Sekolah Melayu, Kuala Pilah, Negeri Sembilan ketika berumur 6 tahun. Ketika berumur 13 tahun, beliau menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Tangga Batu, Melaka.

Sebelum memasuki Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim, Perak pada tahun 1946, beliau menjadi guru pelatih dengan pendapatan RM15.00 sebulan di ‘Teacher Training College’ pada tahun 1946. Di SITC, beliau dilantik menjadi Ketua Murid. Bagi mencukupkan perbelanjaannya, beliau membuat perniagaan kecil seperti menjual buku.

Semasa di SITC, Tun Abdul Ghafar mula bergiat dalam politik dengan menjadi Ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Pada masa inilah semangat nasionalisme mula meluap di dalam dirinya, dan semangat ini cuba ditiupkan kepada teman-temannya. Beliau pernah menganjurkan tunjuk perasaan menentang penjajah British di kalangan pelajar-pelajar SITC. Pengalaman perjuangan menentang penjajah negara-negara jiran seperti Indonesia, India dan Filipina turut menaikkan semangatnya menentang British. Tun Abdul Ghafar banyak membaca buku-buku politik dan perjuangan Indonesia, India, Vietnam dan Perang Asia. Beliau juga bersyarah kepada penuntut-penuntut di waktu malam tentang masyarakat Melayu, politik dan lain-lain.

Setelah tamat pengajiannya di SITC dengan mendapat Sijil Pertama dan Hadiah Haji Abdul Jalil, Tun Abdul Ghafar telah ditugaskan menjadi guru di Melaka. Semasa menjadi guru (1949-1955), beliau telah ditukarkan sebanyak empat kali oleh pihak British kerana kegiatan politiknya.

Tun Abdul Ghafar mula bergiat aktif di dalam politik pada tahun 1945, melalui PKMM yang telah ditubuhkan pada bulan Oktober 1945. Beliau cukup yakin dengan peranan PKMM bagi membela nasib orang-orang Melayu. Beliau sering menghadiri perhimpunan dan mendengar ceramah dari tokoh-tokoh PKMM seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestaman, Ishak Hj. Muhamad dan lain-lain. Tokoh-tokoh ini sering melawat Melaka, kubu penting PKMM.

Penyertaan Tun Abdul Ghafar dalam politik pada awalnya kerana hendak memerdekakan tanahair dari terus dicengkam penjajah. Keluarganya cukup bimbang dengan kegiatan Tun Abdul Ghafar dalam parti politik kerana takut ditangkap.

Selepas PKMM diharamkan oleh British dalam tahun 1948, Tun Abdul Ghafar bergiat aktif di dalam Kesatuan Persatuan Guru-Guru Semenanjung (KPGMS) antara tahun 1949-1957. Badan ini, walaupun sebuah persatuan guru-guru, tetapi telah begitu cergas membela nasib orang-orang Melayu, dalam soal politik, ekonomi dan sosial. Secara langsung badan ini telah meniupkan semangat perpaduan dan nasionalisme bagi menuntut kemerdekaan tanahair. Tun Abdul Ghafar menjadi pendokong cita-cita murni ini.

Segala tindakan beliau sentiasa diperhatikan oleh pegawai-pegawai British, terutama semasa beliau bergiat di dalam KPGMS Cawangan Melaka.Di antara tahun 1949-1951, beliau ialah Setiausaha Kesatuan tersebut.

Tun Abdul Ghafar telah menjadikan KPGMS sebagai wadah untuk membela nasib ahlinya yang terdiri dari guru-guru Melayu seperti kenaikan gaji. Walaupun KPGMS sebuah kesatuan sekerja, tetapi ia berjaya menyemarakkan semangat perpaduan dan membantu UMNO dan parti-parti politik yang lain menuntut kemerdekaan.

Tun Abdul Ghafar mula melibatkan diri di dalam UMNO Melaka pada tahun 1951 sebagai anggota biasa. Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha UMNO Melaka sehingga tahun 1955. Tugasnya sebagai seorang guru tidak menghalang beliau untuk menyumbangkan tenaga bagi menghidupkan UMNO Melaka yang telah lemah akibat penarikan diri Jasmi Abdul Hamid dan pengasas-pengasas UMNO Melaka yang lain. Tun Abdul Ghafar bersama-sama anggota-anggota UMNO Melaka yang lain seperti Hasnol A. Hadi, Haji A. Wahab Hassan, Borhan Md. Yaman dan Abu Samah A. Aziz telah mengadakan ceramah-ceramah penerangan untuk menarik minat orang ramai terhadap UMNO.

Dalam pilihanraya 1955, Tun Abdul Ghafar, yang menjadi Ketua Bahagian UMNO Melaka, telah bertanding atas tiket PERIKATAN bagi kawasan Melaka Luar dan berjaya mencapai kemenangan dengan majoriti sebanyak 23,969 undi mengalahkan Jaafar Mohd. Tan dari Parti Negara.

Beliau terus menjadi wakil rakyat dengan memenangi beberapa pilihanraya berikutnya iaitu pada tahun 1959, 1964 dan 1969. Dalam tahun 1962, beliau dipilih menjadi Naib Presiden UMNO Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1967, beliau telah menjadi ahli Kabinet dan pada bulan Mac 1968 dilantik sebagai Senator merangkap Menteri tanpa portfolio dan Pengerusi FAMA. Walau bagaimanapun beliau meletakkan jawatan pada bulan Mac 1969, sebelum bertanding kerusi Parlimen Kawasan Melaka Luar. Pada tahun 1976, beliau keluar dari Kabinet apabila Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Namun, beliau aktif semula dan bertanding bagi kerusi Parlimen Jasin pada tahun 1978 dan berjaya mengekalkan kerusi tersebut selama 4 penggal hingga tahun 1995. Pada bulan April 1987, beliau telah berjaya mengalahkan Dato’ Musa Hitam bagi merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Pada 1 Jun 1959, Tun Abdul Ghafar telah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang kedua selepas Datuk Kurnia Jasa Othman Talib. Ketika itu, beliau berumur 34 tahun dan merupakan Ketua Menteri yang paling muda dan yang pertama dipilih oleh rakyat.

Di bawah pimpinan Tun Abdul Ghafar, negeri Melaka telah membangun dengan baik dalam bidang pertanian dan infrastruktur. Berbagai projek kemajuan, ekonomi dan sosial termasuk bidang pendidikan, pertanian dan perikanan telah diperkenalkan. Antara projek-projek yang telah dilaksanakan adalah projek menternak lembu dan kambing, projek perpustakaan bergerak, projek menambah dan memperbaiki kemudahan infrastruktur dan projek pembukaan tanah untuk dijadikan kawasan pertanian berkelompok.

Bagi mengatasi masalah kemiskinan, Tun Abdul Ghafar telah mengambil pendekatan yang praktikal. Banyak bantuan dan idea untuk mengatasi masalah kemiskinan masyarakat luar bandar telah diberikan oleh beliau. Antaranya ialah memberi bantuan basikal kepada anak-anak miskin bagi membolehkan mereka ke sekolah, bantuan anak ayam dan lembu untuk para petani, bantuan bot nelayan, pembukaan tanah pertanian bagi peneroka-peneroka baru dan sebagainya.

Idea dan bantuan yang diberikan oleh beliau telah memikat hati Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri ketika itu. Tunku Abdul Rahman telah melantik Tun Abdul Ghafar sebagai Pengerusi MARA pada 1 September 1967 di atas kebijaksanaan pendekatan yang beliau ambil bagi mengatasi masalah kemiskinan. Selaku pengerusi MARA, beliau juga memastikan bahawa penubuhan ITM dapat membantu dan melatih bumiputera berkecimpung di dalam bidang perniagaan dan industri.

Pada 5 Oktober 1967, Tun Abdul Ghafar berundur daripada jawatan Ketua Menteri untuk berkhidmat di peringkat pusat pula.

Kini, sungguhpun beliau tidak lagi bergerak secara aktif di dalam arena politik, namun beliau sering menjadi tempat rujukan dari pemimpin-pemimpin yang lain. Beliau telah dipilih sebagai Pengerusi Tokoh Veteran UMNO pada bulan Mei 1998, bagi membantu kerajaan dalam memberikan penerangan berkaitan isu-isu semasa kepada rakyat.

Pahit maung perjuangan dalam memartabatkan orang Melayu telah membuatkan beliau menubuhkan tabung Yayasan Tun Ghafar Baba dalam tahun 1997, bertujuan membantu pelajar-pelajar yang miskin meneruskan pengajiannya.

Tun Abdul Ghafar bukan sahaja aktif di era politik, malah beliau juga aktif di dalam kegiatan sukarela dan sukan. Beliau pernah menjadi Pengerusi PGA dan ‘Lawn Tennis Association’ mulai Disember 1984, Presiden ‘Asian Tennis Circuit Council’, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Melaka, Pengerusi ‘Merdeka Scholarship Fun Committee’ dan Bekas Presiden Bulan Sabit Merah Melaka.

Tun Abdul Ghafar telah berkahwin dengan Toh Puan Hajah Asmah bte Alang dan dikurniakan dengan sepuluh orang cahayamata. Kemudian beliau bertemu jodoh dengan Toh Puan Haryati bte A. Rahim dan dikurniakan dengan seorang cahayamata.

Pingat darjah kebesaran yang pernah diterima oleh Tun Abdul Ghafar adalah anugerah kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia pada 27 Julai 1985, anugerah ‘Bapa Perpaduan’ oleh Pemuda UMNO Kota Melaka pada tahun 1987, ‘Malaysian Institute of Management Honorary Fellowship Award’ pada tahun 1988, anugerah ‘Bapa Yang Disayangi’ oleh Persatuan Telegu Malaysia pada tahun 1990, pingat kebesaran S.S.M. yang membawa gelaran ‘Tun’ pada tahun 1995 dan anugerah ‘Tun Abdul Razak Foundation National Award’ pada 19 Mac 1998.

DATUK HAJI TALIB BIN KARIM KETUA MENTERI MELAKA KETIGA (6.10. 1967 – 31.7.1972)
Datuk Haji Talib atau nama timangannya Saleh, dilahirkan pada 12 Disember 1911 di Kampung Baru, Alor Gajah, Melaka. Bapanya bernama Abdul Karim, seorang keturunan bangsawan Kerinci yang mengembara ke Melaka dengan menjual kain baju. Ibunya bernama Nyemah binti Jaafar. Mereka kemudiannya berniaga secara kecil-kecilan di samping bersawah dan menoreh getah. Datuk Haji Talib telah berkahwin dengan Datin Hajah Norkiah bte Hashim dan telah dikurniakan dengan lima orang cahayamata. Mereka adalah Paezah, Faridah, Rathiah, Norhayati dan Roslina.

Pada tahun 1920, Datuk Haji Talib telah dihantar belajar di High School Melaka sehingga ke darjah ‘Senior Cambridge’ pada tahun 1929. Bagaimanapun, beliau tidak menamatkan pelajaran kerana berselisih faham dengan gurunya. Setelah meninggalkan sekolah, beliau menetap di kampung dengan menjadi Imam dan Penolong Ketua Kampong.

Datuk Haji Talib telah melanjutkan pelajaran ke Jakarta, Indonesia pada tahun 1929. Beliau belajar agama selama tiga tahun di situ. Kemudian beliau ke Padang, Sumatera, untuk belajar tentang agama Islam berdasarkan ajaran Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh yang dikenali sebagai Kaum Muda. Semasa berada di Padang, Datuk Haji Talib turut mengajar bahasa Inggeris, di samping menulis di majalah dan akhbar-akhbar. Sekembalinya Datuk Haji Talib ke tanahair pada tahun 1939, beliau bekerja sebagai nelayan, di samping menjadi Imam di Kampung Baru. Selain itu, beliau juga menjalankan perusahaan membuat gula kelapa.

Apabila Kesatuan Melayu Melaka (KMM) ditubuhkan, Datuk Haji Talib dan teman seperjuangannya terus menganggotai kesatuan tersebut. Antaranya ialah Haji Ahmad Amin (Ahmad Janggut), yang telah dilantik sebagai Yang DiPertua Kesatuan Melayu Melaka pada tahun 1941.

Semasa zaman Jepun, Datuk Haji Talib tidak bergerak aktif dalam kegiatan politik. Sebaliknya beliau bekerja sebagai penterjemah bahasa Inggeris kepada pihak Jepun, selain mengembangkan perusahaan gula kelapanya.

Pada tahun 1945 dan 1946, masyarakat Melayu seluruh Semenanjung bangkit menentang gagasan Malayan Union. Datuk Haji Talib bersama-sama Datuk Naning dan Sudin Abdul Rahman turut menggerakkan masyarakat kampung menubuhkan semula KMM. Beliau bersama-sama Haji Ahmad Amin telah pergi berkempen hingga ke Lenggeng, Negeri Sembilan.

Datuk Haji Talib, sebagai wakil KMM pernah dipilih menganggotai Jawatankuasa Tertinggi Kongres Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di Ipoh pada bulan Disember 1945. Menyedari akan wujudnya sebahagian fahaman Parti Komunis Malaya (PKM) di dalam PKMM, Datuk Haji Talib telah menolak pencalonannya sebagai Pesuruhjaya PKMM. Akibatnya, ramai anggota KMM yang menarik diri dari PKMM.

Pada Februari 1946, Datuk Onn Jaafar telah menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung Johor (PMS Johor). Satu pertemuan telah diadakan di Pulau Besar bagi membincangkan penubuhan PMS Johor cawangan Melaka. Akhirnya, PMS cawangan Melaka dapat ditubuhkan dan dipimpin oleh Ahmad Jamal dan Muhamad Ali Muhamad (Muhamad Alimin).

Datuk Haji Talib terus menganggotai KMM. Dalam persidangan Kongres Melayu 1946, di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, KMM telah memberi mandat kepada PMS Melaka, bagi menentang Malayan Union.

Pada tahun 1948, Malayan Union telah dibubarkan setelah tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu. Ini menyedarkan orang Melayu supaya bersatu di bawah UMNO. Oleh itu, PMS Melaka dan KMM dibubarkan dan ahlinya terus diserapkan ke dalam UMNO. Pucuk pimpinan tertinggi UMNO sebahagian besarnya dipegang oleh bekas-bekas PMS Melaka, termasuk Datuk Haji Talib yang menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi kawasan Alor Gajah.

Dalam pilihanraya 1955, Datuk Haji Talib telah berjaya memenangi kerusi Perikatan (UMNO) kawasan Alor Gajah Darat. Sebagai wakil rakyat, beliau telah meneroka tanah baru di kawasan Menggong untuk orang-orang Melayu yang tidak bertanah pada tahun 1958. Manakala pada tahun 1959, tanah-tanah itu mula ditanam dengan getah. Pada tahun 1960, kampung baru Menggong ini dimasukkan ke dalam Skim Felda bagi membolehkan peneroka-penerokanya mendapat bantuan dan bimbingan yang lebih baik. Begitupun, Datuk Haji Talib tidak meninggalkan kerja-kerja sebagai peneroka itu terus kepada urusan Felda.

Datuk Haji Talib Karim ialah Ketua Menteri Melaka yang ketiga. Beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka pada 6 Oktober 1967 dan berkhidmat sehingga 1 Ogos 1972.

Pada 1967, setelah beberapa tahun menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Haji Talib telah dilantik memegang jawatan Ketua Menteri Melaka apabila Encik Ghafar Baba dikehendaki berkhidmat dengan Kerajaan Pusat. Selepas dilantik, Datuk Haji Talib terpaksa bergelut dengan gerakan pemecahan bahagian UMNO.

Bagi mengalih perhatian rakyat daripada tertumpu kepada isu pecah bahagian, Datuk Haji Talib telah berusaha menjalankan beberapa projek untuk kebaikan rakyat dan negeri Melaka sendiri. Antara rancangan besarnya ialah membina empangan air di Macap Umbu yang diusahakan melalui pinjaman wang daripada Bank Asia. Selain itu, terdapat juga projek menternak lembu secara besar-besaran di Pulau Besar Melaka, membuka pelabuhan bebas di Bandar Hilir dan perkampungan Melayu di Kuala Sungai Baru.

Kebanyakan projek-projeknya tidak dapat dilaksanakan kerana terpaksa berhadapan dengan kemelut zaman. Antaranya sewaktu Pilihanraya 1969 telah meninggalkan kesan buruk dengan berlakunya peristiwa 13 Mei. Selain dari itu, beliau tidak dapat membina kekuatan politik walaupun menjadi Ketua Menteri Melaka, akhirnya kesan daripada ketiadaan kuasa itu, beliau tersepit di antara pengaruh golongan yang menuntut pemecahan bahagian dengan pengaruh Encik Ghafar Baba. Untuk berlaku adil, masing-masing menterjemahkan tindaklaku beliau seolah-olah menyebelahi musuh masing-masing. Dalam keadaan begitu, akhirnya pada 1 Ogos 1972, Datuk Haji Talib telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri. Tindakan ini diambilnya kerana bimbang undi tidak percaya daripada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Melaka ke atasnya, setelah beliau dikalahkan dalam pemilihan Ketua Bahagian Alor Gajah oleh Setiausaha Politiknya, Hashim Pit. Peristiwa ini mengakhiri kerjaya politiknya.

Bagi mengenang jasa beliau, Datuk Haji Talib telah di anugerahkan beberapa pingat-pingat kebesaran iaitu J.P., D.K.S.J. oleh TYT Yang DiPertua Negeri Melaka pada 9 Ogos 1968 dan D.U.S.M. yang membawa gelaran Datuk. Namanya turut diabadikan pada sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka dengan nama Sekolah Menengah Datuk Haji Talib Karim.

Datuk Haji Talib bin Karim telah meninggal dunia pada 29 Oktober 1977.

DATUK SETIA HAJI ABDUL GHANI BIN ALI KETUA MENTERI MELAKA KEEMPAT (1.8.1972 – 10.7.1978)
Datuk Setia Haji Abdul Ghani Ali adalah Ketua Menteri Melaka yang keempat iaitu dari tahun 1972 sehingga tahun 1978.

Datuk Setia Haji Abdul Ghani dilahirkan pada 9 Jun 1924, di Kampung Ramuan China, Melaka. Pada tahun 1930, beliau mendapat pendidikan sekolah rendah di Sekolah Melayu Ramuan China. Beliau telah dilantik menjadi Guru Pelatih pada tahun 1940. Semasa pemerintahan Jepun pada tahun 1942, beliau telah ke Singapura bekerja sebagai mekanik. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim Perak, dari tahun 1946 hingga 1948.

Datuk Setia Haji Abdul Ghani menyertai UMNO pada awal tahun 1950. Sepanjang penglibatannya dalam UMNO, beliau telah menjawat beberapa jawatan penting. Di antaranya ialah Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Ketua Perhubungan UMNO Negeri Melaka dan Ahli JawatanKuasa (AJK) Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia.

Pada tahun 1964, beliau telah menang dan terpilih menduduki kerusi DUN bagi kawasan Ramuan China. Seterusnya, beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (MMKN Melaka - Exco). Beliau mengulangi kemenangan pada pilihanraya tahun 1969, di kawasan yang sama, dan kekal sebagai Ahli MMKN Melaka (Exco).

Pada tahun 1972, Datuk Setia Haji Abdul Ghani telah dilantik untuk memangku jawatan Ketua Menteri Melaka, menggantikan Datuk Haji Abdul Talib Karim. Kemudian, beliau terus memegang jawatan Ketua Menteri pada 1 Ogos tahun yang sama.

Dalam pilihanraya pada tahun 1974, Datuk Setia Haji Abdul Ghani telah bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Kuala Sungai Baru. Pada pilihanraya itu, beliau menang tanpa bertanding dan seterusnya mengekalkan jawatan Ketua Menteri Melaka.

Selaku Ketua Menteri, pada bulan Disember 1976, Datuk Setia Haji Abdul Ghani telah dilantik menjadi Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Melaka (MPM) menggantikan Datuk Tan Cheng Swee. Beliau turut memperluaskan kawasan MPM iaitu dengan memasukkan keseluruhan kawasan daerah Melaka Tengah menjadi kawasan MPM.

Sebagai Yang Di Pertua MPM, beliau telah berusaha membaiki kelemahan-kelemahan yang berlaku dalam pentadbiran MPM, serta melicinkan urusan pentadbiran mengikut kehendak-kehendak rakyat dan pembangunan negeri, khususnya bagi menyelesaikan masalah rumah setinggan dan penyertaan Bumiputera dalam perdagangan dan perniagaan.

Datuk Setia Haji Abdul Ghani turut membantu memajukan tanah-tanah kepunyaan orang Melayu (MCL) yang terbiar di sekitar bandar Melaka bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dengan mengusahakan projek perumahan kos sederhana dan rumah murah, seperti di Taman Melaka Baru, Batu Berendam dan Ayer Keroh Heights serta Taman Maju di Jasin.

Beliau turut mengusahakan tebusguna tanah pantai seluas 440 ekar tanah di Bandar Hilir dan Tengkera untuk dimajukan dengan projek kedai dan ruang pejabat, hotel, kompleks beli-belah, hospital dan apartmen yang kini dikenali sebagai Taman Melaka Raya dan Taman Kota Laksamana. Di samping itu juga, tebusguna tanah paya gelam seluas 500 ekar di Mukim Bacang yang kini dikenali sebagai Taman Malim Jaya turut dimajukan dengan projek-projek perumahan, kompleks membeli-belah, ruang kedai dan pejabat serta penempatan semula kawasan perkilangan di bandar Melaka ke luar bandar. Ini bersesuaian dengan strategi serampang dua mata matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu dengan membuka kawasan baru bagi Bumiputera berniaga.

Turut dicita-citakan oleh Datuk Setia Haji Abdul Ghani ialah mewujudkan model Perkampungan Melayu di bandar Melaka. Cadangan itu mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli UMNO Bahagian Kota, khasnya Ketua UMNO Kota iaitu Datuk Haji Ismail Hashim yang mahukan pengekalan dan peningkatan bilangan orang-orang Melayu di bandar. Menurut Datuk Setia Haji Abdul Ghani, sebanyak enam buah model Perkampungan Melayu ingin beliau jelmakan di bandar Melaka ketika itu.

Datuk Setia Haji Abdul Ghani juga dapat menghasilkan tapak perniagaan baru dengan mengubahsuai tapak stesen keretapi yang telah lama ditinggalkan di sepanjang Jalan Hang Tuah, dengan memberi milik tanah-tanah tapak kedai kepada MARA, PKNM, Lembaga Pertanian, Majlis Gabungan Belia Malaysia (MGBM), UMNO dan Persatuan Teksi Melaka serta syarikat swasta. Kejayaan pembangunan kawasan ini mempamerkan pembangunan integrasi dengan pemindahan pejabat-pejabat pentadbiran kerajaan dari kawasan Stadhyus dan Bukit St. Paul ke Jalan Hang Tuah, Bandar Melaka. Ini bertujuan bagi memudahkan pengangkutan bas dan teksi kepada orang awam.

Penubuhan Pusat Latihan Perkapalan Malaysia, sekarang dikenali sebagai Akademi Laut Anak Malaysia (ALAM) di Tanjung Dahan yang didirikan pada tahun 1977, turut mempengaruhi sosio-ekonomi penduduk tempatan, khasnya bagi DUN Kuala Sungai Baru.

Datuk Setia Haji Abdul Ghani telah berpeluang melibatkan diri dalam memperkembangkan pembangunan industri multi-nasional di Negeri Melaka dengan pelaburan beribu juta ringgit di bawah program penempatan kilang-kilang besar di luar Lembah Klang yang diilhamkan oleh YAB Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia Kedua. Program ini dilaksanakan melalui kepimpinan YM Tun Raja Mohar, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan ketika itu, melalui pembukaan kawasan perindustrian baru di Alor Gajah, Jasin, Merlimau, Ayer Keroh, Bukit Rambai, Tangga Batu dan Batu Berendam. Kilang-kilang ini memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Melaka yang lazimnya terpaksa merantau mencari rezeki di Singapura, Selangor dan di tempat-tempat lain. Beliau juga turut merayu kepada pengusaha-pengusaha kilang di Melaka supaya memberi peluang jawatan penting kepada anak bumiputera bagi mempercepatkan pencapaian matlamat DEB.

Datuk Setia Haji Abdul Ghani turut mendapati bahawa sistem pengangkutan negeri Melaka perlu ditingkatkan. Oleh itu, beliau telah mendapatkan persetujuan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan supaya sebuah jeti ditempatkan di Tanjung Kling dan Lapangan Terbang Batu Berendam dilebarkan dan dipanjangkan. Cadangan beliau mendapat sambutan Menteri Kewangan Malaysia ketika itu, iaitu Tun Tan Siew Sin. Melalui Lebuhraya Kuala Lumpur / Johor Bahru, ‘interchange’ bagi memasuki Melaka hanya melalui Simpang Empat, Alor Gajah sahaja ketika itu. Datuk Setia Haji Abdul Ghani telah berjaya mendapatkan ‘interchange’ kedua memasuki Melaka melalui Ayer Keroh hasil kejayaan program industri negeri Melaka.

Semasa Datuk Seri Haji Abdul Ghani mengadakan lawatan ke luar negara bagi mengetuai Misi Dagang Negeri Melaka ke Eropah, Australia dan Amerika pada tahun 1976, jawatan Ketua Menteri dipangku oleh Haji Abdul Ghani Ishak. Pada masa itu, Kementerian Pelajaran bercadang untuk menutup Sekolah Kebangsaan Kubu kerana mendapati bilangan pelajarnya terlalu sedikit. Sekembalinya Datuk Setia Haji Abdul Ghani dari seberang laut, beliau dengan berani dan tegas telah membatalkan cadangan penutupan sekolah tersebut.

Sewaktu beliau menjadi Yang Dipertua MPM, beliau berjaya membatalkan lesen ‘rumah urut’ setelah mendapat nasihat daripada pihak polis. Datuk Setia Haji Abdul Ghani turut bersimpati dengan masalah keluarga yang menduduki tanah pusaka di kampung-kampung yang tidak dapat mendirikan rumah baru dengan memberi tanah-tanah lot di Lubok China, Ramuan China Besar, Kesang Tua dan Batang Melaka selain membuka tanah dusun di Asahan, Chabau, Cenderah, Chin Chin dan Kesang.


Datuk Setia Haji Abdul Ghani telah memajukan sebidang tanah yang dipenuhi dengan pokok-pokok gelam seluas 2,000 ekar di Kuala Linggi, Ramuan China, Brisu dan Sungai Siput bagi mengujudkan sebuah ‘ Estate Melayu’. Estate ini diwujudkan bertujuan untuk memberi keuntungan serta menyelamatkan harta orang Melayu di Melaka. Menurut Datuk Setia Haji Abdul Ghani, ‘Estate Melayu’ juga bertujuan untuk mengisi DEB, membuka peluang pekerjaan kepada orang-roang tempatan untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi orang Melayu.

Pembukaan ‘Estet Melayu’, telah menimbulkan pelbagai reaksi sehingga mencetuskan kemarahan di kalangan ahli-ahli politik UMNO Melaka dengan menamakan diri mereka Geng 11. Parti pembangkang iaitu DAP turut menentang secara habis-habisan. Bagaimanapun, Pergerakan Wanita UMNO menyokong beliau. Geng 11 kemudian berusaha menjatuhkannya sebagai Ketua Menteri melalui undi tidak percaya untuk dibawa ke mesyuarat DUN Melaka. Bagaimanapun, UMNO pusat mengekalkan beliau sebagai Ketua Menteri Melaka.

Dalam bidang sejarah dan kebudayaan, Datuk Setia Abdul Ghani telah menerima syor yang dibuat oleh pakar ‘Colombo Plan’ pada ketika itu, Ms Jean Currie dari Britain untuk mengekalkan tarikan sejarah yang terletak di Bandar Hilir, Banda Kaba dan Jalan Tun Tan Cheng Lock hingga ke jambatan Jalan Hang Tuah untuk dijadikan kawasan sejarah dan digazetkan di bawah Akta Antikuiti supaya kawasan itu dikekalkan seperti sedia ada dan jika hendak digunakan semula, muka bentuk dan ketinggiannya perlu dikekalkan atau menyerupai yang sedia ada.

Datuk Setia Haji Abdul Ghani juga berjaya menghentikan kegiatan ‘mandi safar’ yang terkenal pada satu ketika dulu bagi negeri Melaka. Sebagai gantinya, dianjurkan Pesta Budaya di Pantai Kundur, Tanjung Kling pada tahun 1975. Kegiatan ini akhirnya dapat dihentikan sepenuhnya pada tahun 1979.

Datuk Setia Haji Abdul Ghani turut bergiat aktif dalam kegiatan-kegiatan sukarela dan kemasyarakatan. Beliau merupakan penggerak utama dan pengasas dalam penubuhan Majlis Gabungan Belia Malaysia (MGBM). Beliau juga turut menyumbangkan beberapa bidang tanah kepada MGBM untuk dimajukan, antaranya ialah kawasan perumahan MGBM di Bachang.

Beliau juga bergiat dalam Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Melaka (PSMCM) , Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENAMA), Persatuan Penulis Tun Seri Lanang, dan beberapa badan amal yang terdapat di negeri ini.

Datuk Setia Haji Abdul Ghani mempunyai tiga orang isteri. Isteri-isteri beliau ialah Hajah Mariam bt Ibrahim, Hajah Kalsum bt Abu dan Hajah Nyaros bt Shukor. Hasil perkongsian hidup dengan tiga orang isteri, beliau dikurniakan seramai 17 orang cahayamata. Mereka terdiri daripada 16 orang lelaki dan seorang perempuan.

seramai 17 orang cahayamata. Mereka terdiri daripada 16 orang lelaki dan seorang perempuan.

Untuk mengenangkan jasanya, sebuah bangunan telah mengabadikan namanya iaitu Bangunan Datuk Setia Haji Abd. Ghani Ali. Beliau juga telah dianugerahkan pingat tertinggi negeri Melaka D.T.S.M. yang membawa gelaran Datuk Setia.

DATUK SERI HAJI MOHAMED ADIB BIN HAJI MOHD. ADAM KETUA MENTERI MELAKA KELIMA (11. 7. 1978 – 26. 4.1982)
Datuk Seri Haji Mohd. Adib dilahirkan di Kesang Tua, Jasin, Melaka pada 2 Julai 1941. Bapanya bernama Haji Mohd. Adam bin Mohd. Anas, seorang Pengurus POS, Negeri Sembilan. Ibunya bernama Hajah Hasmah binti Haji Mohd. Baki, seorang suri rumahtangga.

Pendidikan sekolah rendah Datuk Seri Haji Mohd. Adib bermula di beberapa buah sekolah seperti Sekolah Melayu Kesang Tua, Jasin; Sekolah Ujong Pasir, Melaka; Sekolah Bukit Cina, Melaka dan Sekolah Rendah Inggeris, Tengkera, Melaka. Di peringkat sekolah menengah, Datuk Seri Haji Mohd. Adib mendapat pendidikan di High School Melaka, Penang Free School dan Methodist Boys School, Pulau Pinang.

Datuk Seri Haji Mohd Adib telah diterima masuk ke Universiti Malaya (UM) pada tahun 1963 dengan Biasiswa Persekutuan Perguruan di bidang Pengajian Melayu dan Ilmu Alam. Beliau akhirnya lulus dengan Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1966.

Sebaik tamat pengajian, beliau telah memasuki perkhidmatan awam dengan dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kuala Selangor. Di sinilah Datuk Seri Haji Mohd Adib mula menyertai persatuan-persatuan seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan ‘Malaysian Association Youth Council’ (MAYC). Beliau pernah terpilih sebagai Pengerusi MAYC bagi daerah Kuala Selangor. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi MAYC bagi negeri Selangor pada tahun 1967 hingga tahun 1969.

Datuk Seri Haji Mohd. Adib hanya kekal di dalam jawatan ‘Malaysian Civil Service’(MCS) selama empat tahun. Selama tempoh tersebut, beliau dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah Sepang dan Pemangku Pegawai Daerah Kuala Langat, sehingga tahun 1970.

Penglibatan awal Datuk Seri Haji Mohd Adib dalam politik hanyalah sebagai ahli biasa Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Cawangan Kuala Selangor. Karier politiknya bermula pada 8 Februari 1971, apabila beliau telah meletakkan jawatan pegawai kerajaan dan menjadi Setiausaha Kerja UMNO Selangor. Tidak lama selepas itu, beliau telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia apabila Dato’ Musa Hitam telah ditawarkan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil kawasan Parlimen Segamat, Johor.

Selepas pilihanraya umum tahun 1974, Datuk Seri Haji Mohd. Adib telah dihantar ke Hague, Belanda sebagai ‘Information Counsellor’ di Kedutaan Malaysia di sana. Namun, beliau tidak lama berada di sana.

Pada 1 Januari 1977, Datuk Seri Haji Mohd Adib kembali aktif di arena politik apabila dilantik semula sebagai Setiausaha Kerja UMNO Malaysia dan Barisan Nasional. Pada 8 Julai 1978, beliau telah memenangi pilihanraya umum DUN kawasan Ayer Panas. Hasil daripada kemenangan itu beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka oleh Tun Hussein Onn, Perdana Menteri ketika itu, pada 11 Julai 1978. Pada masa itu, Datuk Seri Haji Mohd. Adib baru berusia 37 tahun.

Tugas pertama Datuk Seri Haji Mohd Adib sebagai Ketua Menteri Melaka ialah menyelesaikan krisis politik di dalam UMNO Melaka sendiri. Tugas ini merupakan tugas besar dan penting yang melibatkan tokoh-tokoh politik UMNO negeri Melaka yang telah mempunyai pengaruh dan kedudukan yang kuat di dalam percaturan politik negeri. Bagi menangani krisis politik tersebut, Datuk Seri Haji Mohd Adib mengambil langkah untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak dan ini telah berjaya mententeramkan keadaan politik negeri Melaka.

Sebagai langkah awal mentadbir negeri Melaka, Datuk Seri Haji Mohd Adib telah memperkenalkan sistem ‘collective government’ dan ‘portfolio’ bagi membolehkan setiap Exco menperolehi kepakaran dan pengetahuan mendalam dalam sesuatu bidang dan dapat membuat sesuatu keputusan secara bersama, mutlak dan saksama.

Sepanjang penglibatannya sebagai Ketua Menteri Melaka, beliau telah menjalankan beberapa projek yang telah berjaya meningkatkan pembangunan di negeri Melaka. Beliau bukan sahaja menumpukan perhatian kepada sektor pertanian malah kepada kemudahan infrastruktur, sektor perkilangan dan lain-lain. Melaka dilanda masalah yang agak besar di mana peluang pekerjaan di Melaka amat terhad sekali. Ini menyebabkan ramai para belia berhijrah ke negeri lain. Oleh itu, beliau ingin sektor perkilangan dimajukan untuk mengatasi masalah ini.

Beliau dan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) berusaha untuk menarik pelabur-pelabur asing. PKNM juga mendapat kerjasama daripada badan-badan persekutuan seperti Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dalam hal ini. Sektor swasta juga diberi galakan untuk menubuhkan perusahaan mereka di Melaka. Sebagai contoh, pada 1 hingga 7 November 1981, beliau membuat lawatan kerja ke Jepun mengenai pelaburan kilang pemasangan kereta.

Beliau juga amat berminat untuk menyaksikan pembangunan Melaka dalam bidang pertanian. Salah satu rancangan utamanya ialah Pembangunan Pertanian Secara Bersepadu dan rancangan ini dibiayai oleh Bank Dunia. Selain daripada itu, Melaka juga mendapat peruntukan sebanyak RM 1,000 juta dalam Rancangan Malaysia Keempat, bagi membiayai projek-projek mega seperti pembinaan Penapis Minyak Petronas di Batu Berendam, Melaka, pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan, pembinaan Masjid Negeri dan lain-lain.

Beliau beserta Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri telah merancang dan menjalankan kajian bagaimana untuk meningkatkan perkembangan dan pemodenan serta langkah-langkah untuk memajukan ekonomi negeri.

Beliau yakin bahawa Melaka mampu untuk bersaing dengan negeri–negeri lain dan titik tolak bagi kejayaan tersebut adalah daripada pentadbiran yang mahir dan cekap, yang mampu menyumbangkan khidmat di bawah payung kerajaan yang berteraskan sistem berportfolio yang dapat menyatukan sumbangan politik dengan sumbangan para pentadbir. Beliau juga merasakan bahawa perseimbangan di antara keperluan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan sepatutnya wujud terutama dalam pengambilan pegawai-pegawai supaya idea-idea yang dilahirkan lebih dinamis, kreatif dan membina. Hanya dengan itu segala projek-projek dapat dilaksanakan tanpa masalah.

Beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri pada 26 April 1982, setelah berkhidmat selama tiga tahun lapan bulan.

Datuk Seri Haji Mohd Adib mendirikan rumahtangga dengan Datin Seri Zainiah Haji Hussain dan dikurniakan tiga orang anak iaitu; Ahmad Azam, Ahmad Azuar dan Aida.

Pada 9 Jun 1983, bersempena dengan hari keputeraan ke–65 TYT Yang DiPertua Negeri Melaka, Datuk Seri Haji Mohd. Adib telah dikurniakan dengan pingat kedua tertinggi negeri Melaka iaitu D.G.S.M. yang membawa gelaran Datuk Seri.

TAN SRI HAJI ABDUL RAHIM BIN DATUK TAMBY CHIK KETUA MENTERI MELAKA KEENAM (27.4.1982 – 13.10.1994)
Tan Sri Haji Abdul Rahim dilahirkan pada 10 April 1950, di Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka. Beliau merupakan anak kepada Allahyarham Datuk Tamby Chik Karim, seorang tokoh politik UMNO yang terkenal di Melaka. Penglibatan serius allahyarham bapanya dalam bidang politik menimbulkan minat di dalam diri anaknya pula.

Ibu Tan Sri Haji Abdul Rahim bernama Habsah binti Hassan, seorang suri rumahtangga yang telah banyak berjasa kerana berjaya mendidik keenam-enam anak mereka sehingga menjadi manusia yang berjaya. Tan Sri Haji Abdul Rahim merupakan anak yang kelima .

Tan Sri Haji Abdul Rahim mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak dan peringkat menengah di Sekolah Menengah Ghaffar Baba, Masjid Tanah, Melaka. Setelah mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang, beliau memasuki tingkatan enam di Sekolah Menengah Datuk Seri Amar Di Raja Muar, Johor.

Berbekalkan keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), beliau mengambil keputusan untuk meneruskan pelajarannya ke peringkat ijazah di Universiti Malaya. Di sana, beliau diterima memasuki Fakulti Ekonomi (Ekonomi Gunaan) pada tahun 1970.

Semenjak pendidikan menengah rendah hinggalah ke peringkat ijazah, sifat-sifat kepimpinan beliau sudah terserlah. Minat beliau untuk bersyarah dibuktikan apabila beliau mewakili sekolahnya dalam pertandingan syarahan, bahas dan lain-lain. Sifat-sifat kepimpinan beliau ini diteruskan sehingga ke peringkat universiti, di mana beliau bergerak cergas di dalam Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan Persatuan Ekonomi Universiti Malaya.

Beliau berjaya menamatkan pengajiannya pada tahun 1973 dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Ekonomi. Sebaik sahaja menamatkan pelajarannya di universiti, beliau diterima bekerja di UDA sebagai Pegawai Pembangunan. Tidak lama kemudian, beliau kembali ke Melaka kerana diterima bekerja sebagai Pengurus Projek dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

Kegiatan politik beliau bermula apabila beliau menjadi ahli UMNO pada tahun 1969 bagi cawangan Pengkalan Balak, semasa beliau masih lagi seorang pelajar. Sifat beliau yang suka bersyarah itu diteruskan dengan memberi ceramah politik di majlis-majlis ceramah anjuran UMNO di dalam dan di luar negeri Melaka semasa beliau bekhidmat dengan UDA dan PKNM.

Ketika beliau berkhidmat dengan PKNM, beliau telah bertanding untuk merebut jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka dan berjaya memenanginya. Kemudian, beliau bertanding pula merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Kota Melaka dan berjaya memenanginya dengan cemerlang sekali.

Lantaran itu beliau telah dipilih untuk menganggotai barisan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 1976. Beliau telah diberi tugas sebagai Ahli Parlimen merangkap Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri Persekutuan. Sebelum dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka, beliau pernah berkhidmat di bawah Kementerian Perusahaan dan Perdagangan, Kementerian Perusahaan Utama dan Kementerian Dalam Negeri.

Tanggal 12 Julai 1993, menandakan titik baru dalam karier politik beliau, apabila beliau menyuarakan hasratnya untuk bertanding kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang dikosongkan oleh Dato’ Seri Najib.

Tan Sri Haji Abdul Rahim juga telah bertanding dengan Dato’ Mohd. Isa, Menteri Besar Negeri Sembilan bagi merebut kerusi Ketua Pemuda Umno Malaysia dan berjaya dengan kelebihan undi yang kecil.

Beliau memegang moto yang berbunyi ‘Kebijaksanaan Menerajui Pemuda’ sebagai prinsip perjuangannya. Kebijaksanaan bagi beliau ialah apabila beliau berupaya untuk membuat sesuatu keputusan setelah segala apa yang diselidiki, dikaji dan dianalisis sebelum bertindak. Beliau merupakan seorang pemimpin yang mengambil kira pendapat orang lain dan ini menyebabkan beliau amat mudah didekati dan disenangi oleh pihak lain. Malah prinsip beliau tadi menyebabkan suatu kerja diterima sebagai satu kerja yang dihasilkan secara berpasukan.

Pada tahun 1982, beliau telah bertanding untuk merebut kerusi DUN Kelemak dan beliau berjaya memenangi kerusi tersebut. Dengan itu, beliau telah diberi kuasa penuh untuk mentadbir dan membangunkan negeri Melaka sebagai Ketua Menteri Melaka. Sebelum ini, prestasi politik negeri Melaka agak lemah kerana banyak berlaku krisis politik yang membantutkan pembangunan terperinci negeri Melaka. Oleh itu apabila beliau mengambil tempat sebagai Ketua Menteri Melaka, kerajaan pusat amat berharap agar beliau dapat menaikkan taraf negeri Melaka dari segi politik dan pembangunan.

Pada penggal berikutnya, beliau sekali lagi telah diberi kepercayaan penuh untuk memimpin dan mentadbir negeri Melaka. Ini adalah kerana sepanjang empat tahun pentadbirannya, Melaka telah berubah menjadi sebuah negeri yang maju. Melaka telah berjaya dinaikkan taraf “Bandaraya Bersejarah” semasa pentadbirannya. Negeri Melaka yang memang penuh dengan bangunan-bangunan bersejarah kesan daripada penjajahan zaman kolonial telah dibaikpulih dan dinaikkan tarafnya. Malah, perjanjian berkembar telah dimeterai antara Melaka-Lisbon dan Melaka-Hoorne, Belanda. Penubuhan muzium-muzium dalam berbagai aspek juga dilakukan sebagai satu proses pendokumentasian dan pameran sejarah untuk pengetahuan generasi masa kini.

Sebagai satu dasar pembangunan ekonomi yang berteraskan industri, beliau sebagai Ketua Menteri Melaka telah menggalakkan sektor perindustrian dengan membangunkan kawasan Ayer Keroh, Batu Berendam, Bukit Rambai, Tanjong Kling, Alor Gajah, Merlimau, Cheng dan Tangga batu sebagai zon industri. Kawasan-kawasan ini telah dijadikan kawasan perindustrian baru yang lengkap. Malah beliau sendiri telah mengetuai beberapa misi pelaburan keluar negara bagi menggalakkan pelabur-pelabur luar melabur di Melaka. Ini dapat memberi sumber kewangan kepada negeri di samping menyediakan pekerjaan kepada rakyat Melaka dan Malaysia.

Beliau juga telah berusaha untuk menaikkan taraf hidup petani-petani yang tidak berkemampuan dengan mengadakan program pertanian bersepadu yang dapat mempertingkatkan pendapatan petani melalui peningkatan produktiviti pekebunan.

Pada tahun 1994, Tan Sri Haji Abdul Rahim telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO kerana masalah peribadi dan politik.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Datin Zabedah Hj. Abdullah pada 31 Ogos 1974. Mereka dikurniakan tiga orang puteri iaitu, Zetty Juyanti, Tutty Rahiza dan Petty Diyana.

Untuk mengenang sumbangannya kepada pembangunan Melaka, beliau telah dianugerahkan pingat-pingat seperti P.S.M. yang membawa gelaran Tan Sri, D.P.M.J., A.M.N., P.J.K., D.G.S.M. yang membawa gelaran Datuk Seri, S.S.S.A. dan D.A.

DATUK SERI HAJI MOHD. ZIN BIN HAJI ABD. GHANI KETUA MENTERI MELAKA KETUJUH (14.10.1994 – 14.5.1997)
Datuk Seri Haji Mohd. Zin Haji Abd. Ghani ialah Ketua Menteri Melaka yang ketujuh. Beliau telah dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka pada 14 Oktober 1994.

Datuk Seri Hj. Mohd. Zin Hj. Abd. Ghani dilahirkan pada 12 Oktober 1941 di kampung Melekek Luar, Alor Gajah, Melaka. Beliau yang merupakan anak bongsu dari lima beradik ini datang dari keluarga miskin. Bapanya Hj. Abd. Ghani bin Abd. Latiff dan ibunya Hajjah Oyot binti Manaf hanya bekerja sebagai penoreh getah. Namun begitu, keadaan hidup yang serba susah tidak pernah menghalang Datuk Seri Hj. Mohd. Zin untuk maju dalam bidang pelajaran.

Datuk Seri Hj. Mohd. Zin mula mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Melekek hingga tamat darjah tujuh yang merupakan darjah paling tinggi dalam aliran Melayu ketika itu. Semasa zaman persekolahan, Datuk Seri Hj. Mohd. Zin merupakan pelajar yang aktif dan cergas melibatkan diri dalam aktiviti sekolah dengan menceburi bidang sukan, pengakap dan pertanian seperti berkebun.

Datuk Seri Hj. Mohd. Zin merupakan seorang yang tidak pernah mengenal erti putus asa. Walaupun mendapat pendidikan hanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun beliau telah menunjukkan minat yang mendalam untuk membantu bangsanya mengejar kemajuan.

Langkah yang pertama yang diambil oleh beliau ialah menjadi seorang guru dan tanggal 1 Mei 1957, ketika berusia 16 tahun beliau telah menjadi guru pelatih di Sekolah Kebangsaan Alor Gajah sebelum berpindah mengajar ke Sekolah Kebangsaan Air Pak Abas pada 1961. Pada tahun 1966, Datuk Seri Hj. Mohd. Zin telah mengambil peperiksaan SPM dan telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Pada tahun 1972, beliau telah ditugaskan untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan Melekek Alor Gajah dan seterusnya dinaikkan pangkat selaku Guru Penolong Kanan.

Datuk Seri Hj. Mohd. Zin merupakan seorang guru yang amat berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya. Beliau sentiasa menitik beratkan pelajaran bagi memastikan kerjayanya sebagai seorang guru akan memberi manfaat dalam membantu menjadikan pelajar-pelajarnya berjaya pada satu hari nanti. Atas kegigihan dan kerja keras, Datuk Seri Hj. Mohd. Zin telah dilantik sebagai guru besar dan ditugaskan di Sekolah Kebangsaan Air Pak Abas pada tahun 1982.

Sifatnya yang gemar bergaul dengan masyarakat itu telah mengetengahkan dirinya untuk melibatkan diri ke dalam bidang politik. Sikap keprihatinan Datuk Seri Hj. Mohd. Zin terhadap permasalahan masyarakat menjadikan politik sebagai medan untuk meneruskan hasratnya membela nasib mereka yang terbelakang.

Ibu bapa Datuk Seri Hj. Mohd. Zin, bukanlah orang yang aktif dalam bidang politik. Malah di kalangan adik beradiknya hanya beliau sahaja yang aktif bergerak dalam politik. Datuk Seri Hj. Mohd. Zin memasuki UMNO bermula pada tahun 1959 sebagai ahli UMNO Cawangan Melekek, Alor Gajah. Beliau memasuki UMNO dengan satu tekad iaitu berhasrat membuktikan keupayaannya sekira diberi peluang untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Sifat kepimpinan yang unggul dan berhemah tinggi memang sentiasa wujud dalam dirinya. Hasrat membantu kebajikan penduduk dan memajukan masyarakat sememangnya diidam-idamkan oleh beliau.

Pengalaman beliau sebagai guru menemukan dengan pelbagai permasalahan rakyat. Malah sudah menjadi rutin dalam kehidupannya bercampur dengan pelbagai permasalahan rakyat. Dari situ timbulnya minat beliau untuk menyertai UMNO memandangkan hanya parti ini yang dapat memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara.

Ketika menyertai UMNO, Datuk Seri Hj. Mohd. Zin banyak didedahkan aktiviti-aktiviti parti di samping melibatkan diri secara aktif di dalam pelbagai persatuan bagi meluaskan pengalaman dari tokoh-tokoh UMNO yang bergiat cergas dalam politik UMNO negeri Melaka. Bakti dan khidmat yang dicurahkan terhadap perjuangan UMNO tidak sia-sia apabila pada tahun 1972, Datuk Seri Hj. Mohd. Zin diberi kepercayaan memegang Ketua UMNO Cawangan Melekek.

Selepas perlantikan itu, beliau mula bergiat cergas dalam UMNO di peringkat cawangan dan bahagian Alor Gajah. Pada tahun 1978, Datuk Seri Hj. Mohd. Zin telah dipilih menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah sebelum dilantik menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Gajah pada tahu berikutnya kerana jasa beliau dalam UMNO.

Pada tahun 1984, beliau untuk memegang jawatan Naib Pengerusi UMNO Negeri dan kemudiannya sebagai Timbalan Pengerusi sehingga 1986. Dalam pilihanraya umum tahun 1985, Mohd. Zin dipilih untuk bertanding mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kelemak. Seperti yang dijangka, beliau telah memenangi pilihanraya tersebut dengan majoriti 4,592 undi dengan menewaskan calon Pas.

Pada tahun 1987, Datuk Seri Hj. Mohd. Zin terpilih memegang jawatan selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah. Kemudian pada 14 Oktober 1994, beliau telah diberi mandat oleh kerajaan menggantikan Tan Sri Abd. Rahim Thamby Chik selaku Ketua menteri Melaka. Beliau juga telah dipilih sebulat suara mengetuai Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah.

Kontroversi yang melanda kepada Ketua Menteri ketika itu, Tan Sri Rahim Tamby Chik telah membawa Hj. Mohd. Zin memangku jawatan sebagai Pemangku Ketua Menteri pada 21 September 1994 setelah diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri.

Pada 14 Oktober 1994, Datuk Seri Hj. Mohd. Zin telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ketujuh berikutan perletakan jawatan Tan Sri Rahim Tamby Chik. Kewibawaannya sebagai Ketua Menteri Melaka terserlah apabila untuk penggal ketiga dalam pilihanraya umum 1995, beliau telah menang majoriti 4,571 undi ke atas calon PAS bagi DUN Melekek.

Sebagai Ketua Menteri Melaka yang berwibawa dan amanah dalam melaksanakan tugas-tugasnya, beliau mempunyai karisma menjadi pemimpin yang baik berdasarkan kepada penyertaan beliau di dalam semua aktiviti DUN di negeri Melaka. Dalam melaksanakan program pembangunan negeri, beliau amat berhati-hati membuat keputusan kerana bimbangkan kepada pembaziran.

Beliau adalah pemimpin yang mementingkan mutu kerja dan sentiasa mengikuti perkembangan projek-projek yang dilaksanakan agar projek-projek yang dilaksanakan agar mencapai matlamat pembangunan negara seperti yang dirancang.

Datuk Seri Hj. Mohd. Zin juga merupakan pemimpin berjiwa rakyat kerana sentiasa mengamalkan sikap "pintu terbuka" di kediaman rumah beliau kepada rakyat untuk berjumpa, berbincang dan permasalahan mereka. Hj. Mohd. Zin mengharapkan pendekatan yang dilaksanakan ini akan mendekatkan keakraban pemimpin bersama rakyat.

Sebagai Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Hj.Mohd. Zin telah merancang pelbagai program untuk membangunkan Melaka. Beliau telah menekankan tiga aspek utama dalam pembangunan Melaka iaitu sektor pertanian, perindustrian, dan pelancongan.

Beliau telah merangka strategi bagi memantapkan sektor pertanian negeri ini dengan pelbagai program penanaman dan pemerosesan pertanian kepada para petani agar dapat menyesuaikan dengan kaedah-kaedah terkini. Antara usaha beliau ialah memperkenalkan projek “ agro-tourism” yang merupakan projek serampang dua mata kerajaan negeri yang menitikberatkan dua bidang utama iaitu pertanian dan pelancongan. Menerusi projek ini, kerajaan telah membina tempat-tempat penginapan, taman-taman reakreasi, tanaman pelbagai jenis tumbuhan, tempat penyelidikan pertanian serta kebudayaan bagi menarik para pelancong untuk datang ke Melaka.

Misalnya di Melekek, sektor pertanian telah dikomersialkan untuk memberikan faedah kepada para petani. Beberapa aspek utama dalam pertanian telah memberikan keuntungan kepada petani seperti pemerosesan buah untuk dijadikan barangan jualan antaranya jus, acar serta jeruk limau. Malah Datuk Seri Hj. Mohd. Zin menggalakan para petani membuka kilang sendiri bagi memproses hasil pertanian keluaran mereka sebagai barangan akhir. Selain itu juga, Datuk Seri Hj. Mohd. Zin sering mengingatkan para petani mengusahakan tanah tanah pertanian yang terbiar sebagai usaha pemulihan.

Dalam bidang pentadbiran pula, Datuk Seri Hj. Mohd. Zin merupakan seorang pentadbir yang mengambil berat pentadbiran Melaka agar senantiasa dikemaskinikan bagi melicinkan usaha-usaha ke arah membangunkan negeri ini. Beliau sentiasa menasihati para kakitangan kerajaan untuk menunjukkan kualiti perkhidmatan yang terbaik, di samping mengamalkan amalan-amalan yang jujur, toleransi, gigih dan berinovatif. Beliau telah mengetengahkan 10 perkara yang menjadi teras amalan dalam perkhidmatan kakitangan kerajaan negeri, 10 teras ini yang juga dikenali sebagai “ Sepuluh Teras Budaya” yang antara lain menggalakkan amalan-amalan perkhidmatan ini diserapkan ke dalam mutu kerja seterusnya akan memapankan pentadbiran negeri.

Dalam bidang perindustrian pula ramai pelabur luar telah menunjukkan minat untuk membuat pelaburan di Melaka. Semasa Datuk Seri Hj. Mohd. Zin menerajui Melaka, sebanyak 20 syarikat luar negara telah menanam modal pelaburan dengan nilai pelaburan RM997.5 juta. Bidang pelaburan yang telah menarik minat syarikt-syarikat tersebut termasuklah pembuatan pesawat terbang dari bahan komposit, komputer, kimia dan pengitaran semula bahan buangan.

Bidang pelancongan merupakan aset penting bagi membangunkan Melaka. Datuk Seri Hj. Mohd. Zin selaku Ketua Menteri Melaka telah merancang program pelancongan untuk menarik lebih ramai para pelancong asing untuk bertandang ke Melaka. Untuk itu, kerajaan Melaka telah memperuntukkan beberapa fasa untuk membangunkan sektor ini antaranya pembinaan kompleks membeli-belah yang serba moden, Kotamas Shopping Centre yang bernilai RM 75juta yang telah siap pembinaannya di Ayer Keroh. Selain itu juga, Datuk Seri Hj. Mohd. Zin juga telah memperuntukkan RM 1 billion untuk membangunkan Kuala Linggi, kawasan yang dikenalpasti sebagai pusat peranginan yang baru bagi negeri ini.

Datuk Seri Hj. Mohd, Zin juga merupakan seorang pemimpin yang mengambil berat hal-hal yang berkaitan bidang pendidikan. Beliau berjaya menyakinkan Yayasan Melaka untuk menambah sumbangan sebanyak RM 100,000 kepada sekolah-sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri itu untuk meningkatkan prestasi pembelajaran sekolah-sekolah yang terlibat. Sumbangan tersebut adalah bagi membantu para pelajar untuk mendapat kemudahan-kemudahan pembelajaran yang lengkap terutama pelajar-pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Bagi mewujudkan masyarakat yang maju yang seiring dengana wawasan beliau untuk membebaskan masalah kemiskinan di kalangan rakyat, maka Datuk Seri Hj. Mohd. Zin telah merancang program-program pembangunan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Ini dilakukan bertujuan agar nasib hidup rakyat tidak terpinggir dari arus pembangunan Melaka.

Datuk Seri Mohd. Zin telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Seri Fatimah Samdin pada 15 Ogos 1965. Mereka telah dikurniakan sebelas orang anak iaitu Rafidi, Shilaziah, Zulkiflee, Nurazhan, Mohd. Zawawi, Halimatun, Azura, Shahrul Azam, Khairul Anuar, Faradina dan Mohd. Faizal.

Bagi menghargai khidmat dan jasa Datuk Seri Hj. Mohd. Zin Hj. Abd. Ghani, beliau telah dianugerahkan bintang kebesaran Darjah Seri Mahkota (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri, DMSM yang membawa gelaran Datuk, A.M.N(1985), BKT(1982)., dan PPN (1980). Kerajaan Melaka juga telah menamakan nama beliau di sebatang jalan di daerah Melaka yang bernama Jalan Datuk Seri Mohd. Zin Abd. Ghani bagi menghargai jasa beliau terhadap pembangunan negeri Melaka.

Pada 12 Mei 1997, Datuk Seri Hj. Abd. Zin Abd. Ghani dimasukkan ke Hospital Tawakkal selepas diserang angin ahmar di kediamannya di Klang Gate. Dua hari kemudiannya iaitu pada tanggal 14 Mei 1997, beliau telah meninggal dunia.

YAB DATUK SERI ABU ZAHAR BIN HAJI ISNIN KETUA MENTERI KELAPAN ( 23.5.1997 – 18.12.1999 )
Berpegang kepada moto ‘Kalau Tidak Kita, Siapa?’, merupakan prinsip Datuk Seri Abu Zahar bin Haji Isnin. Beliau dilahirkan di Kampung Merlimau Pasir, Melaka pada 14 September 1939. Beliau merupakan anak keempat dari tujuh orang adik-beradik.

Ayahnya, Haji Isnin bin Mahad ialah seorang usahawan kecil di kampungnya dan pernah bergiat di dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Manakala ibunya pula, Hajah Nah binti Subuh ialah seorang suri rumahtangga.

Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Melayu Merlimau, Melaka pada tahun 1946 hingga 1948. Pada tahun 1949 beliau telah berpeluang melanjutkan pelajaran sekolah menengah di Sekolah Tinggi Melaka menerusi Kelas Khas Melayu (Special Malay Class) sehingga 1956, apabila beliau menduduki peperiksaan ‘Senior Cambridge’.

Semasa di bangku sekolah, beliau bergiat aktif di dalam hampir semua kegiatan ko-kurikulum sekolah meliputi bidang sukan, pasukan beruniform dan persatuan bahasa dan kebudayaan.

Setelah tamat peperiksaan ‘Senior Cambridge’ dalam tahun 1957, beliau telah diterima masuk ke Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan. Selepas setahun mengikuti kursus perguruan di maktab tersebut, beliau terus menyambung kursus perguruannya di Maktab Perguruan Bahasa di Bukit Senyum, Johor Bahru dan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Pada tahun 1960, beliau menduduki peperiksaan ‘Higher School Certificate’ dan pada tahun 1967 beliau diberi tugas sebagai Guru Penolong Kanan di Sekolah Menengah Tun Perak, Jasin. Semasa di sekolah itu, beliau dan rakan-rakan setugas telah berjaya menubuhkan Badan Kebajikan Murid-Murid Miskin Sekolah Menengah Tun Perak. Berbagai-bagai projek dan aktiviti dirancangkan bagi mendapatkan sumber kewangan untuk mengisi tabung seperti mengadakan pementasan, pertunjukan pancaragam dan sebagainya. Beliau begitu bangga kerana menjadi pelopor utama dan mendahului kerajaan memperkenalkan skim pinjaman buku-buku teks kepada pelajar-pelajar miskin.

Setelah 12 tahun bertugas di Sekolah Menengah Tun Perak, Jasin, beliau telah ditukarkan pula ke Kementerian Pelajaran Kuala Lumpur sebagai Pengelola Kanan Bahasa di Bahagian Sekolah-Sekolah pada tahun 1979.

Pada tahun 1984, beliau telah dihantar pula berkursus di Brighton Polytechnic Language Centre, Universiti Brighton, London di dalam bidang pengeluaran bahan-bahan pengajaran dalam Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Sekembali dari kursus tersebut, beliau telah dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Unit Perhubungan dan Pendaftaran Sekolah di Jabatan Pelajaran Melaka. Beliau kekal memegang jawatan tersebut sehingga ditawarkan bertanding dalam pilihanraya umum bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Sungai Rambai pada 23 Julai 1986.

Sebagai ahli politik, Datuk Seri Abu Zahar pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Rim, Jasin pada tahun 1965 dan Timbalan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin pada tahun 1976 hingga 1978. Setahun kemudian, beliau dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO cawangan yang sama. Pada tahun 1970, beliau dipilih pula menjadi Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Rim juga.

Berikutan dengan pemecahan UMNO Melaka kepada empat bahagian dalam tahun 1972, mengikut kawasan Parlimen, beliau dipilih menjadi AJK Pemuda UMNO Bahagian Jasin dan menjadi Pengerusi Biro Pelajaran UMNO Bahagian Jasin dari tahun 1978 hingga 1986. Pada tahun 1988 beliau telah dilantik sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Jasin hingga 1990 dan menjadi Ketua UMNO Bahagian Jasin pada tahun 1989 sehingga kini.

Kerjaya beliau sebagai wakil rakyat bermula pada bulan Julai 1986, apabila Datuk Seri Abu Zahar meletakkan jawatannya sebagai penolong pegawai dengan Kementerian Pelajaran bagi membolehkan beliau bertanding untuk merebut kerusi DUN Kawasan Sungai Rambai.

Berikutnya pada 15 September 1986, beliau dilantik menjadi Speaker DUN Melaka. Beliau kekal memegang jawatan Speaker sehingga tahun 1995. Pada tahun 1994, Datuk Seri Abu Zahar telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan memegang jawatan Pengerusi Portfolio Pertanian dan Pembangunan Desa.

Pada tahun 1995, Datuk Seri Abu Zahar memenangi pilihanraya umum untuk kawasan DUN Merlimau dan dilantik menerajui Portfolio Kerja Raya dan Pembangunan Awam sehingga beliau dilantik ke jawatan Ketua Menteri Melaka pada 23 Mei 1997.

Menyentuh tentang lawatan ke luar negara, Datuk Seri Abu Zahar turut bersama di dalam rombongan yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri khususnya dalam rangka memperkenalkan Melaka sebagai destinasi pelancongan dan perindustrian.

Ciri-ciri kepimpinan wujud di jiwa Datuk Seri Abu Zahar kerana abangnya Hj Ahmad Hj Isnin, bapa saudaranya Tan Sri Datuk Wira Datuk Aziz Tapa dan bapa mertuanya Hj. Md. Jiddi adalah bekas wakil rakyat. Pendedahan berpolitik dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan sejak awal persekolahan mendorong semangat beliau memimpin rakyat.

Sebagai Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar telah merancang pelbagai program pembangunan jangka panjang untuk negeri Melaka. Antaranya ialah beliau merancang untuk menjadikan Melaka sebagai " Koridor Ilmu" sebagaimana Melaka pernah menjadi pusat kegiatan ilmu di Nusantara ketika 500 tahun dahulu. Untuk itu, beliau telah menyediakan segala kemudahan seperti menambah institusi pendidikan di Melaka. Beberapa institusi pendidikan yang telah dibina dan dirancang diadakan di Melaka iaitu Cawangan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) di Pengkalan Balak, Politeknik di Merlimau, Yayasan Jasin, Kolej Perubatan Manipal, Institut Multimedia Melaka dan Aeronautical Engineering University di Batu Berendam.

Datuk Seri Abu Zahar juga mempunyai perancangan masa depan untuk membangunkan Melaka untuk menjadi "City State". Beliau berhasrat untuk menyediakan segala kemudahan kelengkapan infrastruktur seperti air, elektrik, dan jalan raya kepada semua penduduk di negeri ini. Beliau ingin memastikan semua pekan dan kampung dihubungi sistem jalan raya yang baik dan sempurna.

Beliau telah merancang dan merangka program pembangunan di kawasannya seperti Projek Persimpangan Bertingkat lebuhraya Utara-Selatan bernilai kira-kira RM 40 juta di Lipat Kajang, Jasin. Wujudnya koridor baru itu akan memajukan kawasan seluas 9,200 hektar di Merlimau. Projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan Merlimau dan Jasin dalam perindustrian, pelancongan serta pertumbuhan bandar baru. Beliau juga turut merancang bagi mewujudkan Desa Wawasan seluas 274 ekar bagi meningkatkan taraf rakyat dan pembangunan Desa Datuk Murad diwujudkan di Merlimau. Peluang–peluang pekerjaan juga akan diwujudkan di Merlimau bagi meningkatkan sosio-ekonomi rakyat.

Datuk Seri Abu Zahar juga merancang agar menjelang tahun 2010, seluruh rakyat Melaka akan menikmati kemudahan air dan elektrik. Bagi meningkatkan kemudahan air, beliau telah melaksanakan satu projek Takungan Air Jus di Jasin yang dijangka siap menjelang tahun 2001. Empangan Jus ini mampu membekalkan air kepada rakyat Melaka sehingga tahun 2007 atau 2008. Beliau juga telah merancang untuk menambah 2 buah loji yang memberi bekalan air bersih iaitu loji Kampung Lancang di Merlimau dan Loji Baru di Kampung Gadek, Alor Gajah.

Selain itu, Datuk Seri Abu Zahar juga ingin memastikan kemudahan perumahan untuk rakyat Melaka mencukupi. Beberapa projek perumahan semasa di bawah pimpinan beliau yang telah dan sedang dalam pembinaan antaranya projek perumahan yang dijalankan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), Perbadanan Tanah Adat Melaka (PERTAM), dan pihak pemaju swasta. Malah beliau lebih menekankan projek perumahan kos rendah dibina kerana ingin membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah.

Datuk Seri Abu Zahar juga berhasrat untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang cemerlang dan maju dalam bidang teknologi maklumat (IT). Sebagaimana Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad telah menyatakan dalam fasa kedua projek Koridor Raya Multimedia (MSC) akan dijalankan satu proses perhubungan di antara Pusat Pentadbiran Pusat Putra Jaya dengan negeri yang cemerlang dalam bidang IT.

Untuk itu, Datuk Seri Abu Zahar telah berazam untuk menjadikan Melaka sebagai negeri yang pertama dihubungi oleh Putra Jaya. Sebagai langkah awal, beliau telah merancang untuk memperlengkapkan rakyat Melaka dengan ilmu teknologi maklumat. Beliau telah merangka satu projek Multimedia koridornya sendiri dengan merancang untuk menubuhkan satu institut multimedia yang akan dinamakan " Institut Multimedia Melaka (IMMM)". Institut ini akan dapat menyediakan kursus Teknologi Maklumat kepada pelajar-pelajar peringkat Diploma dan Ijazah.

Selain itu juga, Datuk Seri Abu Zahar telah merancang satu projek Koridor Teknologi Maklumat Melaka (MITC) di kawasan seluas 120 hektar berdekatan Taman Perindustrian Krubong yang bernilai RM500 juta. Melalui projek ini, kerajaan negeri Melaka akan maju dalam bidang teknologi maklumat seiring dengan kepesatan kemajuan di Koridor Multimedia (MSC) di Cyberjaya. Beliau yakin projek MITC ini mampu menjadikan kerajaan Melaka ke depan dalam bidang Teknologi Maklumat. Beliau juga ingin menjadikan semua jabatan kerajaan negeri ditadbir secara elektonik sepenuhnya.

Selain daripada bergiat aktif dalam politik, Datuk Seri Abu Zahar turut bergiat dalam badan-badan sukarela, belia dan kebajikan. Beliau turut menjadi Pengerusi Persatuan Belia 4B Daerah Jasin dan menjadi Bendahari Persatuan Belia 4B Negeri Melaka.

Dalam Pergerakan Pengakap, beliau pernah menjadi Pesuruhjaya Pengakap Daerah Jasin dan menjadi Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Jasin dan merangkap Ahli Jawatankuasa Majlis Pengakap Negeri Melaka.

Datuk Seri Abu Zahar telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Khalijah bte Mohd. Jiddi, seorang suri rumahtangga. Hasil dari perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan enam orang cahayamata – Zalina, Roslaini, Marina, Zuraini, Mohd. Idi Iskandar dan Khaidira.

Bagi menghargai khidmat dan sumbangannya, beliau telah dianugerahkan bintang kebesaran iaitu D.G.S.M. yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun 1997, D.M.S.M. yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1987, dan A.M.N. pada tahun 1983.

YAB DATUK SERI HAJI MOHD ALI MOHD RUSTAM KETUA MENTERI MELAKA KESEMBILAN (3.12.1999- kini)
Datuk Seri Hj Mohd Ali dilahirkan pada 24 Ogos 1949 di Kampung Bukit Katil, Melaka. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Bukit Katil dan Sekolah Kebangsaan Semabok hingga tahun 1962. Pendidikan menengahnya di Sekolah Tinggi Melaka hingga ke tingkatan lima. Pada tahun 1979, beliau memperolehi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) secara persendirian dan memasuki pengajian luar kampus Universiti Sains Malaysia (USM). Pada tahun 1984, beliau berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Ekonomi Pembangunan).

Sebelum beliau bertanding dalam pilihanraya dan menjadi wakil rakyat, beliau telah menjawat beberapa jawatan. Kariernya bermula pada tahun 1969 sebagai kerani di Lembaga Letrik Negara (LLN) sehingga 1979. Pada tahun 1979, beliau dilantik menjadi Penolong Pengarah Kemas Negeri Kedah dan dinaikkan pangkat ke jawatan Pengarah Kemas Negeri Perlis pada tahun 1980 kerana kesungguhannya dalam menjalankan tugas. Pada tahun 1981, beliau telah bertukar ke Wilayah Persekutuan dan memegang jawatan yang sama dan tahun berikutnya dipindahkan ke negeri kelahirannya sebagai Pengarah Kemas Negeri Melaka . Pada tahun 1984, beliau dilantik menjadi Setiausaha Khas kepada Ketua Menteri Melaka.

Karier politik beliau bermula pada tahun 1969 setelah mendaftar sebagai ahli UMNO cawangan Bukit Katil. Setahun kemudian, beliau dilantik menjadi Setiausaha Pemuda UMNO cawangan yang sama kerana kesungguhan beliau dalam memperjuangkan parti. Beliau kemudian dilantik menjadi Ketua Pemuda cawangan Bukit Katil pada tahun 1972 dan tahun berikutnya sebagai Setiausaha UMNO. Pada tahun 1977, beliau dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Bahagian Batu Berendam sehingga 1979. Pada tahun 1983, beliau menjadi AJK UMNO Bahagian Batu Berendam. Jawatan seterusnya ialah Pemangku Setiausaha UMNO Perhubungan Negeri Melaka. Pada tahun 1986, beliau dipilih sebagai Ketua UMNO Cawangan. Sejak tahun 1988 hingga 1996, beliau menjadi Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Melaka dan Ketua UMNO Bahagian Batu Berendam sejak 1987 hingga sekarang. Pada tahun 1996 hingga 1999, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka. Pada tahun 2000 beliau dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka hingga sekarang. Pernah dilantik (masa Datuk Najib dan Yusuf Nor) sebagai AJK Biro Latihan UMNO Malaysia, Biro Penerangan, Biro Ekonomi, Pemuda UMNO Malaysia (masa Datuk Ghani Othman).

Dalam Pilihanraya 1986, beliau telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek yang kemudiannya dilantik menjadi Pengerusi Portfolio Perumahan Alam Sekitar dan Kerajaan Tempatan Melaka (Exco).

Komitmen beliau dalam parti begitu bersungguh-sungguh dan sekali lagi diberi kepercayaan untuk bertanding dalam pilihanraya tahun 1990 sebagai ADUN Sungai Udang dan memenanginya dengan baik. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ahli EXCO Kerajaan Negeri Melaka menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Perindustrian, Sains dan Teknologi. Selain itu, beliau juga menjadi Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dari tahun 1990 hingga 1995. Pada tahun 1995 pula, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia sehinggalah 8 Januari 1999 dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia.

Pada pilihanraya tahun 1999, beliau telah bertanding di kawasan ADUN Paya Rumput dan juga memenanginya dengan cemerlang. Seterusnya, beliau telah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang baru menggantikan Datuk Seri Abu Zahar Haji Isnin yang telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri. Datuk Wira Mohd. Ali telah diberi kuasa penuh untuk menerajui pentadbiran negeri dan membangunkan negeri Melaka.

Apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Wira Mohd. Ali mengambilalih pucuk pimpinan negeri Melaka pada penghujung tahun 1999, beliau bersama-sama rakan-rakan politik BN yang lain serta pegawai-pegawai kerajaan telah bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh bagi meningkatkan tahap perkhidmatan kepada rakyat dan memesatkan pembangunan Melaka yang tercinta ini ke arah mencapai matlamat menjadikan Melaka sebuah negeri maju menjelang 2010 iaitu 10 tahun lebih awal dari misi Wawasan 2020. Menyedari hakikat bahawa Melaka tidak kaya dengan sumber asli, beliau telah bersungguh-sungguh untuk meningkatkan ekonomi negeri Hang Tuah melalui promosi pelancongan, perindustrian dan pembinaan. Beliau turut menekankan pembangunan di bidang Rohani dan Jasmani agar ia seimbang dengan pembangunan negeri Melaka.

Sektor pelancongan merupakan sektor utama di Negeri Melaka. Kesan-kesan peninggalan sejarah dan keunikan Melaka dengan kepelbagaian budaya merupakan aset utama tarikan pelancong. Beliau sememangnya mengetahui Melaka merupakan sebuah negeri yang begitu kaya dengan khazanah sejarah terutamanya kesan peninggalan Kesultanan Melayu Melaka, warisan penjajahan Portugis, Belanda dan British. Justeru itu, beliau ingin menjadikan Melaka sebagai pusat tarikan utama dan destinasi pelancongan nombor satu di Malaysia. Beliau begitu yakin bahawa Melaka mampu menawarkan pelbagai produk dan tempat yang menarik untuk pelancong-pelancong sama ada dalam mahu pun luar negeri.

Untuk meningkatkan sektor pelancongan Melaka, beliau telah melancarkan kempen melawat Melaka dengan moto “Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia” yang menjadi teras serta matlamat beliau untuk menjadikan negeri ini satu tempat yang unik dan wajar dilawati oleh semua pelancong. Beliau telah melancarkan kempen promosi besar-besaran yang melibatkan kerjasama di antara agensi kerajaan negeri dan swasta negeri Melaka di Festival Pelancongan Melaka di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Singapura, Pekan Baru, Sumatera Selatan, China, United Kingdom dan Taiwan. Sempena kempen pelancongan itu, beliau telah memperkenalkan sembilan sub-sektor pelancongan utama di Melaka iaitu pelancongan sejarah, budaya, rekreasi, sukan, konvensyen, membeli-belah, pendidikan, kesihatan dan agrotourism.

Usaha untuk menyenaraikan Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia di dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO ‘World Heritage List’ juga sedang giat dilaksanakan bagi menjadikan negeri ini destinasi pelancongan utama pelancong-pelancong luar negara. Dengan bertambahnya pelancong ke Melaka, maka ekonomi negeri akan meningkat melalui pertambahan peluang-peluang pekerjaan di dalam sektor perkhidmatan serta kesan berganda ‘multiplier effects’ ke atas sektor-sektor lain seperti industri kraftangan, perhotelan, katering, restoran dan lain-lain. Beliau yakin sumbangan sektor pelancongan ini dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) selepas program-program dan strategi yang disusun kerajaan ini dilaksanakan.

Sementara itu, usaha gigih dan agresif untuk menarik para pelabur asing membuka kilang-kilang dan menambahkan pelaburan dalam bidang-bidang baru dan berteknologi tinggi turut dipergiatkan dalam usaha untuk menjadikan Melaka sebagai negeri perindustrian yang utama di Malaysia. Malah dengan penubuhan Pusat Dagangan Dunia Melaka (MITC) dapat membantu usahawan-usahawan di Melaka untuk memasarkan produk keluaran mereka dengan lebih produktif. Selain itu, beliau turut bercadang mengadakan Ekspo Perdagangan Antarabangsa di Melaka setiap tahun bagi memastikan lebih banyak syarikat-syarikat luar dan dalam Malaysia menyertai ekspo itu untuk memasarkan produk masing-masing. Malah beliau turut mengadakan lawatan rombongan galakan pelaburan ke luar negara untuk menarik pelabur luar untuk menanam modal di Melaka. Hasrat beliau untuk menjadikan Melaka sebagai negeri perindustrian bermatlamat untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi rakyat Melaka dilihat semakin menampakkan pencapaian yang begitu cemerlang walau pun baru menerajui tampuk pemerintahan Negeri Melaka.

Dalam sektor pembinaan, beliau terus memberi keutamaan kepada sektor perumahan khususnya penyediaan rumah awam kos rendah yang mencukupi dan berkualiti serta mampu dibeli golongan berpendapatan rendah iaitu di antara RM1,000.00 hingga RM1,500.00 sebulan. Cita-citanya untuk melahirkan konsep satu keluarga satu rumah sudah pasti akan terhasil selain dapat mewujudkan perhubungan yang rapat antara para pemaju perumahan dan agensi berkaitan dengan industri ini.

Sektor pertanian yang meliputi lebih kurang 128,000 hektar tanah di negeri ini turut menarik perhatian beliau untuk diusahakan dengan tanaman dan ternakan. Beliau percaya, sekiranya sumber pertanian ini digunakan secara optima dengan cara yang lebih sistematik, komersial, cekap serta berdaya saing, sudah tentu pendapatan negeri akan meningkat. Strategi pembangunan pertanian lebih memberi tumpuan kepada sub-sektor yang berdaya maju, mempelbagaikan aktiviti pertanian terutamanya bagi kawasan sawah terbiar, mempertingkatkan aktiviti industri hiliran berasaskan pertanian, memperkemaskan sistem pemasaran, membangunkan agro-tourism dan menggalakkan pertanian secara bersepadu.

Berdasarkan strategi inilah, satu Pelan Tindakan Pembangunan Pertanian yang memberi tumpuan khusus kepada lima sub-sektor utama iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan pemerosesan makanan serta pemasaran dilaksanakan. Beliau turut memberi perhatian ke atas pengeluaran buah-buahan iaitu mangga ‘Melaka Delite’ yang akan mencapai keluasan sebanyak 2,000 hektar dalam Rancangan Malaysia ke-Lapan (RMK-8). Beliau percaya Melaka akan menjadi negeri yang mempu membekal buah mangga bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga untuk dieksport.

Bagi memastikan hasil pertanian di Melaka dapat ditingkatkan, usaha mengatasi banjir dan pengairan kawasan pertanian terus dilaksanakan dengan pembinaan jambatan dan pembentung di kawasan pertanian dan menyediakan infrastruktur pengairan dan saliran yang lebih baik agar petani tidak menghadapi masalah.

Berkat keikhlasan dan komitmen semua pihak, banyak hasil positif telah diperolehi dan tahap perkhidmatan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Wira Mohd.Ali telah bertambah baik dan tempo ekonomi negeri bergerak kian rancak dan pesat sehingga dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat. Bagi beliau, perkara ini amat penting untuk menjadikan Melaka negeri maju pada tahun 2010. Untuk itu, beliau tidak ada banyak masa untuk dibuang dan bersenang-senang kerana banyak lagi perkara yang perlu dibuat untuk memakmurkan negeri ini. Banyak lagi orang yang susah dan memerlukan yang patut dibantu dan dibela. Justeru itu beliau telah memutuskan menjadikan Hari Jumaat sebagai Hari Kebajikan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjamin. Satu Tabung Kebajikan bagi membantu rakyat negeri ini yang mengalami sesuatu bencana turut ditubuhkan.

Dalam bidang pendidikan pula, beliau begitu bersungguh-sungguh untuk menjadikan Melaka sebagai koridor ilmu. Beliau telah melancarkan Tabung Pendidikan Negeri bagi memberi kemudahan pinjaman pelajaran untuk anak-anak Melaka yang berjaya memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Kesungguhan beliau untuk menjadikan Melaka sebagai pusat keilmuan dapat dilihat apabila kerajaan negeri telah berjaya mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan membina universiti awam di Melaka iaitu Universiti Teknikal Melaka yang memulakan sessi pengajian pada bulan Jun 2001.

Bagi memastikan kegiatan pendakwaan Islam di negeri ini turut berjalan dengan lebih berkesan, beliau telah menubuhkan Tabung Amanah Dakwah Negeri Melaka untuk menampung aktiviti-aktiviti dakwah di seluruh negeri yang meliputi bantuan bagi menampung pembinaan surau, mengadakan kursus, ceramah, forum, seminar, bengkel dan khemah ibadah.

Datuk Seri Mohd.Ali merupakan satu-satunya Ketua Menteri Melaka yang memperkenalkan program khas bersama rakyat iaitu " berjoging dengan pemimpin" yang diadakan pada setiap minggu. Acara berjoging itu dijalankan bertujuan untuk menyedarkan masyarakat negeri betapa pentingnya penjagaan kesihatan. Malah apa yang paling penting dari program ini, beliau berharap agar aktiviti sebegini dapat mendekatkan pemimpin dengan rakyat.

Program ini bukan sahaja melibatkan rakyat tempatan malah turut disertai pelancong luar negeri yang melawat Melaka.

Selain dari kegiatan politik, beliau juga bergerak cergas dalam pergerakan belia samada di peringkat negeri, negara mahupun di peringkat antarabangsa. Banyak perubahan dan pembaharuan dilakukan beliau terutama dalam Gerakan Belia 4B (GB4B).

Penglibatan beliau dalam gerakan belia bermula sejak tahun 1968 lagi iaitu semasa beliau menjadi kerani di LLN. Bermula sebagai Ahli Jawatankusa (AJK) GB4B cawangan Bukit Katil, beliau seterusnya dilantik Ketua Cawangan GB4B Bukit Katil dan kemudiannya sebagai Pengerusi GB4B Kawasan Batu Berendam. Beliau tahu banyak perkara dan seorang yang kuat bekerja serta sentiasa bersedia dengan apa yang hendak dilakukannya. Sebagai seorang yang aktif dalam belia, beliau begitu mengambil berat dalam apa-apa jawatan yang disandangnya. Walau pun tidak mendapat apa-apa imbuhan bekerja di bawah mana-mana pertubuhan belia, namun beliau bekerja keras dan sukarela dalam melakukan tugas yang diamanahkan.

Di samping itu, beliau merupakan kumpulan pioneer Malaysia di dalam rancangan Pertukaran Belia Malaysia dan Kanada pada tahun 1973. Beliau juga pernah menghadiri persidangan “The Right of The Prisoners of War” di Iraq pada tahun 1990. Pada tahun 1986 hingga 1994, beliau telah dilantik menjadi Pengerusi Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) dan seterusnya pada tahun 1988, beliau dipilih menjadi Presiden Belia Malaysia hingga tahun 1990. Pada tahun yang sama, beliau dipilih menjadi Naib Presiden ‘World Assembly of Youth’ (WAY) dan pada tahun 1993 pula, dilantik sebagai Presiden WAY sehingga sekarang. Pada tahun 1994, beliau dilantik menjadi Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia hingga kini.

Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Asmah bte Abd. Rahman dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Bagi mengenang sumbangannya, beliau telah dianugerahi dengan pingat kebesaran iaitu, D.C.S.M. yang membawa gelaran Datuk Wira pada tahun 1995, D.M.S.M. yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1990, D.S.M. pada tahun 1989 dan P.B.M. pada tahun 1979.

Loading

TOP