MUZIUM TYT / TYT MUSEUM
GABENOR
TUN LEONG YEW KOH (1957 – 1959)
Tun Leong Yew Koh adalah Gabenor Melaka Pertama yang dilantik pada 31 Ogos 1957 selepas kemerdekaan. Beliau dilahirkan pada tahun 1888 di Salak Utara, Perak. Bapa beliau mendapat pendidikan di negeri China dan berhijrah ke Tanah Melayu ketika berusia 13 tahun dan juga orang pertama meneroka Salak Utara. Beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan Undang-undang, Politik, Ekonomi dan Sosiologi di Universiti London. Setelah tamat pengajian, beliau melawat Wilayah Yunan dan China sebelum kembali ke tanah air untuk menjadi seorang peguam di Ipoh.
Pada tahun 1932, beliau kembali ke China untuk menjadi seorang pentadbir dan dilantik menjadi Pegawai Daerah Foo Hai, sebuah Wilayah Yunan di China. Beliau juga pernah menjadi Pengurus Bank Daerah Foo-Tien. Ketika di wilayah tersebut, beliau berjaya mengembangkan sektor pertanian, industri kecil-kecilan dan berbagai jenis perniagaan yang berkaitan sehingga berjaya menjadikan wilayah Foo-Hai sebagai wilayah contoh di Yunan. Beliau meletakkan jawatan sebagai pentadbir di Foo-Hai kerana bersemangat untuk menyertai unit ketenteraan China ke Burma dan memegang jawatan Mejar Jeneral dalam ekspedisi tersebut. Di dalam ekspedisi tentera itu, beliau pernah mengemukakan cadangan kepada Ketua Komander Tentera Perikatan China, Jeneral Hutton untuk menggunakan seangkatan kecil tentera China ke Siam bagi menghalang Jepun daripada menguasai komunikasi di Tanah Melayu.
Beliau berbuat demikian semata-mata untuk menyelamatkan Tanah Melayu daripada dikuasai Jepun. Walaupun Jeneral Hutton bersetuju tetapi cadangan tersebut dilengah-lengahkan olehnya kerana angkatan tenteranya yang lemah pada ketika itu. Selepas kejayaan angkatan Tentera Perikatan, Tun Leong Yew Koh diberi peluang untuk melawat Amerika Syarikat dan sekembalinya dari Amerika Syarikat, beliau berkhidmat semula sebagai peguam
di Ipoh.
Di dalam arena politik tanahair, Tun Leong Yew Koh dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat bagi membincangkan cadangan penubuhan Perlembagaan Tanah Melayu oleh Gabenor Malayan Union. Beliau juga merupakan ahli Majlis Persekutuan yang ditubuhkan pada tahun 1945 dan pernah dilantik sebagai ahli Majlis Perang dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Perang negeri Perak. Tun Leong Yew Koh juga merupakan pengasas MCA di samping menjadi ahli dalam Perikatan UMNO-MCA-MIC dan Setiausaha Agong MCA. Beliau aktif dengan kerja kebajikan dan sering berbakti kepada organisasi yang membantu golongan yang kurang bernasib baik. Beliau memperjuangkan hak kebebasan dan kebajikan di samping membela nasib mereka yang miskin.
Ketika darurat, beliau menyeru orang ramai supaya turut sama berjuang menegakkan kesejahteraan penduduk dan keamanan negara. Oleh sebab itu beliau pernah diserang sebanyak dua kali dan mengalami cedera parah akibat terkena serangan bom tangan. Semua ladang pertanian, ternakan serta bangunan miliknya turut musnah.
Tun Leong Yew Koh juga menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ipoh dan Ahli Parlimen Mengelembu. Ketika menjadi Menteri Kesihatan, beliau turut melancarkan skim perluasan perkhidmatan perubatan di seluruh negara.
Beliau bersara daripada kegiatan politik sebaik sahaja dilantik sebagai Gabenor Melaka yang pertama. Beliau juga merupakan ahli Persidangan Raja-Raja di bawah Perlembagaan Persekutuan.
TUN HAJI ABDUL MALEK BIN YUSUF (1959 – 1971)
Tun Haji Abdul Malek bin Yusuf, Dato' Maha Kurnia adalah Gabenor Negeri Melaka yang kedua menggantikan Tun Leong Yew Koh. Beliau mengangkat sumpah sebagai Gabenor Negeri Melaka pada 31 Ogos 1959 dan berkhidmat selama 12 tahun.
Tun Haji Abdul Malek dilahirkan pada tahun 1899 di Chengkau, Negeri Sembilan. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Chengkau, Negeri Sembilan sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar.
Beliau menyertai Perkhidmatan Pegawai Tadbir Melayu (M.A.S) pada tahun 1917 dan bertugas sebagai Pegawai Melayu di Kuala Pilah. Pada tahun 1922, beliau ditugaskan di Pejabat Tanah Jelebu selama sebulan dan selepas itu ke Pejabat Tanah Seremban.
Pada tahun 1930, beliau dinaikkan pangkat dalam Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (M.C.S) dan berpeluang melawat England pada tahun 1938.
Ketika Perang Dunia Kedua, beliau ditempatkan di Kuala Lumpur sebagai Pegawai Pemungut Hasil Tanah. Sewaktu pemerintahan Jepun, beliau kembali ke Rembau dan bekerja di Seremban sebagai Pegawai Daerah Tampin.
Tun Haji Abdul Malek kemudian dilantik menjadi Hakim Daerah di Selangor dan Tanjung Malim sebelum menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan antara tahun 1948 dan 1953. Ketika dalam perkhidmatan awam, Tun Haji Abdul Malek pernah dilantik sebagai ahli pertama Lembaga Perlantikan dan Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam (Public Service Appointment and Promotional Board) pada tahun 1954 sebelum berkhidmat di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Beliau juga pernah menjadi Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Parlimen bagi menggantikan YM Raja Tun Uda sehingga pilihanraya umum bulan Ogos tahun 1958. Beliau merupakan anak Melayu ketiga menjadi Speaker Dewan Parlimen.
Beliau berkahwin dengan Toh Puan Fatimah bte Ismail pada tahun 1964, beberapa tahun selepas kematian isteri pertama iaitu Datin Hajjah Khatijah bte Haji Ahmad. Toh Puan Fatimah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Langat dan Sekolah Melayu Kajang. Toh Puan Fatimah menjadi suri rumah sepenuh masa dan gemar memasak makanan kegemaran Tun. Beliau juga meminati kegiatan menjahit di masa lapang.
Toh Puan Fatimah sering mengiringi suaminya ke majlis-majlis rasmi kerajaan dan acara rasmi anjuran badan sukarela serta swasta di peringkat negeri. Beliau turut aktif dalam pertubuhan Institusi Wanita peringkat Negeri Melaka. Beliau juga menjadi Penaung Persatuan Kebajikan dan Sukarela di Melaka.
TUN HAJI ABDUL AZIZ BIN HAJI ABDUL MAJID (1971- 1975)
Tun Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Majid menjadi Gabenor Melaka yang ketiga pada tahun 1971. Dilahirkan pada 10 Mac 1908, di Kajang, Selangor, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Kajang pada tahun 1919. Kerajinan dan ketekunannya terserlah sejak usia mudanya.
Selepas tamat persekolahan beliau menjadi guru pelatih pada tahun 1926 dan pernah menghadiri kursus kedua Devonshire, Oxford. Penyertaannya dalam Perkhidmatan Awam Melayu melibatkan pelbagai jawatan.
Ketika Malayan Union, Tun Haji Abdul Aziz dilantik sebagai Penolong Setiausaha di Pejabat Suruhanjaya Residen Selangor dan Ketua Penolong Setiausaha di Unit Pertahanan, Kerajaan Persekutuan, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Pada tahun 1952, Tun Haji Abdul Aziz dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Besar Selangor, sejak tahun 1954 sehingga Julai tahun 1957. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, beliau dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Awam dan Setiausaha Tetap kepada Perdana Menteri.
Tun Haji Abdul Aziz juga menyertai delegasi Persidangan Raja-raja bagi misi kemerdekaan di London untuk membincangkan Perlembagaan Tanah Melayu pada tahun 1956. Beliau melawat United Kingdom sekali lagi untuk membincangkan Perjanjian Pertahanan Tanah Melayu.
Pada tahun 1963, Tun Haji Abdul Aziz menyertai Misi Malaysia untuk membuat perundingan mengenai Persekutuan Malaysia dan mengetuai Kumpulan Perundingan Persekutuan, Jawatankuasa Dalaman Kerajaan.
Tun Haji Abdul Aziz dikurniakan pingat Panglima Mangku Negara (PMN) oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1958. Beliau mendapat Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti Malaya.
Beliau bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada tahun 1964 dan dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Tun Haji Abdul Aziz berkahwin dengan Yang Mulia Raja Teh Zaitun bte Raja Kamarulzaman pada tahun 1956 dan dikurniakan empat orang cahayamata iaitu Mustapha Kamal, Kamarulzaman, Mansor dan Amir Hamzah.
Raja Teh Zaitun dilahirkan di Taiping, Perak. Beliau ialah anakanda Raja Haji Kamarulzaman Haji Mansor, Raja Di Hilir Perak.
TUN SYED ZAHIRUDDIN BIN SYED HASSAN (1975 – 1984)
Tun Syed Zahiruddin bin Syed Hassan dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka yang Keempat, pada 19 Mei 1975. Beliau berkhidmat selama lapan tahun.
Dilahirkan pada 11 Oktober 1918 di Kerian, Perak, beliau merupakan anak sulung kepada enam orang adik-beradik.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tapah pada 1924-1925, kemudian ke Sekolah Melayu Pondok Tanjung pada tahun 1925-1929 dan melanjutkan pelajaran ke Clifford School, Kuala Kangsar sehingga lulus Senior Cambridge pada tahun 1935. Ketika di sekolah, beliau aktif dalam sukan seperti bola sepak, hoki, tennis, dan kriket.
Kecemerlangan dan kepintarannya menyebabkan beliau terpilih untuk meneruskan pengajian di Raffles College 1 Singapura sejak 1938 sehingga tahun 1941. Beliau memulakan kerjayanya di Pejabat Harta Taiping dan menjadi Timbalan Penolong Pegawai Daerah Grik, Tapah, dan Tanjung Malim.
Pada 1 Januari 1946, beliau bertugas di Cameron Highlands sebelum bertukar ke Pejabat Daerah Lumut dan Parit Buntar sejak April 1948. Bermula 1 Januari 1952, beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah di Lenggong dan dinaikkan pangkat pada 1 Januari 1953 sebagai Pegawai Daerah di Slim River. Beliau berkhidmat di Batu Gajah pada tahun 1954.
Pada Januari tahun 1955, beliau telah dipilih untuk mengikuti kursus pentadbiran awam selama enam bulan di Canberra, Sydney, Melbourne dan Brisbane, Australia. Sekembalinya dari Australia, beliau ditugaskan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak sebagai Penolong Setiausaha, diikuti sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Bahagian Tanah dan Pegawai Daerah di Tapah mulai Ogos 1957.
br>
Beliau mengikuti kursus pentadbiran awam di Universiti Pittsburg, Amerika Syarikat selama tiga bulan dalam tahun 1958 dan dilantik sebagai Timbalan Setiausaha di Surahanjaya Perkhidmatan Awam pada tahun 1960. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Jabatan yang sama.
Beliau menjawat jawatan Pesuruhjaya Tanah dan Galian di Perak dan Setiausaha Kerajaan Perak pada tahun 1961 sehingga Disember 1962. Sejak Januari 1963, beliau dilantik sebagai Setiausaha Tetap (kini Ketua Setiausaha Kementerian) di Kementerian Pertanian sehingga tahun 1966, sebelum berpindah ke Kementerian Pelajaran sehingga tahun 1971. Beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sehingga Julai 1972 sebelum bersara.
Beliau menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Keretapi pada November 1973, dan dilantik sebagai Pemangku Gabenor Pulau Pinang selama dua bulan kerana Gabenor Pulau Pinang ketika itu, Tun Syed Sheikh Barakbah menunaikan Haji di Mekah. Beliau kemudian ditempatkan di Pesuruhjaya Tinggi Wisma Putera. Pada 1 April 1974, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain.
Tun Syed Zahiruddin berkahwin dengan Toh Puan Hajjah Halimah bte Hj. Md. Noh pada Oktober 1949, seorang surirumah yang mempunyai hobi bermain golf di masa kelapangan.
Tun Syed Zahiruddin juga merupakan Orang Besar Empat kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah, Sultan Perak sejak Oktober 1984, di samping menjadi Pro Canselor Universiti Malaya.
TOH PUAN DATIN SERI UTAMA MARFUZAH BTE SHEIKH MOHD. OSMAN
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Utama Marfuzah bte Sheikh Mohd. Osman dilahirkan di Burma Road, Pulau Pinang pada tahun 1943. Beliau merupakan anak kelima daripada tujuh orang adik beradik. Toh Puan mendapat pendidikan awal di Convent English School, Light Street, Pulau Pinang dari tahun 1948 hingga tahun 1954. Beliau melanjutkan pelajaran ke Methodist English School, Anson Road, Pulau Pinang dari tahun 1955 hingga tahun 1959. Semasa di sekolah, Toh Puan sangat fasih berbahasa Inggeris dan cergas dalam bidang sukan.
Beliau amat menggemari sukan 'rounders' dan mewakili sekolah dalam sukan berkenaan. Di samping itu, beliau juga merupakan seorang pelajar yang aktif dan pernah menjadi Ketua Darjah. Selepas tamat tingkatan lima, beliau berminat untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan sebagai guru pelatih. Hasrat tersebut terpaksa diketepikan setelah beliau menerima pinangan dari Tun Syed Ahmad dan mendirikan rumahtangga pada tahun 1960. Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Sharifah Nor Aida, Syarifah Nor Azaliah, Syed Mohd. Nasir dan Syarifah Nor Izel. Sebagai isteri dan ibu, beliau melaksanakan tanggungjawabnya mengasuh dan mendidik anak-anak dengan penuh disiplin dan prihatin.
Beliau menguruskan persekolahan, mengaji Al-Quran dan mengawasi urusan harian anak-anaknya. Sifat beliau yang lemah-lembut, bersopan santun, peramah, penyayang dan sentiasa mesra menarik perhatian sesiapa sahaja yang bertemu dengannya.
Bagi mengisi masa lapang, beliau sangat gemar menjahit, menyulam dan mengait. Beliau menjadikan kerja-kerja menenun itu sebahagian daripada tugasan hariannya. Beliau turut bergiat mendampingi kegiatan kemasyarakatan khususnya dalam meningkatkan martabat kaum ibu dan wanita.