MUZIUM SAMUDERA FASA I (Flor de La Mar)
SENJATA-SENJATA MELAYU
Orang melayu mempunyai tradisi persenjataan pelbagai bentuk dan saiz menurut keperluan tertentu. Sumber Portugis menyebut berjenis meriam, senapang, pedang, keris, lembing, sumpitan dan sebagainya digunakan di Melaka tatkala memerangi Portugis. Keris misalnya adalah jenis senjata kecil yang direkacipta bersesuaian denagn pergerakan aktif dan tindakan pantas. Namun begitu, tikaman keris diketahui berbisa dan boleh menyebabkan kematian. Senjata lain seperti lawi ayam, berukuran kecil digunakan semasa kecemasan dan ianya boleh disimpan di bawah tapak tangan. Persenjataan bagi orang Melayu mempunyai pelbagai peranan.
Senjata yang berbentuk panjang dan berat misalnya meriam, pedang, lembing dan sebagainya digunakan di dalam pertarungan, termasuk peperangan. Selain dari itu, peralatan senjata termasuk keris dan pedang menjadi symbol kekuasaan, kewibawaan, perhiasan diri, kesenian dan kebudayaan. Peralatan senjata juga merupakan warisan dan perlambangan hasil karya seni yang tidak ternilai. Teknik penghasilannya diwarisi zaman-berzaman. Kebiasaannya, senjata Melayu memiliki tiga komponen iaitu ulu, bahagian mata (blade) dan sarung penyalut. Ulu biasanya diperbuat dari kayu, tulang, logam dan gading. Bahagian mata pula ditempa dari besi waja yang kadang-kala dititip dengan tembaga dan emas selaku hiasan. Bahagian sarung pula dicipta dari kayu, kulit atau gading.