MUZIUM SAMUDERA FASA I (Flor de La Mar)

DIORAMA PELABUHAN MELAKA

Diorama ini menggambarkan kegiatan perdagangan di pelabuhan dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kapal dagang yang sarat dengan muatan dari seluruh pelusuk rantau datang silih berganti mencari kekayaan dan kesejahteraan hidup di Alam Melayu. Bersesuaian dengan gelaran “Venice di Timur”, Melaka menawarkan pelbagai barang dagangan termasuk rempah ratus, sutera dan tembikar yang bermutu tinggi. Pedagang dari Arab, China, India dan Kepulauan Melayu saling tawar-menawar dan menjual barang dagangan mereka serta mendapat laba berlipat kali ganda. Kecemerlangan pentadbiran anak negeri mengendalikan urusan perniagaan berasaskan falsafah Islam dan ketimuran menjadikan Melaka tumpuan segala dagang dan senteri serta menjadi sebutan di Timur dan Barat.

PENGENDALIAN PERDAGANGAN DI PELABUHAN MELAKA

Nakhoda kapal asing yang tiba di Melaka melaporkan ketibaan mereka kepada Syahbandar. Melalui Syahbandar, perkenan Sultan diperolehi. Bingkisan hadiah tertentu dipersembahkan. Kebenaran berniaga, kemudahan berlabuh dan peruntukan gudang penyimpanan barang diperolehi. Kapal-kapal besar misalnya dari Coromandel yang muatannya 12 hingga 15 ribu cruzados dikenakan 6% cukai nilai keseluruhan barangan. Sebuah jawatankuasa penaksiran sumatera dibentuk bagi menilai dan menentukan jumlah cukai. Ia bertujuan menjamin kepentingan pihak Melaka dan kebajikan pedagang. Sekumpulan saudagar Melaka merundingi harga barang dengan nakhoda atau wakilnya sebelum dagangan itu diagih dan dipasarkan di pelabuhan, pasar, gerai atau sejumlah warung yang disediakan sambutan yang merentasi Sungai Melaka.

Jangkamasa paling sibuk berurusniaga di Melaka ialah antara Disember dan Mac iaitu masa ketibaan kapal-kapal dari Asia Barat dan Asia Timur. Jong, tongkang, kapal dari Jawa serta Kepulauan Rempah berniaga sekitar bulan Mei hingga September. Angkatan laut dibawah Laksamana dianggotai oleh penduduk tempatan dan orang Laut mengawasi perairan Melaka. Pemerintah Melaka mempunyai kuasa mutlak menggubal dan melaksanakan sistem perdagangan Melaka. Ribuan saudagar Arab, Parsi, Gujerat dan lain-lain berkunjung ke Melaka. Sejumlah 84 bahasa dipertuturkan di sini.

SISTEM PERTUKARAN BARANGAN

Sistem pertukaran barangan diamalkan sejak zaman berzaman dalam sejarah peradaban manusia. Kaedah pertukaran sejumlah barangan oleh suatu pihak dengan komoditi tertentu yang dipercayai setara nilainya milik pihak yang lain, turut diamalkan di Melaka. Pedagang Melayu dan asing misalnya melakukan pertukaran barangan dengan penduduk asli seperti Jakun, Semang dan Senoi.

Hasil keluaran hutan seperti damar, rotan, cendana, akar kayu dan sebagainya ditukarkan dengan periuk tanah, pinggan mangkuk, garam, tembakau dan lain-lain yang dibawa oleh pedagang tempatan dan luaran. Selain daripada itu di kalangan orang Melayu sendiri, sistem ini turut diamalkan. Pasar merupakan tempat pertemuan dan urusniaga pertukaran barangan dijalankan. Pedagang asing yang berniaga di Melaka turut menjalankan sistem perdagangan ini. Namun demikian, kaedah ini tidak begitu diamalkan lagi berikutan pengenalan sistem matawang di Melaka.

KEGEMILANGAN PERDAGANGAN DI MELAKA

Abad ke 15 dan awal abad ke 16 M adalah zaman keemasan perdagangan Melaka. pelabuhan dan kepentingan perdagangannya diketahui di merata tempat termasuk di Eropah. Melaka adalah pasar terapung dengan imej keantarabangsaan dari segi barang dagangan mahupun para pedagang yang terlibat. Sebanyak 84 bahasa dipertuturkan di Melaka. 4 orang Syahbandar dipertanggungjawabkan mewakili kepentingan pedagang asing. Lebih 2000 pengangkutan laut pelbagai jenis dapat berlabuh di Melaka. Pedagang dari Arab, Parsi, India, China, Ryukyu, Filipina dan Siam berdagang di sini.

Pedagang Arab-Parsi antara lain memasarkan wangian, peralatan dari kaca, permaidani, ubat-ubatan dan sebagainya. Dari China, peralatan timbangan, teh, sutera dan tembikar didatangkan. Pelbagai jenis kain tekatan dan candu dibawa oleh pedagang dari India. Dari Burma, berjenis hiasan berharga termasuk permata, batu aked dan lain-lain dipasarkan. Dari Siam, beras, arak dan ikan kering turut dibekalkan. Beras, rempah, cengkih, pala, cendana, emas, kapur barus dan lain-lain adalah hasil keluaran Pulau Jawa, Sumatera, Kepulauan Rempah dan Brunei. Dari Melaka dan Semenanjung, timah, gading, rotan dan sebagainya pula dibekalkan. Purata tahunan perdagangan Melaka mencecah 2 juta cruzados, sementara jumlah cukai yang dihasilkan sekitar 50,000 cruzados. Sistem pertukaran barangan dan penggunaan mata wang dilaksanakan. Undang-Undang Laut Melaka digubal bagi membantu sistem perdagangan dan perkapalan.

PENGHAPUSAN LANUN

Melanun menjadi-jadi di tempat-tempat strategik merata dunia dan kapal-kapal yang belayar bersendirian selalunya menjadi mangsa. Dalam abad ke 14 dan 15 Asia Tenggara juga mengalami aktiviti melanun ini. Adakalanya kapal-kapal lanun ini mengekori kapal-kapal dagangan dan kemudian menyerangnya di tempat-tempat yang sesuai, dan adakalanya menyerang pekan-pekan di sepanjang pantai. Pada zaman Sri Vijaya dan Majapahit juga terdapat banyak lanun di Asia Tenggara. Lanun Aceh menempatkan diri di Palembang pada awal abad ke-15.

Laut Sulu, Kepulauan Riau-Lingga-Karimun dan kawasan Pulau Sembilan sangat terkenal sebagai kawasan lanun pada suatu ketika. Jika jalan laut tidak memberi jaminan untuk pelayaran yang selamat, dan pihak-pihak yang bermusuh atau lanun mengganggu kapal-kapal dagangan, maka aktiviti perdagangan akan terhalang dan akan membawa kepada kemunduran sesuatu kerajaan. Oleh itu, setiap kuasa dan kerajaan di sekitar kawasan ini memastikan wujudnya keadaan yang selamat supaya saudagar-saudagar dapat berdagang dalam keadaan aman.

Sultan-Sultan Melaka juga mengambil tindakan tegas terhadap lanun-lanun yang mengganggu perjalanan laut ke Melaka. Raja-Raja Melaka mempunyai perkhidmatan Orang Selat untuk memandu kapal-kapal angkatan laut bagi mencari tempat-tempat perlindungan lanun-lanun atau menarik keluar mereka untuk memastikan kapal-kapal saudagar dari luar sampai untuk aktiviti perdagangan dengan selamat.

SYAHBANDAR DALAM PERDAGANGAN MELAKA

Institusi Syahbandar wujud di alam melayu sejak zaman pra Melaka. Jawatan ini merupakan salah satu dari jawatan terpenting yang termaktub dalam Hukum Kanun Melaka. Syahbandar menggubal peraturan perniagaan di Melaka. Beliau menjadi penghubung di antara pedagang asing dengan pihak berkuasa. Tatkala perdagangan Melaka berada di kemuncaknya, 4 orang Syahbandar dilantik bagi menggantikan perdagangan yang merangkumi pelbagai pelusuk rantau. Jawatan ini disandang oleh pribumi dan kalangan saudagar asing. Keberkesanan institusi ini sehingga terus diamalkan selepas 1511, apabila penjajah asing bertapak di Melaka. Antara lain, Syahbandar berperanan

  • Mengesah dan menguruskan kebenaran berniaga dengan persetujuan Bendahara
  • Mengawasi sistem perkapalan dan organisasinya
  • Menyeragam dan melaksanakan pungutan cukai
  • Menentukan perdagangan dilaksanakan menepati peraturan dan kehendak semasa.
  • Menyelia urusan anak yatim, nakhoda dan pasar perniagaan
  • Mengawasi keselamatan dan peraturan menyimpan barang di gudang dan kediaman yang disediakan
  • Menetapkan piawai timbangan dan sukatan
  • Mengawal nilai dan menyelaras kegiatan pertukaran wang
  • Memelihara kebajikan dan kepentingan para pedagang

    AKTIVITI PERDAGANGAN DI MELAKA

    Apabila kapal-kapal dagang dari China, Asia Tenggara, India dan Tanah Arab bertumpu ke Melaka, aktiviti perdagangan mula berkembang dan kapal-kapal ini menukarkan barangan sebelum kembali ke destinasi masing-masing. Kapal-kapal dagang tersebut menurunkan banyak jenis barangan di Melaka dan ini memerlukan usaha mengenakan cukai, menyimpan dan mengangkut semula. Pada awalnya, kesemua urusan perdagangan dilakukan oleh Raja dan Bendahara. Apabila aktiviti pelabuhan semakin berkembang, pentadbiran kerajaan terpaksa diselaraskan agar aktiviti pelabuhan perdagangan dan pelabuhan berjalan lancar. Dengan itu jawatan Syahbandar yang menjadi raja di sekitar pelabuhan diwujudkan.

    Pelbagai jawatan lain turut diwujudkan untuk menguruskan perdagangan demi kelancaran urusan dan aliran kapal juga barangan

    SERANGAN BUGIS YANG PERTAMA TERHADAP MELAKA

    Melaka menghadapi satu lagi serangan apabila Putera Mengkasar, Keraing Semerluki cuba mencari kekayaan. Mengkasar terletak di Pulau Makasar (Sulawesi) tanah bangsa Bugis yang ternama sebagai pelaut handal. Semerluki mengumpulkan 200 kapal yang berlainan jenis dan melancarkan serangan, mula-mula terhadap kawasan pantai di Jawa dan berjaya. Dia meneruskan perjalanannya ke utara hingga Ujung Tanah dan merampas harta di daerah pantai yang menjadi sebahagian Melaka. Sultan Mansur Shah menitahkan Laksamana Hang Tuah untuk menentang mereka. Hang Tuah, dengan angkatan lautnya keluar untuk menentang angkatan Semerluki. Satu pertempuran yang sengit berlaku antara kedua-dua angkatan ini. Pertempuran ini mengakibatkan ramai yang terkorban pada kedua-dua pihak. Apabila Hang Tuah menghampiri kapal Semerluki, Semerluki melontar sauh buji ke dalam kapal Hang Tuah dan cuba menarik kapal Hang Tuah merapati kapalnya. Bagaimanapun Hang Tuah memotong tali sauh buji dan mengelakkan dari satu keadaan yang merbahaya. Setelah kehilangan banyak kapal, Semerluki berundur ke Utara. Hang Tuah tidak mengejar Semerluki, tetapi cuma menunggu andainya angkatan Semerluki datang kembali untuk menyerang. Apabila Semerluki mengalami satu lagi kekalahan di Pasai dan sedang dalam perjalanan pulang ke Mengkasar, Hang Tuah menyerangnya dan mengakibatkan kemusnahan yang besar kepada angkatan laut Semerluki. Selepas itu, Semerluki atau angkatan Bugis tidak pernah mengganggu Melaka lagi selama beberapa abad, dan Kerajaan Melayu Melaka tidak mengalami serangan laut sehinggalah pada tahun 1511.

    TOP