MUZIUM SAMUDERA FASA I (Flor de La Mar)

PENGISLAMAN MELAKA DAN PENYEBARANNYA

Melaka muncul sebagai empayar ternama, kota perdagangan dan pusat pengislaman yang penting di Alam Melayu pada abad ke-15 dan awal abad ke-16 Masihi. Agama Islam diterima sejak Sultan Megat Iskandar Syah menerajui pemerintahan negeri Melaka. Pengislaman Melaka dapat dikaitkan dengan kegiatan dakwah yang dilakukan oleh pedagang dan pendakwah dari merata tempat khususnya dari Pasai dan Asia Barat. Islam menjadi pegangan penduduk tempatan di samping menunjangi perundangan negeri. Isi kitab dan persoalan keagamaan diperhalusi. Para ulama seperti Makhdum Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Maulana Sadar Johar, Kadzi Menawar Syah dan tokoh seumpamanya disanjung tinggi oleh pemerintah dan rakyat Melaka. Dari Melaka, Islam tersebar ke seluruh Alam Melayu.

Kemurnian dan keluhuran ajaran Islam menjadi tarikan penduduk Melaka menganutinya. Kedudukan Melaka sebagai pusat perdagangan terbilang menyebabkan Islam dapat berkembang luas melalui hubungan perniagaan dan pergaulan sosial. Faktor lain seperti perkahwinan di kalangan raja dan pembesar yang diaturkan turut berperanan. Pemilihan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi dalam penyebaran Islam mempercepatkan proses pengislaman. Pemerintah Melaka turut menghantar para pendakwah ke merata tempat bagi mempergiatkan penyebaran Islam di rantau ini.

PENDAKWAH ISLAM MELAKA DIHANTAR KE SEBERANG LAUT

Apabila orang-orang Melaka menerima ulama-ulama Islam dan diajar cara-cara Islam sepenuhnya, mereka mempelajarinya dan menerimanya sebagai amalan hidup mereka. Penerimaan dan kesetiaan orang-orang Melaka terhadap ajaran agama Islam menyebabkan Kerajaan Melayu Melaka mengambil daya usaha ke arah menyebarkan agama Islam di seberang laut. Guru-guru dari Melaka, mahupun ulama-ulama dari luar ditaja oleh Kerajaan Melaka untuk dihantar ke Seberang Laut, ke mana-mana sahaja. Kerajaan Melaka mempunyai pengaruh demi menyebarkan ajaran agama Islam. Tidak lama kemudian, Melaka menjadi pusat syiar Islam di Kepulauan ini. Peranan Melaka dalam mengembangkan agama Islam di rantau ini begitu menonjol sehingga Raja Portugal, dengan bangganya memberitahu Pope bahawa dia sudah menawan Pusat Islam di Timur.

Melaka tidak pernah menggunakan paksaan untuk mendapatkan penganut maupun dalam pengajaran agama Islam walaupun ia mempunyai kedudukan untuk berbuat demikian. Kapal-kapal sentiasa bersedia untuk menghantar guru-guru agama ke mana-mana kawasan. Kabangkitan Melaka sebagai pelabuhan perdagangan dan penaklukan kawasan-kawasan di Semenanjung maupun di Seberang Laut, melicinkan usaha-usahanya untuk mengembangkan.

Islam zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah memperlihatkan banyak ulama Islam dihantar ke Kampar, Siak, Perak, Kedah, Minangkabau, Jambi dan negeri-negeri pulau untuk mengajar cara hidup Islam.

Loading

TOP