MUZIUM SAMUDERA FASA I (Flor de La Mar)
PENUBUHAN MELAKA
Sebelum Parameswara menubuhkan kerajaannya di Bukit Melaka (St. Paul’s Hill) terdapat sebuah penempatan kecil di muara Sungai Melaka. Lebih kurang 10 hingga 20 keluarga Orang Selat (masyarakat nelayan selat) menetap di kaki Bukit Melaka yang menjalankan cara penghidupan laut. Apabila Parameswara dan pengikutnya berpindah ke Bukit Melaka dari Bertam Ulu selepas pengembaraannya dari Singapura, beliau mendirikan istananya di kalangan Orang Selat di bahagian selatan Sungai Melaka sementara pengikut-pengikutnya tinggal bertentangan dengan tebing tersebut. Sebuah jambatan kayu dibina menghubungkan Parameswara dengan rakyatnya, begitulah bermulanya Kerajaan Melaka.
PENUBUHAN PASAR KEMUDIAN EMPORIUM
Kerajaan Melaka yang baru sebenarnya berasal dari sebuah kampung nelayan apabila Parameswara mula-mula datang untuk menetap di Melaka. Beliau terpaksa merancang arah masa depan Kerajaan barunya. Beliau telah menggunakan sistem pertukaran barangan yang telah sekian lama diamalkan untuk menarik minat kapal-kapal yang lalu-lalang yang biasanya berhenti di Pulau Besar untuk melawat Melaka. Buat permulaan beliau telah mendirikan 20 buah kedai dalam 2 baris di sebelah barat tebing Sungai Melaka.
Pasar kecil ini mula menarik minat kapal-kapal yang berulang-alik di sekitar kawasan tersebut dan sistem perdagangan yang adil yang dianggap oleh Parameswara menggalakkan pedagang-pedagang untuk terus melawat Melaka. Begitulah permulaannya “pasar” Melaka yang akhirnya menjadi pusat perdagangan yang terkenal di rantau ini dan kemudiannya dikenali sebagai Emporium Timur.