MUZIUM SAMUDERA FASA I (Flor de La Mar)
KAPAL MELAYU LANCHARA
Orang Portugis menamakan Lanchara untuk semua kapal pesisir pantai di Kepulauan ini dan model ini digelar “Lanchara di Malayos” yang bermaksud Lanchara Melayu. Lukisan kapal pesisir pantai jenis ini boleh diperolehi dari arkib di Lisbon.
Kapal Lanchara ini amat sesuai untuk kawasan kepulauan terutama di sekitar Selat Melaka dan Laut Jawa. Ianya berukuran 18-21 meter panjang dan 3 meter lebar. Badan kapal ini dengan temboknya yang tinggi dan terlindung mampu membawa muatan yang berat. Lubang kargonya mempunyai atap yang boleh bergerak untuk melindungi barang-barang yang dibawa dan ianya mempunyai kabin di 1 bahagian belakang sebelah luar di mana 2 kemudi yang boleh mengawal pergerakan kapal ditempatkan. Dayung-dayung yang diletakkan bersebelahan untuk digunakan apabila perlu.
Bentuk badannya diperbuat sebegitu rupa untuk membolehkan ianya bergerak walaupun dalam sungai dan disebabkan oleh bentuknya. Ia boleh bergerak lebih pantas dari Jong Melayu. Ia mempunyai 4 segi pada tiang dasar dan tiang mercu dan layar 4 segi bujur yang kecil di belakangnya. Kapal ini juga boleh diubahsuai sebagai sebuah kapal perang.
KAPAL DAGANG INDIA
Orang India telah menggunakan kapal semenjak awal peradaban manusia. Kapal India yang tertua ialah “Dungiyah” yang wujud pada zaman Alexander The Great dan belayar di Laut Arab. “Patamar” pula ialah kapal yang bergerak laju dan boleh mengangkut muatan yang berat. Hampir tiada catatan tentang kapal yang digunakan oleh Kerajaan Kalinga, Pallawa, Chola dan Gujerat yang mempunyai perhubungan perdagangan dengan kerajaan terawal dengan Asia Tenggara ketika itu.
Model kapal India yang dipamerkan ini dipadankan dari sebuah lakaran lama. Kapal ini diperbuat dari kayu yang lebar dan diperkuatkan dengan tiang tinggi untuk menahan gelombang besar. Badan kapal yang tinggi dan lebar bertujuan menahan kemasukan air laut. Kapal ini mempunyai dua tiang yang menempatkan layar segi empat tepat, disamping kemudi yang menonjol. Kabin terletak di bahagian tengah kapal. Kehadiran kuasa Eropah akhirnya mengurangkan perdagangan India di perairan Asia Tenggara.
KAPAL MELAYU PESISIR PANTAI LANTCHA
Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi banyak jenis bot-bot laju kerapkali digunakan bukan sahaja sebagai kapal perdagangan tetapi juga sebagai kapal perang, oleh kerana bot-bot berkenaan boleh belatar berhampiran pantai atau di sungai-sungai. Kapal-kapal ini kemudiannya dikenali sebagai “Lanchara” atau “Lantcha”. Pada masa itu terdapat banyak kapal pesisir pantai nama-nama kapal tersebut tidak dapat dikesan setelah beberapa abad lamanya dan orang-orang barat terus saja menamakannya Kapal Melayu Pesisir Pantai atau “Lantcha” seperti juga orang Portugis yang memanggilnya “Lanchara”.
Model yang dipamerkan ini adalah salah satu daripada Kapal Melayu Pesisir Pantai yang digelar “Lantcha”. Kapal “Lantcha” ini mempunyai bentuk badan yang hampir serupa dengan kapal orang barat tetapi memiliki ciri-ciri melayu di bahagian luar sehingga kemodenan melenyapkan kepentingannya. Panjangnya Kapal Melayu Pesisir Pantai ini ialah antara 18-21 meter dengan lebarnya lebih kurang 3 meter menyokong 3 tiang pendek di mana layar jenis tarik dinaikkan. Layar ini diperbuat dari mengkuang atau kain. Haluan kapalnya ada tiang yang terpancar dan buritannya mengandungi kemudi di kiri dan kanannya. Terdapat juga dayung yang panjang yang memilki mata yang bulat terletak di sepanjang dek. Kabin yang mempunyai atap jerami diperkuatkan dengan ikatan buluh ditempatkan di bahagian depan dan di buritan perahu. Kapal “Lantcha” lebih sesuai di air tenang berbanding di pantai barat kepulauan melayu.
KAPAL MELAYU JONG
Sejak zaman berzaman pelbagai jenis kapal telah dihasilkan di Kepulauan Melayu. Antaranya termasuklah kapal Jong. Malangnya, tidak banyak maklumat tempatan secara bertulis diperolehi mengenai kapal ini, kecuali dari sumber asing. Kapal Jong telah digunakan sebelum dan semasa pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka menurut sumber Portugis. Kapal Jong adalah kapal yang terbesar sekali belayar di perairan ini pada masa itu. Alburqueque dalam perjalanannya untuk menawan Melaka dalam tahun 1511, terserempak dengan kapal Jong dari Pasai. Kapal itu lebih besar dan teguh daripada Kapal Nau Portugis. Hanya sesudah diletupkan kemudinya barulah kapal Jong itu dapat dikalahkan.
Kapal Jong mempunyai badan yang kukuh diperbuat dari 4 lapis kepingan papan. Bentuk binaannya yang sedemikian rupa dan keupayaan muatannya menyebabkan ia begitu berat dan bergerak perlahan. Kapal Jong yang besar boleh membawa lebih dari 1000 orang dan muatan 1000 tan. Kapal ini juga tidak membawa layar yang mencukupi berbanding dengan ukuran binaannya. Ia memiliki 3 tiang kesemuanya membawa layar batang 4 segi. Ia mempunyai kabin di buritan dan pergerakannya dipandu oleh 2 buah kemudi yang juga terletak di bahagian buritan kapal.
KAPAL ACHEH
Pulau Sumatra telah lama terlibat dengan aktiviti perdagangan dan perkapalan Srivijaya merupakan empayar perdagangan laut yang terkenal di alam melayu. Kerajaan Samudera-Pasai dan Aceh meneruskan tradisi berkenaan. Teknik menghasilkan pelbagai jenis kapal turut berkembang. Alburquerque dalam perjalanannya ke Melaka telah menemui kapal dari Pasai dan begitu tertarik dengan kekukuhannya. Kesultanan Acheh menjadi pusat perdagangan yang terbilang disebalik persaingan orang Portugis. Ia berdagang dengan pelbagai tempat termasuk India dan Asia Barat. Orang Portugis sering menemui angkatan perang Acheh di Selat Melaka.
Dalam tahun 1620, Acheh melancarkan serangan terhadap Melaka melibatkan ratusan kapal. Setelah Belanda berkuasa di rantau ini, kuasa orang Acheh menjadi lemah termasuk dalam bidang perkapalan. Model kapal yang dipamerkan ini ialah kapal Dagang Acheh yang dilengkapi dengan meriam panjang untuk mempertahankannya.
Kapal ini mempunyai lunas yang kecil dengan papan lebar yang disusun rapi membentuk ruang badan kapal bagi membawa muatan yang banyak. Tiga tiang dengan layar persegi mengawal pergerakannya. Ia juga mempunyai sauh yang diperbuat daripada kayu di bahagian haluan dan kabin di buritannya. Kapal Acheh ini berukuran antara 80-100 kaki dan tingginya 10 kaki. Ia belayar di sepanjang Selat Melaka sehingga Pulau Makassar (Celebes)
JONG CHINA
Orang Cina telah belayar melalui Selat Melaka sejak beberapa kurun lampau menggunakan kapal layar tradisi yang dipanggil Jong. Mereka telah belayar ke India dan Timur Afrika lebih awal daripada orang Eropah untuk berdagang dan memupuk hubungan diplomatik. Armada China yang diketuai oleh Laksamana Cheng Ho mengandungi 62 buah kapal perang dan sebilangan besar kapal pengiring yang membawa 27,800 orang. Jong mengekalkan bentuk tradisinya sejak berkurun lamanya. Pengaruhnya dapat dilihat pada kapal layar tempatan di rantau Asia Tenggara. Orang Eropah turut menggunakan beberapa aspek teknologi pembuatan jong. Jong boleh diubahsuai menjadi kapal barangan dan kapal perang. Jong digunakan semasa peperangan antara pihak Melaka dengan orang Portugis dalam tahun 1511. Alburquerque menggunakan Jong untuk menawan jambatan yang merentasi Sungai Melaka.
KAPAL MELAYU PESISIR PANTAI LANCHA
Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, pelbagai jenis kapal dan perahu dihasilkan kapal laju digunakan untuk berdagang dan sebagai kapal perang. Model kapal yang dipamerkan ini dikenali sebagai lantcha. Orang Portugis pula sebutnya sebagai Lanchara. Kapal ini mempunyai bentuk badan yang hampir serupa dengan kapal orang Barat, tetapi memilih ciri-ciri Melayu di bahagian luar. Panjangnya ialah 18 - 21 meter dan lebarnya 3 meter serta menggunakan 3 tiang berukuran pendek. Layar diperbuat daripada mengkuang atau kain. Bahagian haluan kapal terdapat tiang, manakala buritannya mempunyai kemudi di kedua-dua sisi. Kapal ini sesuai untuk belayar di air tenang di Pantai Barat Kepulauan Melayu.
KAPAL MELAYU PESISIR PANTAI
Kapal Melayu Pesisir Pantai ini berat dan besar, serta rapi dari segi pembinaannya. Dari segi ukurannya kapal jenis ini tidaklah begitu panjang. Kapal yang terbesar berukuran 20 meter panjang dan 6 meter lebar. Ia mempunyai dasar yang rata dan besar dengan lunas yang lurus dan pendek. Kapal pesisir pantai ini mempunyai 3 tiang mercu dan jonggor jenis pelantar yang panjang memuatkan layar kain atau mengkuang. Sepasang kemudi di bahagian belakang memantapkan pergerakannya. Terdapat kabin berbumbungkan atap atau mengkuang di bahagian buritan kapal dan di dindingnya terdapat ruang yang menempatkan dayung. Geladaknya juga dipenuhi dengan barangan seperti bungkusan, buluh atau papan.
KAPAL PESISIR TOUP
Industri perkapalan Melaka merosot khususnya semasa pemerintahan Belanda. Limbungan tidak beroperasi sepenuhnya. Kompeni Hindia Timur Belanda menggunakan kekerasan untuk memastikan perahu dan kapal nelayan tempatan tidak menyaingi aktiviti maritime mereka. Para pedagang melayu tidak mampu menghadapi cabaran kekuasaan Belanda dan terpaksa membina kapal kecil untuk mengekalkan tradisi pelayaran. Model yang dipamerkan ini ialah salah satu kapal pesisir yang belayar di sepanjang Pantai Barat Semenanjung dan Kepulauan Indonesia digelar Kapal Pesisir Toup. Kapal pesisir ini mempunyai tiga tiang. Tiang utama mempunyai layar persegi dan tiang mercu mempunyai layar persegi yang besar. Kesemua layar ini diperbuat daripada mengkuang dan setiap satunya mudah digulung apabila kapal berlabuh. Kapal Pesisir “Toup” Melaka biasanya mempunyai ukuran panjang 15-18 meter dan lebar antara 3-3.5 meter.
KAPAL PERANG BELANDA
Kapal jenis ini pernah digunakan dalam peperangan antara Belanda dan Portugis di Selat Melaka. Pihak Belanda sedar bahawa perdagangan dan peperangan tidak boleh dipisahkan, dengan itu kapal dagang Belanda sekaligus dipersenjatai dan menjadi kapal perang. Ini berdasarkan peperangan pada tahun 1606, di mana sebelas buah kapal besar dan enam buah kapal kecil milik Belanda beserta 1357 orang askar menyerang Melaka. Seterusnya dalam bulan Jun 1640, dua belas buah kapal besar dan enam buah kapal kecil serta empat puluh buah kapal yang dihantar oleh Johor sekali lagi menyerang Melaka sehingga tertewasnya Portugis pada tahun 1641.
Dalam bulan Ogos 1729, Lembaga Pengarah VOC (Syarikat Belanda India Timur) mengarahkan bahawa dalam pertempuran, kapal Belanda yang berukuran panjang seratus enam puluh kaki harus dilengkapi dengan tiga puluh lapan pucuk meriam berskala besar dan sepuluh lagi meriam kecil untuk pertempuran jarak dekat. Kapal yang berukuran panjang seratus empat puluh lima kaki pula dibekalkan dengan tiga puluh enam pucuk meriam besar dan lapan pucuk meriam kecil. Di puncak kekuasaannya pada tahun 1669, VOC memiliki empat puluh buah kapal perang dan seratus lima puluh buah kapal dagang serta sekitar sepuluh ribu orang askar.
KAPAL MELAYU JONG
Model kapal ini ialah kapal Melayu bernama Jong yang belayar di sekitar Kepulauan Melayu. Kapal yang bersaiz sederhana ini adalah lebih kecil daripada Jong lain, tetapi lebih besar daripada “lancara”. Kapal yang berbentuk mangkuk ini boleh belayar lebih laju berbanding dengan kapal sejenisnya yang lain dan dapat diolah dengan mudah. Dengan bentuk bulan sabit, kapal ini mempunyai haluan yang lebih rendah dengan pembukaan untuk menggantung sauh, manakala bahagian belakangnya melengkung dan meninggi.
Ia mempunyai kabin yang memanjang, hampir dua pertiga panjangnya dari belakang, dengan laluan di kedua-dua belah kabin. Laluan ini mungkin digunakan oleh pendayung, apabila perlu. Pergerakan panduannya dikawal oleh kemudi yang menyerupai gelembung dan digantung di belakang. Kapal ini juga mempunyai dua tiang iaitu tiang agung dan tiang topang yang memegang jongor. Tiada banyak maklumat tentang susunan layarnya.
Kapal ini digunakan samaada sebagai kapal perang ataupun kapal dagang. Ia boleh mengangkut tiga ratus hingga empat ratus orang dengan muatan antara empat ratus dan enam ratus tan. Ilustrasi pihak Portugis memberikan sedikit maklumat tentang bentuk dan saiz kapal ini sementara pihak Belanda tidak pernah merujuk kepada kapal ini. Kemungkinan pihak Belanda tidak lagi membina kapal ini atau telah mengubah bentuk pembinaannya mengikut keperluan dan kesesuaian mereka.
KAPAL TERENGGANU
Tradisi perdagangan dan perkapalan telah lama wujud dan berkembang di Terengganu. Pelbagai jenis kapal dan perahu dicipta misalnya perahu besar untuk menyokong perdagangan serantau dan antarabangsa. 4 buah perahu besar seumpama ini dari Terengganu pernah dihantar ke Melaka untuk membantu Belanda menangkis serangan Bugis pada tahun 1756/1757. Model ini mewakili kapal Terengganu yang bernama Pinis Gobel. Panjangnya 18-24 meter, lebarnya 5-6 meter dan tingginya 2-3 meter. Ia memiliki 2 layar 4 segi dan kemudi untuk mengawal pergerakannya. Terdapat sebuah bilik di belakang dan motif yang berhias di bahagian atas haluannya. Kapal jenis ini mampu membawa muatan yang banyak.
PERAHU MAYANG
Perahu Mayang sangat berbeza dengan perahu lain yang belayar di sekitar kepulauan Melayu. Tiang di bahagian depan dan buritan melentur dengan sama bentuknya. Perahu jenis ini tidak mempunyai dek dan orang-orang Eropah mengkelaskannya sebagai kora-kora.
Panjang Perahu Mayang ialah enam belas hingga dua puluh meter dan mempunyai badan yang lebar seluas lima meter tetapi tidak tinggi. Perahu ini mempunyai sebuah bilik berbentuk rumah dan dibina menggunakan rotan dan panjangnya menjangkau sehingga lapan puluh peratus perahu tersebut.
Lorong laluan dibina di kedua-dua belah gelegar tambahan yang disambung dengan rel. Dayung-dayung diletakkan di atas kabin dan berfungsi melalui papan-papan yang berlubang yang diikatkan pada kiri kanan perahu tersebut. Perahu ini juga mempunyai dua kemudi dan boleh membawa muatan yang berat.
KAPAL PORTUGIS “BARINEL”
Kapal ini digunakan semasa kedatangan Portugis ke Kepulauan Melayu. Barinel merupakan sebuah perahu yang besar dan bukannya sebuah kapal. Pada peringkat awal ia mempunyai satu tiang yang memegang layar persegi tetapi kemudiannya diperbesarkan dengan ditambah satu lagi tiang.
Berdasarkan rekabentuknya, kapal yang digunakan sebagai mengangkat barang ini bergerak agak perlahan. Ini telah mengakibatkan pergerakan kapal pengiring juga lambat dan akhirnya penggunaan kapal ini semakin berkurangan.
juga mempunyai dua kemudi dan boleh membawa muatan yang berat.
KAPAL PORTUGIS “GALEAO”
Galeao merupakan satu kapal Portugis yang lazim digunakan di dalam ekspedisi dan peperangan bersama-sama kapal jenis Nau. Galeao lebih stabil daripada Nau kerana lunasnya yang besar, kecondongan yang kecil dan dasar hampir rata. Kapal ini mempunyai empat tiang iaitu tiang agung, tiang topang, tiang baksi dan tiang tabur baksi.
Pada mulanya Galeao buatan Portugis agak kecil dengan berat sekitar lima puluh tan. Kemudian beratnya telah ditingkatkan kepada dua ratus hingga tiga ratus tan. Galeao buatan India pula yang seberat seribu tan ke atas digunakan sebagai kapal perang semata-mata dan dilengkapi senjata berat.
KAPAL PORTUGIS “CARAVELA”
Model kapal ini ialah Caravela Redonda yang merupakan kapal rekaan Portugis yang digunakan secara meluas pada abad ke-15 untuk mencari satu jalan laut ke India. Caravela digunakan oleh Bartholomew Diaz untuk meneroka bahagian selatan Benua Afrika dan juga oleh Vasco Da Gama dalam perjalanannya ke Calicut, India.
Pada awalnya Caravela merupakan kapal kecil yang beratnya cuma antara lima puluh dan seratus dua puluh tan, tetapi kemudian beratnya bertambah kepada lima ratus lima puluh tan. Ia mempunyai empat tiang dan satu jongor yang pada awalnya menggunakan layar batang dan kemudian topang yang menggunakan layar persegi. Disebabkan susunan layar Caravela boleh diubah dan bergerak dengan mudah ianya menjadi kapal perang terbaik di dalam era Portugis.
PERAHU KATIR BERNAMA KORA-KORA
Perahu Katir adalah jenis perahu yang terawal sekali digunakan di rantau ini. Orang Eropah menamakan kebanyakan perahu laju ini sebagai Kora-Kora. Sehingga kini, perahu jenis ini masih digunakan di beberapa bahagian di Kepulauan Melayu. Model Kora-Kora yang dipamerkan ini ialah perahu Katir yang terbesar sekali belayar di sekitar Selatan Kepulauan Melayu. Perahu jenis ini digunakan untuk tujuan peperangan. Ukuran perahu ini berbeza-beza daripada 40 kaki kepada 80 kaki panjang dengan lebarnya antara 8-12 kaki.
Ia boleh mencapai kelajuan yang menakjubkan, bergantung pada bilangan pendayung yang dibawa. Perahu ini mempunyai kabin beratapkan daun palma yang dibina dibahagian tengah perahu tersebut. Kawasan tengah perahu tersebut menyokong gelegar mendatar yang menganjur sejauh 2.5-3 meter dibahagian luar perahu sebelah kiri dan kanannya. Gelegar yang berkeseimbangan baik itu menyokong 2 set pelantar berlompang yang sama jaraknya menempatkan dayungnya. Ini membolehkan ia didayung dengan mudah dan laju. 30 orang pendayung ditempatkan di kiri kanan perahu tersebut.
BILIK TAHANAN
Pada kebiasaannya, bahagian perut kapal ini menempatkan ballast untuk mengimbangi kapal. Namun demikian, kapal “Flor De La Mar” Portugis dalam misi pelayarannya ke Dunia Baru. Kapal ini mempunyai kabin untuk menempatkan kelasi, bekalan makanan, perubatan dan peralatan perang disamping sebuah bilik tahanan di bahagian buritannya. Di bilik tawanan perang daripada pelbagai bangsa, hamba dan kelasi yang melakukan kesalahan ditempatkan bagi menanti hukuman. Dalam kesamaran dan terhimpit antara satu sama lain, pesalah hilang kebebasan hidup buat selamanya. Nasib hamba dan tawanan perang ini ditentukan apabila kapal tiba di pelabuhan. Di perut kapal inilah Alburqueque dipercayai menghimpunkan sejumlah besar orang melayu yang mempunyai pelbagai kepakaran untuk di bawa pulang ke Portugal bagi memberi khidmat kepada Raja dan Kerajaannya.