MUZIUM SAMUDERA FASA I (Flor de La Mar)

KENYATAAN MELAKA OLEH TOM PIRES

  1. “Malaqa” adalah kota yang dibangunkan untuk perdagangan
  2. Manusia tidak dapat mengganggarkan nilai “Malaqa” berdasarkan keagungannya dan keuntungan yang diperolehi.
  3. Sesiapa saja yang menjadi tuan di “Malaqa” adalah mereka yang memegang leher Venice
  4. Di pelabuhan “Malaqa” seringkali 84 bahasa dipertuturkan
  5. “Malaqa” tidak dapat hidup tanpa Cambay, begitu juga Cambay tidak dapat hidup tanpa “Malaqa”
  6. Beberapa saudagar kaya Moorish berdagang dari Pase ke “Malaqa”, Parsees dan juga Bangalees dan Arab
  7. Penghujung monsun dan permulaan yang lainnya.

    ALFONSO DE ALBURQUEQUE

    Menggantikan Almeida sebagai Viceroy yang kedua di India dan mengukuhkan kekuatan Portugis di Lautan Arab dengan mengalahkan perhubungan rantaian pelabuhan-pelabuhan Islam di Calant, Cochin, Goa, Harmoz dan Melaka. Beliau mengambil langkah-langkah yang tegas untuk memastikan dominasi Portugis terhadap jalan perdagangan laut di Asia yang menjamin kekayaan untuk negara Portugis. Beliau diakui sebagai wira Portugal.

    KUNJUNGAN DE SEQUIERA KE MELAKA

    Setibanya orang Portugis di India tahun 1498 M, mereka mengetahui dan mengumpul maklumat mengenai kedudukan dan peranan Melaka dalam perdagangan antarabangsa. Mereka menyedari bahawa Melaka menguasai jaringan perdagangan yang luas terhadap barangan mewah khususnya rempah-ratus, sutera dan tembikar. Imej kepentingan dan kekayaan Melaka seterusnya diungkapkan oleh Ludiavo Varthema yang mendakwa pernah mengunjungi Melaka sekitar 1505. Dari Lisbon, Raja Portugal mendesak Almeida, Wizurai Portugis di India beberapa kali untuk menghantar perdagangan ke Melaka.

    Menjelang tahun 1509, lebih banyak maklumat terjelma di Eropah. Salah satu daripadanya menyebut di Melaka terdapat banyak emas. Angkatan lima buah kapal Portugis diketuai oleh Lopez De Sequeira tiba di Melaka pada 11 September 1509. Utusan ini dihantar terus dari Portugal melalui India. Ketibaannya mencetuskan kehairanan seperti yang diungkapkan di dalam Sejarah Melayu. Mereka tiba pada saat pihak Portugis di India dan di Asia Barat telah menunjukkan permusuhan yang mendalam terhadap saudagar Islam. Utusan ini menemui kegagalan di Melaka berikutan kecurigaan dan pengaruh saudagar Arab Farsi dan Gujerat. Sejumlah tawanan Portugis termasuk Rai Aroujo ditahan di Melaka. Sentimen permusuhan tercetus antara kedua-dua pihak.

    KEJATUHAN MELAKA, 1511 M

    Alfonso de Albuquerque tiba di Melaka pada 1 Julai 1511 M untuk membebaskan tawanan Portugis, menuntut gantirugi dan mendapatkan hak perdagangan. Beliau mengepalai angkatan 19 buah kapal dan lebih 1400 pejuang. Semasa menuju Melaka dari Goa, beberapa buah kapal dagang beserta anak kapalnya ditawan dan turut dibawa ke Melaka. Pihak Portugis ketika itu mengamalkan dasar peluasan kekuasaan berteraskan kekuasaan persenjataan. Albuquerque, Wizurai Portugis di India (1509-1515) berpandangan bahawa pusat perdagangan strategik yang diperteguhkan dengan kubu pertahanan adalah penting untuk perdagangan rempah dan menegakkan cita-cita “Asia Portuguesa”.

    Di Melaka, beberapa siri perundingan menemui kegagalan, sementara kebencian dan kecurigaan semakin meningkat. Tembak menembak tercetus dan menelan korban jiwa kedua belah pihak. Orang Portugis menyerang kapal Gujerat dan membakar rumah di sepanjang pantai. Pertempuran sengit tercetus sebelum pihak Portugis berjaya menawan jambatan yang merentasi Sungai Melaka. Sultan Ahmad, ulama, pembesar, perajurit dan askar upahan turut mempertahankan Melaka. Portugis kembali melancarkan serangan yang lebih padu pada 16 Ogos 1511.

    Serangan tersebut berjaya melumpuhkan pertahanan Melaka. Pihak Portugis banyak merampas harta benda dan senjata disamping memusnahkan kubu pertahanan, masjid, istana dan sebagainya. Pada 24 Ogos 1511, bandar pelabuhan Melaka jatuh ke tangan Portugis. Sultan Mahmud, putera baginda dan pengikutnya meninggalkan Melaka menuju Muar, Pahang dan kemudian ke Bentan.

    SISTEM PERDAGANGAN PORTUGIS DI MELAKA

    Pihak Portugis di Melaka mengamalkan sistem monopoli perdagangan. Barangan tertentu misalnya rempah, cengkih dan lain-lain dijadikan monopoli kerajaan. Para pegawai yang dilantik merupakan anggota kerajaan yang dibayar gaji dan elaun menurut kedudukan serta peranan masing-masing. Dibawah sistem monopoli, kapal dagang yang belayar di Selat Melaka dipaksa berlabuh dan membayar cukai di Melaka. Surat izin berdagang dengan kadar yang ditetapkan dikekalkan. Mana-mana kapal dagang yang enggan mematuhi peraturan berkenaan dikenakan hukuman berat termasuk dirampas atau ditenggelamkan. Keadaan ini menyebabkan ramai saudagar asing khususnya saudagar Islam berdagang di Pelabuhan lain seperti Acheh, Brunei, Patani, Johor dan sebagainya.

    Sistem percukaian Portugis adalah membebankan di mana cukai asas sebanyak 6% dikenakan keatas keseluruhan muatan dagangan. Barang dagangan dari negeri China dikenakan cukai sejumlah 10% manakala cukai dagangan dari Benggala ditetapkan 8%. Bahan makanan tidak dikenakan cukai import kerana Melaka bergantung kepada bekalan dari luar. Sistem monopoli perdagangan Portugis tidak dapat bertahan dan sentiasa dicabar oleh pelabuhan dan kerajaan sekitarnya. Cita-cita Portugis untuk memonopoli perdagangan rempah di Ternate dan Tidore, lada hitam di Kedah dan bijih timah di Perak umpamanya juga tidak kesampaian.

    PENTADBIRAN PORTUGIS DI MELAKA

    Alfonso de Alburquerque berperanan menyusun sistem pentadbiran Portugis di Melaka. Beliau turut mengasaskan kubu pertahanan yang dikenali sebagai kota A Farmosa. Kubu berbentuk 4 persegi itu mempunyai 4 menara dengan dindingnya setebal 2.4 meter, salah satu menara itu mencecah ketinggian 36 meter. Di dalam lingkungan Kota Melaka, terdapat kediaman rasmi Kapten Melaka, Bishop, Gereja, bangunan pentadbiran, gudang peluru, penjara, perigi, hospital, sekolah dan sebagainya. Jawatan pentadbiran tinggi yang dikenali sebagai Kapten Kota 1 Gabenor dikhaskan kapada golongan bangsawan (Fidalgo), yang dilantik selama 3 atau 4 tahun. Institusi tempatan seperti Bendahara, Temenggung dan Syahbandar dikekalkan bagi menguruskan ehwal penduduk tempatan. Setiap pedagang di Melaka iaitu orang Cina, India dan Jawa ditadbir oleh Ketua tersendiri bergelar Kapitan Suku Kaum. Pentadbiran Portugis di Melaka menghadapi banyak masalah kekurangan kakitangan, ketidakcekapan, rasuah, pilih kasih dan penyelewengan berlaku tanpa ada usaha mengatasinya.

    Di luar lingkungan pelabuhan dan kota Melaka, kuasa Portugis pula amat terbatas. Negeri-negeri Melayu menghalakan kesetiaannya kepada Kesultanan Johor. Polisi perkahwinan campur antara lelaki Portugis dengan penduduk tempatan dan proses kristianiti gagal memenuhi matlamat yang dihajati. Dalam tahun 1550 an, Melaka diisytiharkan sebagai bandaraya dan diperuntukkan Bishop yang khusus. Pihak Portugis turut mengamalkan polisi diskriminasi keagamaan menyebabkan ramai meninggalkan Melaka khususnya pedagang Islam. Sebagai akibatnya Kota Melaka kerap diserang musuh sepanjang pendudukan Portugis selama 130 tahun.

    KEDATANGAN PORTUGIS

    Sejak Vasco da Gama sampai ke Calicut di pantai Malabar, India pada tahun 1498, pihak Portugis memahami bahawa bukan India sahaja yang membekalkan rempah ratus. Mereka juga mengetahui perhubungan rapat yang wujud antara Sultan Calicut dan Sultan Mahmud Syah di Melaka. Seawal tahun 1504, pihak Portugis bersedia menghubungi Melaka, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana pihak Portugis dan angkatan tenteranya cuba menakluk dan menguasai negeri-negeri pantai di lautan Arab.

    Raja Portugis memerintah orang-orangnya supaya menghubungi Melaka dengan segera untuk mewujudkan perhubungan perdagangan pada tahun 1506, tetapi mereka dapat berbuat demikian cuma pada tahun 1508 apabila Diogo Lopes de Sequeira yang mengetuai 4 buah kapal mula belayar dari Lisbon dan sampai di Melaka pada 11hb September 1509. Kedatangan kapal-kapalnya di pelabuhan menarik perhatian ramai kerana bentuknya yang luar biasa dan apabila Sequeira dan orang-orangnya mendarat di pantai, mereka adalah orang Eropah pertama menjejakkan kaki di Melaka. Orang-orang tempatan belum pernah melihat orang Eropah menganggap mereka sebagai Benggali putih. Apabila mereka melintasi bazar ke rumah Bendahara, orang tempatan mula menyentuh mereka. Kedatangan Sequeira dan orang-orangnya ke Melaka menandakan permulaan kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka.

    PENENTANGAN JOHOR TERHADAP PORTUGIS

    Setelah Melaka ditawan oleh Portugis, Sultan Mahmud, pembesar dan sebilangan rakyat yang setia memindahkan pusat kekuasaan ke beberapa tempat di Johor, sebelum bertapak di Bentan. Kesultanan Johor adalah kesinambungan terhadap Kesultanan Melaka. struktur dan organisasi politik, perekonomian serta sosial Johor menyerupai Melaka. Pihak Portugis hanya berkuasa di Pelabuhan dan Bandar Melaka, manakala Sultan Mahmud dan pengganti baginda di Johor-Riau ditaati oleh kebanyakan negara dan jajahan Kesultanan Melaka terdahulu. Dari Johor dan Bentan, baginda mengarahkan perajurit yang diketuai oleh Laksamana Hang Nadim melancarkan siri serangan terhadap orang Portugis di Melaka. Serangan dan kepungan tersebut telah menyulitkan kedudukan Portugis di Melaka.

    Pihak Portugis bertindak balas membinasakan Bentan. Baginda mangkat di Kampar dalam tahun 1528 M. Serangan bertujuan melumpuhkan dan menawan semula Melaka diteruskan oleh pengganti baginda dari pusat pentadbiran di sepanjang Sungai Johor. Dalam tahun 1535 dan 1536, Portugis melancarkan serangan menyebabkan Sultan Alaudin terpaksa berdamai dengan pihak Portugis. Dalam tahun 1540 Johor Lama menjadi ibu kota Kerajaan. Dalam tahun 1551 Johor melalui pakatan dengan Japara, Pahang dan Perak melancarkan serangan melibatkan 5000 tentera dan 200 perahu menyerang Melaka.

    Pelabuhan Melaka dikepung selama 3 bulan menyebabkan kematian dan kebuluran. Dalam tahun 1587, Johor yang bangkit semula selepas diserang Acheh telah memerangi Melaka dengan melibatkan tentera sekutu dari Aru, Kampar, Inderagiri dan sebagainya. Dalam tahun yang sama, Johor Lama dibinasakan oleh pihak Portugis. Selepas tahun 1587, Johor sebenarnya lebih diancam oleh Acheh daripada pihak Portugis di Melaka.

    KESAN PENDUDUKAN PORTUGIS DI MELAKA

    Pendudukan Portugis di Melaka sejak 1511-1641 M telah meninggalkan pelbagai kesan. Dari segi politik, Portugis telah menyebabkan perpecahan dan keruntuhan zaman keagungan empayar Melaka. Pusat kekuasaan yang selama lebih satu abad memainkan peranan penting di Tanah Melayu dan sekitarnya serta berupaya mengawal lalu lintas perkapalan secara aman di Selat Melaka terpaksa berpindah ke Bentan dan Johor. Kehadiran Portugis menimbulkan perbalahan yang tidak putus-putus di Selat Melaka. Di bidang perekonomian, dasar monopoli Portugis telah merosakkan perdagangan Melaka. Sekalipun perdagangan Melaka dibawah pentadbiran Portugis mendapat keuntungan beberapa kali, namun paksaan dan tekanan yang dikenakan menyebabkan ramai pedagang Islam dan Cina meninggalkan negeri ini.

    Kesultanan Acheh dan Johor turut menyaingi perdagangan Portugis. Dari segi sosial, kebudayaan Portugis telah mempengaruhi kebudayaan penduduk tempatan. Tarian joget dan makanan pedas berempah masih diamalkan oleh penduduk tempatan. Hasil perkahwinan antara orang Portugis dan tempatan telah melahirkan masyarakat kacukan yang mengamalkan agama Kristian Mazhab Katholik. Beberapa perkataan Portugis termasuk “bandeira”, “sapato” dan sebagainya diubahsuai dan terserap dalam Bahasa Melayu. Rupa bentuk bangunan di Melaka termasuk Kota A Farmosa dan Gereja dibina menurut pengaruh Eropah.

    LUKISAN MELAKA OLEH GASPER CORREA, 1513/1550 T.M.

    Gasper Correa salah seorang Setiausaha Alfonso de Albuquerque berada di Melaka antara tahun 1513 dan 1514. Lukisan yang dipamerkan dipercayai dilukis sewaktu beliau berada di Melaka dan dipercayai menggambarkan keadaan Melaka di bawah pentadbiran Portugis. Kota A Famosa yang dibina oleh Albuquerque ditunjukkan dengan jelas, di samping tempat ibadat di atas Bukit St. Paul. Bagaimanapun tempat ibadat itu dibina cuma pada tahun 1521. Lukisan ini membesarkan saiz mahupun bilangan bangunan di sekitar Kota A Famosa.

    Ada kemungkinan, karya ini dihasilkan selepas 1521. Ada ahli sejarah yang meletakkan tarikh lukisan ini pada 1536 ataupun 1550. Salah satu tarikh ini mungkin dapat diterima.

    Loading

    TOP