MUZIUM SAMUDERA FASA I (Flor de La Mar)

PENTADBIRAN INGGERIS DI MELAKA

Melaka diambilalih oleh British dalam tahun 1795 berikutan Perang Napoleon di bawah Eropah. Kapten William Farquhar dilantik sebagai Gabenor Tentera British. Dalam tahun 1807, Kota Melaka dimusnahkan. Dasar Inggeris bertujuan mengabaikan sama sekali Melaka dan memindahkan penduduknya ke Pulau Pinang. Sehingga tahu 1824, British tidak begitu berminat untuk melakukan pembaharuan pentadbiran di Melaka, sebaliknya menjaga kepentingan terhadap perdagangannya dengan China. Untuk sementara waktu, Pegawai Belanda di dalam Majlis Keadilan mengekalkan tugas kehakiman dan kepolisan bagi memelihara ketenteraman awam.

Di Melaka, Inggeris melancarkan serangan terhadap di Pulau Jawa dalam tahun 1811. Melalui Perjanjian Inggeris Belanda tahun 1824, Melaka bernaung di bawah pengaruh Inggeris. Bersama Pulau Pinang dan Singapura, Melaka tercantum di bawah pentadbiran Negeri-Negeri Selat pada tahun 1826. Pentadbiran awam British dilaksanakan di Melaka. Piagam Keadilan Diraja diperkenalkan menyebabkan sistem kehakiman dan undang-undang Inggeris digunakan di Melaka. Banduan membekalkan tenaga buruh murah bagi menyediakan kemudahan awam. Dalam tahun 1867, Melaka mempunyai jaringan pengangkutan kereta lembu yang agak memuaskan. Dari Negeri-Negeri Selat, kepentingan Inggeris dikembangkan ke negeri melayu.

Pihak Inggeris turut memperkenalkan peraturan pembaharuan tanah, melaksanakan aktiviti mengukur tanah disamping menggalakkan usaha pertanian. Inggeris terlibat dalam Perang Naning 1831-1832. Perang ini menelan perbelanjaan yang banyak dan memperlihatkan reaksi pribumi terhadap penjajahan Inggeris. Penduduk Melaka berjumlah 55,000 dalam tahun 1846 meliputi pelbagai kaum. Pentadbiran Inggeris di Melaka juga dibebani oleh masalah kewangan. Dalam tahun 1867, Negeri-Negeri Selat dijadikan Tanah Jajahan Mahkota Inggeris. Pentadbirannya dipindahkan ke Pejabat Tanah Jajahan di London. Pada awal abad ke 20, penduduk Melaka berjumlah 95,000 yang kebanyakannya terdiri daripada orang melayu. Melaka adalah di antara negeri yang terawal menerima sistem pendidikan Inggeris di Tanah Melayu.

PELABUHAN MELAKA PADA 1843

Lukisan ini dilukis semula oleh Charles A. Dyee pada tahun 1843 menunjukkan tiada aktiviti di sekitar kawasan pelabuhan Melaka. Beberapa perahu Sumatera dan tempatan telah bergerak di sekitar muara. Tiada satu pun kapal but British atau kapal dagangan kelihatan berlabuh di Melaka.

KAPAL PERANG INGGERIS

Dalam abad ke 15 M, tercipta kapal yang lebih besar dan mudah dikendalikan, disamping serbuk letupan dan peralatan pelayaran. Kapal-kapal perang daripada kayu dibina menjadi lebih besar, lengkap bersenjata dan dibekalkan dengan 120 pucuk meriam. Susunan jawatan pegawai tentera laut diwujudkan. Abad ke 16 menyaksikan kemunculan kapal “Carrack” yang besar, diikuti oleh Galeon dengan muatan 300 orang kelasi. 120 orang askar meriam dan 1000 orang askar bersenjata.

Senapang, meriam daripada tembaga dan gangsa diletakkan di bahagian kekota dan di buritan atau disusun di sepanjang sisi kapal. Menjelang abad ke 17 semua kapal perang Inggeris dilengkapi layar persegi kecil di atas tiang topang beserta 3 atau 4 layar. Kapal-kapal ini lengkap dipersenjatai serta mempunyai 120 pucuk meriam. Meskipun kapal ini teguh dan lasak, namun kapal ini bergerak agak perlahan. Kapal “frigate” yang direkabentuk untuk meninjau tugas pengiring dan serangan untuk menguasai perdagangan lebih ringan dan lebih laju.

PEREKONOMIAN MELAKA DIBAWAH INGGERIS

Sepanjang abad ke 19, Pulau Pinang berperanan sebagai pusat pemungutan dan pengagihan barang dagangan di Tanah Melayu. Melaka turut menyalurkan hasil import dan eksport dari Negeri Sembilan, disamping membantu pertumbuhan keagamaan, perekonomian di Pahang dan Selangor, kedudukan Singapura sebagai pelabuhan ternama menjejaskan keupayaan perdagangan Melaka. Perdagangan Melaka merosot lebih 80 % dalam tahun 1823 dibandingkan dengan tahun 1815, sementara belanjawan negeri sejak 1831-1834 mencatatkan kerugian sejumlah 891,200 sicca Rupee. Di dalam tahun 1867, ternyata sekali peranan Melaka sebagai pelabuhan dagangan amat menurun. Sekitar 1880 an hanya terdapat lebih kurang 30 orang Inggeris berkhidmat di Melaka. Penurunan perdagangan Melaka diimbangi melalui kegiatan pertanian.

Di antara 1828-1856 umpamanya menggunakan tanah di ladang pertanian meningkat lima kali ganda dan pergantungan terhadap import beras dari luar telah berkurangan. Tanaman seperti lada hitam dan gambir diusahakan sehingga 1880 an. Tanaman getah turut diperkenalkan dan sejak tahun 1904, Melaka mulai mengeksport hasil tanaman berkenaan. Hasil pendapatan Melaka juga didapati melalui kegiatan pajakan, cukai tanah dan hasil pertanian, cukai pintu, pendapatan dari sistem pejabat pos serta denda yang dikenakan oleh pihak polis dan mahkamah. Selain dari iu, kegiatan perikanan, penanaman kelapa, perlombongan timah dan kegiatan lain turut menyumbang di dalam sektor perekonomian negara. Melaka mengeksport hasil ternakan ke Singapura, rotan ke Pulau Pinang disamping buah-buahan, kayu, serbuk emas, ikan dan sebagainya.

MELAKA-PELABUHAN DAN BANDAR YANG LESU

Zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka di bidang perdagangan lenyap ditelan waktu. Sejak tahun 1511 Melaka dijajah silih berganti. Pihak Portugis, Belanda dan Inggeris tidak berupaya mengembalikan kegemilangan Melaka dibidang perdagangan antarabangsa. Kepada mereka, Melaka berperanan untuk memajukan cita-cita dan kepentingan masing-masing dengan mengawal lalu-lintas perdagangan dan perkapalan secara paksa. Dasar monopoli yang dikenakan mencetuskan perbalahan, persengketaan dan reaksi pribumi tempatan dan sekitaran. Demikian Melaka di abad ke 19 dan 20 dapatlah diibaratkan sebagai pertapakan Inggeris yang telah hilang seri dan kegemilangannya. Ia ibarat sebuah bandar dan pelabuhan yang mundur di tengah-tengah kebangkitan Pulau Pinang dan Singapura.

Pasir dan selut memenuhi muara sungainya. Hanya perahu dan tongkang kecil merapati pelabuhan. Melaka tidak lagi menjadi pusat perdagangan tanaman, sebaliknya sebuah koloni Inggeris yang membebankan dari segi perbelanjaan. Import barangnya lebih khusus kepada keperluan penduduknya yang juga berkurangan. Sebahagian penduduk Melaka yang berhijrah ke tempat lain akan mancari peluang pekerjaan dan kesenangan hidup. Eksport Melaka juga terbatas. Tanahnya yang subur dan kawasan pedalaman yang lebih luas dari Pulau Pinang mahupun Singapura tidak menjadikannya pusat pertanian yang cukup berjaya. Belanjawan dan kewangan sering mencatat kerugian. Demikianlah Melaka, pelabuhan dan Bandar yang masih dikunjungi pelayar dan pengembara yang menyaksikan kemundurannya di bawah pentadbiran British.

Loading

TOP