MUZIUM SAMUDERA FASA I (Flor de La Mar)
SERANGAN BELANDA KE ATAS PORTUGIS
Serangan Belanda terhadap Melaka pada tahun 1602 gagal meneruskan Portugis. Pada tahun 1606 Matelief membuat perjanjian dengan Johor untuk mengusir Portugis di Melaka. Percubaan menawan Melaka dibuat beberapa kali termasuk pada tahun 1633. Belanda telah mengepung Melaka dan memutuskan bekalan makanan serta senjata dari Goa. Tindakan ini telah melemahkan pertahanan dan perdagangan Portugis di Melaka. Pada tahun 1637, Van Dieman telah membuat perjanjian dengan Johor di mana Kesultanan itu bersedia membantu Belanda menyerang Melaka. Angkatan Belanda dan Johor telah mengepung dari laut dan darat. Pinggir Bandar Melaka telah dapat ditawan dan Portugis terpaksa berlindung di dalam Kota A Farmosa.
Pertahanan askar Portugis semakin lemah akibat kekurangan bekalan makanan, perubatan dan wabak penyakit. Serangan terakhir oleh Belanda dan Johor keatas Melaka dilancarkan pada tahun 1641. Dalam serangan itu, Johor telah membekalkan 40 buah kapal serta askar berjumlah 1500 orang. Pihak Portugis yang dilanda pelbagai masalah dalaman dan luaran berjaya dikalahkan.
MELAKA DI BAWAH BELANDA
Melaka sekali lagi dijajah apabila Belanda menaklukinya pada tahun 1641. Pentadbiran Belanda di Melaka diketuai oleh seorang Gabenor. Beliau tertakluk kepada arahan Gabenor Jeneral di Betawi. Sebuah pasukan polis yang dinamakan Burgher Guard ditubuhkan. Pasukan itu bertanggungjawab kepada Majlis Keadilan yang dianggotai oleh orang Belanda di Melaka. Selain Majlis Keadilan, Gabenor juga dibantu oleh Ketua Kewangan, Datuk Bandar, Penguasa Perdagangan, Pemungut Hal Ehwal Negeri dan sebagainya. Hal ehwal perdagangan, perkapalan, cukai, banci penduduk, penyelenggaran, kelengkapan dan kerja raya turut dilaksanakan. Bangunan Stadthuys sebagai pusat pentadbiran dan Gereja Kristian selaku pusat keagamaan turut dibangunkan. Polisi diskriminasi keagamaan yang diamalkan khususnya kepada Mazhab Katholik telah dibentuk pada awal abad ke 18 M. Sistem kehakiman turut dikuatkuasakan. Bagi penduduk berbangsa Eropah undang-undang berteraskan “Colonial Statutes” diamalkan, sementara penduduk tempatan menggunakan amalan perundangan mereka sendiri di bawah Kapitan Suku Kaum.
PERDAGANGAN BELANDA DI MELAKA
Penaklukan Belanda keatas Melaka bertujuan memastikan monopoli mereka ke atas perdagangan di Kepulauan Melayu bebas dari gangguan kuasa lain terutamanya Portugis. Belanda berhasrat menjadikan Betawi sebagai pusat pentadbiran Belanda di Timur dan pusat perdagangan rempah di Asia Tenggara, sekaligus meminggirkan peranan Melaka. Belanda telah mengenakan cukai yang tinggi ke atas kapal yang singgah di Pelabuhan Melaka dan mengarahkan mereka menggunakan Selat Sunda ke Pelabuhan Betawi.
Dasar Belanda ini telah menyebabkan pedagang Arab, China, Gujerat dan India berdagang ke pelabuhan lain misalnya Acheh, Pattani dan Johor. Belanda juga mengenakan perjanjian berat sebelah untuk memonopoli perdagangan bijih timah dan lain-lain keluaran dengan Perak, Naning, Rembau dan Kedah. Polisi tersebut ditentang oleh pribumi. Belanda juga mencemburui kebangkitan Johor Riau sebagai pusat perdagangan dan ketamadunan melayu. Apabila Raja Haji melancarkan serangan terhadap Melaka, Belanda bertindak balas menyerang Johor. Kompeni Hindia Timur Belanda juga mencapai puncak kejayaan pada akhir abad ke 17 telah muflis pada tahun 1799 dengan beban hutang sebanyak 140 juta florin. Di Melaka sendiri, berkali-kali kerugian dengan jumlah hampir 100,000 florin dicatatkan.
SERANGAN BELANDA KEATAS MELAKA
Belanda mula mencari hubungan dagang secara langsung untuk mendapatkan rempah disebabkan kesatuan Sepanyol-Portugis menyekat kemasukan mereka ke Lisbon. Mereka mula mengumpulkan maklumat tentang laluan laut ke Asia Tenggara dan akhirnya tiba ke Jawa dalam tahun 1602 serta berjaya mengadakan hubungan dagang. Permusuhan antara Belanda dan Portugis bukan sahaja sebagai saingan dagang bahkan bersaing kuasa menjajah negara di Asia Tenggara yang kemudiannya mencetuskan peperangan. Belanda yang menyedari bahawa Melaka masih mempunyai daya penarik sebagai pusat dagang berhasrat mengambil alih Melaka dan mengurangkan kehadiran Portugis. Oleh itu Belanda di bawah Admiral Cornelis Matelief menyerang Portugis di Melaka seawal tahun 1606.
Serangan pertama mereka tidak menurut laluan biasa samada melalui Bukit St. Paul atau ke bahagian utara Melaka. Mereka memulakan serangan melalui Sungai Air Leleh (telah kering semasa awal kurun ke-18), lebih kurang 500m daripada Kota Santiago. Walaupun serangan itu mengakibatkan kerosakan yang besar kepada Portugis di Melaka, namun pihak Portugis berjaya mengalahkan Belanda dalam serangan yang pertama itu.
LUKISAN MELAKA PADA 1726 T.M.
Gambaran pelabuhan Melaka dengan sebilangan kecil kapal-kapal Belanda dan ketiadaan kapal asing menandakan kemerosotan Melaka sebagai pusat perdagangan. Kemerosotan tersebut adalah disebabkan oleh dasar perdagangan Belanda yang keras terhadap peniaga-peniaga lain dan keinginan mereka untuk merendahkan martabat Melaka dan memajukan Batavia sebagai pelabuhan utama. Dasar Belanda itu mempercepatkan lagi kemerosotan Melaka sebagai pusat perdagangan.
PETI BESI ZAMAN BELANDA
Pelayaran yang jauh dan memakan masa dalam pencarian Dunia Baru di Timur membuatkan para pedagang menyediakan peralatan dan bekalan yang banyak. Ia terdiri dari makanan, pakaian mahupun senjata. Peti besi yang dipamerkan ini adalah peninggalan dari zaman Belanda. Ia memperlihatkan kekukuhan bahan yang digunakan untuk membuatnya serta ketelitian menghasilkannya hingga ia kekal untuk tempoh waktu yang lama.
PENGARUH BELANDA TERHADAP MASYARAKAT MELAKA
Pada umunya orang melayu melihat pihak Belanda sebagai pelindung, penindas, sahabat dan lawan. Dasar monopoli yang ketat, percukaian yang tinggi dan pelbagai serta sikap terlalu mementingkan keuntungan tidak disenangi penduduk tempatan. Polisi diskriminasi keagamaan oleh orang Belanda tidak semata-mata terbatas kepada penganut Kristian Mazhab Katholik tetapi turut meliputi penganut Islam. Sekatan dan gangguan diwujudkan. Ringkasnya, orang melayu lebih banyak melihat pihak Belanda dengan imej negatif.
Beberapa pepatah dan perumpamaan melayu misalnya “Seperti Belanda Mendapat Tanah” dan “Paku Belanda” jelas menerangkan keadaan berkenaan. Dasar perdagangan Belanda melalui syarat perjanjian bersifat berat sebelah dan mengongkong termasuk dengan Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Naning mencetuskan penentangan. Pemerintah Belanda turut menyumbang kepada kepada kemerosotan dan kemunduran taraf sosio ekonomi penduduk Melaka, namun begitu, teknologi dan persenjataan Belanda misalnya pedang, senapang, pistol, meriam, pembinaan kubu dan penyelenggaran kota turut dimanfaatkan oleh penduduk pribumi. Muzik keroncong diminati ramai.
Susunatur dan rekabentuk Bandar Melaka turut mencerminkan pengaruh Eropah misalnya Bangunan Stadthuys, Gereja Christ serta Kota Belanda di Bukit Senjuang.