MUZIUM SEJARAH / HISTORY MUSEUM

SENJATA-SENJATA MELAYU

Sejak zaman purbakala lagi, bangsa Melayu telah menghasilkan pelbagai bentuk senjata yang sesuai bagi menampung keperluannya. Senjata-senjata Melayu mempunyai bentuk yang unik kerana saiznya yang kecil berbanding dengan senjata-senjata bangsa asing. Ianya dibentuk sedemikian mengikut kesesuaian mengikut suasana alam sekitar ini yang beriklim tropika. Senjata-senjata tidaklah besar atau berat tetapi bentuknya amat sesuai untuk pergerakan aktif dan tindakan pantas. Sejak dahulu lagi, senjata Melayu yang terkenal dan sering dikaitkan dengan kebudayaan orang Melayu ialah keris, sama ada ianya keris pendek atau panjang, lurus atau berlok. Keris merupakan senjata berbentuk tikaman. Walaupun terdapat pelbagai jenis dan nama, pada asanya konsep buatannya adalah sama. Ulu dan mata yang dipilih atau diingini menyebabkan perbezaan bentuk sedemikian dan diberi nama-nama berlainan.

Senjata panjang dan berat yang telah digunakan oleh pahlawan-pahlawan Melayu ialah sundang, sama ada lurus atau berlok dengan panjang beberapa kaki. Senjata panjang ini dipegang sedemikian bagi pergerakan pantas dan rapat. Senjata yang pendek dan kecil adalah ‘lawi ayam’ dan ‘keris Majapahit’ yang boleh disembunyikan dalam sanggul ataupun tapak tangan wanita, tetapi ia amat merbahaya kerana dengan mudah boleh menghiris perut orang.

Sundang, pedang, parang, golok, rencong Aceh dan kapak juga termasuk dalam golongan senjata Melayu. Ia di antara senjata Melayu yang besar. Terdapat juga senjata-senjata Melayu yang kecil seperti lawi ayam, sewar, jembiah, beladan dan lading terus. Senjata-senjata Melayu yang bersaiz sederhana adalah tumbuk lada dan badek. Ada juga senjata-senjata lontaran seperti tombak lembing, senapang, sumpitan, busar dan panah. Meriam juga menjadi senjata Melayu yang tidak begitu besar berbanding dengan meriam Eropah. Meriam Melayu dibuat kecil dan ringan bagi memudahkan pengangkutannya. Saiznya yang kecil menyebabkan jarak tembakannya terhad.

Biasanya, senjata Melayu mengandungi tiga komponen yang penting, iaitu ulu yang diperbuat daripada kayu, tulang, logam dan gading, manakala matanya diperbuat daripada besi waja ataupun yang khas diperbuat daripada emas; serta sarungnya yang diperbuat daripada gading dan kulit. Dua lagi komponen senjata Melayu ialah sekeping besi nipis yang dipanggil ganja dan juga pendongkok. Penghasilan senjata Melayu adalah satu karya seni yang tersendiri. Senjata dibuat bukan sahaja untuk menyerang atau mempertahankan diri, tetapi juga sebagai satu karya seni yang boleh dijadikan bahan hiasan kerana kandungan nilai seninya yang bermutu tinggi. Lembing juga turut dihiasi dengan seni ukir. Sesungguhnya pembuatan sebilah senjata ialah satu karya seni yang menggabungkan pelbagai teknik seni untuk menghasilkan satu senjata yang artistik dan dihargai.

KERIS

Keris ialah senjata kebangsaan Melayu yang tradisional dan telah digunakan oleh orang Melayu semenjak lebih dari enam ratus tahun dahulu. Keris bukan sahaja digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri dari serangan musuh dan dijadikan sebagai alat kebesaran Di Raja tetapi keris juga disanjung tinggi dan sering dikaitkan dengan kesaktian dan keistimewaan yang luar biasa misalnya terbang sendiri mencari musuh atau boleh membunuh musuh dengan menikam bekas tapak kaki orang berkenaan. Keris biasanya digunakan untuk menikam musuh di hadapan dengan tikaman mendatar dan hulunya terletak di tapak tangan dengan digenggam oleh empat batang jari dari bawah. Ibu jari diletak di atas hulu, menghala hadapan.

Keris mempunyai tiga bahagian iaitu mata, hulu dan sarong. Mata keris diperbuat daripada lapisan besi yang berlainan jenis dan mempunyai bilangan luk yang tertentu atau lurus sahaja. Ciri- ciri inilah yang membezakan di antara keris-keris tersebut dan mempunyai nama-namanya yang tertentu seperti keris Majapahit, Pekaka, Bugis, Jawa, Madura dan sebagainya.

Hulu keris mempunyai ukiran yang berbagai rupa, diperbuat sama ada daripada kayu atau gading dan adakalanya menggunakan logam yang sama dengan yang digunakan pada mata keris. Manakala sarung keris mempunyai bahagian tertentu iaitu sampir, batang dan buntut yang diperbuat daripada kayu atau gading dan ada di antaranya bersalut dengan perak atau emas, berukir indah tertakluk kepada darjat dan kemampuan pemakainya.

Keris sering digunakan dalam seluruh kegiatan misalnya pada upacara-upacara rasmi, upacara perkahwinan, upacara kelahiran dan upacara berkhatan. Dalam upacara –upacara kumpulan pertama, keris berfungsi sebagai alat kelengkapan pakaian atau sebagai darjat kebesaran dan juga sebagai penolak bala. Sementara dalam upacara-upacara kumpulan kedua keris berfungsi sebagai alat untuk menolak bala agar semua usaha berjaya tanpa gangguan.

MENCUCI MATA KERIS SECARA TRADISIONAL

Keris adalah satu lambang kebudayaan dalam sistem sosial bangsa Melayu. Sebagai satu alat peribadi dan ciptaan seni, ia dikawal dan dibersihkan dengan teliti. Mata keris dicuci dari semasa ke semasa untuk menghilangkan karat dan juga untuk menghapuskan racun yang telah disapukan padanya.

Terdapat beberapa cara tradisional untuk membersihkan mata keris. Salah satu cara mencucinya disebut “sintuk limau”. Teknik sintuk limau adalah cara yang biasa digunakan.

Bahan-bahan yang digunakan dalam teknik sintuk limau adalah seperti berikut:
  1. Batang pisang berukuran 3 – 4 kaki panjang.
  2. Beberapa biji limau nipis.
  3. Sebiji kelapa tua.
  4. Seruas buluh yang sama panjang dengan mata keris yang hendak dibersihkan.
  5. Perasapan, kemenyan dan minyak atar.

Sebilah keris yang berkarat dirodok atau ditikam beberapa kali ke dalam batang pisang untuk mengeluarkan karat dan sesudah itu, dibersihkannya. Limau nipis dibelah dua dan digosok pada tempat-tempat yang berkarat. Nanas muda juga boleh digunakan untuk tujuan yang sama. Kemudian, mata keris itu direndamkan ke dalam air kelapa yang sedia ada di dalam ruas buluh selama sehari. Sekiranya karat tidak hilang, proses cucian perlu diulang lagi. Setelah dicuci sedemikian, ia disapu bersih dan dikeringkan. Kemudian ia diasapkan dengan kemenyan dan dipanaskan sebelum disapu lilin yang akan menjaganya dari berkarat. Minyak atar disapukan untuk mengharumkan keseluruhan keris berkenaan.

MERIAM-MERIAM KOTA MELAKA

Mengikut sejarah orang-orang Melayu di Nusantara telah menggunakan senjata api seperti meriam dan senapang semenjak abad ke-7 lagi. Senjata api ini telah digunakan oleh kerajaan Srivijaya (Sumatera) Langkasuka (Semenanjung Tanah Melayu), Tarumanegara, Mataram dan Majapahit (di Jawa). Meriam atau bedil ini bersaiz sederhana dikenali dengan nama rentaka, lela dan lain-lain. Orang-orang Melayu telah mula menggunakan Meriam-meriam yang lebih canggih setelah kedatangan Turki, Portugis, Belanda dan Inggeris dalam abad ke-16.

Setelah Portugis menakluki Kota Melaka pada tahun 1511, kapten tentera Portugis, Alfonso de Albuquerque, melaporkan yang beliau telah menemui diantara 2,000 ke 3,000 meriam di Kota Melaka. Sebahagian daripada meriam-meriam ini telah dipamerkan di Muzium Tentera, Lisbon.

Pihak Portugis telah membawa banyak meriam mereka untuk mempertahankan Kota Melaka. Namun tiada selaras pun dapat ditemui pada masa sekarang. Mungkin pihak Portugis telah mengalihkannya ataupun meriam-meriam ini dicairkan atau dimusnahkan oleh pihak Belanda selepas mereka menawan Kota Melaka pada tahun 1641. Berikutan penjajahan Belanda di Melaka, ini bererti kemasukan meriam-meriam mereka pula disini. Beberapa meriam Belanda masih boleh dilihat di pintu gerbang Santiago. Kebanyakan meriam-meriam ini diperbuat sama ada daripada tembaga atau gangsa.

Pihak British pula telah membawa masuk meriam-meriam yang diperbuat daripada gangsa dan besi. Meriam besi telah digunakan mereka semasa peperangan Naning pada tahun 1831-1832. Walaupun beratus-ratus laras Meriam telah ditempatkan di Kota Melaka pada suatu masa dahulu, sekarang hanya terdapat beberapa pucuk sahaja boleh dilihat di kawasan Bukit St. Paul.

BUSAR DAN PANAH

Sejak zaman prasejarah, busar dan panah adalah satu senjata tradisional yang digunakan dari jarak jauh. Asal-usul kewujudan ini, samada ia evolusi tempatan ataupun pengaruh luar, tidak dapat ditetapkan. Dari zaman dahulu kala lagi, kaum Orang Asli telah menggunakan busar dan panah, dan cerita-cerita mitologi tempatan juga ada menyebut beberapa orang pakar memanah. Ternyata ilmu penempahan dan penggunaannya sudah lama dipraktikkan di negara ini.

Busar diperbuat daripada kayu atau logam, dan dilentur dengan tali untuk menembaknya. Saiz busar juga berbeza mengikut keperluan tuan yang menghendakinya. Tali yang digunakan diperbuat daripada kulit pokok terap yang dipintal atau pun daripada sutera. Panah diperbuat daripada bahan-bahan ringan dengan bulu burung atau binatang ditambah di penghujungnya untuk menegakkan haluan. Kepala panah diperbuat daripada logam dengan bentuk-bentuk yang tertentu tetapi ia tetap tajam. Selalunya, kepala panah dicelup dalam getah ipoh, iaitu sejenis racun. Sekiranya terkena pada sasaran, mangsa akan mati.

Busar yang dipamerkan diperbuat daripada logam dan berusia lebih kurang 90 tahun.

LEMBING

Senjata Melayu dibahagikan kepada dua kategori, iaitu senjata-senjata panjang seperti lembing, tombak, keris panjang, pedang, parang dan senjata-senjata pendek yang meliputi semua jenis keris serta senjata tikam yang lain. Antara senjata-senjata panjang, hanya lembing dan tombak sahaja adalah senjata lontaran.

Terdapat pelbagai jenis lembing di negara kita hanya dibahagikan kepada dua kategori, iaitu lembing dan tombak. Lembing digunakan untuk berlawan dari jarak dekat. Ia boleh dikenali dari matanya yang lurus serta tajam, mempunyai tulang berjalur di tengah-tengah matanya, manakala tombak pula mempunyai mata yang papar dan lebar.

Sebahagian besar lembing dan tombak Melayu adalah ringan, lebih kurang 180 sentimeter panjang, dan mata logam yang nipis diikat kuat pada batang kayu dengan rotan atau simpai logam. Beberapa jenis tombak juga digunakan untuk upacara adat istiadat. Tombak-tombak yang digunakan untuk upacara tertentu mempunyai saiz dan kepanjangan yang berbeza, manakala tombak-tombak yang digunakan dalam upacara-upacara istiadat istana pasti mempunyai saiz dan kepanjangan yang sama.

Lembing dan tombak sudah digunakan pada zaman prasejarah. Pada zaman awal, matanya dibuat daripada buluh dan kayu. Kemudian logam seperti tembaga, gangsa, besi, ataupun emas telah digunakan sebagai mata lembing. Namun ia bergantung kepada status dan kemampuan pemilik. Pada masa sekarang, penggunaan lembing dan tombak dihadkan kepada upacara-upacara istiadat dan istana sahaja.

PERALATAN SERAMIK SWATOW

Fukian adalah satu daerah di China Selatan yang mengusahakan pengeluaran seramik pada abad ke-16 dan 17. Namun begitu seramiknya tidak begitu dikenali seperti dinasti China iaitu Ming atau Ching, tetapi dikenali sebagai peralatan Swatow. Ia dinamakan mengikut pelabuhan dari mana peralatan tersebut dieksport ke pasaran luar seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Jepun, India dan lain-lain.

Perbezaan antara peralatan seramik Swatow dan peralatan seramik Ming boleh dikenalpasti dengan mudah. Pada kebiasaannya, seramik Swatow berbentuk besar dan kasar dengan pasir dan batu-batu halus terlekat pada dasarnya yang bersepuh. Peralatan Swatow juga menarik tetapi teknik pembuatannya kasar dengan warna merah, hijau kebiruan dan saduran warna hitam. Terdapat juga jenis-jenis buatan Swatow yang disalut dengan warna biru yang tidak terang atau bersepuh jenis ‘celadon’.

Swatow juga mengeluarkan peralatan seramik yang mengandungi motif, hiasan Islam, huruf-huruf dan ayat-ayat suci Al-Quran bagi pasaran negara Islam. Perusahaan seramik Swatow juga terbabit dalam pergolakan politik China dan akhirnya hilang identitinya.

SERAMIK BELANDA

Negara Belanda juga terkenal dengan penghasilan seramik tradisi ‘miaolica’ serta ‘delft’. Seramik awal Belanda tidaklah begitu bermutu tinggi dan diusahakan untuk penggunaan tempatan sahaja. Kedatangan Belanda ke Asia Tenggara dan hubungan mereka dengan China membolehkan mereka menaiktaraf perusahaan seramik, kemudian mengeluarkan porselin-porselin yang setanding dan bermutu tinggi.

Kekuasaan Belanda di rantau Asia Tenggara yang bermula sejak awal kurun ke-17 mencapai kemuncaknya pada tahun 1682. Mereka menguasai Samudera Asia dan seterusnya memonopoli perdagangan rempah ratus serta menjadi pembekal utama porselin China bagi pasaran Asia dan Eropah. Menyedari keuntungan perdagangan porselin, pihak Belanda mengambil alih peranan sebagai pengeksport porselin China berikutan pergolakan politik di negara China pada pertengahan abad ke-17.

Kejatuhan Dinasti Ming serta kebangkitan Dinasti Ching pada tahun 1644 mengganggu pengeluaran seramik China dan memaksa pihak Belanda untuk mendapatkan bekalan porselin daripada Jepun. Corak pada seramik yang dibuat sedemikian kebanyakannya ditiru daripada porselin China dan disesuaikan untuk perdagangan. Mereka juga mengeksport porselin Jepun pada abad ke-17 dan 18 yang mempunyai tanda VOC iaitu lambang Kompeni Hindia Timur Belanda. Porselin-porselin seumpama itu dibawa ke Melaka, manakala di Tanah Melayu kebanyakannya ialah buatan Belanda semata-mata untuk dieksport ke Asia Tenggara.

PERALATAN PORSELIN MING

Perusahaan seramik bermula di negara China semasa zaman Dinasti Shang (1523 – 1038 S.M). Sejak itu, pengeluaran seramik China terus diusahakan oleh dinasti-dinasti yang berikutnya sehingga ia mencapai kualiti yang tinggi dan terkenal di benua Asia. Porselin-porselin Ming (1368 – 1644) juga mencatatkan nama sebagai pengeluaran porselin biru-putih yang bermutu tinggi.

Pada zaman Yuan (1279 –1368), porselin-porselin dieksport ke seluruh benua Asia, tetapi apabila Dinasti Ming memerintah China pada tahun 1368, perusahaan porselin telah diberi pelindungan Diraja. Undang-undang digubal untuk menempatkan pedagang luar di bawah kawalan istana. Kesan daripada penempatan ini, ia telah menghasilkan pengeluaran seramik yang berbentuk asing dengan huruf-huruf bahasa asing telah dibuat atas permintaan pedagang-pedagang ini.

Semasa dibawah pemerintahan Dinasti Ming, sebagai langkah mempertahankan mutu perusahaan tembikarnya, ia dibahagikan kepada beberapa jenis. Satu daripadanya ialah tembikar rasmi atau Diraja yang bermutu tinggi dan hanya dibuat di tempat-tempat khas. Ianya khusus untuk kegunaan istana. Porselin popular sepatutnya dikeluarkan hanya untuk kegunaan tempatan, tetapi terdapat juga dieksport secara haram. Tembikar eksport turut dikeluarkan khusus untuk menampung permintaan dari negara luar. Berdasarkan penemuan tembikar di negara lain, memang jelas penyeludupan telah berlaku.

Tembikar Ming telah dieksport ke Tanah Melayu melalui pedagang-pedagang China. Apabila Kerajaan Melayu Melaka diwujudkan, hubungan di antara Melaka dan China menjadi lebih erat. Ini menyebabkan Melaka menjadi pusat impot-eksport peralatan Ming bagi kawasan Nusantara, benua India dan Arab.

Melaka terus menjadi pusat perdagangan porselin Ming walaupun Portugis menaklukinya pada tahun 1511. Peralatan Ming telah menembusi pasaran Eropah melalui Lisbon. Apabila pihak Belanda pula mengambil alih pemasaran tembikar Ming ke Eropah yang kemudiannya dinamakan peralatan ‘kreak’. Perusahaan porselin Ming telah terjejas akibat peperangan dinasti pada pertengahan kurun ke 17.

PERALATAN NYONYA

Peralatan seramik nyonya boleh dikenali dengan mudah melalui campuran dan kombinasi warna-warna terang seperti merah jambu, kuning, biru gelap, dan hijau. Pola-pola yang biasa ditemui pada peralatan Nyonya ialah ikan, burung phoenix, bunga mawar, bunga dahlia dan binatang-binatang yang disukai ramai.

Peralatan Nyonya mula dikeluarkan pada penghujung kurun ke-18. Peralatan seramik tersebut dibuat khas untuk keturunan orang-orang China yang telah lama menetap di Melaka dan kemudiannya di Singapura dan Pulau Pinang yang dikenali sekarang sebagai kaum Baba-Nyonya. Ini menjadi perkara biasa bagi peralatan Nyonya mengandungi nama-nama keluarga Baba.

Peralatan ini tidak digunakan setiap hari tetapi hanya pada hari-hari perayaan dan sambutan keluarga.

Peralatan seramik Nyonya yang bernilai tinggi ini dikeluarkan dari wilayah Jiangxi dan Guangdong di China. Peralatan Nyonya terdapat dalam pelbagai bentuk dan saiz yang berbeza, terutamanya set makan, set minum teh, pasu, dan lain-lain peralatan yang ditempah khas seperti kotak barang perhiasan, bekas bedak dan bekas keperluan diri. Kemerosotan kualiti akibat pergolakan politik pada akhir zaman Ching dan persaingan dari seramik Eropah mengakibatkan perusahaan seramik Nyonya pupus.

PERALATAN CHING

Selepas pihak Manchu dari Timur Laut Manchuria menakluki China, mereka memulakan dinasti imperial dan zaman keemasan pengeluaran seramik yang terakhir. Tembikar biru dan putih telah mencapai taraf pembuatan yang tinggi sebelum ia diganti dengan tembikar yang dihiasi dengan pelbagai warna.

Pada kurun ke-17 dan 18, banyak peralatan China telah dieksport ke Eropah kerana permintaan masyarakat Eropah untuk memilikinya. Kuasa-kuasa Eropah telah menguasai sebilangan besar negara-negara di Asia Tenggara ketika itu dan simpanan peralatan porselin China dianggap fesyen dan simbol status oleh masyarakat Eropah yang menyebut bahan-bahan seramik sebagai “China”.

Selepas tahun 1795, berlaku kekacauan dalam negeri, campur tangan orang-orang asing dan persaingan perusahaan porselin mengganggu kualiti peralatan China. Perusahaan porselin Ching telah pulih semula pada tahun 1864. Pengeluaran peralatan China bukan lagi tertumpu kepada biru-putih sahaja tetapi juga peralatan yang dihiasi dan berwarna-warni, khasnya bagi keturunan China yang tinggal di luar negara. Kemudiannya ia dikenali dengan nama peralatan Nyonya dan Bencharong. Sebahagian besar peralatan tersebut adalah bermutu tinggi dan sangat berharga di masa kini. Kejatuhan Dinasti Ching pada tahun 1912 mengakhiri riwayat perusahaan porselin Dinasti China.

PENEMUAN TEMPAYAN BERISI TULANG MANUSIA

Penemuan empat tempayan berisi serpihan tulang pada 15 Disember 2008 di Kampung Tengah, Bukit Rambai dipercayai digunakan oleh masyakarat Tiong-Hua sekitar 300 tahun yang lalu.

Tempayan tersebut ditemui oleh penduduk tertanam secara berderet di kawasan sekitar milik persendirian. Tiga daripada empat tempayan tersebut didapati bertutup dengan tiga pinggan seramik bercorak purba dan juga karektor menyerupai tulisan Cina tercatat tahun 1702 di salah satu pinggan seramik tersebut. Keunikan rekabentuk tempayan yang berukiran kepala singa menguatkan lagi fakta mayat tersebut milik masyarakat Cina.

Mengikut sejarah, pengebumian mayat dalam tempayan lazimnya diamalkan di Negara China dan sebahagiannya di Sabah dan Sarawak. Penemuan tradisi penanaman seperti ini merupakan yang pertama ditemui di Semenanjung Malaysia dan kemungkinan besar ia berpotensi bagi membuktikan kawasan berkenaan menjadi tempat persemadian menggunakan kaedah tersebut. Ia juga boleh dikatakan sebagai kawasan penempatan awal masyarakat Cina berdasarkan kedudukan penemuan tempayan tersebut terletak kira-kira 200 meter dari kawasan jirat Cina.

Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjalankan kajian lanjut termasuk ujian “carbon dating” untuk memastikan asal-usul sebenar tempayan berkenaan ditemui.

PENEMUAN DI KERUBONG

Bahan-bahan peralatan seramik termasuk tembikar-tembikar dan batu giling dengan anaknya yang dipamerkan di sini telah dijumpai di Kampung Kerubong, lebih kurang 13km dari Kota Melaka pada tahun 1960. Penemuan ini berlaku semasa pihak kontraktor binaan menjalankan kerja menggali parit di kawasan tersebut. Kesemua bahan penemuan ini telah diambil alih darinya untuk dipamerkan.

Bahan-bahan seramik ini ialah dari jenis Ming, batu giling dan anaknya merupakan peralatan bagi penyediaan bahan-bahan perhiasan. Asal-usul tembikar tanah pula tidak dapat dikenalpasti. Kesemua bahan tersebut ditemui di pedalaman negeri, jauh dari Kota Melaka.

Di sekitar Tampoi, berdekatan dengan Kerubong terdapat satu kawasan perkampungan sejak dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pihak Portugis juga telah mendirikan sebuah gereja di Tampoi yang telah dimusnahkan oleh Belanda pada tahun 1606. Serangan ke atas perkampungan ini oleh Portugis atau Belanda telah menyebabkan penduduk melarikan diri. Mengikut adat yang diamalkan ketika itu, sesiapa yang meninggalkan kampung halaman mereka dalam suasana huru-hara akan menanam harta benda mereka dengan harapan dapat mengambilnya kembali pada satu hari nanti. Apabila hasrat ini tidak tercapai kerana sebab-sebab yang tertentu, maka harta benda yang disembunyi akan tetap berada di tempat yang ditanam sehingga ia dijumpai semula.

Loading

TOP