MUZIUM SEJARAH / HISTORY MUSEUM
RUMAH MELAYU MELAKA
Pameran di sini ialah contoh lintang rumah Melayu Melaka. Rumah-rumah Melayu Melaka dibina di atas tiang-tiang tanpa paku sejak turun-temurun sehingga ke zaman moden. Rumah-rumahnya dibina untuk merangkumi pelbagai aspek tradisional kebudayaan Melayu. Pada kebiasaannya rumah Melayu Melaka terdiri daripada serambi, rumah ibu, pelantar, rumah tengah dan dapur. Rumah-rumah tradisi Melayu Melaka juga mempunyai sebuah loteng. Tangganya berwarna-warni dan amat menarik.
Terdapat tiga tangga atau pintu masuk ke sebuah rumah Melayu Melaka iaitu tangga di hadapan rumah, tangga tengah ke pelantar (tidak ditunjuk di sini) dan tangga dapur. Selalunya, tangga utama dihiasi cantik untuk menyambut ketibaan pengunjung. Pada kunjungan pertama, seseorang mesti dibawa masuk melalui tangga ini, kerana makna simboliknya ini akan membawa tuah dan kebahagiaan. Tangga tengah ialah untuk orang yang sering datang ke rumah, seperti saudara-mara dan sahabat handai. Sekiranya seorang saudara atau sahabat datang melalui tangga hadapan dan enggan masuk rumah, perbuatan ini akan dianggap kurang manis. Tangga dapur ialah untuk kegunaan wanita sahaja.
Serambi rumah sering digunakan untuk upacara-upacara perhimpunan seperti ayat-ayat suci al-Quran, kenduri atau perbincangan. Ia juga akan menjadi bilik bujang apabila anak lelaki menjadi teruna. Mengikut adat tempatan, apabila seorang musuh menaiki tangga utama dan duduk di serambi, tuan rumah tidak harus berbuat apa-apa, melainkan memanggil pegawai-pegawai kampung untuk menyelesaikan hal tersebut.
Pada kebiasaannya, rumah ibu mengandungi satu atau dua bilik. Bilik ibu hanya digunakan ibu bapa sehingga anak perempuannya mencapai umur dara. Pada masa itu, ibu bapa akan meninggalkan biliknya supaya anak dara mereka tinggal di situ. Sebuah tangga yang boleh dialih untuk naik ke loteng yang terletak di rumah ibu ini.
Bahagian pelantar menyambung rumah ibu dengan rumah tengah dan dapur. Kadangkala bahagian ini tidak berbumbung. Pelantar ini ialah pintu masuk keluar utama bagi saudara-mara dan sahabat- handai.
Rumah tengah ialah seunit rumah yang mempunyai pelbagai kegunaan. Di sinilah perihal keluarga akan dibincangkan. Ruang ini akan menjadi tempat makan untuk keluarga dan tempat perhimpunan saudara-mara. Ibu bapa akan menjadikan ruang ini tempat tidur selepas bilik ibu diserahkan kepada anak perempuan mereka.
Ruang dapur ialah ruang kuasa suri rumah. Semua alat dapur disimpan di sini. Satu para untuk menyimpan pinggan mangkuk dan satu dapur kayu untuk memasak pasti ada di ruang ini. Satu pelantar terbuka di luar rumah dapur juga dibina untuk memudahkan membasuh periuk-periuk. Seorang lelaki akan dianggap kurang sopan jika dia masuk ke rumah melalui tangga dapur.