MUZIUM SEJARAH / HISTORY MUSEUM
PORSELIN
Perusahaan seramik atau porselin berasal dari negara China adalah fakta yang diakui umum. Aktiviti-aktiviti perdagangan antara China dan pusat-pusat perdagangan di Benua Asia mengakibatkan pengenalan dan penggunaan luas peralatan seramik yang akhirnya menjadi barangan eksport. Revolusi perusahaan seramik/porselin telah memberi implikasi ke atas pusat perusahaan lain di Asia. Perkembangan porselin China berkemungkinan bergabung dengan teknik-teknik tempatan dan diperbaharui dengan teknik yang halus, dipengaruhi atau ditiru untuk menjadi peralatan tiruan yang setanding dan tersendiri. Ianya juga kadangkala menyekat perkembangan seramik tempatan. Pengetahuan perusahaan seramik telah ditemui di Negara China, Parsi (Iran), Iraq, Mesopotamia, Vietnam (Annamese) dan Thailand.
Sepanyol yang terletak di bawah kuasa Arab memperkenalkan seramik kepada masyarakat Eropah Barat. Tidak lama kemudian orang-orang Eropah memperolehi pengetahuan perusahaan seramik yang membolehkan mereka mencabar dan menguasai eksport perusahaan seramik.
Semenanjung Tanah Melayu, khususnya Kedah dan Negeri Sembilan, pada masa itu telah menerima peralatan seramik pada kurun ke-13, berkemungkinan sebagai bahan eksport atau pun sebagai bingkisan. Pada awal kurun ke-15, Kota Melaka sebagai pusat perdagangan yang terkenal, telah menarik perhatian pedagang-pedagang China. Sejak itu, peralatan seramik datang berterusan disebabkan dari satu dinasti ke satu dinasti China meneruskan perniagaan seramik mereka di Kota Melaka. Kerajaan Thai pula mengeksport seramik ‘Sawankhalok’ dan ‘Sukhothai’ ke Melaka. Begitu juga Belanda, membawa masuk seramik mereka. Seramik-seramik Jepun pula dapat menembusi pasaran Melaka melalui Batavia. Peralatan Nyonya pula dibuat khas untuk masyarakat Baba-Nyonya dan menghiasi Kota Melaka.
Sudut ini mempamerkan beberapa jenis peralatan seramik dan coraknya yang ditemui di Melaka secara ekskavasi atau diturunkan sebagai pusaka Melaka.
SERPIHAN SERAMIK YANG DITEMUI DI MELAKA
Serpihan-serpihan yang dipamerkan di sini ialah contoh yang dijumpai di Kota Melaka semasa ekskavasi atau pun semasa aktiviti menggali yang dijalankan oleh beberapa jabatan kerajaan. Serpihan-serpihan yang ditemui melalui ekskavasi ialah dari persekitaran bukit St. Paul, di Makam Hang Tuah dan di kawasan tambak laut Banda Hilir. Aktiviti menggali yang dijalankan di merata tempat juga menghasilkan banyak jumpaan serpihan-serpihan seramik.
Serpihan-serpihan seramik yang dipamerkan terdiri daripada jenis Ming, Ching, Swatow, Baba-Nyonya, Sawankhalok dan Sukhothai, Annamese, Belanda, Jepun, Persia dan sebagainya. Bahan-bahan yang dipamerkan tidak mengikut jenis tetapi mengikut lokasi dimana ia dijumpai.
Bukti yang menunjukkan Kota Melaka adalah merupakan satu pusat perdagangan terkenal, pusat mengimport dan mengeksport pelbagai jenis barangan bukan sahaja pada rekod-rekod sejarah, tetapi juga pada bahan-bahan yang dijumpai, termasuk peralatan seramik. Akibat beberapa peperangan, banyak bahan telah musnah dan bertaburan di sekitar Kota Melaka. Dari segi nilai antik, serpihan-serpihan seramik ini tidak bernilai, tetapi ia boleh memberi maklumat tentang asal-usulnya, kedudukan serta keluasan kawasan pekan, perubahan-perubahan yang berlaku dan mungkin juga sebab-sebab ianya terjadi.
SERAMIK VIETNAM (ANNAMESE)
Seramik Vietnam yang lebih dikenali dengan nama peralatan Annamese, telah dihasilkan lebih daripada 2000 tahun dahulu. Peralatan Annamese dikagumi kerana kualitinya yang tinggi, keunggulan teknik serta sifat artistiknya. Sepuh peralatan Annamese licin yang terdapat dalam warna kuning dan putih kelabu.
Pada penghujung kurun ke-14, peralatan Annamese menunjukkan unsur-unsur pengaruh China dengan penambahan pola-pola artistik di peralatan yang dikeluarkan tanpa bersepuh di bawahnya dan setengahnya dilapisi dengan warna besi oksida. Untuk mencapai kelainan, peralatan Annamese yang dikeluarkan pada kurun ke-15 dan ke-16 dibuat dengan warna lain daripada tembikar biru dan putih yang dipengaruhi oleh China.
SERAMIK SUKHOTHAI DAN SAWANKHALOK
Perusahaan tembikar dan seramik di Negara Thai telah lama wujud. Oleh kerana perusahaan ini bergantung kepada perlindungan Raja-raja, pengeluaran peralatan Thai hanya menjadi perusahaan setempat dan bergantung kepada jatuh bangun kuasa sesebuah kawasan itu. Ia juga dikenali umum dengan nama lokasi yang menghasilkannya.
Sebuah kerajaan baru telah ditubuhkan pada pertengahan kurun ke-13 di Utara Negara Thai. Dalam masa 50 tahun, Raja Sukhothai, terutamanya Raja Rama Khampeng, menjadikan kawasan Sukhothai sebagai satu pusat kebudayaan, perdagangan dan pentadbiran yang kemudiannya membawa kepada perkembangan perusahaan seramik bagi menampung keperluan tempatan dan eksport.
Pada mulanya, kilang-kilang Sukhothai mengeluarkan peralatan seramik kasar yang kurang bermutu dari segi teknikal kerana tanah liat yang terdapat di persekitarannya. Tembikar Sukhothai boleh dibahagikan kepada jenis tembikar putih berlapis warna susu dan bersepuh dibahagian bawahnya.
Pada pertengahan kurun ke-14, sebuah pusat seramik baru dibuka di Sawankhalok, terletak berdekatan dengan Kota Sukhothai. Tanah liat yang terdapat di kawasan ini lebih halus daripada tanah liat Sukhothai, dan ini membolehkan pengeluaran peralatan seramik yang tinggi mutunya. Perusahaan seramik Sawankhalok bukan sahaja mengeluarkan tembikar putih tetapi juga tembikar-tembikar yang berwarna coklat dan hijau, serta bersepuh dibawahnya.
SERAMIK JEPUN
Walaupun sejarah perusahaan tembikar Jepun agak lama, pengeluarannya tidak dikenali umum di luar negara. Ini adalah kerana penggunaannya dihadkan kepada upacara adat- istiadat sahaja. Peralatan tersebut tidak lagi begitu menarik kepada orang luar. Namun begitu, ianya dihargai oleh bangsa Jepun.
Pengaruh China dan Korea mula merebak kepada perusahaan tembikar atau seramik Jepun. Teknik China meninggikan mutu peralatan Jepun pada kurun ke-14 hingga ke-16. Orang-orang Korea pula dibawa masuk ke Jepun pada akhir kurun ke-16, dan mereka mendirikan beberapa kilang seramik. Pengalaman mereka meningkatkan mutu porselin Jepun pada awal kurun ke-17. Peralatan porselin yang mencapai tahap yang baik ini membuka pasaran Eropah dan menjadi bahan eksport dari Jepun.
Sementara itu, pusat pasaran seramik Jepun mengeluarkan peralatan seramik yang mengandungi corak-corak Belanda. Peralatan seramik Jepun yang terdapat di negara ini datang dari kilang-kilang seramik di Imari, Kakiemon dan Kutani. Perdagangan ini dijalankan melalui Belanda di Batavia.
SERAMIK ISLAM
Negara-negara Timur Tengah seperti Mesir, Syria, Iraq, Yaman, Parsi dan juga Turki secara turun-temurun mengeluarkan tembikar bersepuh yang bermutu tinggi. Apabila negara-negara Timur tersebut menerima ajaran agama Islam, perusahaan seramik telah meningkat menjadi satu bentuk seni yang bermutu tinggi.
Peralatan seramik berunsur Islam yang baik sekali sama ada dari segi pola-pola motif mahupun dari segi teknologi ataupun kedua-duanya boleh didapati di Fuslat berdekatan dengan Kota Kaherah; di Samarra, Iraq; di Susa dan Rayy, Parsi; di Iznik, Turki dan di Syria. Kemudian, pengaruh China menembusi pusat-pusat perusahaan seramik negara-negara Timur Tengah. Kombinasi kedua-dua teknik Arab dan China memperkenalkan peralatan bersepuh hitam besi yang kemudiannya berkembang ke perusahaan jubin-jubin dinding berkualiti, motif-motif perhiasan dan lukisan-lukisan miniatur.
Seramik Arab telah diperkenalkan ke Eropah melalui Sepanyol apabila negara itu ditakluki oleh orang Islam. Mereka juga telah memperkenalkan teknik perusahaan seramik ke sana.
Pada penghujung kurun ke-15 dan awal kurun ke-16, semasa pengaruh Islam memainkan peranan di Istana Ming, Negara China telah mengeluarkan peralatan berunsur Islam tetapi dalam jumlah yang terhad. Walau bagaimanapun, ianya merosot seketika, tetapi membangun semula pada kurun ke-17 apabila peralatan seramik berunsur Islam dijadikan bahan eksport yang diusahakan sehingga kurun ke-19. Pusat utama perusahaan seramik ketika itu ialah di Wilayah Fukian yang juga membuat tempahan khas. Pada kurun ke-18, perusahaan China telah mengeluarkan sejenis seramik berunsur Islam yang dipercayai boleh menyembuhkan penyakit.
Ada juga keluarga hartawan Islam telah menempah peralatan seramik yang mencatatkan nama keluarga mereka. Apabila perubahan zaman dan peralihan situasi politik, lama-kelamaan perusahaan seramik berunsur Islam diambil alih oleh perusahaan seramik dari Eropah.
PERALATAN SERAMIK SWATOW
Fukian adalah satu daerah di China Selatan yang mengusahakan pengeluaran seramik pada abad ke-16 dan 17. Namun begitu seramiknya tidak begitu dikenali seperti dinasti China iaitu Ming atau Ching, tetapi dikenali sebagai peralatan Swatow. Ia dinamakan mengikut pelabuhan dari mana peralatan tersebut dieksport ke pasaran luar seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Jepun, India dan lain-lain.
Perbezaan antara peralatan seramik Swatow dan peralatan seramik Ming boleh dikenalpasti dengan mudah. Pada kebiasaannya, seramik Swatow berbentuk besar dan kasar dengan pasir dan batu-batu halus terlekat pada dasarnya yang bersepuh. Peralatan Swatow juga menarik tetapi teknik pembuatannya kasar dengan warna merah, hijau kebiruan dan saduran warna hitam. Terdapat juga jenis-jenis buatan Swatow yang disalut dengan warna biru yang tidak terang atau bersepuh jenis ‘celadon’.
Swatow juga mengeluarkan peralatan seramik yang mengandungi motif, hiasan Islam, huruf-huruf dan ayat-ayat suci Al-Quran bagi pasaran negara Islam. Perusahaan seramik Swatow juga terbabit dalam pergolakan politik China dan akhirnya hilang identitinya.
SERAMIK BELANDA
Negara Belanda juga terkenal dengan penghasilan seramik tradisi ‘miaolica’ serta ‘delft’. Seramik awal Belanda tidaklah begitu bermutu tinggi dan diusahakan untuk penggunaan tempatan sahaja. Kedatangan Belanda ke Asia Tenggara dan hubungan mereka dengan China membolehkan mereka menaiktaraf perusahaan seramik, kemudian mengeluarkan porselin-porselin yang setanding dan bermutu tinggi.
Kekuasaan Belanda di rantau Asia Tenggara yang bermula sejak awal kurun ke-17 mencapai kemuncaknya pada tahun 1682. Mereka menguasai Samudera Asia dan seterusnya memonopoli perdagangan rempah ratus serta menjadi pembekal utama porselin China bagi pasaran Asia dan Eropah. Menyedari keuntungan perdagangan porselin, pihak Belanda mengambil alih peranan sebagai pengeksport porselin China berikutan pergolakan politik di negara China pada pertengahan abad ke-17.
Kejatuhan Dinasti Ming serta kebangkitan Dinasti Ching pada tahun 1644 mengganggu pengeluaran seramik China dan memaksa pihak Belanda untuk mendapatkan bekalan porselin daripada Jepun. Corak pada seramik yang dibuat sedemikian kebanyakannya ditiru daripada porselin China dan disesuaikan untuk perdagangan. Mereka juga mengeksport porselin Jepun pada abad ke-17 dan 18 yang mempunyai tanda VOC iaitu lambang Kompeni Hindia Timur Belanda. Porselin-porselin seumpama itu dibawa ke Melaka, manakala di Tanah Melayu kebanyakannya ialah buatan Belanda semata-mata untuk dieksport ke Asia Tenggara.
PERALATAN PORSELIN MING
Perusahaan seramik bermula di negara China semasa zaman Dinasti Shang (1523 – 1038 S.M). Sejak itu, pengeluaran seramik China terus diusahakan oleh dinasti-dinasti yang berikutnya sehingga ia mencapai kualiti yang tinggi dan terkenal di benua Asia. Porselin-porselin Ming (1368 – 1644) juga mencatatkan nama sebagai pengeluaran porselin biru-putih yang bermutu tinggi.
Pada zaman Yuan (1279 –1368), porselin-porselin dieksport ke seluruh benua Asia, tetapi apabila Dinasti Ming memerintah China pada tahun 1368, perusahaan porselin telah diberi pelindungan Diraja. Undang-undang digubal untuk menempatkan pedagang luar di bawah kawalan istana. Kesan daripada penempatan ini, ia telah menghasilkan pengeluaran seramik yang berbentuk asing dengan huruf-huruf bahasa asing telah dibuat atas permintaan pedagang-pedagang ini.
Semasa dibawah pemerintahan Dinasti Ming, sebagai langkah mempertahankan mutu perusahaan tembikarnya, ia dibahagikan kepada beberapa jenis. Satu daripadanya ialah tembikar rasmi atau Diraja yang bermutu tinggi dan hanya dibuat di tempat-tempat khas. Ianya khusus untuk kegunaan istana. Porselin popular sepatutnya dikeluarkan hanya untuk kegunaan tempatan, tetapi terdapat juga dieksport secara haram. Tembikar eksport turut dikeluarkan khusus untuk menampung permintaan dari negara luar. Berdasarkan penemuan tembikar di negara lain, memang jelas penyeludupan telah berlaku.
Tembikar Ming telah dieksport ke Tanah Melayu melalui pedagang-pedagang China. Apabila Kerajaan Melayu Melaka diwujudkan, hubungan di antara Melaka dan China menjadi lebih erat. Ini menyebabkan Melaka menjadi pusat impot-eksport peralatan Ming bagi kawasan Nusantara, benua India dan Arab.
Melaka terus menjadi pusat perdagangan porselin Ming walaupun Portugis menaklukinya pada tahun 1511. Peralatan Ming telah menembusi pasaran Eropah melalui Lisbon. Apabila pihak Belanda pula mengambil alih pemasaran tembikar Ming ke Eropah yang kemudiannya dinamakan peralatan ‘kreak’. Perusahaan porselin Ming telah terjejas akibat peperangan dinasti pada pertengahan kurun ke 17.
PERALATAN NYONYA
Peralatan seramik nyonya boleh dikenali dengan mudah melalui campuran dan kombinasi warna-warna terang seperti merah jambu, kuning, biru gelap, dan hijau. Pola-pola yang biasa ditemui pada peralatan Nyonya ialah ikan, burung phoenix, bunga mawar, bunga dahlia dan binatang-binatang yang disukai ramai.
Peralatan Nyonya mula dikeluarkan pada penghujung kurun ke-18. Peralatan seramik tersebut dibuat khas untuk keturunan orang-orang China yang telah lama menetap di Melaka dan kemudiannya di Singapura dan Pulau Pinang yang dikenali sekarang sebagai kaum Baba-Nyonya. Ini menjadi perkara biasa bagi peralatan Nyonya mengandungi nama-nama keluarga Baba.
Peralatan ini tidak digunakan setiap hari tetapi hanya pada hari-hari perayaan dan sambutan keluarga.
Peralatan seramik Nyonya yang bernilai tinggi ini dikeluarkan dari wilayah Jiangxi dan Guangdong di China. Peralatan Nyonya terdapat dalam pelbagai bentuk dan saiz yang berbeza, terutamanya set makan, set minum teh, pasu, dan lain-lain peralatan yang ditempah khas seperti kotak barang perhiasan, bekas bedak dan bekas keperluan diri. Kemerosotan kualiti akibat pergolakan politik pada akhir zaman Ching dan persaingan dari seramik Eropah mengakibatkan perusahaan seramik Nyonya pupus.
PERALATAN CHING
Selepas pihak Manchu dari Timur Laut Manchuria menakluki China, mereka memulakan dinasti imperial dan zaman keemasan pengeluaran seramik yang terakhir. Tembikar biru dan putih telah mencapai taraf pembuatan yang tinggi sebelum ia diganti dengan tembikar yang dihiasi dengan pelbagai warna.
Pada kurun ke-17 dan 18, banyak peralatan China telah dieksport ke Eropah kerana permintaan masyarakat Eropah untuk memilikinya. Kuasa-kuasa Eropah telah menguasai sebilangan besar negara-negara di Asia Tenggara ketika itu dan simpanan peralatan porselin China dianggap fesyen dan simbol status oleh masyarakat Eropah yang menyebut bahan-bahan seramik sebagai “China”.
Selepas tahun 1795, berlaku kekacauan dalam negeri, campur tangan orang-orang asing dan persaingan perusahaan porselin mengganggu kualiti peralatan China. Perusahaan porselin Ching telah pulih semula pada tahun 1864. Pengeluaran peralatan China bukan lagi tertumpu kepada biru-putih sahaja tetapi juga peralatan yang dihiasi dan berwarna-warni, khasnya bagi keturunan China yang tinggal di luar negara. Kemudiannya ia dikenali dengan nama peralatan Nyonya dan Bencharong. Sebahagian besar peralatan tersebut adalah bermutu tinggi dan sangat berharga di masa kini. Kejatuhan Dinasti Ching pada tahun 1912 mengakhiri riwayat perusahaan porselin Dinasti China.
PENEMUAN TEMPAYAN BERISI TULANG MANUSIA
Penemuan empat tempayan berisi serpihan tulang pada 15 Disember 2008 di Kampung Tengah, Bukit Rambai dipercayai digunakan oleh masyakarat Tiong-Hua sekitar 300 tahun yang lalu.
Tempayan tersebut ditemui oleh penduduk tertanam secara berderet di kawasan sekitar milik persendirian. Tiga daripada empat tempayan tersebut didapati bertutup dengan tiga pinggan seramik bercorak purba dan juga karektor menyerupai tulisan Cina tercatat tahun 1702 di salah satu pinggan seramik tersebut. Keunikan rekabentuk tempayan yang berukiran kepala singa menguatkan lagi fakta mayat tersebut milik masyarakat Cina.
Mengikut sejarah, pengebumian mayat dalam tempayan lazimnya diamalkan di Negara China dan sebahagiannya di Sabah dan Sarawak. Penemuan tradisi penanaman seperti ini merupakan yang pertama ditemui di Semenanjung Malaysia dan kemungkinan besar ia berpotensi bagi membuktikan kawasan berkenaan menjadi tempat persemadian menggunakan kaedah tersebut. Ia juga boleh dikatakan sebagai kawasan penempatan awal masyarakat Cina berdasarkan kedudukan penemuan tempayan tersebut terletak kira-kira 200 meter dari kawasan jirat Cina.
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan menjalankan kajian lanjut termasuk ujian “carbon dating” untuk memastikan asal-usul sebenar tempayan berkenaan ditemui.
PENEMUAN DI KERUBONG
Bahan-bahan peralatan seramik termasuk tembikar-tembikar dan batu giling dengan anaknya yang dipamerkan di sini telah dijumpai di Kampung Kerubong, lebih kurang 13km dari Kota Melaka pada tahun 1960. Penemuan ini berlaku semasa pihak kontraktor binaan menjalankan kerja menggali parit di kawasan tersebut. Kesemua bahan penemuan ini telah diambil alih darinya untuk dipamerkan.
Bahan-bahan seramik ini ialah dari jenis Ming, batu giling dan anaknya merupakan peralatan bagi penyediaan bahan-bahan perhiasan. Asal-usul tembikar tanah pula tidak dapat dikenalpasti. Kesemua bahan tersebut ditemui di pedalaman negeri, jauh dari Kota Melaka.
Di sekitar Tampoi, berdekatan dengan Kerubong terdapat satu kawasan perkampungan sejak dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pihak Portugis juga telah mendirikan sebuah gereja di Tampoi yang telah dimusnahkan oleh Belanda pada tahun 1606. Serangan ke atas perkampungan ini oleh Portugis atau Belanda telah menyebabkan penduduk melarikan diri. Mengikut adat yang diamalkan ketika itu, sesiapa yang meninggalkan kampung halaman mereka dalam suasana huru-hara akan menanam harta benda mereka dengan harapan dapat mengambilnya kembali pada satu hari nanti. Apabila hasrat ini tidak tercapai kerana sebab-sebab yang tertentu, maka harta benda yang disembunyi akan tetap berada di tempat yang ditanam sehingga ia dijumpai semula.