MUZIUM SEJARAH / HISTORY MUSEUM
KELONG
Sebuah kawasan yang dikelilingi laut dan kaya dengan pelbagai jenis ikan sudah tentunya akan membuat penduduknya bergantung kepada laut untuk kehidupan mereka, begitu juga Melaka. Sejak dahulu lagi, sebelum kewujudan Kerajaan Melaka, penduduk-penduduknya telah terlibat dalam penangkapan dan penjualan ikan. Penangkapan ikan memerlukan satu teknik untuk mendapat hasil ikan yang banyak. Ia bergantung kepada keadaan, pelbagai jenis perangkap ikan telah dicipta dan yang paling besar sekali digunakan di kawasan ini ialah kelong.
Di kepulauan ini, kelong telah digunakan untuk menangkap ikan sejak beratus-ratus tahun dahulu. Mendirikan kelong adalah satu karya seni yang tersendiri. Pembina kelong perlu mengetahui pengaliran air laut, kedalamannya, pergerakan jenis-jenis ikan dan pasang surut air laut supaya ikan-ikan akan masuk ke dalam perangkap ini sehingga ke jala yang sedia ada. Ikan yang terperangkap itu akan dinaikkan dengan jala ataupun disauk semasa air surut.
Kelong-kelong ini kebanyakannya terdapat di pesisiran pantai, kadangkala sehingga
10 kilometer dari pantai. Kelong diperbuat daripada batang nipah iaitu sejenis kayu yang paling sesuai untuk kegunaan di laut. Pada masa sekarang, dengan adanya penangkapan ikan laut dalam, kelong sudah tidak digunakan lagi.
Walaubagaimanapun, ia masih boleh dilihat di kawasan-kawasan yang berdekatan dengan pantai Klebang, Tanjung Bidara dan Umbai.
PERTANIAN DI MELAKA
Negeri Melaka tidak begitu terkenal dalam bidang pertanian. Namun begitu kegiatan pertanian telah diusahakan sebelum penubuhan Kerajaan Melayu Melaka. Padi, ubi kayu, tebu, gambir dan sebagainya ditanam dan diusahakan. Walaupun keadaan tanah tidak mengizinkan perkembangan bidang pertanian. Melakalah yang memperkenalkan perusahaan penanaman padi ke Semenanjung ini. Diorama ini menunjukkan aktiviti pertanian di Melaka.
Sejarah Melayu menceritakan bahawa terdapat satu kawasan luas di Bertam di mana tanaman padi diusahakan. Sumber-sumber Portugis juga mengesahkan tentang aspek pertanian tersebut. Sawah-sawah Negeri Melaka tidak meliputi satu kawasan yang luas kecuali di kawasan-kawasan Bukit Rambai dan Merlimau. Penanaman padi diusahakan di gaung-gaung yang terdapat di antara perkampungan. Penanaman padi juga dibuat mengikut musim hujan. Terdapat dua sistem tanaman padi di negara ini iaitu tanaman padi bukit dan padi sawah. Negeri Melaka hanya mengamalkan sistem tanaman padi sawah. Sebidang sawah yang dipenuhi dengan menerung dan rumput-rampai yang tebal akan dibersihkan dan dibajak. Air yang dilepaskan ke dalam sawah akan melembutkan tanah dan rumput-rampai akan dibuang sebelum anak padi ditanam dalam satu barisan yang sistematik. Tanaman ini dibajak dari semasa ke semasa dan dikawal sehingga padinya masak dalam masa enam hingga lapan minggu. Ada juga jenis padi yang mengambil masa yang lebih panjang. Padinya dituai, dibanting, dikeringkan dan ditumbuk untuk mendapatkan beras.
Pada tahun 1960-an, Kota Melaka dikelilingi oleh sawah-sawah padi. Walaupun Negeri Melaka masih mengusahakan penanaman padi dari zaman dahulu, ia tidak dapat menampung keperluan tempatan. Tanaman padi di Melaka tidak dibuat secara komersial tetapi hanya untuk menampung keperluan keluarga sahaja. Tanaman padi termasuk menuai, dibuat secara tradisi dengan menggunakan alat-alat seperti bajak, sisir, tong banting padi, kisaran padi, penampi padi dan lain-lain, serta binatang-binatang seperti kerbau dan lembu.