MUZIUM SEJARAH / HISTORY MUSEUM
KEDAI BUKU TERPAKAI INDIA
Pendatang India dari Ramnadis di Tamilnadu, India Selatan dikatakan yang telah memulakan kedai perniagaan buku terpakai pada Zaman Kemelesetan lewat tahun 1920-an dan awal tahun 1930-an. Kedai-kedai ini membekalkan buku-buku sekolah terpakai disebabkan pada masa itu isi kandungan buku-buku sekolah tidak selalu berubah. Sasaran pembelinya adalah murid-murid sekolah yang tidak berkemampuan untuk membeli buku-buku sekolah yang baru. Selepas Perang Dunia ke-2 buku-buku lain seperti buku-buku cerita, buku-buku rujukan dan majalah-majalah turut dijual.
KOPITIAM
Kedai kopi dahulu kala dikenali dengan nama kopitiam yang diselenggarakan oleh orang-orang Cina Hainan dan Hock Chiew. Kopitiam merupakan tempat pertemuan pekerja-pekerja cina pendatang awal. Selepas sehari suntuk bekerja, mereka berkumpul untuk meminum kopi dan berehat serta bertukar-tukar khabar dan berita dari kampung (China). Boleh dikatakan inilah sesi untuk pekerja-pekerja pendatang ini beristirehat. Kemudian orang tempatan dan orang asing lain juga minum kopi di kopitiam. Lama kelamaan makanan-makanan seperti mi, kuih pau serta roti bakar yang disapu serikaya turut dihidangkan. Serikaya diperbuat daripada telur, gula dan santan yang dikukus selama beberapa jam.
SATE
Sate adalah masakan etnik yang digemari oleh orang tempatan dan juga pelancong. Daging ayam, kambing, lembu atau perut lembu dipotong kecil dan diperap dalam campuran beberapa jenis rempah ratus, kemudian dicucuk dengan lidi daun kelapa ataupun buluh yang diraut dan dibakar di atas bara api. Sate dihidangkan dengan potongan bawang besar mentah, timun dan ketupat. Secara tradisional, daun kelapa muda yang dianyam menjadi beg-beg kecil diisi dengan beras dan direbus selama beberapa jam untuk menghasilkan ketupat. Kini ketupat disediakan dalam beg-beg plastik atau kain sahaja.
Adalah dipercayai bahawa sate telah diperkenalkan oleh pendatang-pendatang dari Jawa yang tiba di Semenanjung untuk mencari penghidupan baru. Mereka menjaja sate dengan mengandarnya dalam dua buah bakul.