MUZIUM SEJARAH / HISTORY MUSEUM

MODEL KAPAL PORTUGIS

Model kapal perang Portugis yang dipanggil ‘Barinel’. Ia hanya digunakan untuk mengangkut barang-barang yang dibawa oleh kapal.

KAPAL TONGKANG CHINA

China sememangnya terkenal sebagai pelopor dalam bidang perkapalan dunia. Kapal-kapal mereka biasa belayar ke India dan Arab. Tongkang ialah sebuah kapal yang terkenal dan ia sering digunakan untuk belayar pergi balik ke Melaka. Kapal bentuk ini berada di pelabuhan Kota Melaka semasa Albuquerque menyerang Melaka pada tahun 1511.

MODEL KAPAL ‘FLORA de LA MAR’

Flora de La Mar adalah kapal perang Portugis jenis ‘NAU’. Ianya adalah sebuah kapal yang agak luas dan besar. Ianya mempunyai tiga tiang dan dua ‘castle’, iaitu ruang kediaman dan boleh membawa 600 orang. Muatan kapal Flora de La Mar adalah 500 tan. Tarikh dan tempat pembinaanya tidak diketahui apabila Albuqurque hendak menyerang Melaka kapal ini berada di dalam keadaan yang kurang baik dan tidak ada seorang kapten pun yang berani membawanya. Albuqurque terpaksa membawanya untuk menyerang Melaka. Walaupun ianya bocor tetapi dapat memainkan peranannya dalam menawan Melaka. Pada 26 Jun 1512, kapal Flora de La Mar tenggelam di Selat Melaka semasa pelayaran balik ke Goa beserta segala harta-harta yang dibawanya.

MODEL KAPAL PERANG PORTUGIS

Model kapal Portugis ini dikenali sebagai “Nau”. Kapal Nau ini terkenal sebagai kapal perang Portugis yang handal. Ia dilengkapi dengan senjata untuk menghadapi sebarang kesulitan dan ia juga digunakan untuk mengangkut barang-barang muatan antara 300 hingga 400 tan.

MODEL KAPAL CARAVELA

Kapal Caravela adalah kapal Portugis yang digunakan sebagai kapal Perang kerana kelajuan dan kepantasannya. Ianya juga mudah bergerak kemana-mana arah yang dikehendaki dan beratnya tidak melebihi 200 tan. Kapal Caravela memainkan peranan utama dalam pergerakan Portugis dipelayaran Asia.

ALMARI PORTUGIS

Almari kecil tempat menyimpan dokumen-dokumen Portugis yang mengandungi 16 laci yang kecil dan dua laci yang besar ini ditempatkan di atas sebuah meja yang sama bentuk. Ia mempunyai satu lapisan kayu halus yang bermotifkan pohon anggur dan pola-pola yang rumit. Laci-laci ini dihiasi dengan ketulan tembaga yang menarik. Lambang Kerajaan Portugis juga menghiasi muka atas almari ini. Almari Portugis ini ialah bahan tunggal jenis ini yang terdapat di Asia Tenggara. Ia dibuat pada kurun ke 16.

KEDATANGAN PORTUGIS

Setelah menakluki Goa, Portugis mendapati punca kekayaan mereka bukan berada di India tetapi di Asia Tenggara. Mereka mengumpulkan maklumat-maklumat dari semua anak-anak kapal yang datang ke Goa dan akhirnya menyedari ‘sesiapa bertuankan Melaka, ada kuasa untuk mencekik leher Venice’. Desakan perasaan yang sangat ingin tahu tentang kekuatan Melaka, sebuah angkatan yang mengandungi 5 buah kapal dihantar ke Melaka diketuai oleh Diego Lopez de Sequeira dan mereka tiba di Melaka pada 11 September 1509. Itulah buat pertama kalinya sekumpulan orang Barat mendarat di Melaka dan rakyat Melaka menyambut kedatangan Portugis ini dengan perasaan hairan melihat rupa dan kulit pendatang itu. Mereka digelar sebagai ‘Benggali Putih’. Ada yang memutar janggut dan ada yang menepuk kepala, ada yang mengambil cepiaunya dan ada yang memegang tangan.

Kedatangan Portugis ke Melaka bukanlah satu petanda yang baik bagi Kota Melaka. Zaman gelap dan kesulitan bagi Kesultanan Melaka sudah pun bermula.

PENDARATAN PERTAMA PORTUGIS

Apabila baginda melihat Albuquerque dan angkatannya datang dan menembak meriam ke arah Melaka, Sultan Mahmud Syah menyoal tujuan kedatangan mereka. Albuquerque mengemukakan beberapa syarat yang hanya ditunaikan sebelum dia boleh berbincang mengenai soal perdamaian. Sultan Mahmud pula mencadangkan supaya diadakan perdamaian terlebih dahulu sebelum hal-hal lain diselesaikan. Sultan Mahmud sengaja melambat-lambatkan perbincangan, sementara askar-askar Melayu mengukuhkan pertahanan Kota Melaka. Apabila tidak ada sebarang perkembangan selama 6 hari, Albuquerque membakar beberapa buah rumah di pantai dan memusnahkan banyak kapal dagangan melainkan tongkang-tongkang China dan beberapa kapal India dari Tanjung Comorin. Albuquerque ingin menguji kekuatan Melaka dan mengatur serangan pertama pada 25 Julai 1511. Pasukan Portugis berpecah kepada dua pasukan iaitu menyerang dari selatan masjid besar Melaka sementara satu pasukan lain mendarat di seberang sungai bahagian bandar. Satu pertarungan sengit telah berlaku antara askar-askar Portugis dan askar-askar Melayu serta orang-orang Jawa. Ramai daripada askar-askar kedua-dua pihak mengalami cedera parah dan mati. Akhirnya pihak Portugis terpaksa berundur ke kapal mereka membawa bersama askar-askar yang cedera. Kapten-kapten askar Portugis hendak pulang ke Goa, tetapi Albuquerque tetap hendak menakluki Melaka.

PERGADUHAN DI ANTARA PORTUGIS DAN ORANG-ORANG MELAKA

Walaupun Diego Lopez de Sequiera datang untuk mewujudkan perhubungan dengan Melaka, pihak Portugis gagal untuk melahirkan satu suasana yang baik semasa bertemu dengan Bendahara Tun Mutahir. Mereka hanya mementingkan semangat ‘Perang Salib’ dan Islam dianggap sebagai musuh ketat mereka.

Pedagang-pedagang Arab, Gujerat dan beberapa suku kaum India telah mengalami keganasan askar-askar Portugis di Hormuz, Goa, Calicut dan Lautan Arab. Mereka tidak senang hati melihat kedatangan Portugis bukan kerana takut bersaing tetapi kerana mereka tahu tujuan sebenar Portugis. Orang Portugis berlagak sombong tanpa menghiraukan sensitiviti orang-orang kosmopolitan di Melaka. Orang-orang Melayu yang menerima mereka sebagai Benggali Putih berasa kecewa dengan kelakuan askar-askar Portugis. Akhirnya berlaku perkelahian antara orang-orang Portugis dengan orang-orang Melaka. Pergaduhan tersebut tidak membawa kepada peperangan, akan tetapi ia memaksa kerajaan meninjau semula persetujuan yang dibuat dengan Portugis membenarkan mereka berniaga. Seramai 18 orang Portugis ditangkap dan Sequiera terus melarikan diri ke Lisbon selepas membedil Kota Melaka. Kedatangan Portugis kali kedua membawa kepada peperangan pertama di Kota Melaka.

SERANGAN BELANDA PADA TAHUN 1640

Selepas serangan Belanda pada tahun 1606 dan kemudian pada tahun 1608 tidak berjaya, Belanda telah mengatur strategi lain dan secara sistematik menghapuskan angkatan tentera laut Portugis di perairan ini. Mereka juga berjaya mendapat sokongan Johor dan Acheh untuk menyerang Portugis tetapi Acheh menarik diri kerana enggan bekerjasama dengan Johor.

Pada Jun 1640, sebanyak 12 kapal perang Belanda dan 6 kapal membawa 3000 orang askar Belanda tiba di pelabuhan Melaka dan membedil Kota Portugis. Pasukan ini diketuai oleh Adriaen Antonisson. Pasukan Portugis di bawah Gabenor Manuel de Souza Coutinho, membalas tembakan dengan meriam-meriam besar. Pada penghujung bulan Julai, Sultan Johor tiba dengan 1500 orang askar untuk membantu Belanda. Pada 2 Ogos 1640, gabungan askar ini mendarat di Tengkera dan berjaya mengatasi pertahanan Portugis di sana. Askar-askar Portugis berundur ke Kota Portugis dan menyediakan pertahanan mereka.

Sangkaan Belanda bahawa Kota Portugis boleh ditawan dengan mudah adalah tidak benar. Bermulalah satu episod di mana ramai orang di kedua belah pihak telah terkorban.

SERANGAN ACEH (1628-1629)

Permusuhan ketat di antara Aceh dengan Portugis bermula dari tahun 1521 sehingga kedua-dua belah pihak tidak dapat mengalahkan antara satu sama lain. Portugis cuba menyekat Aceh tetapi tidak berjaya. Acheh juga melancarkan serangan demi serangan ke atas Portugis di Kota Melaka tetapi tidak dapat menawan kubu pertahanan Portugis. Setiap pertempuran di antara Aceh, dengan semangat gigihnya dan Portugis dengan semangat gagahnya menjadi lebih sengit terdahulu sebelum itu.

Mahkota Alam, Sultan Aceh sejak tahun 1612, sememangnya ingin menguasai Melaka. Sebagai langkah pertama, baginda telah menyerang serta menakluki Perak, Pahang dan Kedah. Persiapan untuk menyerang Melaka dibuat selama dua tahun. Pada tahun 1628, baginda mengumpul 20,000 orang dan 300 buah kapal untuk menyerang Melaka. Beliau memusnahkan kapal-kapal dan kubu-kubu Portugis di Bukit Senjuang, Bukit China, dan di seberang Sungai Melaka. Askar-askar Portugis berhimpun di dalam kota dan menunggu ketibaan bantuan dari Goa. Walaupun beberapa kali mencuba, namun askar-askar Acheh tidak dapat menembusi Kota Portugis. Akhirnya mereka mengepung Kota Portugis dari setiap sudut dan mendirikan kubu berhampiran dengan benteng Portugis. Askar-askar Aceh terpaksa meninggalkan Melaka apabila angkatan Portugis yang mengandungi 80 kapal perang tiba di muara Sungai Melaka dan mengepung kapal-kapal Acheh. Hanya 16 buah kapal Acheh sahaja dapat melepaskan diri dari serangan ini.

SERANGAN PORTUGIS DENGAN TONGKANG

Albuquerque tidak pernah patah semangat walaupun serangan pertama beliau tidak berjaya. Beliau menerima sokongan pedagang-pedagang China yang menyerahkan tongkang-tongkang mereka kepada Albuquerque. Ketua pasukan Jawa di Kota Melaka, Utimuti, secara sulit berhubung dengan Albuquerqeu dan sanggup membantunya. Nina Chattu, seorang saudagar India juga menghantar berita sulit kepada Albuquerque.

Ruy de Arajo, seorang tahanan di Melaka juga memberitahu kepentingan jambatan yang menyambungkan Istana dan bandar. Menyedari bahawa penawanan jambatan itu boleh memecahkan kekuatan Kota Melaka, Albuquerque ingin menggunakan tongkang China untuk menawan jambatan itu. Pada malam sebelum serangan kedua, kapal-kapal Portugis telah membedil Kota Melaka. Apabila Albuquerque melancar serangan yang kedua, beliau mendapat kepastian sokongan orang-orang Jawa dan sekumpulan India selatan. Pada pagi 10 Ogos 1511, Albuquerque melengkapkan sebuah tongkang dan merapatkannya ke jambatan itu. Dari situ, Portugis membedil masjid, istana dan bandar. Orang-orang Jawa tidak membantu pada kali ini, walaupun dibayar gaji pendahuluan sebanyak tiga bulan. Sultan Ahmad sendiri menaiki gajahnya dan cuba memberi semangat kepada askar-askar Melayu tetapi masih gagal melawan serangan berdisiplin askar-askar Portugis. Akhirnya Melaka ditawan.

BENDAHARA TEPOK DIUSUNG KELUAR

Tun Mat anakanda kepada Tun Perak telah dilantik menjadi Bendahara menggantikan Tun Mutahir. Semasa Portugis menyerang Kota Melaka, Tun Mat memegang jawatan Bendahara. Ketika itu, Tun Mat telah pun lanjut usianya manakala kakinya pula lumpuh. Beliau enggan menerima jawatan Bendahara tetapi dipaksa menerimanya. Beliau diusung ke mana-mana termasuk ke Balairung Seri. Beliau dikenali dengan nama Bendahara Tepok. Albuquerqe dan angkatannya sudah pun menawan jambatan dan masjid besar Melaka. Mereka membedil Banda Hilir sepanjang malam dan meriam juga digunakan untuk membedil istana. Sultan Mahmud dan Sultan Ahmad bersama-sama keluarganya telah berundur ke Bukit Sebukur dan Bertam Ulu. Apabila askar-askar Portugis menyerang Istana dan balai-balai, Bendahara Tepok yang berada di istana Besar diusung keluar untuk diselamatkan. Walaupun beliau lumpuh, Bendahara Tepok masih ingin melawan askar-askar Portugis dan mati di medan peperangan. Hasrat Tun Mat tidak tercapai. Beliau meninggal dunia di Lubuk Batu, Segamat. Meskipun lumpuh, semangatnya tinggi.

TUN SERI LANANG

Tun Seri Lanang, cicit kepada Bendahara Tun Perak ialah Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad @ Mahmud pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah Johor. Beliau telah ditugaskan untuk menjadi orang pertama menyunting Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin) oleh Sultan Alauddin Riayat Syah Johor semasa baginda dalam tawanan Sultan Acheh Mahkota Alam di Pasai. Sejarah Melayu meriwayatkan peristiwa-peristiwa sejarah Kesultanan Melaka merentasi 600 tahun yang mengandungi adat - istiadat istana, salasilah raja-raja dengan amalan berkomplot, mitos dan tokoh-tokoh lagenda yang menarik walaupun melepasi tiga abad. Tugasan ini bermula pada 13 Mei 1612. Sejarah Melayu disunting kali kedua oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, lebih terkenal dengan nama Munsyi Abdullah yang meninggal dunia pada tahun 1854.

KEBINASAAN KOTA MELAKA DAN RAMPASAN KEKAYAAN MELAKA

Kota Melaka jatuh kepada Albuquerqe pada 10 Ogos 1511. Pengunduran Sultan ke Bertam Ulu, memberi peluang Albuquerqe merancang untuk menghapuskan tentangan dari askar-askar Melayu, orang-orang Islam, Gujerat dan Hindu. Albuquerqe mengarahkan supaya barisan askar-askar Portugis menghapuskan sebarang tentangan. Askar-askar Portugis pergi ke setiap tempat dan membunuh sesiapa yang disyaki, samada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Orang-orang Pegu dan Hindu dari Tanjung Comorin dibenarkan balik dengan harta-harta mereka apabila mereka menyerah diri. Pada 24 Ogos 1511, Albuquerqe mengeluarkan arahan supaya semua harta Kota Melaka dirampas. Rumah Nina Chattu dan orang-orang Jawa yang telah menolong Portugis membunuh orang-orang yang menentang mereka tidak diusik. Askar-askar Portugis telah merampas kekayaan Kota Melaka dan kekayaan Sultannya. Harta yang dirampas termasuk kerusi-kerusi emas, pasu-pasu emas, ketulan emas, perkakas emas, batu-batu permata, kain sutera, wangi-wangian dan barang-barang lain yang berharga serta antara 2000 hingga 3000 pucuk meriam tembaga.

Kota Melaka semasa zaman Kesultanan Melaka telah dibinasakan dan kekayaan Melaka dirampas. Identiti Kesultanan Melayu Melaka telah dihapuskan setelah tibanya orang Portugis.

PEMBINAAN FORTALEZA – KOTA PORTUGIS PERTAMA

Kejatuhan Kota Melaka pada bulan Ogos 1511 kepada Portugis tidak bermakna Sultan Melaka mengaku kalah dan berpindah ke Johor. Albuquerque sedar Sultan Mahmud Syah yang membuat kubu-kubu pertahanan di Batu Hampar, Bertam dan Taboh Naning pasti akan cuba menawan semula Melaka. Beliau pula ingin mengekalkan kedudukan Portugis di Melaka. Walaupun Albuquerque hanya berada di Melaka hingga bulan Januari 1512, beliau dapat mendirikan sebuah kota kecil untuk mempertahankan serangan terhadap mereka. Beliau bukan sahaja hendak menakluki Melaka selama-lamanya, tetapi juga mahu membangunkan semula aktiviti perniagaan dan perdagangan dengan segera.

Untuk mendirikan sebuah kota yang kukuh, beliau telah memecahkan istana Raja yang terletak di atas bukit dan masjid besar yang terdapat di kaki bukit. Batu-batu yang dikumpulkan dari pecahan istana, masjid dan makam-makam raja yang terdapat di belakang masjid mencukupi untuk mendirikan sebuah kota kecil di antara Bukit Melaka (Bukit St. Paul sekarang), muara dan Sungai Melaka yang mengandungi sebuah benteng muara yang bermenara setinggi lima tingkat. Seramai 1,500 orang hamba abdi termasuk orang-orang Melayu yang ditangkap selepas peperangan dipaksa mendirikan kota Portugis yang pertama.

Kemudian, kota kecil ini diperluaskan mengelilingi Bukit St. Paul.

KEPULANGAN ALBUQUERQUE DENGAN FLORA DE LA MAR

Albuquerque tiba di Melaka pada 1 Julai 1511 untuk menawan dan melumpuhkan kuasa Melaka. Beliau Berjaya menawan Melaka pada 10 Ogos 1511. Untuk mengukuhkan kedudukan Portugis di Melaka, beliau telah mendirikan kota iaitu ‘A Famosa’ di antara bukit dan Sungai Melaka. Beliau juga menghapuskan semua tentangan Portugis di Melaka seperti Utimutiraja dan orang-orang Jawa yang ingin merampas kuasa dan Sultan Ahmad di Bertam Ulu. Beliau juga mewujudkan satu sistem pentadbiran Kota Melaka yang kebanyakannya mengikut sistem Raja Melaka. Rui de Brito dilantik menjadi ketua kota dan Nina Chattu.

Albuquerque berasa puas hati dengan keadaan di Melaka dan hendak pulang ke Goa. Beliau menghimpunkan semua khazanah Melaka di dalam kapal Flora De La Mar termasuk berpuluh-puluh wanita yang mahir menenun, membuat seni khat dan menari. Pembesar-pembesar Portugis dan penyokong-penyokongnya berhimpun di A Famosa untuk mengucapkan selamat jalan. Albuquerque bertolak ke Goa pada 20 Januari 1512 dengan kapal Flora De La Mar. Dua kapal Portugis dan sebuah kapal Jong menyertai rombongan Albuquerque. Enam hari kemudian, kapal Flora De La Mar tenggelam di perairan Haru, Sumatera. Walau bagaimanapun Albuquerque dapat menyelamatkan diri.

Terdapat dua cerita mengenai karamnya Flora De La Mar:

a) Kerana angin ribut yang tiba-tiba bertiup kencang telah menyebabakn kapal melanggar batu karang dan terus tenggelam.
b) Kerana keuzuran dan kebocoran kapal dengan muatan yang berlebihan menyebabkan kapal tenggelam.

SERANGAN PERTAMA ACEH

Apabila Melaka diambilalih oleh Portugis, pedagang-pedagang memindahkan perniagaan mereka ke Pasai, Pedir dan Acheh di sumatera Utara. Portugis yang ingin menguasai perdagangan di Selat Melaka meletakkan satu pasukan tentera laut untuk mengalihkan kapal-kapal pedagang dari Pasai ke Melaka. Pada tahun 1521, mereka telah campur tangan dalam politik Pasai dan meletakkan penyokong mereka sebagai sultan. Apabila Portugis mencuba taktik yang sama di Pedir, Acheh mengambil alih Pedir. Portugis terpaksa menyerang Acheh dan mengalami kekalahan yang teruk. Pada tahun 1523, Acheh menakluki Pasai dan mengusir Portugis dari Sumatera Utara. Pertarungan yang sengit bermula di antara Acheh dan Portugis yang mengakibatkan situasi yang tidak selamat bagi Portugis di Selat Melaka.

Serangan pertama Acheh ke atas Kota Portugis di Melaka berlaku pada tahun 1537. Sebelum itu, mereka cuba menyatukan kerajaan-kerajaan tempatan di utara Semenanjung melawan Portugis. Pada suatu malam, tiga ribu orang askar Acheh telah mengejutkan Kota Melaka. Walaupun dapat menaiki Kota A Famosa, mereka tidak dapat mengatasi askar-askar Portugis. Pada hari kedua, askar-askar Portugis lebih bersedia dan menembak kapal-kapal Acheh dan memasang pelita-pelita di sekeliling kota.

Akhirnya, orang-orang Acheh membakar dua kapal Portugis yang ada di pelabuhan dan berundur ke Kedah.

KEDATANGAN RAHIB FRANCIS XAVIER

Francis Xavier lahir pada 1497 di Istana Navarre, Sepanyol. Beliau menjadi salah seorang rekrut pertama menganggotai kumpulan Nabi Isa. Beliau tiba di Lisbon pada tahun 1540 untuk mengembara ke India, Asia Tenggara, Jepun dan China bagi mengembangkan mazhab Katolik.

Beliau bertolak dari Lisbon ke Mozambique dan beberapa tahun kemudian, tiba di Goa pada tahun 1542. Pada akhir bulan September 1545, beliau sampai ke Melaka. Nama Rahib Francis Xavier sudah pun terkenal di Melaka sebelum kedatangan beliau ke situ. Apabila ia tiba di Melaka, semua orang Portugis dan berketurunan Portugis berkumpul di Muara Sungai Melaka untuk menyambut kedatangannya. Dengan ini, Melaka menerima satu lagi ajaran Kristian iaitu Mazhab Katolik. Tujuan kedatangan beliau ialah untuk mengembangkan ajaran agama Katolik di Melaka. Beliau telah tinggal di hospital bersama-sama dengan pesakit. Beliau juga telah membuka sekolah Portugis pertama di Bukit St. Paul, berhampiran dengan gereja.

Beliau datang ke Melaka sebanyak lima kali di antara tahun 1545 dan 1552. Setiap kali beliau tiba di Melaka, beliau akan disambut meriah walaupun Melaka sendiri tidak menerima Mazhab Katolik seperti yang diharapkan, tetapi ia menjadi pusat perkembangan Mazhab Katolik di Nusantara ini.

SERANGAN HANG NADIM

Selepas kejatuhan Kota Melaka, Sultan Mahmud yang berundur dari Taboh Naning ke Ulu Muar telah menetap di Pagoh dan Bentayan dan menyerang kubu Portugis di Melaka tetapi tidak berjaya. Kemudian Sultan Mahmud dan Sultan Ahmad telah berundur ke Bentan. Sultan Ahmad dibunuh pada 1513 kerana tidak menghormati orang-orang tua dan tidak lama kemudian, Laksamana Khoja Hassan meninggal dunia dan digantikan oleh Hang Nadim. Hang Nadim adalah seorang wira Melayu yang gagah berani serta berkali-kali menyerang Melaka atau harta Portugis di mana-mana di rantau ini untuk menawan Melaka semula. Beliau mengalami kecederaan sebanyak 34 kali, tetapi semangat beliau tidak pudar walaupun percubaan Sultan sendiri sering tidak berjaya.

Hang Nadim sendiri menyerang Melaka pada tahun 1513. Beliau juga membantu Sultan Mahmud dalam serangan 1519 dan 1523 terhadap Melaka. Hang Nadim juga mengepung Melaka supaya bahan-bahan makanan tidak dapat dibawa masuk. Walaupun berjaya mengepung Melaka, Hang Nadim tidak dapat mengatasi Kota A Famosa. Semasa Portugis menyerang Bentan dan Kopak, Hang Nadim menunjukkan kepimpinannya.

Keberanian Hang Nadim di medan perang disanjung dan balasan serangan memusnahkan perdagangan Melaka dan menyekat semangat perjuangan Portugis.

PEPERANGAN DI BERTAM ULU

Bertam Ulu ialah tempat permulaan kerajaan Melayu Melaka dimana Parameswara tinggal di sini sebelum pembukaan Melaka. Di sinilah Sultan Ahmad berundur selepas Portugis menawan Kota Melaka. Pada awalnya, baginda yakin Albuquerque akan balik selepas merampas kekayaan Kota Melaka sebelum musim angin berubah. Apabila Albuquerque mendengar Sultan Ahmad membuat kubu-kubu di Bertam Ulu dan Sultan Mahmud berada di Taboh Naning, beliau menghantar sebuah pasukan untuk menyerang Sultan Ahmad pada penghujung bulan September 1511. Pertempuran berlaku di antara orang-orang Melayu dan askar-askar Portugis. Askar-askar Portugis yang bersenjata lengkap dapat mengalahkan pasukan Sultan Ahmad dan orang-orangnya berundur ke Taboh Naning. Portugis pula balik ke Melaka selepas membakar kubu pertahanan Sultan Ahmad.

Bertam Ulu yang menjadi tempat permulaan Kerajaan Melaka juga menjadi tempat penamat kerajaan tersebut.

TUN MUTAHIR

Temenggong Tun Mutahir menggantikan Tun Perak pada tahun 1498 di zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Beliau adalah sepupu kepada Tun Perak. Gelarannya ialah Bendahara Seri Maharaja. Beliau merupakan Bendahara yang paling kaya dan amat berkuasa antara Bendahara-Bendahara Melaka. Pada tahun 1509, Melaka menyaksikan kedatangan angkatan ekspidisi perdagangan Diraja Portugis pertama di bawah pimpinan Diego Lopez de Sequiera. Orang-orang Melayu menggelar mereka ‘Benggali Putih’. Pergaduhan telah berlaku dengan orang-orang Melayu tempatan menyebabkan kebanyakan orang-orang Portugis meninggalkan Melaka kecuali dua puluh orang Portugis yang tertinggal di Melaka. Amalan ‘nepotisme’ dalam pentadbiran kerajaan Tun Mutahir tidak menyenangkan sesetengah pihak.

Pada tahun 1510, Sultan Mahmud Syah menghukum bunuh Tun Mutahir dan seluruh keluarganya atas tuduhan berkomplot untuk membunuh Sultan dan menggulingkan baginda. Adalah dipercayai bahawa Melaka tidak akan dijajah kuasa asing sekiranya beliau masih hidup.

PERKAHWINAN TUN FATIMAH – TUN ALI

Tun Fatimah, anak perempuan kepada Bendahara Tun Mutahir, ialah seorang yang sangat cantik. Beliau dijodohkan dengan Tun Ali, anak saudara Tun Mutahir. Sebelum pernikahan itu dilangsungkan, Raja di Baroh selalu mengunjungi kediaman Tun Mutahir. Apabila beliau melihat kecantikan Tun Fatimah, beliau telah mengugut Tun Mutahir agar perkahwinan itu dihentikan. Sebelum ini, Tun Teja telah pun mangkat dan mengikut adat, anak Benadahara akan menjadi raja perempuan. Akan tetapi, Tun Mutahir enggan menerima nasihat Raja di Baroh dan meneruskan juga perkahwinan anaknya. Sultan Mahmud dijemput menghadiri upacara pernikahan Tun Fatimah dengan Tun Ali. Baginda berangkat ke rumah Tun Mutahir pada hari perlangsungan perkahwinan itu. Apabila Sultan melihat kecantikan Tun Fatimah, Baginda berasa sakit hati dengan perbuatan Tun Mutahir. Setelah upacara perlangsungan perkahwinan tamat, baginda berangkat pulang tanpa bersantap. Peristiwa ini manimbulkan rasa dendam di dalam hati Sultan Mahmud terhadap Tun Mutahir. Perasaan ini akhirnya membawa kepada pembunuhan Tun Mutahir.

SULTAN MAHMUD SYAH (1481-1511)

Raja Muhammad telah menaiki takhta berikutan kemangkatan ayahandanya, Sultan Alauddin Riayat Syah dan digelar sebagai Sultan Mahmud Syah. Tun Perak adalah Bendahara Melaka pada sebahagian daripada pemerintahannya. Tun Perak meninggal dunia pada tahun 1498 dan digantikan oleh Tun Mutahir sebagai Bendahara. Pada tahun 1510, Sultan Mahmud Syah menghukum bunuh Tun Mutahir sekeluarga kerana dituduh berkomplot hendak membunuh Baginda Sultan. Pada 24 Julai 1511, Sultan Mahmud Syah diusir keluar oleh Portugis yang menyerang Melaka. Baginda berundur ke Johor, Pahang dan Bentan di Sumatera. Pada tahun 1526, Baginda diusir dari Bentan oleh Portugis. Baginda berundur ke Kampar dan akhirnya mangkat di Kampar pada tahun 1530.

PEMBUNUHAN BENDAHARA TUN MUTAHIR

Bendahara Seri Maharaja ialah salah seorang daripada dua Bendahara yang banyak menyumbang jasa kepada Negeri Melaka sehingga ia mencapai status satu empayar yang disegani. Ketika itu, Melaka terkenal dengan jolokan pisang jarum, air Bukit China dan Bendahara Seri Maharaja. Hanya Sultan Mahmud sahaja mendendami Tun Mutahir kerana tidak mengahwinkan Tun Fatimah dengannya.

Raja Mendeliar ialah seorang saudagar kaya dari India Selatan dan Kitul telah berhutang dengannya. Bendahara Tun Mutahir pula sedang membicarakan satu dakwaan antara Raja Mendeliar dan Nina Sura Dewana. Oleh kerana dia mempercayai kata-kata Kitul, Raja Mendeliar khuatir yang beliau akan kalah dalam dakwaan itu. Beliau bertemu dengan Laksamana Khoja Hassan dan memfitnah bahawa Tun Mutahir hendak menggulingkan Sultan Mahmud dan memegang takhta Kerajaan Melaka. Laksamana Khoja Hassan mengadap Sultan dan menyampaikan kata-kata Raja Mendeliar. Sultan Mahmud mengambil kesempatan ini untuk membalas dendam dan mengarahkan supaya Tun Mutahir serta keluarganya dibunuh.

Apabila pesuruh-pesuruh Sultan sampai ke rumah Bendahara dan menyampaikan titah Sultan, orang-orang kampung Bendahara hendak menentang mereka. Tun Mutahir menasihatkan mereka supaya jangan menderhaka dan beliau sanggup dibunuh. Semua anggota keluarga Tun Mutahir termasuk adik-beradiknya turut dibunuh kecuali Tun Fatimah dan adiknya. Tun Fatimah dibawa ke istana dan Sultan mengahwininya. Selepas itu baru Sultan Mahmud sedar bahawa Tun Mutahir telah difitnah. Raja Mendeliar dan Kitul serta keluarga mereka telah dihukum bunuh manakala Laksamana Khoja Hassan diampunkan. Pembunuhan Tun Mutahir telah memecah-belahkan masyarakat Melaka. Seorang Kapten Portugis memberi sanjungan kepada Tun Mutahir : “Pada bicara kita, tidak akan kalah Melaka jikalau ada lagi Bendahara Seri Maharaja. Betapa besar pun angkatan yang menyerang Melaka, tidak akan kalah...”

TUN FATIMAH – SRIKANDI MELAYU

Kemusnahan keluarga Tun Mutahir oleh Sultan Mahmud Syah yang kejam tidak melemahkan semangat berjuang puterinya, Tun Fatimah. Sungguhpun dipaksa menjadi permaisuri Sultan, beliau telah memberi sepenuh perhatian dan taat setia kepada Sultan. Percubaan Armada Portugis hendak menawan Melaka telah ditentang dengan hebatnya oleh Tun Fatimah bersama-sama wirawati-wirawati semasa melawan ‘Benggali Putih’, iaitu gelaran yang diberi oleh orang-orang tempatan kepada orang-orang Portugis. Atas keberaniannya, dia dianugerahkan penghormatan SRIKANDI MELAYU yang menjadikannya lambang kepada wanita Melayu amnya, untuk mendapatkan kemerdekaan dari penjajahan Barat.

PEMBEDILAN PORTUGIS DARI LAUT

Percubaan Sequiera untuk mengadakan perhubungan dengan Melaka berakhir dengan pergaduhan dan pengunduran Sequiera ke Lisbon dan penangkapan 18 orang Portugis. Berdasarkan laporan Sequiera, Raja Portugal menghantar satu angkatan laut untuk menyerang Melaka pada tahun 1510 tetapi ia ditahan di Goa. Akhirnya, pada 2 Mei 1511, Albuquerque telah bertolak dari Cochin, bersama satu angkatan laut yang mengandungi 19 buah kapal dan 1400 orang askar. Mereka tiba di Melaka pada 1 julai 1511.

Sebaik sahaja tiba di pelabuhan Melaka, kapal-kapal Portugis membunyikan terompet dan melepaskan tembakan meriam ke arah Kota Melaka. Kebetulan pula, ketibaan Albuquerqe dan angkatannya di Melaka jatuh pada hari upacara pernikahan anak perempuan Sultan Mahmud dengan Raja Pahang. Pembedilan kapal-kapal Portugis bukan sahaja menganggu perarakan majlis perkahwinan tetapi juga menyebabkan rasa cemas di kalangan orang ramai. Kota Melaka tidak bersedia untuk menghadapi serangan seumpama itu ketika Portugis datang ke Melaka. Pembedilan ini juga membuktikan bahawa mereka tidak datang secara damai.

KEMARAHAN PADERI FRANCIS XAVIER KEPADA GABENOR PORTUGIS

Walaupun Portugis menakluki Melaka pada tahun 1511 dengan semangat Perang Salib, mereka tidak dapat mengembangkan agama Kristian mazhab Katolik di Melaka atau di Nusantara ini. Pada tahun 1545, seorang paderi bernama Francis Xavier datang ke Melaka dengan tujuan hendak mengembangkan mazhab Katolik bukan sahaja di Melaka tetapi juga di Nusantara ini. Di Melaka beliau menarik perhatian ramai dan sering kali melawat ke persekitaran Asia Tenggara dan Negara-negara di Laut China.

Pada tahun 1553, beliau hendak ke Negeri China untuk meneruskan kegiatannya dan meminta sebuah kapal dari Gabenor Portugis di Melaka, Dom Alvaro untuk pelayarannya, tetapi gabenor itu enggan membantu Paderi Francis dalam usahanya itu. Akhirnya Paderi Francis mendapat kapal yang dipohon untuk ke Negeri China tetapi bukan secara rasmi. Disebabkan air surut, beliau terpaksa berjalan dalam lumpur untuk menaiki sebuah perahu ke kapal Santa Cruz. Sebelum menaiki perahunya Paderi Francis menyumpah Gabenor Portugis.

Inilah kali terakhir Paderi Francis Xavier meninggalkan Kota Melaka kerana beliau telah meninggal dunia di Pulau Sancian. Kemudian Gabenor Portugis itu meninggal dunia akibat jangkitan penyakit kusta.

PEPERANGAN NANING-PORTUGIS

Naning adalah satu perkampungan yang wujud sebelum kedatangan Parameswara. Pada zaman Kesultanan Melaka, ia berada dibawah taklukan Raja Johor. Orang-orang Naning berjiwa bebas dan mempunyai ketua yang dipilih di antara mereka sendiri sejak zaman silam lagi. Sultan Mahmud telah berada di Taboh Naning setelah ditawan oleh Portugis. Peranan Naning tidak disebut dalam naskah-naskah sejarah pada Zaman Kesultanan Melaka di antara tahun 1512-1586 dalam era Portugis. Ia hanya terbit pada tahun 1586, apabila penduduk-penduduk Naning menyertai serangan Sultan Johor ke atas Portugis di Kota Melaka. Mereka menyerang dari kawasan pedalaman dan memusnahkan ladang-ladang Portugis yang membekalkan makanan ke Kota Portugis.

Portugis ingin membalas serangan orang-orang Naning dan menghantar satu pasukan seramai 700 orang askar di bawah Kapten Diego de Azambuja untuk menyerang Naning. Ramai penduduk Naning terkorban di dalam pertempuran di antara askar Portugis dan orang-orang Naning. Akhirnya, Naning tewas dan askar-askar Portugis telah membakar rumah-rumah, menebang pokok-pokok dan memusnahkan sawah padi Naning.

JOHOR-JAPARA MENYERANG MELAKA

Tahun 1551 ialah tahun yang paling merumitkan untuk kedudukan Portugis dalam 40 tahun mereka menguasai Kota Melaka. Dalam usaha menguasai perdagangan di Nusantara ini, Portugis mengganggu kapal-kapal negara asing yang mereka temui di rantau ini. Kegiatan seperti ini telah menambah bilangan musuh terhadap Portugis. Pada tahun 1551, Sultan Johor iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah, anakanda Sultan Mahmud Syah mengumpulkan askar-askar Perak dan Pahang untuk menyerang Kota Melaka. Ratu Japara juga mengambil bahagian dalam serangan ini. Japara ialah satu kuasa yang bangun selepas kejatuhan Majapahit di Jawa Tengah. Apabila kapal-kapal dagangan Japara dirampas oleh Portugis, Japara menghantar askar-askarnya untuk menyerang Kota Portugis. Pada bulan Jun 1551, angkatan gabungan ini menyerang Melaka dengan 200 buah perahu dan 5000 orang askar. Mereka menawan persekitaran Bandar Melaka lalu menyerang Kota A Famosa. Seramai 800 orang askar bersekutu mara dalam serangan A Famosa dan beberapa askar Portugis turut terbunuh. Memandangkan sukar untuk mengatasi Kota A Famosa, mereka mengepung A Famosa dan tidak membenarkan sebarang makanan masuk ke situ selama tiga bulan. Johor, Perak dan Pahang meninggalkan medan perang apabila mendengar angkatan Portugis hendak menyerang negeri-negeri mereka. Hanya Japara sahaja yang meneruskan kepungan itu tetapi telah dikalahkan oleh Portugis.

PEMBINAAN GEREJA DI BUKIT MELAKA

Kota A Famosa yang dibina oleh Albuquerqe mengandungi sebuah gereja kecil untuk menampung keperluan askar-askar Portugis. Pada tahun 1521, seorang Kapten iaitu Duarto Coelho telah membina sebuah gereja kecil di puncak Bukit Melaka (sekarang Bukit St. Paul). Gereja ini dijadikan sasaran serangan-serangan terhadap Portugis di Kota A Famosa kerana ketinggiannya memudahkan penyerang menembak sasarannya. Serangan Johor pada tahun 1550-1551 ialah serangan yang paling dahsyat yang dihadapi oleh Portugis, dan mengambil keputusan untuk membina ‘benteng kota’ mengelilingi Kota Melaka. Semasa pembinaan benteng kota dijalankan, pihak gereja juga ingin membesarkan Gereja Madre de Deus (Gereja .. Nabi Isa) kerana kerosakan teruk yang telah dialami di situ. Kerja-kerja membesarkan gereja bermula pada tahun 1556. Sebahagian dinding gereja dikekalkan. Dinding lama bahagian belakang dan stor telah dipecahkan. Bahagian timur dan selatan dibesarkan dan ditinggikan. Bahagian selatan mengandungi dua tingkat yang menjadi kediaman serta kubu kota semasa peperangan. Kerja-kerja pembinan mengambil masa lebih daripada 12 tahun.

Gereja ini dibina dengan blok-blok batu lada dan plaster kapur. Ianya diambil dari Pulau Upeh dan dibawa ke kemuncak bukit untuk diguna. Kerja-kerja ini dilakukan oleh orang-orang yang ditawan. Pengepungan bukit dan kubu pertahanan gereja ini menguatkan kedudukan Kota Portugis sehingga ke tahun 1641.

KEPUNGAN KOTA MELAKA

Setelah gagal mengalahkan Portugis dalam serangan pada tahun 1606, gabungan pasukan Belanda-Johor mengambil keputusan untuk mengepung Kota Portugis dan menghalang kemasukan bahan makanan. Orang-orang Johor mengawal laluan sungai dan pedalaman, manakala Belanda pula mengawal laluan laut.

Dalam pada itu, Belanda telah mendirikan dua tembok benteng yang boleh meletakkan beberapa meriam bertentangan dengan kubu kota timur (di kawasan Kampung Pantai) dan membedil Kota Portugis. Tembakan dari meriam-meriam ini memusnahkan hospital, menyebabkan kerosakan teruk pada gereja di atas bukit, beberapa bangunan dalam kota serta memecahkan benteng kota. Pihak Belanda menghantar berita kepada askar-askar pertahanan Portugis untuk menyerah diri. Balasan tembakan Portugis memusnahkan kediaman-kediaman di seberang Sungai Melaka.

Musim hujan bermula, diikuti dengan banjir yang menyebabkan kawasan-kawasan rendah tempat Belanda berkhemah menjadi lumpur. Wabak malaria pula merebak di kalangan askar-askar Belanda dan Portugis. Lebih ramai yang mati akibat penyakit ini daripada perperangan. Dua kapten pasukan Belanda mati kerananya. Semangat perjuangan Belanda dan Portugis menurun ke tahap yang sangat rendah.

KEMELESETAN PERDAGANGAN DI PELABUHAN MELAKA

Portugis menakluki Melaka kerana ia adalah satu kuasa yang terbesar di Nusantara ini juga satu pusat perdagangan yang terunggul. Dengan adanya Melaka di bawah pemerintahan mereka, Portugis berpendapat ia dapat menguasai perdagangan di Nusantara ini sambil menyebarkan agama Kristian Katolik. Kedua-dua rancangan mereka ini tidak berhasil sepertimana yang diharapkan. Perdagangan Islam telah berpindah ke Acheh, Pasai, Pedir dan Brunei. Pedagang-pedagang yang datang dari selatan pula telah memilih untuk ke Johor dan Batavia dari pergi ke Melaka. Usaha kapal-kapal perang Portugis memaksa kapal-kapal pedagang pergi ke Melaka juga tidak berhasil. Portugis kemudian mengenakan cukai yang tinggi dan harga yang murah kepada pedagang-pedagang yang tiba di Melaka. Politik Portugis di Lisbon juga membawa keburukan kepada Melaka. Kota Melaka sering diserang oleh keturunan Sultan Melaka, Acheh dan lain-lain kuasa. Kemudian, Belanda muncul dan menyekat pergerakan kapal-kapal Portugis. Kombinasi sebab-sebab ini telah merosotkan lagi kegiatan perdagangan di Melaka pada zaman Portugis. Melaka tidak lagi mencapai tahap perdagangan di Zaman Kesultanan Melaka.

KEBIADAPAN SEQUIERA TERHADAP BENDAHARA

Telah menjadi adat atau cara kebiasaan bagi para pedagang atau utusan yang baru tiba di Melaka akan membuat kunjungan pernghormatan terhadap Sultan. Sebelum kunjungan tersebut diatur, mereka akan mengunjungi Bendahara sebagai tanda hormat untuk memberitahu kedatangan dan tujuan mereka. Kunjungan ini juga membolehkan Bendahara mengumpul segala maklumat tentang pedagang ini untuk disampaikan kepada Sultan. Sequiera yang tiba di Kota Melaka juga mengikuti kebiasaan ini dan mengunjungi Bendahara Tun Mutahir. Sequiera merupakan orang Eropah yang pertama menjejakkan kaki di Melaka, dan lawatannya melahirkan perasaan ingin tahu di kalangan orang tempatan yang ingin tahu tentang orang yang ‘berlainan’ ini. Tun Mutahir menyambut baik ketibaan Sequiera dan memberi sepasang persalinan kepadanya. Sequiera pula membalas dengan memberikan hadiah kepada Bendahara tetapi tidak dengan cara yang mengikut adat istiadat tempatan. Dengan menggunakan tangan kirinya, beliau memakaikan sekalung rantai emas ke leher Bendahara, seolah-olah Bendahara tidak setaraf dengannya. Apabila mereka melihat perbuatan Sequiera, pengawal-pengawal Tun Mutahir mahu mengasari Sequiera. Tetapi di halang oleh Bendahara dengan nasihat, “jangan diturut, kerana ia seorang yang tidak tahu bahasa”.

Nyata, Sequiera tidak berjaya untuk mewujudkan satu suasana yang baik dengan Bendahara. Sikap seperti ini menimbulkan perasaan marah di kalangan rakyat Melaka terhadap Portugis.

Loading

TOP