MUZIUM SEJARAH / HISTORY MUSEUM

PEDANG DATUK NANING

Kata-kata di hulu pedang ini berbunyi “Datuk Naning Kepunyaannya” beserta tarikh 25 Rejab 1135 Hijrah yang bersamaan 1715 Masehi.

Pedang ini ialah pedang Belanda dan hulunya diperbuat daripada perak mengikut corak buatan Belanda. Sarungnya mungkin dibuat kemudian. Terdapat dua pendapat mengenai Pedang Dato’ Naning ini:

1) Penjajah Belanda menghadiahkan pedang ini kepada Dato’ Naning pada tahun 1715 sebagai tanda persahabatan.

2) Dato’ Naning mendapat pedang ini dari peperangan yang sering berlaku di antara Naning dan Belanda, lalu mengukir namanya sebagai menandakan itu haknya.

SERANGAN RAJA HAJI

Raja Haji ialah anak kepada Daeng Chelak dan seorang pahlawan yang terkenal di Nusantara ini. Beliau ialah seorang yang sangat dihormati dan disegani. Pahlawan Bugis ini telah menguasai Jambi, Indragiri, Kedah dan Perak serta berpengaruh di Johor, Selangor dan Riau. Sehingga tahun 1786, Raja Haji dan Belanda di Melaka mempunyai perhubungan yang baik. Pada tahun 1782, pihak Belanda tidak memberi Raja Haji bahagiannya dari hasil dan jualan barang rampasan dari sebuah kapal Inggeris seperti yang telah dijanjikan. Akibatnya Raja Haji mengatur serangan-serangan di Selat Melaka. Belanda pula cuba menakluki Riau dengan 13 buah kapal dan 1504 askar, tetapi gagal. Raja Haji terus mengatur serangan balas terhadap Belanda dan mendarat di Teluk Ketapang, Melaka. Setiap hari mereka menyerang persekitaran Kota Melaka.

Pada tahun 1784, angkatan laut Belanda sejumlah 6 buah kapal dengan 2130 orang askar dan 326 meriam tiba di Teluk Ketapang di waktu malam. Seramai 734 orang askar dengan bayonet mendarat secara sembunyi. Pada waktu subuh, Kapten Belanda membedil kapal-kapal Raja Haji. Satu peperangan sengit berlaku antara askar-askar Bugis dan Belanda. Ramai askar dari kedua-dua pihak gugur dalam peperangan ini. Raja Haji, walaupun dirayu oleh pengikut-pengikutnya supaya berundur, masih berdiri teguh memegang pedang di satu tangan dan kitab di tangan sebelah.

Beliau ditembak mati dan mayatnya telah dikebumikan di kaki bukit St. Paul untuk sementara waktu sebelum dipindahkan ke Pulau Penyengat, Kepulauan Riau, Indonesia.

FRAME GAMBAR PADA TAHUN 1784, 4 RIBU ANGKATAN TENTERA & 2 KAPAL PERANG BELANDA

Pada tahun 1784, empat (4) ribu tentera dan dua (2) kapal perang Belanda (VOC) di bawah perintah Van Braam telah mengepung pantai Melaka dengan berlabuh berhampiran Teluk Ketapang.

(Lukisan oleh E. Hoogerheyden: tahun 1800)

PEROBOHAN KOTA MELAKA

Sejak Portugis menakluki Kota Melaka, politik dan polisi kuasa-kuasa Eropah memainkan peranan dalam hal ehwal politik tempatan. Pada tahun 1795, British telah mengambil alih Kota Melaka dari Belanda kerana pergolakan politik di Eropah. Pihak British pula enggan menyerahkan Kota Melaka yang kukuh kepada Belanda kerana ia akan menjejaskan kedudukan Pulau Pinang yang baru saja dimilikinya. Oleh itu Gabenor Pulau Pinang mengarahkan supaya Kota Melaka dirobohkan dan rakyatnya dipindahkan ke Pulau Pinang untuk meramaikan penduduk Pulau Pinang supaya prestasi pelabuhan Melaka menjadi lemah. Kapten Willian Farquhar telah diarah merobohkan Kota Melaka.

Pada tahun 1807, Kapten Farquhar telah mengumpul beratus-ratus pekerja dan mengarah mereka merobohkan Kota Melaka. Selepas tiga bulan, kota itu masih lagi tidak dapat dipecahkan, dan ramai pekerja yang mati atau sakit. Walaupun upahnya ditambah berlipat ganda, kerja-kerja memecah kota itu tergendala. Maka, Kapten Farquhar mengarahkan supaya sebuah lubang digali dalam tembok kota dan diisi dengan ubat bedil dengan satu sumbu yang panjang. Selepas kawasan persekitaran dikosongkan, Kapten Farquhar menunggang kuda, menyalakan sumbu dan meletupkan sebahagian kota itu. Perbuatan ini diulangi beberapa kali sehingga kesemua kota itu dorobohkan.

Mujurlah Stamford Raffles tiba di Melaka ketika itu dan menghentikan kerja-kerja perobohan kota itu. Dia juga mendapat persetujuan Lord Minto untuk membatalkan rancangan pemecahan kota dan pemindahan rakyat Melaka. Tetapi hanya satu saja pintu gerbang kota itu yang dapat selamatkan. Menurut Newbold, rancangan pemecahan kota ini menelan belanja hampir £70,000.

PENYERAHAN KOTA MELAKA KEPADA INGGERIS

Peperangan antara Bugis dan Belanda pada tahun-tahun 1755-1758, kemudiannya pada tahun-tahun 1783-1784 bukan sahaja mengikis pengaruh dan kuasa Belanda, tetapi juga kekayaan mareka. Walaupun nama Melaka masih menarik perhatian, tetapi Riau sudah mencapai tahap ‘kunci kepada Selat Melaka’. Orang-orang Inggeris pula tampil ke hadapan dengan berani, khususnya selepas memenangi peperangan Inggeris-Belanda yang keempat (1781-1783) dan berjaya mempengaruhi raja-raja tempatan supaya memihak dengan mereka. Mereka juga telah berjaya memperolehi Pulau Pinang pada tahun 1786. Pada 1793, pihak Revolusi Perancis di Eropah mengishtiharkan perang dengan Britain dan mereka dijemput oleh Pergerakan Patriot revolusi Belanda yang dikenali dengan nama ‘Velvet Revolution’ supaya menyerang Raja Belanda dilaksanakan pada tahun 1975. Rajanya Willian V meminta perlindungan di England, kerana rajanya pernah membantu sebelum ini. Sementara itu, kawasan-kawasan jajahannya terpaksa mencari jalan untuk membela diri sendiri kerana Tanah Air mereka mengalami masalah dalaman sejak tahun 1780. Kerajaan Inggeris mengambil kesempatan ini untuk mengambil alih semula jajahan-jajahan Belanda untuk mengelak dari mereka jatuh ke tangan Perancis.

Pada 15 Ogos 1795, satu angkatan tentera kecil Inggeris tiba di Melaka dan tanpa mengalami sebarang kesulitan, mengambil alih kerajaannya sari Gabenor Belanda, Albrahamus Couperus, bagi pihak Belanda yang berada di London. Walaupun terdapat tentangan penyerahan Melaka kepada Inggeris, ia tidak menimbulkan masalah di antara Belanda dan British di Melaka. Pentadbiran Melaka dilaksanakan oleh pegawa-pegawai Belanda di bawah Residen Inggeris. Menurut perjanjian Vienna pada tahun 1814, Melaka diserahkan kepada Belanda pada 21 September 1818, tetapi dikembalikan kepada Inggeris pada 17 Mac 1824 selepas Perjanjian London yang memberi Belanda dan Inggeris kesempatan untuk menumpukan perhatian mereka kepada wilayah masing-masing.

PERSIAPAN PENAKLUKAN JAWA PADA TAHUN 1811

Revolusi Perancis menggalakkan penubuhan ‘Pergerakan Patriot’, satu pergerakan yang menentang keluarga Diraja yang disebut ‘Orangists’. Pergerakan patriot berjaya mengusir keluar Raja yang mendapat perlindungan di London. Belanda yang mengalami pelbagai masalah dalaman sudah pun lemah dengan rakyatnya di bawah Perancis dan Rajanya di bawah Inggeris. Kelemahan ini digunakan oleh British dan Perancis untuk menakluki koloni-koloni Belanda di seberang laut. Koloni-koloni ini pula terbiar untuk membela diri sendiri. Ada yang memihak kepada Raja, dan ada juga memihak kepada revolusi. Mereka menerima Inggeris manakala Batavia menyokong Perancis. Kemusnahan Kota Melaka dan pemindahan penduduk-penduduk Melaka ke Pulau Pinang dihentikan oleh Raffles kerana beliau memandang jauh iaitu peranan Melaka untuk menawan Batavia dan Jawa yang menjadi pusat Belanda di bawah Jeneral Perancis. Sebenarnya, pihak Inggeris telah cuba menyerang Jawa dari Pulau Pinang sejak tahun 1797 lagi. Raffles sedar bahawa Melaka ialah pengkalan yang paling baik dan boleh menampung ramai askar untuk menyerang Jawa. Kerajaan Inggeris menerima cadangan beliau dan melantiknya sebagai agen kepada Gabenor Jeneral. Raffles tiba di Melaka pada bulan Oktober 1810 untuk menyediakan ekspedisi Inggeris ke Jawa. Tidak lama kemudian, tiga atau empat buah kapal tiba di Melaka setiap hari membawa askar-askar dan senjata. Akhirnya, seramai 1100 orang askar iaitu sebanyak 50 peratus ialah Inggeris dan 50 peratus Hindu-Islam dari India. Mereka berkumpul di Melaka serta dibenarkan berkhemah di kawasan antara Limbongan dan Tanjung Keling. Sebanyak 100 buah kapal angkatan tentera laut berlabuh di pelabuhan Melaka. Lord Minto, Gabenor Jeneral India, tiba di Melaka pada bulan Mac 1811, untuk mengetuai tenteranya ke Jawa. Beliau diberi sambutan yang hebat oleh tenteranya yang berbaris di kiri dan kanan jalan dari jeti ke kediaman residen di kemuncak Bukit St. Paul. Penduduk Melaka pun berkumpul untuk menyaksikan upacara sambutan berwarna-warni ini. Pasukan tentera itu berlepas dari Melaka pada 11 Jun 1811 dan mendarat di Batavia pada 4 Ogos 1811. Pada 11 September 1811, mereka telah dapat menawan hampir separuh Pulau Jawa dan pada 18 September 1811, pihak Belanda menyerah diri.

PEPERANGAN NANING

Naning ialah sebuah wilayah kecil di pedalaman Negeri Melaka dan penduduknya menghargai kebebasan mereka. Mereka pernah berperang dengan Portugis dan Belanda, dan kedua-dua penjajah ini merhormati keberanian mereka. Apabila British mengambil alih Kota Melaka, mereka juga, menyedari semangat perjuangan Naning selepas satu pertempuran yang merugikan mereka.

Abdul Said atau lebih dikenali dengan nama Dol Said, telah dilantik sebagai Dato’ Naning pada tahun 1802. Selepas mendapat Kota Melaka pada tahun 1824, pihak British pula menuntut cukai tahunan dari Naning pada tahun 1829, berdasarkan kepada perjanjian lama Belanda-Naning. Dato’ Naning tidak melayan tuntutan itu. Oleh itu, British mengatur serangan untuk menakluki jajahan Naning.

Pada tahun 1831, satu pasukan yang diketuai oleh Timbalan Residen, William Lewis menuju ke Taboh, Naning untuk menawannya. Sebaliknya, mereka mengalami kekalahan dan terpaksa berundur dengan kehilangan nyawa dan senjata.

Pada tahun 1832, satu pasukan yang mempunyai 1000 orang askar dan meriam diketuai oleh Kolonel Herbert mengatur serangan dengan membuka jalan selebar 600 kaki hingga ke Taboh, Naning. Mereka juga menebang dusun-dusun dan membakar rumah-rumah di Naning. Satu pertempuran sengit berlaku antara British dan Naning di mana beberapa pegawai askar British dan perajurit Naning terbunuh.

Akhirnya, orang Rembau di bawah pimpinan Syed Shaaban membantu pihak British dan mengatasi Dol Said. Pihak British menyedari kesilapan mereka bahawa Naning ialah satu wilayah yang bebas. Peperangan Naning menelan belanja sebanyak £100,000.

ERA BRITISH

Jeti yang dibina oleh British dan persekitaran muara Sungai Melaka pada tahun 1900an.

Jeti yang telah ada di Pantai Bandar Hilir berlatarbelakangkan runtuhan Gereja St Paul dan Jalan Kota pada tahun 1900an.

Walaupun Melaka telah menjadi sepi dan kosong, pada tahun 1910an, masih ada kapal layar yang datang dengan membawa barang-barang ke Melaka.

Lord Minto

Keadaan tugu Sungai Ujung, Jalan Kota dan runtuhan gereja St Paul pada tahun 1900an.

Litograf berwarna menunjukkan Sungai Melaka yang diterbitkan sekitar tahun 1810an.

William Farquhar

Stamford Raffles

Lukisan ini menunjukkan serangan tentera British ke atas kubu Dato’ Dol Said pada 15 Jun 1832. Sila lihat asap tebal akibat kebakaran rumah-rumah dan tanaman di Taboh Naning oleh tentera British.

Lukisan ini menunjukkan persiapan tentera British dan Regimen Madras menyediakan khemah berhampiran dengan pekan Alor Gajah pada bulan Mac 1823 sebelum mengatur serangan terhadap kubu Dato’ Dol Said di Taboh Naning.

Persiapan penaklukan Jawa tahun 1811

Keadaan persimpangan Jalan Hang Jebat dan Jalan Hang Kasturi

Encik Thevasagam, Ketua kaum Chitty di Melaka

Pelan kedudukan Kota Melaka dan kampung-kampung di bahagian utara semasa pihak British mengambil alih Melaka pada tahun 1795

Tempat perhentian dan tempat pemeriksaan bagi penumpang-penumpang kapal yang mendarat dengan perahu-perahu di Kota Melaka pada tahun 1920an

Kolej Anglo China di Melaka

Loading

TOP