MUZIUM SEJARAH / HISTORY MUSEUM
ALMARI BELANDA
Almari Belanda dengan lambang VOC ini mempunyai dua daun pintu hadapan yang diukir sepenuhnya. Ia dibuat daripada kayu hitam di Melaka pada kurun 17 Masihi.
MODEL KAPAL PERANG BELANDA
Ini ialah model kapal perang Belanda. Kapal perang jenis ini pernah digunakan dalam peperangan di antara Belanda dan Portugis di Selat Melaka.
KEJATUHAN KOTA PORTUGIS
Sekatan makanan ke Kota Melaka sangat menyusahkan orang-orang Portugis dalam kota. Beberapa orang Portugis cuba melarikan diri dari kepungan Belanda tetapi telah ditangkap. Belanda sedar bahawa orang-orang Portugis di dalam kota tidak ada makanan langsung dan akan kalah sekiranya diserang mengejut. Pada 11 Januari 1641, Belanda dengan semangat baru membedil benteng-benteng kota di bahagian timur dan tenggara, serta berjaya memecahkan kota. Tembakan demi tembakan membesarkan lubang dinding kota di bahagian timur sehingga askar-askar mereka dapat masuk ke dalam kota. Sebuah jambatan didirikan pada tengah malam untuk memudahkan pergerakan askar-askar Belanda.
Pada 14 Januari 1641, pukul 2 pagi, Minnie Williemson Kaartekoe mengarahkan 650 orang askar Belanda menyerang Kota Melaka dari timur. Satu demi satu kubu pertahanan Portugis jatuh ke tangan Belanda. Hanya A Famosa sahaja tidak dapat ditawan tetapi sebaliknya, 20 orang askar Belanda telah ditembak mati. Memandangkan keadaan ini, Gabenor Portugis menaikkan bendera putih menandakan kekalahan dan penyerahan.
Kota Portugis yang berdiri gagah menghadapi beberapa serangan dan akhirnya jatuh selepas berperang selama lapan bulan.
PENYERAHAN KUASA PORTUGIS KEPADA BELANDA
Pada pukul 10 pagi, 14 Januari 1641, Melaka telah jatuh ke tangan Belanda. Pihak Portugis telah menaikkan bendera putih sebagai tanda mengaku kalah. Portugis telah memegang Melaka selama 129 tahun, 3 bulan dan 4 hari. Komander Minne Williemson Kaartekoe yang tinggal di khemah berdekatan Kampung Keling memasuki Kota Portugis untuk berbincang dengan Gabenor Portugis Manuel de Souza Coutinho tentang penyerahan kuasa dan syarat-syarat penyerahan diri.
Kapten Belanda bersetuju untuk membebaskan semua orang Portugis dengan semua harta benda mereka di atas rayuan paderi-paderi. Semua kekayaan gereja Portugis juga dibenarkan dibawa bersama. Hanya askar-askar Diraja sahaja ditahan dan dibawa ke Batavia. Gabenor Portugis mengalungkan kunci-kunci kota ke leher Kapten Belanda. Semua orang Portugis dibenarkan pulang ke Negara mereka tetapi keturunan Portugis ditinggalkan di Melaka. Gabenor Portugis meninggal dunia dua hari selepas itu dan dikebumikan di Melaka.
Peperangan antara Belanda dan Portugis tersebut menyebabkan 7000 orang Melaka mati. Hampir 10000 orang melarikan diri. Hanya 3000 orang saja tinggal di Kota Melaka. 1500 askar Belanda termasuk tiga orang ketua pasukan Belanda, 200 Portugis dan 500 orang keturunan Portugis mati akibat peperangan dan dijangkiti wabak penyakit. Dengan ini berakhirlah era Portugis.
PEPERANGAN DI ANTARA NANING DAN BELANDA
Semasa perang Belanda terhadap Portugis pada tahun 1640-1641, orang-orang Naning membantu Sultan Johor mengepung Kota Portugis dan menghalang kemasukan sebarang makanan dari pendalaman negeri Melaka. Jasa orang-orang Naning itu tidak di kenang. Pihak Belanda pula menganggap Naning sebagai tanah di bawah jajahan mereka. Namun, pada 15 Ogos 1641, mereka mengenakan cukai 10 peratus ke atas sebarang pengeluaran Naning, cukai tambahan ke atas perahu-perahu Naning, menyekat laluan mereka hanya di Sungai Melaka sahaja dan mengarahkan supaya semua senjata diserah kepada kompeni Belanda. Syarat-syarat tersebut diterima tetapi tidak dipatuhi.
Pada bulan Februari 1643, satu rombangan di bawah Gabenor Van Vliet yang mengandungi 160 askar Belanda telah ke Naning dan mengarahkan supaya orang Naning menanam lebih banyak padi dan membersihkan sungai untuk memudahkan laluan dan mengumumkan bahawa Dato’ Penghulu Naning sebagai Ketua Naning terletak di bawahnya. Orang-orang Naning tidak mahu menerima arahan Gabenor Belanda itu. Apabila Ketua Kota Melaka, Forsenburgh dan Syahbandar Menie dengan enam orang askar cuba untuk mengambil tindakan dan telah dibunuhnya.
Peperangan telah meletus di antara Belanda dan orang-orang Naning yang mengakibatkan kematian 31 orang askar Belanda. Gabenor Belanda yang menuju untuk membantu Ketua bernasib baik dapat melepaskan diri dan tiba di Melaka tanpa peti wang yang mengandungi 13,000 rial dan harta benda persendirian. Pihak Belanda meminta Sultan Johor mengambil tindakan terhadap Naning dan Bendahara Sekudai dihantar untuk menyelesaikan kejadian tersebut.
Walau bagaimanapun, Belanda tidak puas hati dan mengambil tindak balas pada tahun 1645. 350 orang askar Belanda di bawah Joan Triujtman telah memusnahkan rumah-rumah dan sawah Naning. Naning pula membalas dengan serangan yang tidak teratur pada tahun 1646, Gabenor baru Belanda menghantar 540 orang askar untuk menyerang Naning dan sengaja memusnahkan semua jenis pertanian termasuk pokok kelapa, serta pinang.
Kemusnahan yang dihadapi ini telah memaksa orang-orang Naning meminta kedamaian. Perdamaian di antara Belanda dan Naning tidak bertahan lama. Belanda cuba menguasai Naning. Orang-orang Naning pula tetap dengan cara dan kebebasan mereka
PEMBINAAN KOTA BELANDA DI BUKIT ST. PAUL
Kota A Famosa dan Kota Portugis yang diperbesarkan kemudian hanya mengelilingi Bukit St. Paul sahaja. Apabila kota itu ditawan oleh Belanda pada tahun 1641, bahagian besar kubu kota ini telah musnah sehingga Kota Melaka tidak mempunyai ketahanan ketika itu. Strategi awal pihak Belanda ialah mengukuhkan tembok kota yang terdapat di tebing dan muara Sungai Melaka. Mereka membina kota pertahanan di kemuncak Bukit China dan Bukit Senjuang. Rancangan itu tidak diteruskan kerana pihak Belanda tidak mahu membiayai kos pembinaan kota-kota itu.
Rancangan kedua pihak Belanda ialah membina sebuah kota yang meliputi sebahagian Bukit St. Paul yang lebih kecil daripada Kota Portugis yang telah musnah, dan membina sebuah kota pertahanan di Bukit China. Kerja pembinaan kota di Bukit China telah pun dimulakan tetapi tidak dapat disiapkan kerana tidak ada sokongan dari pegawai atasan di Batavia.
Akhirnya, pertahanan dan keselamatan kuasa Belanda di Kota Melaka telah diberi perhatian berat dan diputuskan supaya Bukit St. Paul menjadi pusat pertahanan Belanda. Pada tahun 1660, satu benteng kubu di muara Sungai Melaka telah didirikan. Apabila Balthasar Bort menjadi Gabenor Melaka (1665-1677), beliau meneruskan pembinaan Kota Belanda disekeliling Bukit St. Paul. Kota yang dibina oleh Bort lebih besar dan luas dari kota Portugis. Bort juga telah mengubahsuai pintu masuk ke kotanya dan menambahkan lambang pihak Belanda di pintu gerbang. Kerja-kerja pembinaan Kota Belanda selesai pada tahun 1670. Satu rawang juga digali pada tahun 1674 yang menyambungkan Sungai Melaka berdekatan kubu dibahagian utara kota dengan pintu gerbang ‘Santiago’ dan laut, ini menjadikan Bukit St. Paul sebagai satu pulau.
PEMBINAAN KOTA DISEKELILING PERIGI RAJA
Perigi Raja telah digali pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah (1378-1449) untuk kegunaan isterinya Puteri Hang Li Poh. Perigi ini juga dikenali sebagai Perigi Hang Li Poh. Keistimewaan perigi ini terletak pada airnya yang bersih, jernih dan manis. Perigi ini tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau yang panjang. Hakikat ini diakui pada zaman Kesultanan Melaka oleh masyarakat luar.
Peranan perigi Raja sebagai sumber air yang tetap menyebabkan ia menjadi sasaran bagi musuh Portugis yang menyerang Kota Portugis. Kali pertama Perigi Raja menjadi sasaran tentera ialah pada tahun 1551 apabila Keturunan Sultan Melaka dari Johor mengepung Kota Melaka selama tiga bulan. Sebelum berundur, mereka meracuni perigi ini.
Orang-orang Portugis yang dikepung di A Famosa minum air Perigi Raja ini untuk menghilangkan haus. Akhirnya, 200 orang Portugis mati. Taktik ini digunakan oleh semua penyerang-penyerang Melaka selepas itu, termasuklah Belanda pada tahun 1606-1608 apabila mereka mengepung Melaka.
Apabila Belanda menawan Kota Melaka dari Portugis pada tahun 1641, mereka sedar kepentingan air Perigi Raja sebagai bekalan air Kota Melaka dan khuatir mereka juga diracuni oleh musuh-musuh mereka. Oleh itu, mereka memutuskan untuk mengawal perigi tersebut. Pada mulanya, pihak Belanda hanya menempatkan seorang dua pengawal sahaja dan perigi itu di kepung. Pada tahun 1677, Gabenor Bort membina kubu pertahanan balak dan meletakkan lapan pucuk meriam untuk menahan serangan orang Naning. 10 orang askar dibawah pengawasan seorang sarjan sentiasa mengawal bekalan air itu. Tidak lama kemudian, sebuah kota kecil lengkap dengan tempat meletak meriam dibina untuk menjamin kawalan yang lebih ketat.
Apabila Melaka diserah kepada British pada tahun 1824, penyelenggaraan kota kecil itu tidak dipedulikan. Walaupun Perigi Raja masih menjadi bekalan air yang utama, kota kecil tersebut dibiarkan sehingga ia runtuh. Sekarang, hanya tembok kota sahaja masih ada sebagai lambang peranan perigi yang tertua di Negara ini.
KEBEBASAN MEMBINA MASJID DAN TEMPAT IBADAT
Kebebasan beribadat ialah faktor utama yang menyumbang kepada keharmonian di kalangan rakyat semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Portugis melarang kebebasan beribadat dan hanya membenarkan agama Katolik sahaja diamalkan di Kota Melaka. Pihak Belanda tidak begitu fanatik tentang agama seperti Portugis. Mereka lebih bersikap toleransi terhadap agama-agama lain tetapi kurang sabar dengan mazhab Katolik sehingga 1695 kerana mengikut agama yang diamalkan di Eropah dan sikap permusuhan keturunan kaum Portugis terhadap Belanda.
Akan tetapi sebagai peniaga, Belanda bersikap kejam terhadap pedagang-pedagang Cina. Pada mulanya India, kemudian kaum China, berpindah ke tempat lain untuk meneruskan perniagaan mereka kerana polisi-polisi perniagaan Belanda. Oleh kerana itu, bukan sahaja kemakmuran yang diharapkan tercapai, malahan kekayaan Melaka turut merosot dan bilangan penduduk juga tidak bertambah. Ekonomi Melaka hanya maju pada masa-masa yang tertentu apabila terdapat perubahan politik di Nusantara ini. Reputasi Melaka masih menarik perhatian tetapi ia tidak semakmur seperti dahulu.
Pada satu masa, masyarakat Belanda di Melaka berjumlah hanya beberapa ratus orang sahaja. Jumlah yang kecil ini tidak dapat membela diri dari musuh yang semakin banyak. Mereka membenarkan pembinaan masjid-masjid, tokong-tokong dan gereja Katolik dan sanggup meluluskan tanah bagi tujuan ini. Tokong Cheng Hoon Teng dibina pada tahun 1782. Gereja St. Peter siap dibina pada tahun 1710. Masjid Kampong Hulu dan Masjid Tengkera yang musnah kemudiannya telah dibina semula pada tahun 1728. Manakala tokong Hindu pula disiapkan pada tahun 1781.
Masjid-masjid, tokong-tokong dan gereja-gereja inilah yang membuatkan rakyat menetap terus di Melaka dan tidak berpindah ke tempat lain kerana ia mewujudkan perasaan berakar-umbi. Perasaan ini membuat mereka enggan berpindah ke Pulau Pinang apabila diarahkan oleh British pada tahun 1805.
PEPERANGAN BELANDA-BUGIS
Sulawesi yang terletak di timur Pulau Borneo menarik ramai pedagang pada kurun ke-17 kerana peperangan yang tidak berhenti-henti di Selat Melaka di antara Johor, Acheh dan Portugis di Melaka. Kekayaan perdagangannya membolehkan orang-orang Bugis belayar dari Sulawesi dan berkuasa di lain-lain tempat. Pada awal kurun ke-18, mereka telah menjadi satu kuasa yang disegani dan telah menempatkan beberapa Yam Tuan Muda di Kelang, Linggi, dan menerajui Johor serta Riau. Ketika itu, di Kota Melaka pun terdapat ramai orang-orang Bugis.
Pada mulanya, orang-orang Belanda di Batavia dan Melaka berbaik dengan orang-orang Bugis dan Belanda tidak campur tangan dalam kegiatan Bugis apabila mereka mengalahkan Kedah dan Perak. Tidak lama kemudian, pihak Belanda di Melaka merasakan kuasa orang-orang Bugis di Semenanjung kerana mereka bukan sahaja menghadapi persaingan hebat dari pedagang-pedagang Bugis tetapi pengaruh orang-orang Bugis disekeliling Kota Melaka. Orang-orang Melayu juga merasa terancam akibat kegiatan penaklukan orang-orang Bugis di Semenanjung dan Terengganu bangun untuk menghapuskan pengaruh dan jajahan orang-orang Bugis. Pihak Belanda pula menyokong usaha orang-orang Melayu terhadap orang-orang Bugis. Peperangan di antara keturunan Raja Siak telah meletus di antara Belanda dan Bugis menyokong puak-puak yang bertelingkah dan dimenangi oleh pihak yang disokong Belanda pada tahun 1755, ini mengakibatkan permusuhan yang terbuka di antara Belanda dan Bugis.
Pada bulan April 1756,orang-orang Bugis dibawah Yam Tuan Muda Daeng Kemboja sudah pun mewujudkan jajahannya di Linggi, menyerang Melaka dari Utara. Pihak Belanda tidak dapat mengalahkan Bugis tetapi angkatan laut Terengganu pula sampai untuk membantu Belanda dan mengalahkan Linggi, tetapi dalam bulan Ogos 1756, Daeng Kemboja dengan Yam Tuan Muda Kelang dan Rembau menyerang Melaka semula serta berkubu di Klebang. Pihak Belanda dengan beberapa ratus orang askar sahaja cuba mengusir mereka tetapi bukan sahaja askar Belanda tidak dapat mengatasi askar-askar Bugis tetapi tidak dapat bersaing dengan mereka. Askar-askar Belanda yang kurang lengkap terpaksa berundur dan pihak Bugis pula mengejar mereka ke Kota Melaka. Belanda yang berundur dan pihak Bugis yang mengejar berperang secara besar-besaran dari Klebang hingga ke Tengkera dan telah mengakibatkan kehancuran kepada banyak bangunan. Salah satu masjid yang terlibat ialah Masjid Tengkera yang asal dan dikatakan dibina pada tahun 1728. Hanya menara masjid sahaja masih berdiri tegak sebagai bukti peperangan tersebut.
PEPERANGAN BELANDA-BUGIS DI KUALA LINGGI
Peperangan di antara pihak Belanda dan orang-orang Bugis yang berulang dalam bulan Ogos 1756, mengakibatkan Kota Melaka dikepung pada bulan Oktober 1756. Kepungan dilanjutkan sehingga ke bulan Mei 1957, apabila pihak Belanda di Batavia menghantar satu pasukan askar yang besar ke Melaka untuk mematahkan genggaman Bugis ke atas Kota Melaka. Daeng Kemboja dan dan askar-askarnya berundur ke Linggi untuk merancang tindakan selanjutnya. Kali ini pihak Belanda tidak memberi peluang kepada Daeng Kemboja. Setelah mengumpul semula tentera laut, Belanda melancar serangan terhadap kapal-kapal Bugis yang sedang berlabuh di muara Sungai Linggi. Kapal-kapal Belanda bertolak pada waktu malam dan tiba di Kuala Linggi pada waktu subuh. Belanda mengatur kapal-kapal mereka dalam satu barisan dan selepas mengambil kira tiupan angin dan gelombang ombak, melancarkan pembedilan terhadap kapal-kapal Bugis. Kapal-kapal Bugis yang bersauh di muara Sungai Linggi ini terperangkap dan tidak dapat melepaskan diri dari menjadi sasaran mudah bagi kapal-kapal Belanda yang bergerak pantas dalam satu barisan. Kebanyakan kapal-kapal Bugis tenggelam atau musnah dan orang-orang Bugis terpaksa meminta perdamaian.
Perjanjian perdamaian itu membolehkan Belanda menawan Rembau dan Kelang, termasuk membayar ganti rugi bagi kerosakan yang dialaminya. Sebuah kota telah dibina di kemuncak Bukit Supai sebagai tanda persahabatan mereka yang dinamakan Kota ‘Filipina’ (mengikut nama anak perempuan Gabenor Jeneral Belanda). Perjanjian persahabatan ditandatangani di kota tersebut pada 1 Januari 1758.
MINIATUR MONTI ALI MARIA
Bukit Melaka (Bukit St. Paul sekarang) dinamakan Monti Ali Maria (bermakna Bukit Ibu Maria, ibu Nabi Isa) pada zaman Portugis mengikut nama gereja yang telah dibina diatas bukit. Miniatur ini menggambarkan persekitaran Monti Ali Maria pada zaman Portugis dalam lingkungan tahun 1620-an. Pihak Portugis telah membina satu tembok kota mengelilingi bukit ini, dan kota ini mempunyai empat pintu masuk. Kota A Famosa menjadi sebahagian dari Kota Portugis itu. Hanya dua pintu sahaja diguna pada satu-satu masa. Gereja Madre de Deusdan dan sekolahnya terletak diatas bukit. Rumah-rumah pegawai diletak di lereng bukit dan perkampungan kaum Portugis ditempatkan di kaki bukit. Rumah-rumahnya dibuat dari batu dan kayu. Sebuah dewan bandaraya, dua buah hospital dan lima buah gereja didirikan di dalam Kota Portugis.
Perperangan diantara Kota Portugis dan Belanda pada tahun 1640-1641 telah banyak memusnahkan kota dan bangunan-bangunan Portugis. Apabila Belanda menawan Melaka, mereka telah memusnahkan kesemua bangunan yang melambangkan pengaruh Portugis. Dengan ini, bangunan jenis Portugis di Melaka telah lenyap, kecuali gereja Madre de Deus.
MINIATUR BUKIT ST. PAUL
Miniatur ini menggambarkan kedudukan kawasan Bukit St. Paul di zaman Belanda pada tahun 1740. Apabila Belanda menawan Kota Melaka dari tangan Portugis pada tahun 1641, bangunan Gereja Madre Deus yang telah rosak tidak dirobohkan tetapi diguna untuk kegiatan mazhab mereka. Bukit ini dinamakan Bukit St. Paulo, mengikut nama gereja Boquit St. Paulo.
Pada zaman Belanda, persekitaran bukit ini mengalami satu perubahan besar iaitu semua bangunan Portugis yang masih teguh dirobohkan. Satu perancangan bandar ala Belanda telah diwujudkan. Stadthuys menjadi bangunan pertama yang dibina, diikuti dengan beberapa bangunan lain di sekitar Bukit St. Paulo. Buat pertama kalinya, bahagian selatan bukit ini digunakan untuk pembinaan rumah-rumah teres. Kota yang mengelilingi bukit ini diperbesarkan. Kebanyakan bangunan ini masih teguh dan digunakan.
BIODATA DIRI TONY LYE FONG NGE
Encik Tony Eye Fong Nge yang dilahirkan pada tahun 1939 telah mendapat pendidikan awal di sekolah Cina (Sekolah Peralihan Pay Fong) dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Christian Brother School (Institusi St. Francis) di Melaka. Beliau telah menamatkan pendidikan sekolah menengah pada tahun 1958 dan mula mengajar di sekolah kebangsaan di Umbai Melaka selama setahun.
Pada tahun I960, beliau telah dipilih untuk menjadi Inspektor Koperatif dengan mendapat latihan di Kolej Koperatif di Petaling Jaya selama beberapa bulan sebelum ditukarkan ke Ipoh. Di sana beliau ditugaskan untuk menjaga akaun persatuan koperatif bagi beberapa kawasan baru di Perak. Melalui tugasan ini, beliau telah berpeluang melawati bandar-bandar dan kampung-kampung termasuk Grik, Lenggong, Liman, Kati, Kuala Kangsar, Sitiawan, Taiping, Tapah, Kampar, Batu Gajah, Sungai Siput, Teluk Anson dan Tanjong Malim.
Setelah 3 tahun menjelajah, beliau membuat keputusan untuk meletakkan jawatan dan menyertai jabatan kehakiman di Kuala Lumpur sebagai pelajar jurubahasa. Selepas setahun mendapat latihan dalam tiga dialek bahasa pertuturan Cina di INTAN (Petaling Jaya) beliau telah dipindahkan ke Mahkamah Tingai Kuala Lumpur sebagai Jurubahasa Cina bertauliah. Di sini, beliau bekerja di bawah Encik E.E. Sim (Presiden Mahkamah Sesyen) untuk tempoh 3 tahun sebelum meletakkan jawatan untuk berkhidmat di Syarikat Petroleum British sebagai Kerani Jualan sehingga tahun 1978.
Beliau kemudian menjadi pengumpul/pengedar matawang dan menubuhkan Persatuan Numismatik Malaysia bersama Encik E.E. Sim pada tahun 1968 dan hanya beliau yang masih kekal sebagai Founder Member di dalam persatuan. Beliau merupakan Ahli Seumur Hidup dan Naib Presiden I Persatuan Numismatik Malaysia. Beliau telah memberi bantuan dalam membuat penilaian Katalog Syiling Persatuan I pada 1976 dan telah dianugerahkan sebagai Pakar Numismatik Malaysia pada tahun 1989. Beliau turut memberi sumbangan bakti kepada Katalog Syiling Dunia dengan menilai matawang British, Borneo Utara, Sarawak dan Negeri-Negeri Selat untuk tempoh 6 tahun pada 1980 dan pada tahun yang sama telah dianugerahkan "Man of Achievement” oleh Pusat Antarabangsa Biografi, Cambridge, England. Beliau telah meninggal dunia pada 31 Januari 2013.
MATAWANG DI MELAKA
Sistem pertukaran barangan turut dikenali dengan nama "Sistem Barter" merupakan amalan terawal dalam sejarah peradaban manusia sebelum matawang diperkenalkan. Kaedah pertukaran sejumlah barangan oleh suatu pihak dengan komoditi tertentu yang dipercayai setara nilainya milik pihak yang lain, turut diamalkan di Melaka. Walaubagaimanapun, sistem ini nyata tidak telus dengan beberapa masalah seperti pertukaran barangan besar yang sukar untuk dibawa dan masalah mencari orang yang mahu membuat pertukaran barangan atau perkhidmatan yang saling memerlukan. Emas, perak dan jongkong timah (kemudiannya menjadi duit syiling) digunakan sebagai nilai unit yang berharga, mudah disimpan dan digunakan serta mudah dibawa dan tahan lama.
Matawang mula diperkenalkan sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Perkembangan bentuk secara kronologi wang syiling di Melaka melibatkan empat orang Sultan iaitu Sultan Muzaffar Shah (1340-1378), Sultan Mansur Shah (1378-1449), Sultan Ahmad Shah (1510) dan Sultan Mahmud Shah (1481-1511). Sebelum zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah tiada bentuk matawang diperkenalkan kerana terdapat sumber asing terutamanya daripada China oleh Ma Huan yang pernah mencatat bahawa perdagangan yang dilakukan di Melaka termasuklah menggunakan debu emas, batang perak, bongkah timah dan kulit siput gerus yang diimport dari Kepulauan Maldives atau Borneo. Para pedagang asing juga memperkenalkan matawang seperti duit tembaga China, duit Pasai, emas dinar, duit timah dan duit tempatan.
Matawang syiling Melaka mempunyai bentuk standard iaitu bulat dengan mempunyai tulisan pada bahagian hadapan dan belakangnya menggunakan huruf jawi serta bercampur bahasanya antara Melayu dan Arab. Syiling tersebut tidak mencatatkan sebarang tarikh sebaliknya nama pemerintah dan mempunyai persamaan dengan matawang Kerajaan Samudera Pasai yang menjadi asas pembentukan matawang di Melaka. Dinar emas Pasai terus digunakan hingga tahun 1514.
Semasa era penjajahan, Portugis telah memperkenalkan matawang mereka yang terdiri daripada emas Catholico, perak Malaquese, Bastardos, Saldos dan Dinheiros daripada logam campuran (aloi) timah dan plumbum. Namun tiada bukti jelas penggunaan emas dan perak oleh Portugis. Tetapi matawang ‘Bazaruccos’ digunakan secara meluas dalam pasar tempatan. Matawang perak ‘Tanga’ pula diperkenalkan antara tahun 1629 hingga 1635 iaitu sebelum era Belanda.
Ketika Belanda menjajah Melaka, Gabenor pertama Belanda telah memperkenalkan pula wang syiling Syarikat India Timur Belanda atau V.O.C. termasuk syiling tembaga bernilai ¼ Stiver dan ½ Stiver. Pada tahun 1796 turut dikeluarkan syiling yang dinamakan ‘Bonks’ diperbuat daripada tembaga merah Jepun.
Kemudian pada awal pentadbiran kerajaan Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, matawang India (Rupees) dan Pulau Pinang dijadikan sebagai wang piawai di rantau tersebut. Namun begitu para pedagang lebih gemar menggunakan matawang dollar perak Sepanyol dan Mexico. Namun sekitar tahun 1830 masalah kekurangan wang di Singapura begitu ketara sehingga tercetus kekecohan kerana matawang Rupees dianggap sah di Negeri-negeri Selat disebabkan dokumen kerajaan menggunakan matawang tersebut manakala urusan perdagangan menggunakan matawang asing. Penggubalan Akta India No. 18 pada tahun 1835 akhirnya turut memperakui kesemua matawang asing iaitu Sepanyol Mexico, Peru, Bolivia dan Hong Kong sah digunakan. Pada tahun 1874 matawang dollar Amerika dan matawang Yen dari Jepun juga sahlaku di Negeri Selat.
Seterusnya matawang British digunakan pada tahun 1895 dan mulai tahun 1904 Kerajaan Negeri Selat menempa matawang syiling bernilai 5 sen, 10 sen dan 20 sen yang ditera perkataan ‘QUEEN VICTORIA’ manakala muka belakangnya “STRAITS SETTLEMENTS’. Syiling 50 sen diperkenalkan pada tahun 1866. Wang kertas hanya mula dicetak di Negeri-negeri Selat pada 1898. Selepas 31 Ogos 1904 kesemua matawang asing dianggap tidak sah diperlakukan.
Pada 8 Oktober 1938 Ordinan Mata Wang No 23 1938 telah diluluskan untuk menubuhkan Lembaga Suruhanjaya Mata Wang Malaya bagi menguruskan sistem matawang kertas dan syiling di Negeri-negeri Selat dan Tanah Melayu. Wang kertas dan syiling ditempa dengan wajah Monarki British, King George VI. Dari tahun 1952, wang kertas dan syiling ditempa dengan wajah seorang lagi Monarki British iaitu Queen Elizabeth II. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, terdapat pertukaran dalam reka bentuk matawang. Antaranya pada tahun 1959 dan 1961 wang kertas dikeluarkan dengan gambar "bot memancing pada gambar $1" dan "seorang petani dengan kerbau sedang membajak sawah pada $10".
Semasa era pentadbiran Jepun (1941-1945) telah memperkenalkan mata wang sendiri bagi urusan jual beli di wilayah jajahan mereka dan mempunyai nilai yang sama dengan mata wang Negeri-negeri Selat. Wang kertas yang dikeluarkan di kawasan penjajahan Jepun dibezakan dengan abjad pertama huruf bloknya iaitu di Tanah Melayu (atau Ma-rai-ee) huruf M. Duit Jepun lebih sinonim dengan nama "duit pokok pisang” telah menyebabkan kadar inflasi yang tinggi apabila pihak pentadbiran tentera Jepun dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan wang kertas tersebut tanpa had. Ketiadaan nombor siri serta pemalsuan note dolar ini menambahkan lagi kemerosotan ekonomi di Tanah Melayu.
Sebaik sahaja Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, pihak British telah menggunakan wang kertas 5,10,100 dan 1000 dolar tentera Jepun yang dicetak dengan tulisan MALAYAN berwarna merah pada bahagian atas, WAR SOURVENIR di bahagian bawah,bersama-sama VJ dan Grim Memories of 1941-1945 di tengah-tengah dengan dakwat hitam. Pada 20 Ogos 1945 wang kertas ini digugurkan dari udara untuk menyebarkan berita kemenangan terhadap Jepun serta menghapuskan mata wang penjajahan Jepun.
Bank Negara Malaysia mula mengeluarkan wang kertas ringgit Malaysia pada Jun 1967 menggantikan dollar Malaya dan British Borneo dengan peringkat-peringkat nilai $1, $5, $10, $50 dan $100, diikuti dengan $1000 pada 2 September 1968. Wang kertas Malaysia sejak dahulu sentiasa mengandungi wajah Tuanku Abdul Rahman, iaitu Yang di-Pertuan Agong pertama Malaysia, serta tandatangan Tun Ismail bin Mohamed Ali, Gabenor pertama Bank Negara Malaysia.
Pada 16 Ogos 1972, Bank Negara Malaysia menerima ejaan baru Bahasa Malaysia dalam pencetakan wang kertas sementara reka bentuknya kekal. Perkataan ringgit dan sen diterima guna sebagai nama rasmi pada Ogos 1975. Perkataan ringgit bermaksud "bergerigi" asalnya memaksudkan sisi bergerigi yang terdapat pada wang perak dolar Sepanyol yang digunakan secara meluas pada zaman penjajahan Portugis. Lambang "$" (atau "M$") diganti dengan "RM" sekitar tahun 1993, namun di peringkat antarabangsa, "MYR" (MY sebagai kod negara Malaysia) lebih diterima umum.
ERA BELANDA
Pelan Bandar Melaka pada zaman Belanda yang disiapkan pada tahun 1750.
Pelan Bandar Melaka yang disiapkan pada 1744 ini menunjukkan perancangan Bandar Melaka pada masa itu.
Replika kincir angin Belanda. Dibina sebagai tanda pembaharuan persahabatan antara rakyat Melaka dan kerajan Belanda.
Runtuhan Gereja St Paul yang tidak berbumbung yang kini menempatkan bekas kubur St Francis Xavier dan batu nisan rakyat Belanda
Runtuhan Gereja St Paul yang tidak berbumbung.
Plak yang membuktikan penjajahan Belanda terhadap Melaka
Ini ialah potret Laksamana Pieter Willemz Verhoeff yang menyerang kota Portugis di Melaka pada tahun 1608 dengan pertolongan orang-orang Johor. Johor terpaksa berundur meninggalkan Verhoeff untuk menawan Melaka tanpa sokongan. Walaupn Laksamana Portugis dan beberapa askar Portugis mati di medan perang, Verhoeff tidak juga dapat menawan Melaka
Ini ialah potret Cornelis Matelieff, Panglima Perang Kompeni Belanda Timur India yang mengatur serangan pertama Belanda ke atas Portugis pada tahun 1606. Kepungan Kota Melaka oleh Matelieff tidak berjaya.
Kawasan Perkuburan Orang Belanda
Lukisan Eridia yang menunjukkan kedudukan Kota Melaka pada tahun 1613. Sila perhatikan Sungai Leleh yang, ketika itu masih mengalir di selatan Bukit St Paul.
Pelbagai nilai wang syiling yang digunakan sepanjang empayar Belanda dalam abad ke-18.
Serangan Belanda yang diketuai oleh Matelieff ke atas kota Portugis di Melaka pada tahun 1608.
Pihak Belanda menggunakan taktik baru untuk menyerang Portugis pada tahun 1606. Mereka tidak lagi mengikut taktik biasa iaitu dari selatan atau utara. Merela memusnahkan kapal-kapal Portugis di pelabuhan dan mendarat di kawasan padang Bandar Hilir tetapi serangan tersebut juga tidak berjaya.
Lukisan seorang berbangsa Perancis pada tahun 1837 yang menunjukkan keadaan kawasan bangunan Stadthuys. Perhatikan keadaan asal bangunan itu dan fesyen pakaian masyarakat ketika itu.
BANGUNAN STADTHUYS (MUZIUM SEJARAH DAN ETHNOGRAFI)
Bangunan Stadthuys yang bermaksud Dewan Bandaran dibina oleh pemerintah Belanda pada tahun 1650an setelah mengambil alih Melaka daripada Portugis pada tahun 1641. Bangunan setinggi empat tingkat mengikut teres Bukit St. Paul seluas 49,200 kaki persegi, menjadi kediaman Gabenor Belanda sehingga awal kurun ke 18 di samping menjadi pusat pentadbiran Belanda sehingga 1824. Pemerintah Inggeris menjadikan bangunan ini sebagai pusat pentadbirannya. Bangunan Stadthuys terus menjadi pusat pentadbiran negeri Melaka hingga akhir tahun 1979. Warna asal bangunan ini adalah putih. Ianya ditukar kepada warna merah pada tahun 1820an dan kekal sebagai Bangunan Merah.
Bangunan Stadthuys telah mengalami banyak perubahan sejak awal Zaman British. Walau bagaimanapun ia masih mengekalkan seni bina Belanda dengan ciri-ciri seperti dinding batu yang tebal beserta tingkap-tingkap dan pintu-pintu yang besar. Di bawah lantai bangunan ini disediakan sistem perparitan yang dialirkan ke Sungai Melaka. Di ruang pejabat Gabenor terdapat hiasan ukiran kayu keras berbentuk bunga. Dapur tempat membakar roti yang besar terletak di belakang menunjukkan ramai orang yang berkunjung. Ruang bilik tidur Gabenor yang terletak pada bahagian paling tinggi dihias dengan lukisan mitologi Cina. Di bahagian bawah hadapan terdapat ruang penjara.
Konservasi bangunan Stadthuys telah dilaksanakan pada tahun 1985 oleh Jabatan Kerja Raya Melaka, mengambil masa selama 4 tahun. Semasa kerja-kerja tersebut dijalankan telah terjumpa beberapa komponen yang tidak diduga. Antaranya ditemui perigi yang disusun dengan batu karang di kawasan halaman bahagian dalam dan sebuah lagi di bawah tembok bangunan yang telah dikambus semasa bangunan tersebut dibina. Kedua-dua perigi ini dipercayai digali pada zaman Portugis. Selain itu, sebuah perigi Belanda beserta tapak bangunan yang dibina seiring dengan bangunan Stadthuys telah ditemui, di bahagian belakang, sebuah kolah dan laluan dari dalam bangunan telah ditemui semasa kerja-kerja memusnahkan ruang tambahan baru. Kesemua penemuan ini diwujudkan semula untuk tatapan orang ramai.
Sejarah "The Stadthuys "
Selepas pengepungan, Belanda mula membaiki dinding rosak dan kubu pertahanan. Mereka membina separuh lagi kubu di sebelah laut bersebelahan dengan sungai, yang mereka panggil sebagai" Middleburgh". Semua gereja-gereja Portugis yang rosak telah dirobohkan, kecuali gereja St. Paul yang berada di atas bukit. Ianya telah dibaiki dan digunakan oleh Belanda untuk kegunaan mereka sendiri. Rumah gabenor Portugis juga rosak teruk. Ianya terletak di lereng bukit di sebelah kubu lama "A Famosa ". Dipercayai bahawa Belanda menggunakan tempat yang sama untuk membina rumah Gabenor baru yang dikenali sebagai Stadthuys .
"Stadthuys" juga dikenali sebagai "Rumah Gabenor", dan di sebelah kiri adalah rumah Timbalan Gabenor. Ketika itu bangunan-bangunan penyimpanan hanya mempunyai satu tingkat. Di sebelah kanan adalah "Misericordia" atau rumah hamba yang terdapat beberapa gudang dan menara. Terdapat beberapa perincian yang dapat dilihat di bahagian hadapan bangunan Stadthuys walaupun ia jelas menunjukkan kawasannya yang agak kecil dan ianya terletak di sepanjang bahagian hadapan. Terdapat dua bangunan segi empat tepat yang melambangkan sayap pertempuran. Di mahkamah pula terdapat sebuah menara kecil yang mempunyai perigi tertutup.