MUZIUM SEJARAH / HISTORY MUSEUM

ACARA-ACARA MEMPERKENALKAN KEDUA MEMPELAI

Perkahwinan kedua-dua mempelai bukan berasaskan kepada rasa suka antara kedua-duanya. Perkahwinan mereka dipersetujui oleh ibu bapa kedua pihak. Adat yang diamalkan ketika itu tidak membenarkan seorang lelaki dan gadis berkenalan sebelum dinikahkan. Cara kehidupan dan falsafah masyarakat Melayu Islam ketika itu tidak membenarkan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Namun, pelbagai acara diaturkan untuk kedua mempelai supaya dapat mengenali satu sama lain demi menjadi satu asas yang kukuh sepanjang kehidupan mereka. Acara-acara ini juga akan menjadi kenangan manis bagi kedua-dua mereka. Acara-acara yang diaturkan ialah satu pertandingan yang menjadi satu temasya riang ria bagi sanak saudara yang menyaksikan reaksi malu di antara kedua mempelai. Pengantin digalakkan supaya menang dalam permainan-permainan yang diaturkan dengan usik mengusik bahawa yang kalah akan terpaksa mengikut kehendak yang menang. Sebarang taktik dan tipu muslihat untuk mencapai kemenangan dibenarkan.

Ilustrasi ini menunjukkan salah satu permainan yang diadakan dahulu untuk merapatkan kedua mempelai. Pada kebiasaannya, permainan seperti ini diadakan di sebelah petang. Satu tempayan diisi penuh dengan air hingga ke lehernya. Mulut tempayan dipastikan tidak besar, hanya boleh memuatkan dua tangan sahaja. Sebutir cincin akan dicampakkan ke dalam tempayan ini. Kedua-dua mempelai akan diberi isyarat untuk mengambilnya. Percubaan mereka akan menggelikan hati penonton yang berhimpun di situ. Matlamatnya bukan kemenangan tetapi untuk menghalang satu sama lain dari mendapat cincin itu, dan seterusnya merapatkan hubungan kedua insan yang memasuki alam kekeluargaan.

ADAT SAMBUTAN PENGANTIN SELEPAS FARDHU JUMAAT

Apabila pengantin lelaki pulang dari masjid selepas menunaikan solat dengan diiringi oleh adik-beradik atau sahabat-handai, pengantin lelaki akan ditahan di hadapan pintu masuk rumah tengah. Pengantin perempuan yang menanti akan menyiram segayung air wangi bercampur kelopak bunga di kaki suami selepas beliau menanggalkan kasutnya.

Sebaik sahaja selesai membasuh kaki, suaminya akan masuk kerumah dan pengantin perempuan akan mengendung campuran gula-gula, kacang serta wang syiling, yang akan dicampakkan atau ditaburkan ke lantai halaman rumah. Sekumpulan orang yang menunggu akan merebut untuk mengaut seberapa banyak yang boleh. Tua muda, lelaki perempuan akan mengambil bahagian dalam peristiwa yang penuh jenaka ini.

Upacara ini diamalkan turun-temurun dan diterima sebagai adat di Melaka. Tujuan dan maknanya tidak dapat dipastikan. Mungkin ia mempunyai makna atau simbol supaya kedua-dua pengantin dianugerah kesejahteraan kesihatan, kekayaan dan kehidupan yang manis sepanjang kehidupan mereka.

BERINAI KECIL

Berinai kecil ialah satu upacara permulaan persiapan pengantin perempuan. Ia disebut juga berinai curi.

Daun-daun inai dikumpul dan digiling di atas batu giling khas hingga daunnya menjadi adunan pekat. Bakal pengantin diminta duduk di biliknya dan seorang demi seorang kaum wanita dewasa akan mula melekatkan inai pada jari tangannya. Adik-beradik dan saudara mara pengantin akan turut membantu melekatkan inai pada jari-jari tangan dan tapak kakinya dalam bentuk-bentuk yang menarik.

Bakal pengantin perempuan terpaksa duduk diam di tempatnya tanpa bergerak sekurang-kurangnya selama satu hingga dua jam. Selepas sejam, tapak tangan dan kakinya yang telah dilumur sari daun inai akan kelihatan cantik. Adik-beradik dan sahabat handainya juga turut berinai, tetapi tidak seperti pengantin. Warna daun inai itu akan kekal selama 10 hingga 15 hari.

HANTARAN SERBA SATU

Orang Melayu Melaka menyematkan perasaan sentimental kepada hantaran perkahwinan yang dikirim oleh kedua-dua pihak pengantin. Kadangkala, ia dianggap sama penting dengan jumlah hantaran itu juga. Barang-barang hantaran ini dinanti-nantikan oleh kaum wanita, bukan kerana nilai wangnya, tetapi kerana mereka ingin melihat hasil kesenian pada persiapan barang-barang tersebut. Barang-barang hantaran ini akan dipamerkan di tempat khas dan kaum wanita yang datang tidak akan melepaskan peluang untuk melihatnya.

Barang-barang hantaran perkahwinan akan dibincang semasa upacara tanda jadi, tetapi hantaran serba satu tidak dibincang dengan panjang lebar ataupun ditentukan barang demi barang. Kadangkala, kedua-dua pihak akan bersetuju untuk mengenepikan hantaran hadiah. Walaupun bersetuju untuk tidak mengadakan hadiah, namun kedua-dua pihak masih akan berbalas hadiah juga. Pihak perempuan akan membalas hantaran lebih dari yang diterima dan jumlah barangan dalam angka ganjil.

Pada zaman dahulu, hantaran serba satu meliputi tanah dan barang-barang emas, bergantung kepada kedudukan pihak yang terlibat. Namun, tanpa mengira darjat, pemberian hadiah tetap mengiringi hantaran wang. Pada tahun 40an dan 50an, ikan dan sayur juga dimasukkan dalam hantaran serba satu, bersama-sama dengan lain-lain hadiah peribadi. Pada masa sekarang, coklat juga diberi sebagai hadiah, samada diatur secara seni atau pun dibuat dalam bentuk bangunan.

KENDURI DOA SELAMAT

Orang Melayu Melaka menyematkan perasaan sentimental kepada hantaran Hari Jumaat ialah hari yang mulia bagi umat Islam. Oleh itu, hari ini dipilih untuk membaca doa selamat bagi permulaan kehidupan baru supaya kedua-dua pengantin akan hidup bahagia.

Tuan rumah akan menjemput orang-orang tua dari kampungnya dan pegawai-pegawai syarak untuk membaca doa selamat. Makanan akan disediakan untuk majlis ini. Selepas menunaikan sembahyang Jumaat berjemaah di masjid, tetamu akan dijemput berkumpul di rumah perempuan. Doa selamat akan dibaca semoga majlis perkahwinan ini berjalan dengan sempurna untuk memohon daripada Allah Yang Maha Esa memberi rahmat kepada pasangan pengantin yang baru menjejaki alam kekeluargaan.

Apabila selesai bacaan doa selamat, makanan akan dihidangkan. Selepas makan, pengantin lelaki akan bersalaman dengan semua hadirin dan majlis akan bersurai. Dengan bacaan doa selamat, maka berakhirlah majlis perkahwinan Melayu Melaka.

KEWAJIPAN FARDHU JUMAAT

Setiap mukmin wajib bersembahyang fardhu Jumaat di masjid dalam qariahnya. Pengantin lelaki juga wajib menunaikan sembahyang bersama-sama dengan para jemaah di kampung pengantin perempuan. Ia bertujuan untuk memperkenalkan pengantin lelaki kepada penduduk di qariah itu dan sebaliknya, kerana ini ialah kali pertama dia bersembahyang di masjid itu, kecuali kalau beliau dari qariah yang sama.

Pengantin lelaki akan dibawa ke saf di hadapan sekali untuk menunaikan kewajipan beliau. Selepas bersembahyang, pengantin akan bersalaman dengan Tuan Imam, pegawai-pegawai syarak dan orang-orang lain. Salaman pengantin akan diterima dengan senyuman manis dan penuh bererti.

MAJLIS BERZANJI/MAULUD

Adat istiadat perkahwinan Melayu Melaka telah diamalkan sejak zaman silam lagi. Acara-acara seperti majlis berzanji, maulud dan lain-lain dimasukkan ke dalam upacara perkahwinan masyarakat Melayu Melaka. Walaupun majlis berzanji bukan adat, tetapi ia diamalkan sebagai salah satu acara perkahwinan di Negeri Melaka.

Apabila waktu pernikahan ditentukan, tuan rumah akan menjemput orang-orang tua dari kampung dan qariahnya yang mahir dalam keagamaan untuk berzanji atau bermaulud. Upacara berzanji atau maulud sekurang-kurangnya mengambil masa sejam. Kadangkala ia diteruskan selepas upacara akad nikah dengan bacaan dan melagukan ayat-ayat suci.

Bacaan dan melagukan ayat-ayat suci sebelum pernikahan diterima sebagai satu amalan baik demi kebahagiaan kedua-dua pengantin. Sekiranya pengantin lelaki sampai ketika berzanji atau bermaulud, rombongannya akan menunggu sehinggalah selesai.

MAJLIS JAMUAN PERKAHWINAN

Pada tahun 1960an dan sebelumnya, tetamu-tetamu yang dijemput ke sesuatu majlis perkahwinan Melayu di negeri Melaka pasti akan melihat dua meja berasingan dengan hidangan yang berlainan, iaitu satu dipenuhi dengan kuih-muih dan satu lagi dengan makanan yang enak. Perkara ini khas bagi negeri Melaka dan tidak dilihat di negeri-negeri lain. Persiapan dan persediaan bahan-bahan makanan selain ternakan dimulakan sejak waktu pertunangan.

Apabila hari kenduri perkahwinan semakin hampir, saudara mara mula datang ke rumah perempuan membawa bersama kuih-muih, beras, padi, telur, sayur-sayuran dan lain-lain keperluan. Di kalangan masyarakat Melayu Melaka, konsep gotong-royong ini disebut ‘menanam’. Kuih-muih yang dihimpun sedemikian ada juga yang disiapkan oleh tuan rumah sendiri membolehkan hidangan pelbagai jenis kuih kepada tetamu-tetamu yang dijemput.

Tetamu yang datang akan dibawa ke meja kuih muih terlebih dahulu. Pada kebiasaannya tetamu mesti merasa kuih-muih dahulu sebelum dipelawa ke meja makan yang dihidangkan dengan nasi. Di situ, nasi minyak atau nasi beriani dihidangkan dengan kuah kari yang sesuai. Semasa makan, sebiji telur rebus yang dicelup dengan warna ros merah yang diikat dan digantung pada lidi kelapa atau buluh akan dihadiahkan kepada tetamu untuk dibawa pulang.

Majlis makan perkahwinan Melayu Melaka yang dibuka hampir sepanjang hari dan diamalkan turun temurun ialah satu hasrat pihak pengantin untuk menjamu tetamu-tetamunya dengan puas. Kepuasan para tetamu yang datang menikmati juadah majlis diharapkan dapat menyempurnakan kehidupan kedua-dua mempelai itu.

MAJLIS TARI-MENARI

Setiap majlis perkahwinan Melayu Melaka pasti akan mengadakan hiburan bukan sahaja untuk menghilangkan penat tetapi juga sebagai tanda berterima kasih dan sebagai majlis perpisahan bagi semua yang berkumpul sepanjang minggu di majlis perkahwinan tersebut.

Pada ketika dahulu, hampir setiap kampung mempunyai satu pasukan muzik tradisional. Sekiranya kampung berkenaan tidak ada pasukan muzik, maka kumpulan muzik lain akan dijemput. Majlis tari menari adalah satu majlis tertutup yang hanya disertai oleh saudara mara dan sahabat handai yang telah membantu tuan rumah menjayakan majlis perkahwinan anaknya. Orang luar tidak dibenarkan turut serta dalam majlis ini, tetapi boleh menyaksikan dari luar pagar sahaja.

Majlis tari menari hanya akan dimulakan selepas waktu Isyak dengan tarian asli Melayu Melaka iaitu ronggeng, dondang sayang dan sebagainya. Pada awalnya, hanya alat-alat muzik akan dimainkan untuk menarik perhatian orang untuk naik ke pentas yang telah disediakan khas. Pada masa itu, muda-mudi tidak akan tampil ke hadapan untuk menari. Golongan tua akan masuk ke gelanggang dan memulakan majlis tersebut yang akan berjalan lancar sehingga lewat malam atau pagi. Lagu-lagu juga diselitkan oleh pasukan muzik atau penari itu sendiri. Di atas desakan orang-orang tua, kedua-dua pengantin akan masuk ke gelanggang. Sepanjang majlis itu, kedua-dua mempelai akan diusik dan muda-mudi saudara mara akan mula masuk ke dalam gelanggang serta cuba mengganggu pasangan pengantin secara berseloroh. Selepas sejam dua, orang-orang tua akan berundur dan hanya melihat kegiatan muda mudi dari tepi gelanggang.

Tari menari selepas majlis perkahwinan bukanlah satu adat, tetapi satu perkara kebiasaan yang diamalkan sejak dahulu-kala. Majlis tari menari juga disertai hanya dikalangan saudara mara dan dikawal rapi oleh orang tua-tua supaya perkara tidak bermoral dapat dielakkan. Majlis adalah satu upacara meriah dan menyeronokkan kepada bukan sahaja saudara mara tetapi juga para peminat yang berdiri di luar yang melihat telatah penari-penari.

MENDIRIKAN PENANGGAH

Menjelang tarikh pernikahan yang ditetapkan, persiapan akan dibuat bagi menjayakan upacara perkahwinan supaya berjalan dengan lancar di kedua-dua rumah pengantin. Acara-acara dan persiapannya lebih banyak di rumah pengantin perempuan berbanding dengan rumah lelaki. Persiapan bagi hari perkahwinan bermula lebih awal seperti menentukan mak andam, memilih ternakan untuk disembelih, barang-barang hiasan, mengumpul bahan-bahan makanan seperti memproses minyak kelapa, menjemput saudara-mara serta sahabat-handai mengikut adat dan syarak.

Acara-acara perkahwinan berlangsung sepanjang minggu, dimulakan dengan mendirikan penanggah di rumah pengantin. Seminggu sebelum hari pernikahan, satu rombongan pemuda-pemuda kampung akan ke hutan yang berhampiran selepas waktu subuh. Mereka akan menebang, mengumpul buluh serta kayu-kayan, lalu membawanya ke rumah pengantin untuk mendirikan bangsal-bangsal tempat makan, balai air, dapur dan khemah beratap. Mendirikan penanggah ialah satu acara yang meriah dan menyeronokkan penduduk kampung itu. Makanan dihidangkan untuk semua pihak yang terlibat dalam acara ini. Apabila kerja-kerja mendirikan penanggah selesai, mereka yang terlibat akan bersurai.

MENEPUNG TAWAR

Menepung tawar ialah satu upacara tradisi yang dibuat turun-temurun sebelum istiadat dan persiapan pernikahan bermula di sesebuah rumah. Sebelum rumah pengantin mula dihias, ia akan dipulihkan supaya majlis itu berjalan tanpa sebarang gangguan. Berdasarkan kepercayaan, upacara menepung tawar ini akan menjauhkan dari gangguan hantu syaitan dan perbuatan khianat terhadap pengantin atau tuan rumahnya.

Pada kebiasaannya, seorang tua yang berilmu akan dipelawa untuk menjalankan upacara tersebut di waktu petang. Kadangkala imam kampung dijemput untuk menyelesaikan perkara ini. Bahan-bahan yang digunakan ialah beras putih, beras kuning, bertih, tepung tawar (tepung beras yang dicairkan), dan daun sepuleh. Orang tua tersebut akan membaca ayat-ayat suci yang tertentu, merenjiskan tepung tawar dengan daun sepuleh dan menabur campuran beras dengan bertih di sekeliling rumah bermula dengan tiang seri rumah. Apabila selesai upacara itu, beliau akan melekatkan daun sepuleh di tiang seri rumah berkenaan.

Sesudah menepung tawar, persiapan-persiapan menghiaskan pengantin dan rumah akan dimulakan.

MERISIK

Apabila sebuah keluarga mempunyai seorang anak lelaki yang dewasa, maka ibu bapanya akan mengambil keputusan mencari seorang gadis yang sesuai baginya dan keluarga mereka untuk dijadikan isteri dan menantu. Mereka akan menyampaikan hasrat ini kepada saudara mara atau sahabat baik. Berikutan itu, seorang wanita tua atau saudara mara perempuan dari pihak lelaki akan mengenalpasti terlebih dahulu tentang anak gadis berkenaan di kampung mereka atau di kampung berhampiran, dan menziarahi jiran rumah gadis tersebut untuk mengintip kelakuannya dari segi kejiranan dan kesopanan. Sekira kelakuannya dilihat baik, maka perisik itu akan menyampaikan pendapat beliau kepada pihak lelaki untuk tindakan selanjutnya.

PERMAINAN SIRAM-MENYIRAM AIR

Hari kedua selepas hari berlangsungnya iaitu majlis kenduri ialah hari pembersihan, kemas-mengemas, basuh-membasuh, membuka bangsal, bangku dan meja. Kerja-kerja tersebut akan bermula pada awal pagi. Walaupun upacara perkahwinan sudah selesai dengan sempurna, kerja-kerja berkaitan tersebut perlu diselesaikan. Kekotoran perlu dibersihkan dan barang-barang yang dipinjam perlu dikembalikan. Walaupun penat belum hilang, kerja-kerja ini juga dijadikan satu permainan.

Pemuda-pemuda kampung akan berkumpul untuk mengemas, membasuh dan membuka benda-benda yang dipasang untuk majlis kenduri. Pembasuh-pembasuh kuali dan kawah akan mula memercikkan air semasa membasuh pinggan mangkuk dan sesiapa juga yang merapati tempat itu. Kegiatan ini akan merebak ke sekeliling rumah dan kemudian ke persekitaran rumah pengantin. Golongan tua dan muda akan mengambil bahagian dalam temasya keluarga ini di mana arang, minyak, kari dan lain-lain diguna untuk menyapu ke muka saudara mara.

Sesiapa sahaja yang lalu di kawasan itu akan disiram dengan air, samada mereka orang luar ataupun bangsa asing. Kejar-mengejar akan berlaku dan siraman air berkali-kali terhadap seseorang ialah perkara biasa. Semua orang samada yang menyiram, yang kena siram, saudara mara, orang luar dan juga bangsa asing akan menerima keadaan yang basah kuyup itu dengan rela dan keriangan, bersesuaian dengan suasana kawasan tersebut. Peristiwa ini akan berlangsung sehingga ke waktu Zohor dan kadangkala akan disambungkan sekiranya ada tetamu yang datang ke rumah ini di waktu petang.

PERSIAPAN MAJLIS MAKAN

Setiap majlis perkahwinan mana-mana bangsa dan agama pasti akan mengadakan satu majlis jamuan yang istimewa. Orang-orang Melayu juga tidak kurang hebatnya dalam menghidangkan makanan-makanan yang enak. Majlis makan perkahwinan orang-orang Melayu Melaka ialah satu acara yang terkenal di Semenanjung, bukan sahaja kerana keenakannya tetapi kerana beraneka jenis juadah.

Persiapan bagi kenduri perkahwinan bermula setelah anak perempuan menjadi gadis, dengan perolehan seekor lembu atau kerbau yang akan dikorbankan semasa perkahwinannya. Begitu juga ayam dikumpul bagi majlis makan sejak tarikh perkahwinan ditetapkan. Beras akan disiapkan dari padi yang diperolehi secara sendiri, seperti menjemur, menumbuk, membersih dan disimpan didalam guni. Kerjasama dan gotong-royong amat berkesan semasa persiapan perkahwinan. Ada yang berjanji memberi beberapa gantang beras, ada pula yang akan memberi gula, kuih-muih dan juga lain-lain barang-barang keperluan.

Pada hari pernikahan, lembu atau kerbau akan disembelih dan dibersihkan. Begitu juga dengan ayam, dan sekiranya berhajat, kambing juga akan disembelih dan dipotong. Segala barang keperluan seperti bawang, nanas dan sayur-sayuran akan disediakan. Khemah atau bangsal yang dibina khas bagi tujuan memasak akan dipenuhi dengan pelbagai persiapan untuk majlis makan sehingga lewat ataupun sepanjang malam.

Persiapan makanan bagi sesuatu majlis perkahwinan ialah satu kerja yang memakan masa dan memenatkan. Tetapi ketika inilah semua sanak saudara serta sahabat handai dari jauh dan dekat akan berkumpul untuk membantu tuan rumah supaya majlis perkahwinan akan berjalan dengan sempurna. Mereka juga meminjamkan barang keperluan seperti pinggan mangkuk, periuk, perhiasan dan juga barang-barang emas. Perhimpunan di majlis begini bukan sahaja kerana perkahwinan seorang ahli keluarga, tetapi juga perhimpunan sosial. Suasananya yang gembira itu dipenuhi dengan gurau senda dan gelak ketawa.

SAMBUTAN RAJA SEHARI

Pada waktu yang ditetapkan, pengantin lelaki dengan berpakaian tradisional Melayu Melaka lengkap bersetanjak akan tiba di rumah pengantin perempuan bersama dengan pengapit diiringi oleh pasukan kompang atau gendang dan pemegang bunga manggar. Saudara mara terdekat pengantin juga turut mengikutnya. Selepas beberapa minit, mempelai perempuan yang berpakaian pengantin dengan mempelai lelaki, serta mak andamnya akan ke tempatnya menunggu pengantin lelaki. Rombongan pihak lelakinya akan dijemput masuk ke rumah. Apabila kedua-dua mempelai bergerak dengan iringan paluan gendang dan kompang ke rumahnya, mereka akan berhenti di hadapan rumah untuk dipersembahkan dengan pertunjukan silat individu sambil disaksikan oleh semua tetamu. Persembahan silat ialah satu upacara turun temurun yang bukan sahaja memberi penghormatan kepada ‘Raja Sehari’ tetapi juga untuk menyanjung niat baik pihak yang datang. Upacara ini akan berlangsung selama 20 minit sehingga ke 30 minit.

UPACARA AKAD NIKAH

Akad nikah adalah kemuncak acara-acara yang berkaitan dengan perkahwinan orang-orang Melayu. Saudara-mara dan sahabat karib kedua-dua pengantin akan membuat persiapan menyediakan barang-barang seperti hantaran, perhiasan seperti sirih junjung dan lain-lain.

Sebelum upacara berzanji bermula, Tuan Imam, pegawai-pegawai agama dan bapa pengantin perempuan akan menemui pengantin dalam bilik pengantin untuk mendapatkan persetujuannya. Ketika itulah ditentukan samada imam atau bapanya akan menjalankan akad nikah.

Pada hari dan waktu yang ditetapkan, pihak pengantin lelaki akan datang ke rumah perempuan dan akan dipelawa masuk ke rumah sekiranya selesai acara berzanji atau maulud. Pengantin lelaki akan bersalam-salaman dengan semua orang-orang tua yang berada di majlis akad nikah sebelum duduk bersila di tikar pengantin. Barang hantaran juga dibawa masuk. Dalam dekad 40-an, bahan-bahan hantaran terdiri dari barang-barang mentah seperti ikan, sayur, buah-buahan tempatan dan sebagainya. Kebiasannya, jumlah hantaran yang dibalas tidak kurang dari apa yang diterima.

Tok Sidang di pihak perempuan akan memulakan upacara dengan mengalu-alukan kedatangan pihak lelaki secara berpantun dan meminta mereka menerangkan tujuan. Tok Sidang pihak lelaki pula akan menjawab dengan pantun, menyatakan tujuan kedatangannya dan merujuk kepada perjanjian yang dibuat semasa pertunangan. Pantun memantun memainkan peranan penting dan didengari oleh para hadirin dalam majlis tersebut.

Selepas hantaran diterima, upacara pernikahan dimulakan. Imam akan bercakap tentang tanggungjawab suami selepas menguji pengantin lelaki mengenai pengetahuan agama dan lain-lain hal. Pada biasanya, imam diwakili untuk menunaikan upacara pernikahan. Bapa pengantin perempuan juga layak untuk mengahwinkan anaknya selepas tugas imam selesai.

Imam akan mengajar atau mengingatkan perkara-perkara yang wajib dijawab dengan terang selepas hal-hal berkaitan selesai. Kemuncak upacara pernikahan akan bermula, iaitu para jemputan akan menumpukan perhatian mereka kepada pengantin lelaki dan akan menyampaikan ikrar yang wajib dilafazkan. Pengantin lelaki mesti menyambung serta merta dan melafazkan dengan nada yang terang ikrar persetujuannya. Saksi-saksi harus mengakui bahawa lafaz pengantin lelaki betul dan ia tidak perlu mengulanginya.

Dalam upacara akad nikah, pengantin perlu menyebut mas kahwin, samada ianya tunai, hutang, sebilah keris atau kitab Al-Quran. Sesudah lafaz pernikahan, maka imam akan membaca doa selamat. Apabila berakhirnya upacara akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatal air sembahyang.

UPACARA BERGANTUNG-GANTUNG

Selepas berakhirnya upacara menepung tawar, rumah akan mula dihias. Langsir tingkap dan pintu ditukar dengan yang baru, begitu juga tikar lantai pun ditukar. Cadar katil digantikan dengan yang baru. Perhiasan gantungan akan dipasangkan. Kerja-kerja gantungan dan tukar-menukar kain serta tikar dibuat oleh anggota keluarga wanita tuan rumah.

Pada masa yang sama, pelamin akan disediakan untuk upacara bersanding. Ia akan dibuat seperti singgahsana. Bilik pelamin juga turut diperbaharui dan dihiasi. Acara perhiasan dan pertukaran bahan-bahan baru yang berkait dengan upacara perkahwinan disebut ‘gantung-gantung’. Tuan rumah akan menyediakan makanan dan minuman untuk orang-orang yang membantunya.

UPACARA BERSANDING

Upacara bersanding adalah satu perkara utama dalam majlis perkahwinan orang Melayu. Orang-orang Melayu Melaka juga mengamalkan acara tersebut sejak dari dahulu kala. Sememangnya acara bersanding ialah kemuncak sesuatu perkahwinan orang Melayu. Kedua mempelai akan bersanding dua kali di atas pelamin yang dibina khas. Kali pertama ialah selepas acara akad nikah yang disebut berinai besar, kali kedua pada hari berlangsung.

Sebaik sahaja tamat sambutan raja sehari, pengantin perempuan akan dibawa masuk ke rumah dan duduk di atas pentas pelamin. Pengantin lelaki pula akan ditahan di beberapa tempat sebelum menuju ke pelamin. Beliau akan dikenakan ‘cukai’ untuk terus ke hadapan. Kadangkala pengantin lelaki akan diminta menyanyi, dan akan dikenakan denda jika ia gagal. Semua ‘cukai’ dan ‘denda’ ialah semata-mata gurau senda sahaja.

Apabila kedua-dua mempelai telah duduk, maka upacara berdoa memohon rahmat dari Tuhan akan dimulakan. Pada zaman dahulu, pentas pelamin dibina tinggi dan mempelai duduk mengikut cara tradisi orang Melayu. Kemudian pada kurun ke 19, kerusi diperkenalkan dan diletak di atas pentas yang rendah. Pentas pelamin dihiasi dengan penuh warna-warni serta mengandungi satu pahar dengan beberapa mangkuk kecil yang diisi bertih, tepung tawar, beras putih dan kuning. Manakala sebuah pahar lagi dengan telur rebus yang dicelup dengan warna merah/ros dan dicucuk pada buluh.

Orang-orang tua dan saudara mara kedua-dua pengantin akan dijemput masuk untuk mendoakan rahmat Tuhan bagi mereka. Setiap orang akan mengambil sedikit bertih, beras putih dan kuning lalu mencampakkannya ke atas kedua-dua mempelai. Tepung tawar akan direnjiskan dengan mengguna daun sepuleh. Mereka akan bersalaman dengan kedua-dua pengantin dan orang-orang tua juga akan mendoakan supaya kehidupan mereka dicucuri rahmat. Sesiapa yang berbuat demikian akan diberi sebiji telur rebus yang telah dihias sebagai tanda terima-kasih.

Upacara bersanding akan mengambil masa lebih kurang sejam. Kemudian kedua mempelai ini dijamu dengan hidangan istimewa yang dimakan bersama rombongan pengantin lelaki. Kedua-dua diorama ini menunjukkan upacara bersanding yang sama, tetapi pada dekad yang berlainan, iaitu pada tahun 50an dan 90an.

UPACARA MEMBATAL AIR SEMBAHYANG

Sesudah upacara akad nikah, pengantin lelaki dengan pengapitnya akan ke bilik pengantin. Di situ pengantin perempuan menanti dengan berpakaian sanggul lintang. Pengantin perempuan akan ditemani oleh mak andam atau seorang wanita tua ataupun rakan karibnya. Pengantin lelaki akan melakukan upacara menyarung cincin ke jari manis pengantin perempuan.

Upacara ini disebut membatal air sembahyang kerana kesucian upacara pernikahan disahkan dengan sentuhan pertama suami dengan isterinya. Dalam upacara membatal air sembahyang, pelbagai cara akan diadakan untuk sentuhan pertama di antara kedua-dua mempelai pengantin. Mereka akan bersalam-salaman dengan saudara mara dan pegawai syarak yang hadir di majlis akad nikah tersebut.

Upacara berinai besar akan diikuti kemudiannya, ia bergantung kepada waktu pernikahan. Sekiranya waktu pernikahan ditetapkan selepas waktu asar, pada kebiasaannya upacara ini akan diadakan di waktu malam untuk memeriahkan lagi suasana rumah pengantin dan seterusnya keseluruhan kampung tersebut.

UPACARA PERTUNANGAN

Upacara pertunangan seorang gadis dengan seorang jejaka ialah satu acara yang berlangsung tidak beberapa lama selepas upacara tanda jadi. Upacara ini mengikat dan mengesahkan petanda dan perjanjian di antara kedua-dua keluarga secara terbuka. Perlangsungan ini akan dihebohkan kepada masyarakat kampung.

Keluarga lelaki akan menghantar satu rombongan meminang yang terdiri daripada saudara mara rapat yang diketuai oleh Datuk Sidang kampung pihak lelaki ke rumah pihak perempuan pada tarikh yang telah ditetapkan. Keluarga perempuan juga menjemput Datuk Sidang kampung mereka sendiri untuk mengetuai bagi pihaknya. Datuk Sidang akan memulakan perbincangan dengan bertanyakan hajat kedatangan pihak lelaki. Pada kebiasaannya, kedua-dua pihak akan berbalas pantun perihal perhimpunan tersebut.

Sekiranya persetujuan telah dicapai tentang jumlah hantaran sama ada bersih atau serba satu, maka tarikh serta bulan pernikahan akan dibincang dan ditetapkan. Kadangkala, bulan sahaja ditetapkan dan tarikhnya akan dibincangkan kemudian kelak. Mengikut adat, separuh daripada wang hantaran yang dipersetujui akan diserahkan kepada pihak perempuan bagi mengikat peminangan. Sekiranya tiada jodoh dan pihak lelaki tidak ingin meneruskan pertunangan tersebut, maka hanguslah wang hantaran itu. Sekiranya pihak perempuan yang mengingkari janji, maka mereka diwajibkan membayar dua kali ganda jumlah wang tersebut.

Apabila selesai urusan perbincangan, hadiah akan bertukar tangan. Ibu atau adik beradik perempuan pihak lelaki akan masuk ke bilik bakal tunang berada dan akan menyarungkan cincin pertunangan. Gadis berkenaan akan bersalam-salaman dengan keluarga perempuan pihak lelaki. Kemudian, makanan akan dihidangkan bagi rombongan lelaki, bermula dengan bacaan doa selamat.

UPACARA TANDA JADI

Keluarga yang merisik seseorang anak gadis, sekiranya telah berpuas hati dengan berita yang disampaikan oleh perisik, akan menghubungi keluarga anak gadis tersebut serta menetapkan hari untuk berbincang mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan peminangan, hantaran dan tarikh pertunangan.

Pada kebiasaannya, saudara mara yang rapat dengan keluarga lelaki akan pergi ke rumah keluarga perempuan. Kadangkala ibu bapa, kakak atau abang lelaki akan mengiringi rombongan ke rumah pihak perempuan. Di dalam perbincangan tersebut, aspek-aspek hantaran dan tarikh pertunangan akan ditentukan. Sekiranya kedua-dua pihak bersetuju, maka keluarga lelaki akan memberi atau menyarungkan sebentuk cincin pada si gadis berkenaan sebagai tandajadi. Pada zaman dahulu, cincin tandajadi ini diperbuat daripada emas, permata, perak, suasa, rotan ataupun lidi. Acara tanda jadi ini bukan acara yang mewah, tetapi satu ikatan yang suci untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa gadis itu sudah diikat orang.

ADAT CUKUR JAMBUL MASYARAKAT CHETTI

Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Chetti juga mengamalkan adat cukur jambul. Menurut mereka adat adalah sangat penting dan kebiasaannya cukur jambul bagi bayi yang berusia antara 4 atau 5 bulan diadakan di kuil ataupun di rumah. Mereka akan memilih tarikh dan masa yang baik sebelum diadakan majlis cukur jambul. Sebelum sami atau pandarung akan membuat upacara sembahyang pada bayi tersebut. Setelah itu, barulah tukang gunting rambut mula mencukur rambut bayi. Rambut yang dicukur tidak akan dibuang tetapi dimasukkan ke dalam buah kelapa muda. Kebiasaannya setelah rambut dicukur, kepala bayi akan diletak serbuk sadanam (serbuk cendana) dan dibawa ke kuil untuk upacara sembahyang bagi mendapatkan restu. Kelapa muda yang berisi rambut bayi akan ditutup dengan kulit kelapa dan diletakkan di bawah pokok yang tidak dilalui oleh sesiapa. Tujuan diletakkan di bawah pokok adalah untuk mengelakkan orang melangkah atau mengambil rambut tersebut dengan niat yang kurang baik. Antara peralatan yang digunakan adalah satu dulang buah-buahan dengan sirih pinang, kelapa muda, daun pisang di mana buyong tembaga atau kodam akan diletakkan di atas beras serta manisan seperti gula batu atau kurma. Kebiasaannya manisan akan diberi kepada saudara mara yang hadir pada majlis tersebut.

ADEGAN PERKAHWINAN KAUM KETURUNAN PORTUGIS

Sudut ini mempamerkan satu upacara perkahwinan kaum Portugis yang dipraktikkan pada tahun 1950an dan sebelumnya. Pada ketika itu, majlis perkahwinan kaum ini akan bermula pada hari Isnin sehingga hari Ahad. Tarikh pernikahan akan ditetapkan dua bulan sebelumnya dan kerja-kerja persiapan bagi menjayakan majlis perkahwinan akan bermula. Sebuah pelamin khas bagi upacara bersanding akan disediakan.

Adat istiadat perkahwinan keturunan kaum Portugis pada tahun 1940an amat berbeza dengan majlis perkahwinan yang diadakan sekarang. Pada keseluruhannya, adat istiadat mereka berasaskan kebudayaan kaum Melayu dan kebudayaan Portugis pada ketika itu. Gabungan kedua-dua kebudayaan ini diterima dan dipraktikkan sejak kurun ke 16 apabila orang-orang Portugis digalakkan berkahwin dengan gadis-gadis tempatan. Gabungan ini dapat dilihat dalam beberapa istiadat perkahwinan mereka.

Adegan ini menunjukkan kedua-dua mempelai duduk di atas pelamin. Pada kebiasaannya, pelamin pengantin akan ditempatkan di serambi rumah supaya ramai orang boleh melihat pengantin dari tingkap-tingkap yang ada. Kedua-dua pengantin akan memakai pakaian yang berwarna putih yang menandakan kebersihan mereka. Pengantin perempuan akan memakai baju kurung dan rambutnya disanggul. Satu kerongsang juga akan dipinkan di bajunya untuk menandakan kesucian dara pengantin perempuan. Sebuah cermin sengaja dilekatkan di belakang pengantin untuk saudara mara melihat perhiasan sanggulnya semasa bersanding. Sebuah mahkota kertas juga digantung di pintu masuk untuk mengesahkan keperawanan pengantinnya.

Pelamin tersebut akan digunakan sebanyak tiga kali. Sehari sebelum pernikahan, upacara ‘Marra Strado’ iaitu usik mengusik kedua-dua pengantin akan diadakan di pelamin ini. Selepas upacara pernikahan di gereja, kedua-dua pengantin akan menaiki pelamin untuk menerima ucapan tahniah dari saudara mara dan sahabat handai. Akhir sekali kedua-dua pengantin akan duduk di atas pelamin ini sebelum jamuan makan dihidangkan.

(Nota: Pada tahun 1940an, kulit-kulit kayu dilekatkan pada dinding luar rumah mereka dan dicatkan dengan kapur).

BILIK PELAMIN BABA

Salah satu upacara yang diutamakan dalam perkahwinan kaum Baba ialah persiapan bilik pelamin yang merangkumi dua aspek berlainan iaitu kecantikan bilik pelamin dan menyucikan katil pengantin itu sendiri. Semua barang yang berkaitan dengan bilik pelamin ditukar dengan yang baru, iaitu cadar, tilam, langsir, permaidani, sulaman, tenunan dan gantungan. Katil akan disiapkan dengan tekun dan teliti. Bunga yang wangi, setanggi dan bunga rampai akan diletakkan di lokasi yang tertentu di bilik pelamin.

Katil pengantin yang dipamerkan di sini disebut ‘Ranjang Tok San’ yang merupakan sebahagian daripada bilik pelamin. Katil pengantin Baba bukanlah hanya satu unit sahaja, tetapi diletak rapat sebelah menyebelah. Bahagian hadapan menyerupai bangku panjang dan katil besar yang diletakkan disebelahnya. Kedua-duanya akan penuh dihiasi, lengkap dengan tirai-sutera gantungan sulaman dengan tilam dan bantal-bantal yang mewah serta muka bantal bersadurkan perak atau emas. Dua buah kerusi berwarna merah ditutup dengan sulaman baldu akan diletakkan di hadapan katil pengantin. Kerusi dan ranjang yang di hadapan katil akan digunakan oleh pengantin untuk bercakap-cakap, kadang-kala berhari-hari akan berlalu sebelum mereka bersentuhan antara satu sama lain.

Menyucikan katil pengantin ialah satu upacara simbolik untuk memohon restu, mendapat kemewahan, panjang umur dan zuriat.

Sesisir pisang raja, daun serai, daun keladi akan dimasukkan ke dalam periuk tanah dan diletakkan di bawah katil pengantin dan dipasang di atas pasir bersih yang diletakkan ke dalam satu bekas. Sesudah itu, bilik pelamin ini akan dipasang setanggi dan dikawal sepanjang masa.

Upacara menyucikan rohani dan memohon keberkatan akan dijalankan pada hari serta waktu yang ditetapkan. Ini dilaksanakan oleh seorang kanak-kanak lelaki yang akan bergolek tiga kali di atas katil pengantin. Selepas upacara ini, bilik pengantin akan dijaga rapi dari sesiapa atau sesuatu benda yang disyaki tidak suci memasukinya sehinggalah ke hari perkahwinan.

BILIK PELAMIN MELAYU

Bilik pelamin adalah bilik yang pertama diberi perhatian penuh dalam sesuatu majlis perkahwinan Melayu. Selepas upacara menepung tawar, bilik pelamin juga akan dihiasi dengan pelbagai gantungan berwarna-warni. Semua perabot yang terletak di bilik pelamin dibeli atau ditempah baru. Wang hantaran akan digunakan untuk membeli katil, tilam, kain gantungan, almari dan meja perhiasan diri. Semua perabot tersebut akan menjadi hak milik kedua pengantin. Beberapa adat istiadat akan dijalankan di bilik ini untuk memastikan kehidupan kedua-dua pengantin bermula dalam suasana yang baik. Bilik pelamin ini juga akan digunakan untuk upacara berinai kecil, tukar-menukar pakaian-pakaian tradisi, membatal air sembahyang dan penyatuan kedua mempelai.

Mak andam juga akan menjalankan upacara pemulihan pengantin perempuan di bilik ini. Tuan rumah akan menyediakan beberapa bahan bagi tujuan tersebut. Upacara pemulihan pengantin akan diamalkan terlebih dahulu menjauhkan segala niat buruk terhadap pengantin dan menyediakannya secara psikologi pengantin perempuan untuk menghadapi kehidupan baru.

Bahan-bahan mak andam adalah seperti berikut:

A) Lilin sepasang: untuk dipasang dan dipegang di belakang kepala pengantin.
B) Cermin: untuk dipegang di hadapan muka pengantin. Mukanya harus dilihat. Kemudian padamkan lilin dan ambil jelaga darinya dan sapu pada bulu keningnya.
C) Kelapa disalut benang: memegang kelapa dan memusingkannya sebanyak tiga kali keliling dikepala pengantin perempuan.
D) Kain putih: untuk mengebas pengantin sebanyak tiga kali.
E) Gula kabung: pemanis untuk memaniskan kata-kata pengantin.
F) Tepak sirih: untuk menambah seri pengantin perempuan.

Selepas selesai upacara ini, semua barang-barang tersebut akan diberi kepada mak andam sebagai hadiah.

PAKAIAN-PAKAIAN TRADISIONAL

Salah satu aspek yang unik dalam upacara perkahwinan Melayu Melaka ialah pakaian-pakaian pengantin perempuan. Selama dua hari berturut-turut, iaitu pada hari akad nikah dan hari berlangsung, pengantin perempuan akan memakai pelbagai jenis pakaian pengantin mengikut apa yang ada pada mak andam. Pada hari akad nikah, pengantin perempuan akan memakai pakaian tradisional termasuk pakaian masyarakat lain. Sejak pagi lagi, pengantin perempuan dipakaikan dengan pakaian Puteri Perak, Minang, Jawa, Arab, Pahang, Johor dan lain-lain pakaian mak andam. Pada kebiasaannya, pengantin perempuan akan menyalin pakaian sebanyak tujuh hingga tiga belas kali. Setiap kali pengantin perempuan menukar baju, dia akan dibawa pusing sekeliling rumahnya, dan ini akan memeriahkan suasana dengan berlaku usik-mengusik.

Pemakaian baju-baju tradisional ini bukanlah satu adat perkahwinan Melayu, tetapi ia menjadi amalan biasa di negeri Melaka. Ini mungkin kerana sikap penerimaan yang baik antara orang Melaka akibat percampuran pelbagai kaum yang datang dan menetap di Melaka sejak zaman silam lagi.

Sesudah memakai pelbagai baju tradisional tersebut, akhirnya pengantin perempuan akan dipakaikan pula dengan pakaian tradisional pengantin Melaka yang disebut sebagai pakaian permaisuri. Ia akan mengambil masa selama setengah jam sehingga satu jam untuk dipakaikan. Dengan pakaian inilah pengantin akan bersanding dengan suaminya di pelamin.

PERKAHWINAN KAUM CHITTY

Kaum Chitty ialah satu kaum yang unik dan terdapat di Kota Melaka sahaja. Mereka telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ini adalah hasil daripada percampuran perkahwinan di antara pedagang-pedagang India dan gadis-gadis tempatan. Masyarakat yang wujud sedemikian menyatukan kebudayaan Melayu dan kebudayaan Hindu. Masyarakat Chitty mengamalkan adat-istiadat, tutur bahasa dan pakaian berasaskan kepada kebudayaan Melayu dan Hindu. Asimilasi kebudayaan Melayu dan Hindu ini dapat disaksikan dalam kehidupan seharian mereka. Upacara-upacara perkahwinan kaum Chitty juga merupakan satu peristiwa berwarna-warni dan mempunyai keunikan tersendiri. Bukan sahaja budaya Melayu dan budaya Hindu diamalkan, tetapi juga satu sistem yang tersendiri dituruti iaitu perbelanjaan perkahwinan ditanggung oleh pihak lelaki. Upacara pernikahan kaum Chitty pula dijalankan selama tiga hari tiga malam. Upacara pernikahan juga boleh dilakukan di rumah atau di kuil, dan begitu juga jamuannya boleh diadakan di rumah atau di dewan yang berhampiran mahupun di halaman kuil itu sendiri.

Diorama ini menggambarkan salah satu adat-istiadat upacara pernikahan kaum Chitty. Adegan ini menunjukkan suasana tempat pernikahan tanpa pelamin pengantin yang terletak berhampiran dengannya. Segala persiapan perkahwinan kaum Chitty ditumpukan kepada persiapan adegan ini iaitu kedua-dua mempelai dan bapa-bapa mereka memainkan peranan.

Selepas upacara pernikahan dan penerimaan restu orang-orang tua dengan renjisan air mawar dan beras kunyit, kedua-dua pengantin akan mengelilingi pelamin sebanyak tiga kali. Seterusnya, pengantin lelaki akan menyarungkan cincin di jari kaki isterinya yang akan diletakkan di atas batu giling. Upacara ini ialah simbolik perjanjian ketaatan isteri kepada suaminya.

Sembilan jenis benih kacang yang sudah tumbuh dan terletak di dalam sebuah bekas tanah akan ditanam oleh kedua-dua mempelai. Upacara menanam jenis-jenis kacang ini merupakan simbol kebahagiaan dan kemakmuran masa hadapan bagi kedua-dua mempelai. Dua barisan periuk tanah yang diaturkan bertingkat dan mengandungi air akan digunakan untuk memandikan kedua-dua mempelai pada keesokan harinya. Sebentuk cincin akan dicampakkan ke dalam tempayan yang berisi air. Kedua-dua mempelai akan berebut untuk mengambil cincin itu. Upacara ini ialah satu permainan bagi merapatkan hubungan kedua-dua mempelai.

Congkak dan lima mangkuk periuk tanah diisi dengan nasi susu juga memainkan peranan untuk mengeratkan lagi persaudaraan kedua keluarga. Kedua-dua bapa mempelai akan mengambil bahagian dalam satu pertandingan bermain congkak ini. Sesiapa yang kalah mesti memakan sehingga habis kelima-lima mangkuk yang mengandungi nasi susu. Upacara yang melibatkan kedua-dua bapa mempelai semasa majlis perkahwinan juga merupakan sesuatu yang unik bagi kaum Chitty sahaja.

PERKAHWINAN TRADISIONAL KAUM MELAYU MELAKA

Adat-istiadat perkahwinan tradisional masyarakat Melayu Melaka ialah satu acara yang panjang serta memenatkan, tetapi di dalam suasana berwarna-warni dan menyeronokkan bagi semua sanak saudara dan sahabat handai yang terlibat dan menjadikan ia satu acara yang hebat.

Adat Temenggong diterima umum di seluruh negeri Semenanjung kecuali di Negeri Sembilan yang mengamalkan adat Perpatih. Negeri Melaka pula mengamalkan kedua-dua sistem adat tersebut secara berasingan. Lazimnya, upacara perkahwinan di tempat masing-masing mengikut lunas-lunas adat istiadat kedua-dua sistem, iaitu Temenggong dan Perpatih. Namun begitu, acara-acara yang berkaitan dengan upacara perkahwinan hampir menyamai antara satu sama lain.

Bakal pengantin perempuan atau lelaki tiada pilihan sendiri untuk memilih jodohnya, namun begitu perkahwinan ini tidak boleh dikatakan perkahwinan paksaan ibu bapa mereka. Adat tempatan mementingkan persetujuan bakal pengantin perempuan walaupun kedua-dua ibu bapa lelaki dan perempuan sudah pun bersetuju tentang perkahwinan mereka. Bakal pengantin perempuan atau pihak perempuan tidak boleh meminang pihak lelaki. Pada kebiasaannya, pihak lelakilah yang akan berhubung dengan pihak perempuan melalui orang tengah.

Apabila tarikh pernikahan ditetapkan, ianya dipilih supaya semua saudara mara dapat berkumpul dan meraikan bersama upacara-upacara perkahwinan itu. Upacara tersebut berlangsung sepanjang minggu, bermula dengan upacara penanggahan dan akan tamat dengan upacara menyiram air. Banyak acara diaturkan supaya kedua-dua pengantin dapat mengenali antara satu sama lain. Upacara adat istiadat perkahwinan akan diakhiri dengan pengantin lelaki menunaikan solat fardhu Jumaat di masjid dan kemudiannya membaca doa selamat di rumah pengantin perempuan.

Ruang ini mempamerkan adat istiadat perkahwinan kaum Melayu Melaka pada tahun 1940an dan 1950an.

Maklumat Lanjut / More Info

TOP