MUZIUM RAKYAT

STADIUM HANG TUAH

Stadium yang pertama dibina di Melaka ialah Stadium Hang Tuah. Nama asal stadium ini ialah Stadium Kubu yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka. Merupakan tapak asal Stesen Keretapi Melaka yang menghubungkan landasan Melaka dengan Pulau Sebang dan telah dimulakan perkhidmatannya pada Disember 1905.

Stadium Kubu ini dibuka secara rasminya pada tahun 1954 oleh En. G.E.C Wisdom. Pada waktu itu, beliau merupakan Presiden Pesuruhjaya Melaka, Presiden Majlis Bandaran Melaka dan Presiden Stadium Melaka. Stadium Kubu pada waktu itu terletak di bawah pengurusan Ahli Jawatankuasa Stadium Melaka. Pada 31 Ogos 2001, nama stadium ini telah ditukarkan kepada Stadium Hang Tuah. Ia telah dirasmikan oleh TYT Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad al-Haj bin Syed Mahmud Shahabuddin, Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam (1984-2004).

Pada peringkat awal, stadium ini diuruskan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sehinggalah ia diserahkan kepada Perbadanan Stadium Melaka pada 1 Jun 2005. Keluasan stadium ini adalah meliputi 8 ekar dan keluasan padang seluas 105m x 68m. Stadium ini mampu menampung kapasiti 15,000 orang penonton pada satu-satu masa.

PEMBANGUNAN KOMPLEKS SUKAN HANG JEBAT

Melaka terus berusaha untuk memajukan bidang sukan setaraf dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Sehubungan itu, idea untuk mendirikan Stadium Hang Jebat telah dicetuskan oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka pada tahun 2001. Upacara pecah tanah stadium utama di negeri Melaka ini telah dimulakan pada 1 September 2001 dan mengambil masa kira-kira 4 tahun untuk disiapkan. Mula beroperasi buat pertama kalinya pada 16 September 2004 di bawah pengurusan Perbadanan Stadium Melaka. Stadium ini telah dirasmikan oleh TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam pada 25 September 2005.

Stadium berbumbung dua tingkat ini mempunyai keluasan 60 ekar atau 242,811.39 meter persegi mampu memuatkan kira-kira 40,000 orang pada satu-satu masa serta mengikut spesifikasi dan piawaian antarabangsa.

Pencapaian yang paling membanggakan buat seluruh rakyat Melaka apabila Stadium Hang Jebat dipilih untuk menjadi lokasi bagi upacara perasmian dan penutupan sukan yang berprestij di Malaysia, SUKAN MALAYSIA XIII, MELAKA 2010 yang berlangsung pada 10 - 19 Jun 2010.

PENGANJURAN SUKAN MALAYSIA (SUKMA XIII, MELAKA 2010)

Sukan Malaysia ke 13 telah diadakan pada 10 hingga 19 Jun 2010 bertempat di negeri Melaka, Bandaraya Warisan Dunia UNESCO. Sebanyak 15 kontijen dari seluruh Negara telah berkampung di negeri ini untuk menjayakan acara sukan terbesar di Malaysia.

SUKMA XIII, MELAKA 2010 telah dirasmikan oleh TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 12 Jun 2010 manakala Majlis Penutupan telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 19 Jun 2010 bertempat di Stadium Hang Jebat, Kompleks Sukan Hang Jebat, Melaka.

Sebanyak 33 acara dipertandingkan dalam SUKMA XIII, MELAKA 2010 ini dan melibatkan kira-kira 10,000 atlit dalam pelbagai acara.

LAGU SUKAN MALAYSIA XIII , MELAKA 2010

Harmoni dan Cemerlang
Sukan Malaysia di Melaka
Bandaraya Warisan Dunia
Negeri Bersejarah Berbudaya

Semangat Rakyat Didahulukan
Pencapaian Diutamakan
Berpadu Bersedia Menyahut Cita Bangsa
Kita Satu Malaysia

Berjuang Bersama
Cabaran Dan Harapan
Tangkas Dalam Saingan
Semangat Setiakawan
Tersemat Diingatan
Terbinalah Insan

Sukan Malaysia
Martabatkan Sukan Negara
Bersama Kita Julang Kejayaan Gemilang
Harmoni dan Cemerlang

Loading

TOP