MUZIUM RAKYAT
MUZIUM RAKYAT (1992)
Ruang muzium dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu Aras Bawah menempatkan Muzium Rakyat yang memfokuskan tentang pembangunan yang telah dilaksanakan untuk kemudahan rakyat serta kejayaan yang dikecapi oleh negeri Melaka. Galeri Sukan Melaka, Galeri Masyarakat Melaka dan ruangan UNESCO turut ditempatkan di sini untuk menyampaikan maklumat yang berkaitan kepada orang ramai.
MUZIUM LAYANG-LAYANG (1995)
Ruangan aras satu pula menempatkan pameran Muzium Layang-layang yang telah dirasmikan pada September 1995 oleh YAB Datuk Seri Mohd Zin bin Abdul Ghani, mantan Ketua Menteri Melaka. Muzium ini memfokuskan kepada pameran sejarah penciptaan layang-layang sehinggalah ia dianggap sebagai hobi pada hari ini. Aras ini juga menempatkan Galeri Wau, Permainan Tradisional dan Galeri Gasing. Selain itu, turut ditempatkan Galeri Datuk Wira Haji Borhan bin Md Yaman.
MUZIUM KECANTIKAN (1996)
Ruangan aras dua pula menempatkan pameran Muzium Kecantikan yang telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 1996 sempena Pameran Kecantikan Melalui Penyeksaan yang dianjurkan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dengan kerjasama Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia. Ia telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Abu Zahar bin Ithnin, mantan Ketua Menteri Melaka. Pameran ini memberi fokus kepada budaya masyarakat di seluruh dunia mencipta kecantikan kepada tubuh badan manusia. Ia meliputi suatu tempoh masa yang sangat panjang iaitu dari zaman pra-sejarah sehingga pada masa kini. Sesetengah masyarakat ini melihat budaya kecantikan sebagai suatu penderitaan dan penyeksaan. Ia juga menempatkan Galeri Tan Sri Haji Abdul Aziz bin Tapa dan Galeri Eurasian.