MUZIUM ORANG ASLI/ ORANG ASLI MUSEUM
PERKAHWINAN KAUM TEMUAN
Pada zaman dahulu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencarikan pasangan yang sesuai bagi anak mereka apabila telah mencecah umur 18 tahun. Kalau berkenan di hati, bapa saudara si teruna dipertanggungjawabkan untuk pergi berjumpa bapa saudara si dara untuk menyampaikan hajat yang tersemat di hati. Pihak si dara pula akan berbincang dengan ahli warisnya sama ada menerima atau tidak lamaran si teruna tadi. Jika dipersetujui maka kedua-dua belah pihak akan menentukan satu ketika yang baik untuk bakal pengantin dapat melihat sepintas lalu pasangan masing-masing. Dengan ditemani oleh bapa saudaranya, si teruna akan di bawa berjalan-jalan di hadapan rumah si dara yang kebetulannya akan di arah berada di suatu sudut supaya mudah dilihat. Mereka akan singgah sebentar dan dijamu makanan sebelum berangkat pulang.
Pihak si teruna perlu menghantar wakil (wali) untuk merisik si dara melalui keluarganya. Setelah dipersetujui maka sebentuk cincin perak disarung ke jari manis si dara. Tarikh pertunangan ditentukan oleh kedua-belah pihak.
Bakal pengantin diberi peluang untuk berkenalan dengan lebih rapat dan apabila dipersetujui maka rombongan peminangan di hantar ke rumah si dara melalui bapa saudara (wali) masing-masing. Pada hari yang telah ditetapkan si teruna beserta rombongannya akan ke rumah si dara untuk meminang. Keluarga si dara akan berkumpul bersama saudara-mara serta ahli waris untuk menanti ketibaan rombongan si teruna. Sebuah beg mengkuang yang dibalut kemas dengan kain berisikan dengan sirih, pinang, kapur, gambir dan dua bentuk cincin perak diserahkan kepada waris perempuan. Disaksikan oleh kedua-dua pihak, wali perempuan membuka beg mengkuang dan mempelawa sekalian yang hadir untuk memakan sireh yang telah dibawa. Cincin perak disarungkan ke jari teruna dan dara oleh wali masing-masing, maka dengan itu termaktublah pertunangan keduanya. Selesai upacara itu kedua wali akan menyarungkan cincin sesama sendiri sebagai tanda perjanjian antara kedua pihak dan selepas itu mereka bertukar hadiah.
Pihak lelaki menghadiahkan si dara dengan bedak, gincu, cermin muka, sikat, gunting, benang, jarum, sepit rambut, subang (terpulang kemampuan lelaki) rantai leher dan sabun. Pihak perempuan pula membalas dengan hadiah berbentuk tilam dan bantal dimana hadiah tersebut kekal dirumah si dara untuk digunakan pada masa persandingan nanti. Kesemua hadiah tersebut dibungkus dengan kemas dan dibuka di hadapan khalayak ramai untuk disaksikan. Tok Batin atau Jenang diberikan tugas untuk membuka semua hadiah yang telah dihantar oleh kedua pihak. Kebiasaannya wang hantaran juga dibincangkan dimana wali si dara akan menetapkan jumlah wang hantaran yang perlu di hantar oleh si teruna.
Apabila tali pertunangan termaktub maka si teruna dengan rela hati memberikan wang belanja tanggungan bulanan sekurang-kurangnya RM20 atau lebih (mengikut kemampuan si teruna) kepada bakal isterinya sehinggalah menjelang hari perkahwinan. Kebiasaannya tempoh pertunangan diikat selama tiga hingga enam bulan sahaja.
Kedua belah pihak mengadakan perbincangan mengenai wang hantaran yang perlu ditanggung oleh pihak pengantin lelaki mengikut kemampuannya. Dewasa ini wang hantaran mengikut arus moden dari RM4,000.00 sehingga RM6,000.00, dengan diiringi hadiah seperti alat persolekan atau pakaian seperti mana amalan masyarakat Melayu.