MUZIUM ORANG ASLI/ ORANG ASLI MUSEUM

PENGENALAN

Muzium Orang Asli pada asalnya terletak di dalam Hutan Rekreasi Ayer Keroh di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka sebelum dipindahkan ke tapak bersebelahan dengan Taman Buaya oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) pada bulan Disember 1998.

Muzium ini di bina berdasarkan replika rumah Orang Asli mempamerkan sosio-budaya masyarakat Orang Asli serta adat istiadat perkahwinan, adat kematian Orang Asli, rumah-rumah Orang Asli, kehidupan seharian seperti menangkap ikan, aktiviti menyumpit dan perburuan, kraftangan dan kejayaan yang pernah ditempa oleh Orang Asli.

OBJEKTIF PENUBUHAN MUZIUM ORANG ASLI
  1. Mengabadikan sejarah silam masyarakat Orang Asli
  2. Mengumpul serta mempamer semula warisan budaya dan peninggalan masyarakat Orang Asli.
  3. Sebagai pusat sumber penyelidikan sejarah serta budaya masyarakat Orang Asli bagi generasi akan datang.

SIAPA ORANG ASLI

Istilah ‘Orang Asli’ diperkenalkan dalam Bahasa Melayu pada tahun 1950an untuk merujuk kepada beberapa kelompok kecil manusia khususnya yang mendiami kawasan pedalaman dan pinggiran di Semenanjung Malaysia. Barang kali unsur-unsur misteri dan kekaburan dihubungkait dengan kewujudan dan asal usul Orang Asli serta aspek magis dan ritual yang terkenal di kalangan mereka, maka Orang Asli sering dianggap sebagai manusia ‘primitif’.

Realitinya, pandangan ini tidak tepat sama sekali. Dari segi teknologi moden mereka mungkin ketinggalan dan miskin namun dari segi sudut seni budaya yang telah wujud sejak berkurun lamanya, terdapat ciri-ciri kehidupan yang unik, saling membantu antara satu sama lain dan intim dengan alam semulajadi.

Masyarakat Orang Asli hidup dengan selesa di kawasan pedalaman tanpa bergantung secara mutlak kepada perdagangan dengan dunia luar dan pada masa yang sama boleh mempertahankan cara hidup dan budaya mereka. Masyarakat ini tidak menghadapi masalah kesihatan yang ketara dan hidup bebas dari pengaruh dan mainan politik yang terpaksa dilalui oleh masyarakat lain.

Jumlah penduduk Orang Asli ialah 149,723 orang (sumber dari Buku Data Maklumat Asas, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia, terbitan tahun 2004) yang terbahagi kepada 18 suku bangsa dan bahasa. Sebahagian besar bahasa tersebut diklasifikasikan sebagai bahasa Mon-Khmer. Orang Asli terbahagi kepada tiga kumpulan bangsa utama yang mempunyai ciri-ciri khusus iaitu Bangsa Negrito, Bangsa Senoi dan Bangsa Melayu Proto. Sejak beberapa abad yang lalu kadar percampuran dan interaksi antara ketiga-tiga kumpulan bangsa Orang Asli adalah begitu luas sama ada melalui perdagangan, perkahwinan atau dalam kontek akibat pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan pedalaman.

Sebagai contoh, Bangsa Negrito hanya berkahwin dengan bangsa mereka dari lembah yang lain, tetapi dewasa ini cara sedemikian bukan lagi menjadi pegangan hidup mereka atau sesuatu yang perlu ditaati. Corak hidup mereka kini lebih bebas dan mereka lebih suka memilih pasangan hidup sendiri. Orang Asli sekarang boleh berkahwin dengan mana-mana bangsa Orang Asli serta bangsa-bangsa lain.

Jesteru itu penggunaan istilah ‘primitif’, ‘mundur’ atau mempunyai nilai-nilai negatif sudah lapuk dan tidak digunakan lagi. Ini kerana sudah ada diantara mereka yang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi dan telah berjaya di dalam bidang perniagaan serta bekerja sebagai eksekutif dalam sektor awam dan swasta.

Sejak berakhirnya perang dunia kedua, Orang Asli memainkan peranan utama dalam politik iaitu membenteras ideologi dan gerakan bersenjata komunis. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli telah ditubuhkan oleh Pentadbir Inggeris sebaik sahaja perang tamat bertujuan untuk mengawasi keselamatan negara ini. Keadaan demikian membuka lembaran baru di dalam kehidupan Orang Asli iaitu zaman pertembungan ideologi asing yang pada ketika itu amat sukar sekali difahami dan apatah lagi untuk diterima oleh mereka.

Namun begitu, Orang Asli telah dapat menyesuaikan diri mereka dengan setiap perubahan dan suasana baru disamping dapat mempertahankan keunikan nilai hidup mereka daripada dicemari oleh gejala-gejala asing. Dalam menghadapi unsur-unsur luar dan cabaran hidup masa depan, telah menyedari kepentingan untuk mengekalkan indentiti mereka dalam konteks masyarakat Malaysia.

Walaupun banyak unsur kebudayaan Orang Asli telah hilang di telan zaman namun masih terdapat unsur-unsur seni yang boleh dikaji dan diketengahkan. Apa sebenarnya wujud disebalik natijah dan penghasilan seni dan budaya Orang Asli? Pameran yang diadakan ini sebenarnya bertujuan memberikan sebahagian jawapan kepada keseluruhan persoalan ini.

Loading

TOP