MUZIUM ORANG ASLI/ ORANG ASLI MUSEUM
PENCAPAIAN ORANG ASLI
Kesungguhan serta keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan masyarakat Orang Asli terbukti dengan pengenalan Akta Orang Asli 1954 yang telah digezetkan pada 25 Februari 1954 dibawah Ordinan No 3 tahun 1954. Akta ini diwujudkan untuk mengadakan peruntukan perlindungan, kesentosaan dan kemajuan Orang Asli di Tanah Melayu. Tahun 1967 menyaksikan Program Pembangunan sosio-ekonomi dimasukkan ke dalam akta ini.
Pihak Kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) telah mewujudkan program utama di dalam membangunkan masyarakat Orang Asli agar mereka dapat menikmati kemudahan dan keharmonian negara bersama dengan masyarakat lain. Antara program yang dirancang ialah:-
1. Program Penempatan Tersusun (PPT)
Melalui program ini, masyarakat Orang Asli telah ditempatkan di satu kawasan yang telah dikenalpasti dan dilengkapkan dengan kemudahan asas dan awam beserta dengan program pembangunan tanah dengan memberi penekanan khusus kepada pembangunan setempat ke arah meningkatkan kualiti hidup.
2. Program Pembangunan Ekonomi (PPE)
Program ini bertujuan membangunkan sumber ekonomi dengan menyediakan pembangunan ladang, membantu menyelia projek perniagaan dengan memberi latihan dan kursus kepada masyarakat Orang Asli bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka.
3. Program Pembangunan Sosial (PPS)
Diwujudkan bagi meningkatkan pelbagai kemudahan prasana dan infrastruktur di perkampungan Orang Asli dengan tujuan memperseimbangkan pembangunan sosial. Melalui program ini masyarakat Orang Asli dapat memperkembangkan pembangunan minda serta tahap kesedaran agar mereka mempunyai ketahan mental dan fizikal untuk bersaing dengan masyarakat umum di dalam pelbagai bidang.
Kerajaan telah berjaya mewujudkan generasi Orang Asli yang berpendidikan dan berdaya saing melalui segala program yang telah dirancang dengan rapi. Kini, telah ramai di kalangan Orang Asli yang telah berjaya di dalam bidang pendidikan, perniagaan, politik dan sebagainya.