MUZIUM ORANG ASLI/ ORANG ASLI MUSEUM
KEMATIAN
Bagi kaum Temuan, apabila seseorang meninggal dunia, mayatnya tidak dibiarkan terlalu lama. Mayat diletakkan di ruang tengah rumah dalam tempoh satu malam dan ditutup dengan kain dan diasap dengan kemenyan yang dibakar. Mayat sentiasa diawasi bagi mengelakkan dilangkah oleh binatang terutama kucing dan dihurungi semut. Mereka yang menziarahi dan menunggu mayat tidak boleh membuat bising, bercakap besar dan jika ada makanan yang jatuh tidak boleh diambil semula.
Kubur digali sedalam dua meter beserta dengan liang lahadnya. Bagi insan biasa, mayat dibungkus dengan kain manakala insan ternama seperti Tok Batin, mayatnya dimasukkan ke dalam tong keranda sebelum dikebumikan. Selesai upacara pengebumian, permukaan kubur ditabur dengan bunga-bungaan dan di sekelilingnya dipacakkan lilin. Beberapa mangkuk berisikan makanan diletakkan di hadapan kubur. Dua batang kayu dipacak sebagai tanda nisan.
Pada hari ketujuh, keluarga si mati akan pergi ke kubur bagi membaiki dan menaikkan semula tanah yang mungkin telah mendap. Mereka akan mengadakan jamuan makan sesama keluarga sebagai tanda kesyukuran. Menjelang 100 hari, keluarga si mati akan menggantikan tiang nisan kayu dengan nisan batu.
Sebagai tanda mengingati si mati, pada setiap bulan Mac, semua ahli keluarga dimestikan menziarahi kubur untuk upacara membersih, membakar lilin dan meletakkan makanan di atasnya. Bagi mereka yang beragama Islam, pengurusan jenazah dari rumah hingga ke tanah perkuburan adalah mengikut cara Islam.