MUZIUM ADAT & SEJARAH NANING
SEJARAH BANGUNAN
Bangunan PWD 2100 & 2101 ini telah dibina pada tahun 1951 di Bukit Naning (Bukit Pereling), Kampung Simpat Ampat, Alor Gajah Melaka. Bangunan ini dijadikan Kediaman dan Balai Rasmi Penghulu Naning. Kediaman dan Balai Rasmi ini mula digunakan pada tahun 1953 oleh Penghulu Haji Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj, Penghulu Naning ke-18 sebagai Pusat Pentadbiran Adat Perpatih Naning sehingga beliau meninggal dunia pada 13 Jun 2004.
Pada 2 Mac 2015 Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG) telah mengeluarkan notis pengosongan bangunan ini kepada pemilik terdahulu dan seterusnya diserahkan secara rasmi kepada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) pada 9 April 2015 untuk kerja-kerja konservasi. Kerja-kerja konservasi bangunan ini telah dimulakan pada 14 April 2015 dan siap sepenuhnya pada 30 Jun 2015 dengan menggunakan peruntukan Tabung Amanah Pemuliharaan dan Pemugaran Negeri Melaka. Bangunan ini dicadangkan sebagai Muzium Warisan dan Sejarah Naning bagi menempatkan bahan-bahan pameran dan pusat penerangan bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke Melaka. Dengan penubuhan muzium ini, ia secara tidak langsung dapat mengetengahkan produk pelancongan luar bandar untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
OBJEKTIF
Penubuhan Muzium Warisan dan Sejarah Naning bermatlamat seperti berikut:
- Mempamerkan sejarah dan warisan Naning untuk tatapan masyarakat umum;
- Sebagai pusat penyebaran maklumat, pameran dan rujukan berkaitan warisan dan sejarah Naning; dan
- Sebagai produk pelancongan berteraskan pendidikan yang boleh dimanfaatkan dan memberi hasil kepada masyarakat tempatan.
PEMBUKAAN WILAYAH NANING
Naning merupakan sebuah negeri Melayu dan wilayah kecil yang terletak di bahagian pedalaman utara Negeri Melaka yang bersempadan di antara Rembau (Negeri Sembilan) dengan Melaka. Naning berkeluasan kira-kira dua ratus (200) batu persegi atau dua ratus lima puluh (250) kilometer persegi. Wilayah Naning terletak kira-kira tiga puluh (30) kilometer dari Bandar Melaka.
Nama Naning diambil sempena nama serangga penyengat yang berbisa bernama Naning. Taboh dijadikan sebagai ibu negeri dan pusat pentadbiran yang utama.
Wilayah Naning mempunyai perlombongan emas dan banyak mengeluarkan hasil bumi seperti padi, bijih timah, rotan, gambir dan buah-buahan. Aktiviti pertanian merupakan aktiviti utama penduduknya.
Naning mempunyai 25 buah mukim iaitu dua puluh dua (22) buah mukim di daerah Alor Gajah dan tiga (3) buah mukim lagi di daerah Jasin.
ADAT PERPATIH KE WILAYAH NANING
Adat Perpatih tersebar ke Tanah Melayu pada kurun ke-12. Datuk Perpatih Nan Sebatang telah membawa beberapa orang Minangkabau meneroka tanah dan membuka negeri. Dipercayai kawasan awal dibuka ialah kawasan Taboh Naning dan kemudian merebak ke Negeri Sembilan. Nama Adat Perpatih bersempena mengambil gelaran Datuk Perpatih Nan Sebatang dan diamalkan di kawasan Naning.
Adat Perpatih Naning telah disusun dan ungkapan adat dijadikan sebagai komunikasi dalam kepimpinan supaya masyarakat boleh hidup dengan aman dan muafakat. Adat Perpatih ini juga membawa fahaman demokrasi iaitu kedaulatan berada di tangan rakyat. Pemerintahan dijalankan secara bermesyuarat menerusi perwakilan daripada suku-suku.
Pada hakikatnya kewujudan Adat Perpatih berdasarkan atas dua faktor utama, iaitu kekeluargaan atau kerabatan dan tanah. Setiap satu faktor ini ialah pelengkap kepada yang lain. Hal ini bererti bahawa masyarakat Adat Perpatih merupakan masyarakat tani yang sangat kukuh dengan ikatan kerjasama kekeluargaan. Masyarakat yang datang atau berasal dari wilayah Minangkabau memang terkenal dengan kegiatan pertanian, terutamanya kegiatan bersawah.
SEJARAH DAN ASAL USUL NANING
Sejarah dan asal-usul pembukaan Naning berkait rapat dengan kehadiran masyarakat Minangkabau ke Semenanjung Tanah Melayu. Naning merupakan sebuah wilayah yang merdeka kerana sebelum kedatangan kuasa Barat, Naning bebas menjalankan pentadbirannya di bawah kekuasaan Penghulu Naning dan Pembesar Empat Suku.
Wilayah Naning telah dibuka oleh kumpulan keluarga dari Pagar Ruyung, Minangkabau Sumatera pada abad ke-12. Kumpulan ini diketuai oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang. Beliau telah memasuki tanah besar Semenanjung Tanah Melayu dan akhirnya tiba di Taboh. Mengikut cerita turun temurun, ketika di Taboh mereka terdengar bunyi tabuh (gendang) yang seolah-olah mengalu-alukan kedatangan mereka. Oleh sebab itu, mereka berpendapat Taboh sesuai dijadikan sebagai sebuah penempatan dan juga pusat pentadbiran Naning.
Selain itu, kawasan di sekitar Taboh Naning ini mempunyai tanah yang subur untuk kegiatan pertanian terutamanya bersawah dan menternak binatang yang biasa diamalkan oleh masyarakat Minangkabau.
Sekiranya dilihat dari segi politik, wilayah Naning adalah sebahagian daripada Melaka dalam catatan sebelum ini yang bebas dari segi kemasyarakatan, tetapi masyarakat Naning lebih secocok dengan Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih. Selain itu, taraf dan kekuasaan Penghulu Naning sebelum kedatangan kuasa Barat adalah sama dengan Raja-raja Melayu yang lain di Tanah Melayu.
PENTADBIRAN WILAYAH NANING DI BAWAH KUASA PENJAJAH: PORTUGIS, BELANDA, & BRITISH
Kedatangan kuasa Barat ke Tanah Melayu telah membawa kesan terhadap Negeri-negeri Melayu yang lain termasuklah Wilayah Naning. Ketika pemerintahan Portugis di Melaka, hubungan Naning dan Portugis adalah atas dasar perdagangan. Penduduk Naning telah membawa barang-barang dagangan seperti padi, buah-buahan, pinang dan sirih untuk diperdagangkan di Melaka. Portugis juga telah meletakkan Naning di bawah pengawasan seorang Temenggung berbangsa Portugis dan penduduk Naning dikehendaki membayar cukai kepada Portugis. Portugis tidak menganggu perjalanan pentadbiran Naning yang sedia ada.
Ketika Belanda di Melaka, Naning telah menandatangani perjanjian dengan pemerintah Belanda. Perjanjian pada tahun 1641, Penghulu Naning bersetuju bahawa setiap yang akan bergelar Penghulu Naning perlu mendapat pengesahan daripada Gabenor Belanda di Melaka. Mereka dikehendaki datang ke Melaka setiap tahun untuk mengadap Gabenor bagi mendapatkan nasihat. Naning juga dikehendaki membayar hasil tahunan kepada Belanda sebanyak satu persepuluh gantang daripada hasil-hasil padi. Cukai ini telah dikurangkan kepada 400 gantang padi setahun.
Setelah pemerintah British mengambilalih Melaka daripada Belanda, British telah mendakwa Naning adalah sebahagian daripada Melaka. Kenyataan ini dinafikan oleh Penghulu Dol Said dengan menyatakan bahawa Naning adalah sebuah negeri yang bebas dan merdeka. British turut menuntut Naning membayar cukai satu persepuluh dan semua undang-undang yang dilaksanakan di Melaka turut dikuatkuasakan di Wilayah Naning.
Akibat enggan mematuhi arahan kompeni dan adanya tentangan daripada Penghulu Dol Said dan Pembesar Naning, perang antara British dan Naning berlaku pada tahun 1831 dan 1832. Perang Naning 1832 berlangsung selama empat bulan dan akhirnya pada 15 Jun 1832, British berjaya menawan Taboh.
Kekalahan yang dihadapi oleh Dol Said dan pengikutnya menyebabkan Naning dimasukkan ke dalam negeri Melaka dan diletakkan dalam pentadbiran daerah Alor Gajah.