MUZIUM LAYANG-LAYANG/ KITE MUSEUM
SEJARAH PENUBUHAN MUZIUM LAYANG-LAYANG
Muzium Layang-Layang ini telah dirasmikan pada September 1995 oleh YAB Datuk Seri Mohd Zin bin Abdul Ghani, Ketua Menteri Melaka. Muzium ini memberi fokus kepada sejarah penciptaan layang-layang sehinggalah ia dianggap sebagai hobi pada hari ini. Selain itu, pameran di muzium ini turut dibahagikan kepada beberapa galeri iaitu Galeri Wau, Galeri Permainan Tradisional dan juga Galeri Gasing. Disamping itu, muzium ini juga menempatkan Dewan Besar PERZIM, Galeri 3D dan juga Galeri Tokoh Negeri Melaka: Datuk Wira Haji Borhan bin Md Yaman.
OBJEKTIF PENUBUHAN
Tujuan penubuhan Muzium Layang-Layang adalah seperti berikut:
- Menjadi pusat rujukan dan pendidikan mengenai permainan Layang-Layang, Wau, Permainan Tradisional dan juga Permainan Gasing di Malaysia,
- Melahirkan masyarakat yang mencintai permainan tradisional sebagai warisan budaya serta dipupuk sebagai hobi dan
- Memupuk semangat bekerjasama dan penyatuan dalam permainan dalam kalangan rakyat Malaysia.
KONSEP PAMERAN
Pameran di muzium ini dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu:
- Galeri Layang-Layang
- Galeri Wau Malaysia
- Galeri Permainan Tradisional
- Galeri Gasing
- Galeri Tokoh Negeri Melaka: Datuk Wira Haji Borhan bin Md Yaman
SEJARAH PENCIPTAAN LAYANG-LAYANG
Layang-layang telah wujud sejak 25 abad dahulu. Meskipun begitu, sehingga kini sejarah dan prinsip tentangnya masih kabur. Walaupun ia mempunyai sejarah yang lama dan menarik, namun, maklumat dari segi nilai pendidikan, hiburan, cabaran, hasil rekacipta dan menerbangkan layang-layang tersebut tidak diketahui ramai terutamanya bagi kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah.
Melalui bukti sejarah, layang-layang telah diterbangkan pada awal tahun 200 Masihi dan telah digunakan semasa Perang Dunia bagi tujuan penyelidikan, menghantar bahan-bahan letupan serta ujikaji untuk memastikan suhu dan alam sekitar. Ujikaji elektrik yang dijalankan oleh Benjamin Franklin dengan menggunakan layang-layang adalah antara ujikaji yang terkenal di dunia. Keinginan manusia untuk terbang telah tercapai dengan kewujudan kapal terbang yang berinspirasikan daripada layang-layang. Layang-layang telah digunakan untuk menarik kereta (tanpa menggunakan kuda), bot-bot, patung-patung berat dan menerbangkan peluncur. Layang-layang juga telah memberikan ilham kepada adik-beradik Wright untuk mencipta kapal terbang. Semua kejayaan dalam bidang angkasa lepas juga diinspirasikan daripada layang-layang.
Pada zaman dahulu, sehelai kertas kasar yang tebal dan kering telah diterbangkan oleh angin. Seseorang telah terfikir untuk mengikat sehelai kertas dengan seutas tali. Oleh itu, dia membuat kotak terbuka yang ditutupi kertas dan diikatkan dengan tali. Layang-layang kotak merupakan layang-layang pertama yang boleh terbang di udara. Kemudian, layang-layang yang lebih mudah dibuat dengan menggunakan kertas. Layang-layang berbentuk segiempat juga boleh terbang di udara. Layang-layang daripada bentuk berlainan dicipta dan diterbangkan mengikut peredaran zaman. Kepingan buluh, kayu, paip besi, kain, kertas, polisterin dan bahan-bahan yang lain digunakan untuk membentuk layang-layang. Kemudiannya, ia telah dihiasi dengan pelbagai bahan seperti bulu, siput dan ikatan kecil. Para pelukis juga menghiasi layang-layang dengan lukisan berdasarkan citarasa dan kreativiti mereka.
Asal usul layang-layang juga tidak diketahui tetapi ia juga dimainkan di negara China sebelum bermulanya sejarah bertulis. Sesetengah budaya mendapati prinsip menerbangkan layang-layang adalah individualistik. Manakala yang selainnya mencari corak yang sedia ada untuk kegunaan masing-masing. Dalam lagenda dan cerita rakyat Timur Jauh yang kaya dengan cerita layang-layang serta kewujudan layang-layang di Kepulauan Pasifik, Indonesia, Mikronesia, Melanesia dan Polynesia, ia dikatakan mempunyai hubung kait sebagai alat penunjuk keadilan dan perlindungan daripada kejahatan. Layang-layang dianggap roh yang menghubungkan Tuhan di langit. Kebanyakan layang-layang dibentuk menyerupai burung dan selalu dilihat terbang mengikut arah tiupan angin. Setiap ketua kaum akan menggunakan layang-layang yang berbeza semasa pemujaan untuk memperkenalkan kumpulan masing-masing kepada tuhan mereka.
Walaupun penciptaan layang-layang berasal dari China, orang-orang Jepun telah mengekploitasi dengan mencipta pelbagai layang-layang yang cantik dan menarik. Layang-layang Lipan dari Pulau Shikoku yang terkenal dibuat dari satu siri layang-layang yang disambungkan dengan tali sepanjang 60 kaki dan memerlukan enam atau lebih orang untuk menggerakkannya. Di Nagoya, layang-layang dihias seperti burung atau serangga. Manakala di Bekka, layang-layang dicipta mengikut bentuk yang pelik. Di China, tempat asal layang-layang ialah di Barat Daya Qing-Shon, Weifang. Layang-layang menjadi lebih popular sebagai bahan tradisional, hiburan dan seni rakyat. Weifang menjadi tempat pesta layang-layang antarabangsa sejak tahun 1983.
BINAAN LAYANG-LAYANG
Terdapat 9 jenis binaan layang-layang yang mewakili zaman-zaman tertentu seperti berikut:
- Layang-layang Zaman Awal China
- Layang-layang Wau Bulan
- Layang-layang Kepulauan Pasifik
- Layang-layang “Arch-top”
- Layang-layang Melayu
- Layang-layang “English Arch-top”
- Layang-layang “Lozenge”
- Layang-layang “Eddy Diamond”
- Layang-Layang “Dihedral”