MUZIUM BELIA / YOUTH MUSEUM
SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN MUZIUM BELIA MALAYSIA
Pergerakan belia di Negara ini telah bertapak sejak akhir abad ke-19. masyarakat secara umum, dan belia khususnya dirasakan tidak mengambil berat tentang sejarah perkembangan dan pergolakan kegiatannya. Oleh itu, tidak hairanlah fahaman dan kepekaan kegiatan belia di kalangan masyarakat Malaysia masih tipis.
Belia-belia Malaysia sebagai badan penyelaras pertubuhan-pertubuhan belia menyedari keadaan yang berlaku dan berpendapat bahawa keadaan ini perlu diberi perubahan agar perjuangan pemimpin-pemimpin dan pertubuhan-pertubuhan belia mendapat pengiktirafan dan sanjungan sepenuhnya daripada masyarakat majmuk berbilang kaum di Negara ini.
Penubuhan Muzium Belia dirasakan dapat memperlihatkan betapa pentingnya gerakan belia di Negara ini dalam konteks sejarah dan perkembangan sosioekonomi secara langsung dan tidak langsung di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Kewujudan sebuah Muzium Belia di Negara ini amat bertepatan dengan usaha Majlis Belia Malaysia yang melahirkan generasi muda Malaysia yang maju, dinamis dan progresif pada tahun 2020.
Maka jawatankuasa kerja Majlis Belia Malaysia dalam mesyuaratnya pada 30hb. September 1989 telah berbincang dan memutuskan untuk menubuhkan Muzium Belia Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan da n Kerajaan Negeri Melaka.
Diharapkan dengan tertubuhnya Muzium ini akan mendapat sambutan yang baik daripada belia, para sarjana serta masyarakat keseluruhannya.
Objektif :
- Untuk mewujudkan satu pusat dokumentasi peringkat induk bagi tujuan mengkaji informasi dan membuat dokumentasi
- Menimbulkan kesedaran masyarakat mengenai penglibatan belia dalam sejarah perkembangan Negara serta sumbangan belia kepada pembangunan Negara
- Menerapkan nilai-nilai patriotisme, motivasi dan keinginan mencapai kecemerlangan sebagai bangsa yang bermaruah dan Negara yangberdaulat