MUZIUM BELIA / YOUTH MUSEUM
MAJLIS BELIA NEGERI JOHOR
SEJARAH RINGKAS
Dalam tahun 1954, Kerajaan Negeri Johor telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan perkhidmatan belia di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Usaha memperkenalkan perkhidmatan ini adalah untuk menjaga kepentingan belia di Negeri Johor yang sedang menghadapi berbagai masalah pada ketika itu. Sebagai hasilnya maka banyak apa yang dipanggil pada masa itu ' Kelab Pemuda-Pemudi ' telah ditubuhkan di seluruh Negeri Johor. Badan ini akhirnya diubahkan namanya kepada 'Persatuan Belia'.
Kecenderungan oleh pemimpin-pemimpin belia di Negeri Johor untuk menubuhkan badan induk belia didorong oleh cadangan Presiden World Assembly of Youth (WAY) untuk melawat Timur Jauh termasuk Negeri Johor. Pemimpin-pemimpin belia ini membuat keputusan untuk menubuhkan apa yang dinamakan 'Youth Council' dalam bulan Julai 1984 sebagai persediaan untuk lawatan ini dengan kerjasama Mr. C.G.Wats, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Majlis kemudiannya ditukarkan kepada Majlis Belia Negeri Johor.
Di antara pemimpin-pemimpin belia yang bertanggungjawab untuk menubuhkan Majlis ini ialah : Dato' Tan Swan Kok, Encik Abu Bakar Kamat, Tan Sri Haji Othman Saat, Mr. Hoh Tek Ying, Mr. Cheah Tek Chiang dan Tuan Haji Ahmad bin Ismail.
OBJEKTIF
Tujuan-tujuan Majlis ialah: -
1. Menimbang dan menggalakkan cara-cara bagi menguatkan asas Pergerakan Sukarela dalam Gerakan Belia.
2. Menimbangkan perkara-perkara yang mendatangkan kebajikan kepada ahli-ahli gabungan.
3. Berikhtiar bagi menghubunkan dan memperkukuhkan kedudukan ahli-ahli gabungan.
4. Mengemukakan pendapat-pendapat dan cadangan-cadangan yang munasabah kepada pertubuhan-pertubuhan yang diakui sah.
5. Bekerja untuk menggalakkan belia untuk bertukar-tukar fikiran antara satu sama lain dengan bebas dan membuat perhubungan dengan Pertubuhan-Pertubuhan Belia Kebangsaan dan Antarabangsa.
6. Menambah dan menggalakkan ahli-ahlinya supaya menghormati antara satu sama lain, bersefahaman dan bekerjasama dengan aman damai.
7. Berikhtiar bagi menubuhkan pertubuhan-pertubuhan yang baru bagi meluaskan perkhidmatan belia di antara mereka yang belum mengadakan pertubuhan.
8. Menggalakkan belia mengambil peranan yang penting serta bertanggungjawab dalam hal ehwal masyarakat hari-hari.
9. Meluaskan pengetahuan dan menggalakkan kecenderungan di dalam soal akhlak, pendidikan, pertanian, kesenian, kebudayaan dan riadah.
10. Menjalankan mana-mana yang terdapat segala tujuan Majlis Belia Malaysia dan Perhimpunan Belia Sedunia.