MUZIUM BELIA / YOUTH MUSEUM
BELIA ISLAM DAN NASIONALISME MELAYU
Sejarah telah membuktikan, bahawa nasionalisme Melayu negara ini berasal - usul sejak dekad pertama hingga ke dekad ketiga abad ke - 20 ini serta berakar - umbikan ajaran Islam.
Selama hampir 30 tahun ini terdapat kalangan ulamak belia yang mendapat pendidikan Islam di Timur Tengah dan terpengaruh dengan gerakan Islah Islamiah di sana. Di tanah Melayu, mereka bergiat cergas menerusi penulisan-penulisan yang berlandaskan kepada agama dan kritik masyarakat, meniupkn gagasan dan semangat pengislahan di kalangan orang -orang Islam ( terutama di kalangan ulamak - ulamak Melayu yang dianggap konservasif ) di dalam bidang agama serta dengan menyebarkan ajaran, prinsip dan akidah Islam yang luhur. Di celah - celah gagasan itu mereka menyemaikan bibit - bibit kasihkan tanahair, menaikkan semangat untuk menentang belenggu penjajahan bangsa asing di Tanah Melayu, memperjuangkan emansipasi wanita, menyeru masyarakat Melayu menuntut ilmu, menyedar dan menyeru mereka agar cergas bagi mempertingkatkan kedudukan ekonomi yang kian dibolot oleh kalangan penduduk bukan Melayu sambil menentang segala bentuk bidaah dan khurafat yang diamalkan dan yang membendung pemikiran serta dianggap menyekat kemajuan mental orang - orang Melayu negara ini .
Lidah rasmi gagasan dan perjuangan mereka ialah majalah AL - IMAM .
Para pengislah agama dari kalangan belia ini bersikap progresif, revolusionair dan liberal. Mereka dinamakan Kaum Muda . Di antara tokoh yang menonjol ilah Sheikh Tahir Jalaludin Al-Falaki, Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Muhamad Salim Al-Khalili, Syed Muhamad ibnu Akil, Sheikh Awad bin Saedan dan Haji Abbas bin Mohd. Taha.
Perjuangan mereka menerusi penulisan inilah yang mencetuskan dan menyemaikan benih - benih semangat kebangsaan masyarakat Melayu, memberi kesan penting di dalam perkembangan dan perubahan polotik tanahair sehingga ke dekad - dekad kemerdekaan.