MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA / MELAKA SULTANATE PALACE MUSEUM

TUN PERAK

Tun Perak merupakan seorang Bendahara kerajaan Melayu Melaka yang begitu terkenal. Beliau merupakan anak kedua Tun Perpatih Sedang, Bendahara Melaka yang bergelar Seri Wak Raja. Selain Tun Perak, Tun Perpatih Sedang juga mempunyai anak iaitu Tun Kudu dan Tun Perpatih Putih. Tun Kudu pula telah diperisterikan dengan Sultan Muzaffar Shah. Ini membuktikan, Tun Perak muncul daripada keluarga elit Melaka. Secara tradisinya, sejak zaman datuk dan bapanya yang pernah dipertanggungjawabkan jawatan ini, gelaran yang dipegang mereka ialah Seri Wak Raja. Apabila beliau berkahwin, beliau menetap di Kelang dan menjadi Ketua (Penghulu) dengan persetujuan Sultan Muzaffar Shah.

Perkhidmatannya dengan Kerajaan Melaka bermula semasa beliau dipanggil oleh Sultan untuk mempertahankan Melaka daripada serangan Siam pada tahun 1445. Tun Perak, selaku penghulu Klang dikerah untuk menggerakkan pengikut dan hulubalangnya ke Melaka. Tun Perak telah merangka strategi peperangan dengan membawa pengikut-pengikutnya bersama anak dan isteri masing-masing untuk mempertahankan Melaka. Beliau berbuat demikian agar pengikut-pengikutnya dapat berjuang dengan bersungguh-sungguh. Dalam pertempuran tersebut, tentera Siam telah dikalahkan dan Tun Perak menghalau mereka keluar dari Melaka.

Berikutan dengan kejayaannya, Sultan Melaka dapat melihat ketokohan beliau untuk menjadi seorang pemimpin dalam tampuk pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka. Beliau dititah untuk menetap di Melaka dan dilantik menjadi Bentara. Kepimpinan beliau terserlah kerana berkhidmat dengan cemerlang sehingga diangkat menjadi Perdana Menteri antara dengan Tun Ali yang ketika itu menjawat Bendahara Melaka. Bagi mengelakkan berlaku perselisihan faham antara Tun Ali dengan Tun Perak, maka Sultan Muzaffar Shah telah menceraikan permaisuri baginda, Tun Kudu (kakak Tun Perak) untuk diperisterikan dengan Tun Ali. Akhirnya jawatan Bendahara Melaka telah dilepaskan oleh Tun Ali dan beliau kemudian dilantik sebagai Penghulu Bendahari.

Pada tahun 1456, Tun Perak telah dilantik sebagai Bendahara Melaka dengan gelaran Paduka Raja. Peranan beliau sebagai Bendahara Melaka ialah mengetuai angkatan laut Melaka dengan menangkis dan mengalahkan serangan hebat tentera Siam dari laut. Tun Perak telah membawa tenteranya ke Batu Pahat dan menggunakan muslihat dengan mengikat beratus-ratus obor pada pokok di sepanjang pantai. Melihat dari jauh pada waktu malam, tentera Siam menyangka obor tersebut ialah sejumlah angkatan laut Melaka yang bersedia untuk menyerang mereka. Akhirnya, tentera Siam tidak melakukan serangan keatas Melaka, sebaliknya mereka ketakutan dan terus kembali ke Siam.

Tun Perak telah berkhidmat sebagai Bendahara dibawah empat orang Sultan iaitu Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah, Sultan Alaudin Riayat Shah dan Sultan Mahmud Shah. Beliau seorang yang jujur, taat setia dan amanah orangnya terutama apabila menerima perintah Sultan. Beliau seorang pahlawan yang berani dan merupakan orang yang mengatur strategi dalam peperangan. Kebijaksanaan beliau dalam mengatur pentadbiran Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka telah menjadikan Melaka amat mashyur di seluruh pelusuk Nusantara kerana kestabilan politik dan juga pusat penyebaran agama Islam di Nusantara. Tun Perak meninggal dunia pada tahun 1498, semasa awal pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Jawatan Bendahara ini telah diambil alih oleh sepupunya Tun Mutahir.

Tun Perak amat setia dan tidak menderhaka kepada Sultan Melaka. Perkara ini dapat dilihat semasa anaknya, Tun Besar mati ditikam oleh Sultan Muhammad, putera sultan Mansur Shah dalam satu permainan sepak raga. Beliau tidak menuntut bela atas pembunuhan tersebut dan beliau juga melarang pengikut-pengikutnya memberontak. Atas nasihat beliau kepada Sultan Mansur Shah, Sultan Muhammad tidak dilantik menggantikan Sultan Melaka walaupun Sultan Muhammad akan mewarisi takhta kerajaan melaka sebalinya Sultan Muhammad dihantar ke Pahang untuk dirajakan di sana.

Semasa berkhidmat dibawah pemerintahan Sultan Mansur Shah, beliau bertanggungjawab menaikkan keagungan Melaka dalam bidang maritim di Asia Tenggara. Atas kebijaksanaan pimpinan serta teladan beliau, Melaka dapat menawan Kampar, Rokan, Bengkalis, Siak dan Inderagiri di Sumatera, Patani di Siam, Pahang, Terengganu dan Johor di tanah Semenanjung. Kegemilangan Melaka memuncak pada masa itu yang terkenal sebagai Zaman Kegemilangan Budaya Rakyat dan Kebudayaan Melayu. Pengawalan laluan perdagangan laut di Selat Melaka dan penguasaan kawasan-kawasan yang berpotensi menjana ekonomi telah menjamin pendapatan kepada kerajaan Melaka dan empayar Melaka telah mencapai zaman keemasan semasa era Tun Perak.

Keberanian Tun Perak juga terbukti apabila beliau sendiri mengetuai serangan ke atas Pahang. Dengan Keberaniannya, Tun Perak berjaya mengalahkan Pahang yang ketika itu berada di bawah naungan Siam. Kejayaan tersebut menyebabkan Melaka telah mengubah strategi hubungan diplomatiknya dengan Siam. Utusan persahabatan dihantar ke Istana Paduka Bubun Siam yang diketuai oleh Tun Telani dan Menteri Jana Putera. Usaha ini berhasil dan Siam telah menjadi sahabat serta para pedagang Siam mula berdagang ke Melaka.

Hanya kerana perasaan dengki dan cemburu kehidupan manusia menjadi kucar-kacir, tali persaudaraan yang terjalin putus, keadilan terabai dan mereka yang tidak bersalah dihukum. Begitu juga dengan keadaan Hang Tuah pada suatu masa dahulu di mana kedudukannya di istana menumbulkan perasaan kurang senang para pembesar hingga menyebabkan wujudnya fitnah terhadap beliau. Fitnah yang mengatakan Hang Tuah bermesra dengan dayang-dayang istana disampaikan oleh Patih Kerma Wijaya kepada Sultan. Ini kerana Patih Kerma Wijaya tidak menyenangi keakraban yang terjalin dan kasih yang lebih telah diberikan oleh Sultan kepada Hang Tuah.

Hang Tuah ke Istana Melaka yang dikuasai oleh Hang Jebat dengan membawa keris warisan Bukit Siguntang bernama Parong Sari. Hang Jebat merasa hairan melihat Hang Tuah masih hidup dan menjelaskan perbuatannya adalah untuk menuntut kebenaran. Hang Tuah tidak dapat menerima sebarang alasan dan menganggap Hang Jebat telah menderhaka kepada Sultan. Maka berlaku pertikaman sengit dan penuh tragis antara dua hulubalang Melaka.

Akhirnya Hang Tuah berjaya menikam Hang Jebat dengan Keris Taming Sari yang diperolehi semula. Di akhirnya hayatnya, Hang Jebat meninggalkan pesan agar Hang Tuah dapat menjaga anaknya bersama Dang Baru, dayang Datuk Bendahara. Sambil memangku saudaranya, Hang Tuah memberi sirih dan menghurai pembalut luka akibat tikaman dan berjanji akan menunaikan amanat yang diterimanya.

Sultan amat Murka dan tanpa usul periksa telah menitahkan Bendahara membunuh Hang Tuah. Walaupun beliau telah menasihatkan Sultan supaya menyelidiki perkara ini dengan sebaik yang mungkin, namun baginda tetap dengan pendiriannya untuk meneruskan hukuman tersebut. Hang Tuah, seorang hulubalang terbilang dan begitu taat dengan Sultan sedia menerima hukuman tanpa banyak bicara.

Hang Jebat merupakan salah seorang daripada sahabat Hang Tuah yang sangat rapat dengannya. Beliau yang tidak berpuas hati dengan tindakan Sultan telah mengambil keputusan untuk menuntut bela. Hang Jebat mengamuk dan sekaligus menderhaka kepada Sultan sehingga menyebabkan keadaan Istana menjadi kacau bilau. Ramai hulubalang yang terkorban dalam usaha untuk menangkapnya, begitu juga dengan rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa. Sultan dan para kerabat terpaksa berpindah ke rumah Bendahara. Baginda menyesali perbuatannya menghukum Hang Tuah sambil membayangkan sekiranya Hang Tuah masih hidup, Hang Jebat pasti dapat dihapuskan. Sultan merasa amat gembira apabila Bendahara menceritakan keadaan sebenar dan menitahkan Tun Pekerma dan Hang kasturi ke Hulu Melaka menjemput Hang Tuah.

Bendahara Paduka Raja yang dititahkan oleh Sultan untuk menjalankan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah telah mengingkari arahan tersebut. Beliau telah membuat keputusan untuk menyembunyikan Hang Tuah di Hulu Melaka. Bendahara sanggup menanggung akibat daripada perbuatannya hanya kerana beliau tidak sanggup menerima cacian daripada rakyat jelata apabila mereka mengetahui perkara yang sebenar kelak.

Loading

TOP