MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA / MELAKA SULTANATE PALACE MUSEUM
PERSETIAAN RAJA- RAKYAT
Persetiaan di antara golongan rakyat jelata yang diwakili oleh Demang Lebar Daun dan golongan raja iaitu Seri Teri Buana telah memberikan gambar kepada kita bahawa konsep taat setia (wa’adat), daulat dan derhaka telah digubal dan diamalkan sejak Zaman Kesultanan Melaka sehinggalah ke hari ini.
SISTEM PEMERINTAHAN KESULTANAN MELAKA
Dalam pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka, corak pentadbiran oligarki telah mewujudkan dua golongan utama iaitu pemerintah (golongan pembesar) dan kumpulan yang diperintah (rakyat jelata).
Sistem pentadbiran di Melaka digelar sebagai Sistem Pembesar Empat Lipatan berasaskan empat tingkat yang utama iaitu Bendahara, Temenggung, Penghulu Bendahari dan Laksamana.
Di bawah pembesar utama ini ialah Pembesar delapan diikuti oleh Pembesar Enam belas dan Pembesar Bertiga Puluh Dua. Sistem ini telah menjadikan Kesultanan Melaka muncul sebagai empayar terunggul disebabkan oleh kestabilan politik dan kelicinan pentadbirannya.