MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA / MELAKA SULTANATE PALACE MUSEUM
MAHLIGAI HANGUS
Hatta tidak berapa lamanya, maka dengan takdir Allah Taala mahligai itu pun terbakarlah. Tiba-tiba di atas kemuncaknya api; tiadalah sempat lagi. Maka baginda dengan Raja Perempuan serta dayang-dayang sekaliannya habis turun ke istana lain; suatu harta raja tidak terbawa, sekaliannya tinggal dalam istana itu. Maka orang pun datang terlalu banyak hendak berbela api itu, tiada berbela bagi. Maka harta dalam istana itulah yang dipelepas orang; tetapi timah atap istana hancur, cucurlah turun seperti hujan yang lebat. Maka seorang pun tiada berani masuk mengambil harta, maka Bendahara hadir berdiri menghadapi segala orang berlepas harta raja. Maka segala anak tuan-tuan pun berebut masuk berbela segala harta raja yang dalam istana itu; tatkala itulah segala anak tuan-tuan banyak gelaran. Orang yang pertama-tama masuk ini Tun Isap namanya, ialah menghulu-hulu orang masuk dengan pekis geramnya. Maka dibawanya harta raja itu keluar; tetapi sekali sahaja sudah itu tiadalah masuk lagi, maka dinamai orang Tun Isap Barakah. Adapun Tun Mahyuddin hendak masuk takut akan romanya hangus, kerana tubuhnya berbulu belaka, maka dinamai orang Tun Ibrahim Pusing Langit Berkeliling; dan akan Tun Muhammad, sekali-sekali ia masuk, kira-kira dibawakan dua tiga orang dibawanya, maka dinamai orang Tun Muhammad unta. Adapun akan Hang Isa, orang sekali masuk membawa, ia dua kali masuk keluar, maka dinamai orang Hang Isa pantas. Maka mahligai itu pun habislah hangus; maka api itu pun padamlah. Maka Sultan Mansur Syah pun memberi anugerah akan segala anak tuan-tuan itu, masing-masing pada kadarnya. Yang patut bersalin dianugerahi selat, yang patut bergelar digelar baginda.