MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA / MELAKA SULTANATE PALACE MUSEUM

KESULTANAN MELAYU MELAKA (T.M 1403-1511)

Bukti-bukti Sejarah yang menggambarkan sistem kerajaan dan tamadun hidup manusia di Tanah Melayu sebelum tahun 1400 tidak begitu jelas dan sukar untuk dijadikan landasan bagi menggariskan sistem pemerintahan Kusultanan Melayu. Pengwujudan Kesultanan Melayu Melaka dalam tahun 1403 oleh Parameswara boleh dianggap sebagai titik permulaan kegemilangan sistem pemerintahan beraja di Tanah Melayu yang begitu jelas dan kaya dengan ragam budaya dan adat istiadat. Sesungguhnya terdapat variasi, tanggapan dan lagenda sejarah apabila membicarakan Kesultanan Melayu Melaka tetapi kesemuannya memberikan pengiktirafan bahawa kedaulatan Sultan – Sultan melayu yang masih unggul dipertahankan hingga ke hari ini merupakan satu kesinambungan terhadap keunggulan dan kedaulatan Melayu Melaka yang diturunkan kepada Parameswara oleh Iskandar Zulkarnain melalui Seri Teri Buana dari Bukit Si Guntang Mahameru, Palembang.

Kecemerlangan dan kewibawaan sistem pemerintahan Kesultanan Melaka telah menjadikan Melaka sebagai sebuah bandar pelabuhan yang sibuk di Asia Tenggara dan di kenali oleh pedagang-pedagang dari timur dan barat. Jajahan takluk Melaka yang meliputi hampir keseluruhan kepulauan Melayu telah meletakkan kesultanan Melayu melaka sebagai induk pergolakan sosiobudaya, politik dan ekonomi pada ketika itu. Peranan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam yang terpenting di Asia Tenggara juga mempunyai kaitan yang rapat dengan pengislaman Sultan Melaka dan institusi kesultanan itu sendiri.

Berdasarkan kepada penulisan dan dokumen-dokumen asal yang masih terpelihara sehingga kini, Kerajaan melayu Melaka mempunyai sistem pemerintahan beraja yang ideal. Selain dari peraturan adat istiadat yang begitu kukuh diamalkan dalam pembentukkan budaya hidup masyarakat, terdapat juga undang-undang bertulis untuk mengawal kesejahteraan umum dalam negeri. Hakikat ini dapat dilihat di dalam hukum kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.

Gelaran dan peranan orang-orang besar seperti Bendahara, Temenggung, Penghulu Bendahari, laksamana dan Syahbandar terus digunakan di Tanah Melayu hingga beberapa lama selepas itu sehinggalah menjelang kedatangan kuasa Inggeris dalam kurun ke-19. kesultanan Melaka juga telah mengasaskan pembentukan sistem budaya dan adat istiadat Melayu seperti konsep daulat dan durhaka, menjunjung duli, protokol dalam Istana, bahasa istana, penganugerahan gelaran, cara berpakaian, konsep taat setia kepada raja dan negeri dan sebagainya yang masih kukuh dan diamalkan sehingga kini.

Kedaulatan Sultan melaka masih terus terpelihara dan dibawa ke negeri-negeri lain walaupun Melaka ditaluk oleh Portugis dalam tahun 1511. Kebiasaannya setiap perlantikan seseorang Sultan itu akan dikesan, ini berdasarkan pengiktirafan yang diberikan kepadanya untuk dinobatkan sebagai Sultan yang sah bagi negeri yang berkenaan sekiranya mempunyai pertalian darah dengan Sultan Melaka atau warisnya.

Loading

TOP