MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA / MELAKA SULTANATE PALACE MUSEUM

KESAN-KESAN PENINGGALAN ZAMAN KESULTANAN MELAYU MELAKA

RUMAH TRADISIONAL MELAYU MELAKA

Pada dasarnya rupa bentuk dan senibina rumah asli Melayu Melaka mempunyai beberapa persamaan dengan istana Kesultanan Melayu Melaka. Antara ciri-ciri persamaannya ialah diperbuat daripada kayu, struktur bertiang atau terangkat dan berbumbung lipat kajang dengan dua sudut kecondongan. Cumanya dahulu terdapat larangan kepada rakyat biasa supaya tidak membuat anjung di bahagian hadapan rumah, tidak dibenarkan membina rumah berlebih tingkat, bertiang gantung dan bertiang terus dari atap. Persamaan ini turut jelas kelihatan pada binaan-binaan seperti rasuk, pelantar, bumbung, sengkuap, dinding berkambi dan jenang. Bahan-bahan yang digunakan adalah dari bahan yang mudah diperolehi di kawasan sekitar seperti kayu, buluh dan anyaman daun-daun atau pelepah untuk dibuat atap.

BUSANA WARISAN MELAYU

Pakaian tradisional atau busana Melayu yang dipakai oleh kaum Melayu sekarang adalah kesinambungan daripada busana yang dipakai oleh kaum kerabat diraja, golongan bangsawan serta rakyat jelata di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Busana Melayu dahulu dipakai mengikut pangkat dan kedudukan masing-masing. Yang membezakan antara busana golongan atasan dan rakyat jelata adalah dari segi bahan dan mutu kain dan aksesori. Penggunaan baju kurung teluk belanga, pakaian berkain, bersamping dan sebagainya merupakan busana umum yang masih kekal dipakai oleh lelaki dan perempuan hingga kini.

BAHASA MELAYU

Bahasa Melayu telahpun dituturkan sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka. Terdapat penyelidik menyatakan bahawa Bahasa Melayu telah dikesan sejak abad ke-7 berpusat di Muara Jambi. Di zaman Dinasti Ming telah ditulis kamus Bahasa Cina-Melayu terawal bertajuk Man La Jia Guo Yi Yu yang bermaksud Senarai Perkataan Negeri Melaka. Walaupun menurut Tome Pires di dalam bukunya Suma Oriental menyatakan bahawa terdapat 84 jenis bahasa dipertuturkan di Pelabuhan Melaka, namun di zaman Empayar Melaka, Bahasa Melayu telahpun menjadi bahasa perantara atau lingua franca di sekitar Nusantara.

TEKNOLOGI PERSENJATAAN KESULTANAN MELAKA

Keris, pedang, tombak, lembing, sumpit dan panah merupakan senjata tradisional yang digunakan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Namun, bukan itu sahaja, penggunaan senjata api turut digunakan pada zaman tersebut sepertimana yang terdapat di dalam catatan Portugis yang menyatakan Melaka mempunyai sekurang-kurangnya 3,000 ribu pucuk meriam berukuran kecil dan besar. Di dalam gudang milik Sultan turut terdapat senjata-senjata serta belerang, ubat bedil dan peluru.

TEKNOLOGI PERKAPALAN MELAYU

Pelayaran dan pengangkutan air amat sinonim dengan kehidupan Melayu Melaka sejak sebelum kedatangan Parameswara lagi. Penduduk tempatan iaitu Orang Laut telah terdahulu mempunyai perahu-perahu yang digunakan untuk menangkap ikan dan mengumpul hasil laut. Pelayaran Parameswara ke China pada tahun 1411 dan lain-lain menggunakan kapal-kapal Melayu jelas menunjukkan Melaka telah pun mempunyai kemahiran perkapalan yang baik. Catatan-catatan Portugis juga merakam bahawa kapal Melaka yang disebut sebagai ‘jong’ didapati lebih besar dan hebat dari kapal milik mereka.

Jika diamati pula pada kapal atau bahtera Sultan yang digunakan dalam pelayaran Hang Tuah iaitu yang bernama Mendam Berahi (kapal kelas atau jenis ‘ghali’) juga menunjukkan betapa hebatnya teknologi perkapalan Melaka pada ketika itu. Mendam Berahi telah mencatatkan pelayaran ke beberapa tempat seperti Majapahit, China, ‘Benua Keling’ (Vijayanagara di India), Siam, Rom, Mekah dan Mesir.

Loading

TOP