MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA / MELAKA SULTANATE PALACE MUSEUM

DIORAMA TUN KUDU

Menurut Sejarah Melayu, Tun Kudu merupakan salah seorang daripada Srikandi Melayu yang turut memainkan peranannya dalam Sejarah Melaka walaupun dirinya tidak berjuang di medan perang. Tun Kudu adalah anak Bendahara Sri Wak Raja dan amat berjasa dalam pemerintahan Sultan Muzaffar Syah sekitar tahun 1445 sehingga 1458M. Selepas kematian Bendahara Sri Wak Raja, Sri Nara Di Raja Tun Ali telah dilantik sebagai bendahara dan Tun Kudu diperisterikan dengan Sultan Muzaffar Syah. Tun Kudu juga mempunyai 2 beradik lain Tun Perak dan Tun Perpatih Putih.

Kejayaan Tun Perak mematahkan serangan Siam pada tahun 1446 telah membuka mata Sultan akan kewibawaannya sebagai pemimpin. Kebijaksanaan Tun Perak mendapat perhatian Sultan semenjak beliau menjadi penghulu di Kelang. Demi kemajuan dan kestabilan negeri Melaka, Sultan Muzaffar Syah melantik Tun Perak menjadi Bendahara Paduka Raja ( Ketua Menteri) setaraf dengan Sri Nara Di Raja.

Perlantikan Tun Perak sebagai Bendahara Paduka Raja, telah melahirkan rasa tidak senang hati Seri Nara Di Raja Tun Ali. Perkara ini juga mencetuskan ketegangan dan perpecahan di kalangan orang Melayu Melaka. Tun Ali bimbang kedudukannya akan tergugat dengan kehadiran Tun Perak dan ini menyebabkan Sultan merasa gusar serta berhasrat untuk menghentikan perpecahan tersebut. Baginda berusaha mencari jalan penyelesaian agar masalah ini tidak menjejaskan keamanan dan keharmonian Melaka.

Melalui persitiwa ini peranan Tun Kudu amat jelas sekali apabila Sultan memberitahu akan hasrat Tun Ali ingin memperisterikannya walaupun pada masa yang sama beliau sebagai permaisuri raja. Tun Ali tetap dengan pendiriannya meskipun diberi pilihan oleh Sultan untuk dikahwinkan dengan anak orang besar-besar seperti Tun Bulan, Tun Ratna Sendari dan Tun Kanaka. Sebagai jalan penyelesaian Sultan telah menceraikan Tun Kudu demi kestabilan negeri Melaka.

Bagi memastikan Melaka terus aman, Sultan dan Tun Kudu sanggup berkorban meskipun ianya amat menyedihkan. Selepas tempoh idah Tun Kudu dinikahkan dengan Tun Ali. Beliau begitu gembira setelah hasratnya untuk memperisterikan Tun Kudu tercapai.

Pengorbanan Tun Kudu itu tidak sia-sia kerana selepas peristiwa tersebut hubungan Tun Perak dan Tun Ali kembali akrab. Tun Perak dilantik sebagai Bendahara Paduka Raja manakala Tun Ali yang telah sedar akan tanggungjawabnya menjawat jawatan Penghulu Bendahari untuk sama-sama membangunkan Melaka. Kerelaan Tun Kudu berkorban diri telah menyumbang kepada keutuhan kerajaan Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah sekaligus membuktikan dirinya sebagai Srikandi Melayu yang tiada tandingannya.

Loading

TOP