PENGENALAN
SEJARAH AWAL KEDATANGAN PORTUGIS KE MELAKA
11 SEPTEMBER 1509
Diego Lopez de Sequeira telah mengetuai lima buah kapal dalam rangka ekspedisi bagi mewujudkan hubungan diplomatik dan perdagangan di Melaka. Pada awalnya, kehadiran pihak Portugis disambut baik namun pedagang Gujerat telah mengetahui perihal Portugis di India lantas menghasut Bendahara agar tidak berbuat baik dengan Portugis sekaligus menangkap orang Portugis. Ekoran daripada itu, seramai 18 orang Portugis telah ditangkap.
25 JULAI 1511
Pertempuran sengit telah berlaku antara askar-askar Portugis yang dipimpin oleh Alfonso de Albuquerque dan askar-askar Melayu serta askar-askar upahan Sultan Melaka yang terdiri daripada orang-orang Jawa. Ramai askar di kedua-dua pihak mengalami cedera parah dan mati. Akhirnya pihak Portugis terpaksa berundur ke kapal mereka membawa bersama askar-askar yang cedera. Kapten-kapten askar Portugis hendak pulang ke Goa, tetapi Albuquerque tetap ingin menakluki Melaka.
10 OGOS 1511
Alfonso de Albuquerque melancar serangan kedua. Kali ini, askar-askar upahan Sultan Melaka iaitu orang-orang Jawa tidak membantu. Sultan Ahmad sendiri telah menunggang gajahnya untuk memberi semangat kepada askar-askar Melayu namun masih gagal melawan serangan askar Portugis. Akhirnya Melaka ditawan.
24 OGOS 1511
Albuquerque mengeluarkan arahan supaya semua harta Kota Melaka dirampas, lantas askar-askar Portugis telah merampas kekayaan Kota Melaka dan Sultan. Harta yang dirampas termasuk kerusi-kerusi emas, pasu-pasu emas, ketulan emas, perkakas emas, batu-batu permata, kain sutera, wangi-wangian dan barang-barang lain yang berharga, serta antara 2000 hingga 3000 pucuk meriam tembaga.
14 JANUARI 1641
Melaka telah jatuh ke tangan Belanda. Pihak Portugis telah menaikkan bendera putih sebagai tanda menyerah kalah. Portugis telah menakluk Melaka selama 129 tahun, 3 bulan dan 4 hari. Komandan Belanda, Minne Williemson Kaartekoe yang tinggal di khemah berdekatan Kampung Keling memasuki Kota Portugis untuk berbincang dengan Gabenor Portugis Manuel de Souza Coutinho tentang penyerahan kuasa dan syarat-syarat penyerahan diri.