Galeri Portugis
ADAT PERKAHWINAN TRADISIONAL MASYARAKAT PORTUGIS
Sepertimana kaum minoriti yang lain iaitu Baba Nyonya dan Chetti, perkahwinan masyarakat Portugis juga mempunyai keunikan yang tersendiri yang menggabungkan dua budaya iaitu Barat dan Timur. Ini berlaku kerana cara hidup masyarakat Portugis yang banyak dipengaruhi oleh budaya tempatan dan pada masa yang sama mereka terus mengamalkan adat resam masyarakat Portugis itu sendiri.
Di dalam adat perkahwinan masyarakat Portugis beberapa peringkat bakal berlangsung bermula daripada adat merisik, pertunangan dan seterusnya acara kemuncak ialah majlis persandingan.
Terdapat juga pantang-larang masyarakat Portugis pada zaman dahulu tentang perkahwinan di mana setiap perkahwinan perlu kekal sehingga mati iaitu tidak dibenarkan untuk bercerai atau berkahwin lain selagi pasangan masih hidup. Sekiranya berlaku juga perceraian, mereka tidak dibenarkan berkahwin selagi bekas suami atau isteri masih hidup. Selain itu, menurut
hukum agama, perkahwinan hanya sah jika dilakukan di gereja. Justeru, kepatuhan terhadap agama adalah penting dan sekiranya perkahwinan dilakukan di tempat selain gereja ianya dianggap tidak sah.