GALERI KETUA MENTERI MELAKA

LATAR BELAKANG

Bangunan yang dikenali sebagai Seri Bendahara dan terletak di Bukit Peringgit ini dibina dalam era British sekitar tahun 1950-an. Fungsi asalnya adalah sebagai rumah kediaman yang terdiri daripada ruang utama, beberapa buah bilik, ruang pejabat, dapur, rumah pegawal dan padang serbaguna. Kerja-kerja penambahan ruang dewan besar (pavillion) ini telah dilaksanakan pada tahun 1968. Bangunan ini menjalani banyak proses pengubahsuaian dan kerja-kerja renovasi pada bulan Ogos 1996 sewaktu Melaka di bawah pimpinan Y.A.B Datuk Seri Haji Md. Zain Bin Abdul Ghani, Ketua Menteri Melaka yang ketujuh.

Bangunan ini telah dijadikan sebagai kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka sejak pentadbiran Y.A.B Datuk Setia haji Abdul Ghani Bin Ali (1 Ogos 1972- 10 Julai 1978) sehingga ke tahun 2005.Ia menjadi tempat pertemuan pemimpin utama negeri dengan rakyat selain dari tempat menerima lawatan dan kunjungan tetamu rasmi dari dalam dan luar negara.

Selepas pembinaan Seri Bendahara sebagai kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka yang baru di Ayer Keroh, Melaka pada tahun 2005, bangunan Seri Bendahara di Bukit Peringgit diubahsuai dan dijadikan Galeri Ketua Menteri Melaka yang mempamerkan pelbagai info dan koleksi milik Ketua Menteri Melaka yang terdahulu dan terkini.

OBJEKTIF

  • Untuk mengimbas kembali jasa dan sumbangan Ketua-Ketua Menteri Melaka semenjak kemerdekaan sehingga kini.
  • Untuk menjadikan galeri ini sebagai pusat kajian dan penyebaran maklumat mengenai institusi Ketua Menteri Melaka.
  • Untuk memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat dari dalam dan luar negara tentang peranan seseorang Ketua Menteri dalam konteks membangunkan negeri Melaka.

PERANAN

  • Memaparkan segala sumbangan setiap Ketua Menteri dalam menerajui pembangunan Melaka untuk dijadikan teladan dan iktibar kepada generasi akan datang.
  • Membantu Kerajaan Negeri dalam mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan.

Loading

TOP