MUZIUM SEJARAH / HISTORY MUSEUM
DONDANG SAYANG
Dondang sayang atau Dendang Sayang merupakan lagu tradisi rakyat yang berasal dari Melaka. Dondang sayang popular dalam kalangan kaum Melayu dan Baba dan Nyonya. Liriknya adalah gubahan pantun yang membawakan pelbagai tema untuk segenap lapisan masyarakat. Pengucapan berlagu adalah sebagai alat untuk menyampaikan maksud hati dan perasaan secara berkias (berselindung).
Dondang sayang dikatakan mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat semasa zaman kesultanan Melayu Melaka. Pada peringkat awal, dondang sayang didendangkan secara berseorangan atau bersahaja untuk menghiburkan hati selepas penat bekerja. Ia disampaikan tanpa muzik. Apabila alat-alat muzik seperti rebana, gendang, tambur, kompang, tetawak dan gong dibawa masuk ke Tanah Melayu, muziknya digubah untuk mengindahkan lagu dondang sayang. Biola juga digunakan untuk mengiringi nyanyian. Lagu dondang sayang terdapat dalam beberapa versi. Antaranya ialah:
a. Dondang Sayang Melaka
b. Dondang Sayang Tanjung Surat
c. Dondang Sayang Temasik (Singapura)
d. Dondang Sayang Baba dan Nyonya Melaka, Singapura dan Pulau Pinang.
Persembahan dondang sayang dimulakan dengan gesekan biola, diikuti paluan rebana dan gong. Teknik menyampaikan pantun dimulakan dengan memendekkan aluan suara untuk kedua-dua baris pembayang maksud dan membayangkan sedikit apabila menyanyikan maksud pantun. Bagi lagu yang berentak asli memakan masa yang agak panjang untuk menghabiskan serangkap pantun kerana banyak kali pengulangan akan berlaku pada setiap baris. Lagu ini dinyanyikan secara berpasangan sama seperti berbalas pantun. Contoh pantun dondang sayang:
Contoh pantun yang dijual:
Di kiri padi, di kanan selasih,
Sebelah mana tuan nak kaut;
Di kiri budi di kanan kasih,
Yang mana satu tuan terpaut.
Contoh jawapan:
Padi kulurut selasih kulurut,
Hasil tanaman dari seberang;
Budi kuturut kasihku ikut,
Tidak kukejar bayang-bayang.
Majlis dondang sayang lebih meriah pada waktu malam. Majlis disusuli dengan joget lambak sebagai satu cara menghibur dan memupuk kemesraan masyarakat setempat. Di Melaka, dondang sayang terkenal sebagai alat perpaduan keluarga dan masyarakat kerana sering mengiringi acara kenduri kahwin.