GALERI DEMANG ABDUL GHANI
LATARBELAKANG SEJARAH RUMAH
Rumah tradisional ini dipercayai didirikan oleh Demang Abdul Ghani bin Penghulu Abdul Majid, seorang hartawan yang keturunannya berasal dari Palembang pada tahun 1894. Penghulu atau demang merupakan ‘raja kecil’ dan amat dihormati oleh masyarakat pada ketika itu. Kos pembinaannya dianggarkan sekitar RM 33,000.00 (nilaian semasa tahun pembinaan) menggunakan kemahiran tiga tukang kayu iaitu Mahmud Kelantan, Manap Gopeng dan Pendek Pendekar serta mengambil masa 2 tahun untuk disiapkan.
Ia didirikan tanpa menggunakan paku. Mempunyai enam ruang utama iaitu anjung, serambi, rumah ibu, bilik tidur, rumah tengah dan dapur serta sebuah loteng yang dikhaskan untuk kegunaan kaum wanita.
Rumah ini merupakan pusat pentadbiran kampung dan sering digunakan sebagai tempat perjumpaan bagi membincangkan hal ehwal masyarakat. Tiga generasi penghulu pernah mendiami rumah ini iaitu Penghulu Abdul Majid (1831 – 1834), Demang Abdul Ghani bin Abdul Majid (1834 – 1934) dan Penghulu Mat Natar bin Abdul Ghani (1934 – 1978).
BAHAN DAN KEMASAN RUMAH
Rumah ini kaya dengan ukiran yang mempunyai pelbagai maksud tersirat yang bermotifkan flora dan fauna. Unsur kebudayaan Cina ditonjolkan jelas dengan motif ‘Ang Ling’ (ukiran Naga Merah) yang dikaitkan dengan kekayaan dan kekuasaan manakala ‘Eng Ling’ (ukiran Naga Emas) dikaitkan dengan pengawalan dan perlindungan. Ukiran bintang berbucu enam melambangkan rukun iman menunjukkan betapa pemiliknya menghayati penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupannya. Ukiran tulisan Cina yang membawa maksud pengekalan juga membuktikan kekayaan penerapan pelbagai motif pada bangunan ini.
Kemasan jubin jenis timbul dipercayai berasal dari Itali dan China pada bahagian tangga pula menonjolkan ciri-ciri kebudayaan masyarakat Melayu yang mengutamakan tetamu. Kepala di tiang tangga diperbuat daripada konkrit yang menyerupai topi soldadu Inggeris. Keunikan dan kehalusan senibina dengan gabungan material serta spiritual yang membawa pelbagai maksud tersirat menjadikan rumah ini amat istimewa.
Kayu bermutu tinggi daripada jenis Merbau, Cengal dan Jati digunakan secara meluas pada rumah ini. Manakala Genting Cina digunakan di bahagian bumbung iaitu daripada jenis konkrit bertekstur berbentuk ‘singgora’. Terdapat dua buah kolah air untuk membersihkan kaki di hadapan tangga yang mempunyai motif labu dan nenas yang membawa maksud limpahan ataupun bernasib baik (Ong Lai).
‘Berhemah secara kemelayuan, berbincang secara Inggeris’ itulah peganganDemang Abdul Ghani dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin pada zamannya.
DEFINISI PENGHULU
Penghulu seringkali dikaitkan sebagai hulu iaitu kepala ataupun ketua komuniti dalam sesebuah mukim. Sistem penghulu dipercayai telah wujud semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi yang dipertanggungjawabkan sebagai ketua untuk menjaga, memimpin dan menyelesaikan masalah orang ramai, di samping menjaga keamanan dan wakil pemungut cukai daripada sultan.
Sesuai dengan statusnya yang tinggi, penghulu amat dihormati oleh komunitinya dan mempunyai kedudukan ekonomi yang agak teguh.
Jawatan penghulu adalah diputuskan oleh Sultan, yang kebiasaannya dilantik berdasarkan ketokohannya serta disenangi oleh masyarakat. Disebabkan kedudukannya yang dianggap tinggi sehingga digelar sebagai ‘Raja Kecil’, tugasan sebagai penghulu akan diwariskan kepada anak cucunya sahaja.
SALASILAH KELUARGA
MERLIMAU
TOKOH TERKENAL DI MERLIMAU