GALERI DEMANG ABDUL GHANI
RUMAH DAPUR
PELANTAR
Ciri-ciri rumah tradisional Melayu Melaka jelas terlihat pada pelantar terbuka (courtyard) yang berfungsi sebagai penyambung antara rumah ibu dan rumah dapur. Falsafah senibina Islam yang menghadkan pergaulan antara lelaki dan wanita jelas menjadi pegangan di dalam konsep senibina rumah Melayu.
Rumah ibu kebiasaannya menjadi lokasi utama untuk aktiviti kaum lelaki manakala rumah tengah sering menjadi tumpuan untuk golongan wanita. Tetamu yang berkunjung kebiasaannya dihadkan sekitar serambi ataupun rumah ibu sahaja manakala bagi tetamu wanita di rumah tengah. Hanya saudara mara serta kenalan rapat sahaja dibenarkan melewati pelantar untuk ke rumah dapur.
Tandas ataupun bilik mandi kebiasaannya diasingkan dan terletak di luar rumah sesuai dengan sifat orang Melayu yang amat mementingkan kebersihan.
GAYA SENIBINA RUMAH
Perbezaan rumah penghulu dengan rumah tradisional Melaka terlihat pada tiang serta dinding batu-bata yang dihiasi dengan pelbagai ukiran yang mempunyai falsafah tersendiri. Motif tradisional berbentuk daun dan bunga ditonjolkan pada tiang dan dinding. Pengaruh Cina pula ditonjolkan menerusi ukiran dengan motif naga, burung dan sebagainya.
Rabong bumbungnya pula menampilkan pengaruh senibina Cina dengan hujung yang melentik melambangkan ekor naga. Binaan anjung dilengkapkan dengan lobi tambahan yang selari dengan anjung utama. Tangganya tampak begitu megah menyambut tetamu sebagai lambang tradisi masyarakat Melayu yang mengutamakan perhubungan. Rekabentuk tangga dengan kemasan jubin yang menarik selalunya dikaitkan dengan status pemilik rumah.
BAHAN DAN KEMASAN RUMAH
Kemasan jubin digunakan secara meluas pada tiang dan tangga hadapan. Penggunaan jubin yang diimport dari China serta mempunyai 3 dimensi dan bertekstur menunjukkan Demang Abdul Ghani seorang yang kaya serta mempunyai wawasan.
Kayu dari jenis Merbau, Cengal dan Jati digunakan secara meluas di rumah ini manakala bumbung tanah liat diimport dari China.
Struktur rumah dipercayai daripada kayu Bakau terpilih yang masih berkeadaan elok sehingga kini. Tiang-tiang batu dengan pengaruh penjajah terletak teguh tanpa berlaku pemendapan. Elemen-elemen hiasan taman juga ditonjolkan melalui dua buah kolam yang kemudiannya di tanam dengan bunga.
Halaman dibiarkan luas bagi memudahkan majlis-majlis keramaian dilangsungkan. Demang Abdul Ghani merupakan seorang individu yang mempunyai pemikiran yang tajam serta mendahului zamannya.
PENYELIDIKAN EKSKAVASI ARKEOLOGI
Projek penyelidikan ekskavasi arkeologi dijalankan pada Julai 2007 sebelum kerja bina semula, baikpulih dan pulihara dijalankan oleh Jabatan Warisan Negara. Kerja-kerja ini dijalankan bertujuan untuk merekod, menyelamat segala artifak, struktur binaan yang terdapat di sekitar kawasan tersebut dan juga untuk membantu menyelesaikan beberapa perkara sebelum rumah tersebut dibaik pulih atau dibina semula.
Rumah ini berada di dalam keadaan terbiar dan usang dengan halaman yang tidak terurus sebelum Kerajaan Negeri Melaka melalui Jabatan Warisan Negara serta Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mengambil alih untuk dijadikan sebuah galeri. Dengan kewujudan galeri ini diharapkan dapat membantu usaha-usaha menyemarakkan semangat menyintai khazanah warisan Negara di kalangan seluruh rakyat Malaysia.
PERLAKSANAAN
Penggalian di kawasan yang terpilih ini untuk merekod, menyelamat segala struktur atau artifak yang terdapat di kawasan terbabit. Dua kaedah penyelidikan ekskavasi arkeologi iaitu ekskavasi konservasi bangunan (Conservation Archaeology Method) atau CAM dan kaedah ekskavasi arkeologi menyelamat (Rescue Archaeology Method) atau RAM.
Bagi kaedah CAM, hanya bahagian tertentu yang terdapat di dalam rumah sahaja yang akan dipilih untuk digali manakala kaedah RAM pula penggalian dilakukan di kawasan yang terletak di bahagian dumping area dan kolam air lama.
OBJEKTIF KAJIAN (CAM)
i) Melihat secara keseluruhan di persekitaran rumah serta perkaitannya dengan rumah yang sedia ada di sekelilingnya.
ii) Mencadangkan aspek-aspek konservasi iaitu struktur manakah yang perlu dikekalkan dengan melakukan kerja-kerja pemuliharaan agar ianya kelihatan seperti dalam bentuk keadaan asal.
iii) Merekonstruksi semula struktur-struktur yang terdedah seperti lantai asal bangunan, asas bangunan, longkang, bumbung bangunan sejajar dengan keadaan asal lanskap di halaman bangunan.
iv) Melihat sejauhmanakah keadaan lapisan tanah (stratigrafi) yang berlainan seterusnya boleh dihubungkaitkan dengan peristiwa yang pernah berlaku di rumah tersebut.
v) Mengenal pasti taburan artifak dan bukan artifak untuk dijadikan sebagai bukti dan data tentang latar sejarah rumah tersebut.
vi) Mengekal, melindungi dan memulihara kawasan rumah secara cermat agar suatu hari kelak, ianya dapat dijadikan sebagai suatu bahan sejarah seterusnya dapat dikenang oleh generasi yang akan datang.
OBJEKTIF KAJIAN (RAM)
i) Menyelamat segala artifak (seramik, duit syiling, alat senjata, peluru, logam, kaca dan sebagainya)
ii) Menyelamatkan sebarang struktur binaan yang sedia ada (sama ada dipindahkan atau dibina semula seperti pintu gerbang, fondasi bangunan, lantai struktur longkang, parit, tangga, alas tiang dan sebagainya)
STRUKTUR BINAAN
Melihat sebarang struktur binaan yang wujud. Dalam hal ini ingin dilihat bagaimana keadaan asal kedudukan dasar (foundation) struktur tembok ;
i) Bagaimana ketinggian (elevation) struktur-struktur dari paras laut dan juga di antara struktur-struktur;
ii) Mengenal pasti mana-mana struktur yang tertanam yang telah dibina dalam masa yang berlainan sama ada struktur zaman British atau sebelum itu;
iii) Mencari jika ada struktur yang tertanam dalam tanah (sama ada berbentuk bangunan atau tidak);
iv) Memperolehi dan mengenal runtuhan struktur seperti dinding tembok, lantai, longkang, fondasi, atap atau pintu gerbang;
v) Membuat rekonstruksi (simulation) keseluruhan reka bentuk tembok dan melihat jajaran dan keluasannya berdasarkan kepada data dari pengukuran.
vi) Setelah mengenal pasti keseluruhan fungsi dan bentuk struktur yang terdedah, kajian seterusnya iaitu aspek pemuliharaan pula akan dilaksanakan jika mendapat persetujuan semua pihak.
STRATIGRAFI
i) Melihat bagaimana keadaan lapisan-lapisan tanah seperti kandungan, tekstur dan warna tanah di keseluruhan kawasan tapak galicari.
ii) Melihat sejauhmana keadaan lapisan-lapisan tanah (layers) yang berlainan dan banyak mana lapisan yang terdapat mengikut kedalaman tanah telah berlaku terutama di kawasan yang ada struktur dan artifak.
iii) Melihat bagaimana keadaan tanah asal permukaan selepas pembinaan tembok (jika masih ada).
iv) Melihat bagaimana kedudukan jumpaan dalam semua lapisan tanah dapat dihubungkaitkan dengan aktiviti kegiatan di sekitar perkarangan rumah ini sepanjang zaman.
v) Melihat sejauh mana gangguan tanah (disturbed soil) telah berlaku sama ada banyak tertumpu di kawasan berstruktur atau di kawasan yang terdedah kepada faktor alam sekitar seperti hakisan, pemendapan, kegelinciran tanah dan sebagainya.
JUMPAAN
i) Ingin mencari artifak dan bukan artifak yang terdapat di sekitar kawasan rumah mengikut kedalaman tanah dan lokasi tapak untuk dianalisis.
ii) Menjadikan jumpaan yang diperolehi sebagai bahan bukti untuk mendapatkan maklumat tentang latar belakang aktiviti seperti sosial dan ekonomi.
iii) Mencari jumpaan atau material sebanyak mungkin agar boleh digunakan sebagai bahan bukti yang telah digunakan bersama atau sebahagian daripada struktur binaan.
iv) Mengenalpasti artifak terutamanya seramik, duit syiling, peluru-peluru, logam dan sebagainya mengikut kepentingan identifikasi masing-masing yang boleh dibuat perbandingan kajian dengan tapak-tapak arkeologi di sekitar Melaka atau di negeri-negeri lain.
v) Melihat sejauhmanakah jumpaan terutamanya artifak yang dapat dihubungkaitkan dengan lapisan stratigrafi serta kronologi dan juga struktur binaan.
Ekskavasi arkeologi berjaya menemui beberapa keputusan yang memberangsangkan dari sudut data arkeologi namun tidak kesemua penemuan data arkeologi itu boleh diberi penilaian yang sempurna kerana sebab-sebab tertentu. Kepelbagaian jenis artifak yang ada di samping jumpaan bekas struktur bangunan asal serta struktur yang berkaitan dengannya jelas menunjukkan di sini betapa pentingnya kawasan ini dari aspek nilai warisan dan sejarah di Galeri Demang Abdul Ghani khususnya dan di Malaysia amnya. Penemuan struktur binaan lama yang terdapat di bahagian tengah kawasan dalam rumah menunjukkan bahawa usianya sama dan sezaman dengan rumah yang sedia ada kini. Ini semua memberi gambaran awalan bahawa kawasan ini amat penting dari segi peninggalan warisan khazanah lama negara dan ia perlu diselamatkan atau dipulihara.