GALERI DEMANG ABDUL GHANI
GALERI DEMANG ABDUL GHANI, MERLIMAU, MELAKA
Rumah tradisional ini dipercayai didirikan oleh Penghulu Abdul Majid, seorang hartawan yang keturunannya berasal dari Palembang pada tahun 1831. Penghulu atau demang merupakan ‘raja kecil’ dan amat dihormati oleh masyarakat pada ketika itu.
Ianya didirikan tanpa menggunakan paku. Mempunyai enam ruang utama iaitu anjung, serambi, rumah ibu, bilik tidur, rumah tengah dan dapur serta sebuah loteng yang dikhaskan untuk kegunaan kaum wanita.
Pentadbiran kampung berpusat di sini dan sering digunakan sebagai tempat perjumpaan bagi membincangkan hal ehwal masyarakat. Tiga generasi penghulu pernah mendiami rumah ini iaitu Penghulu Abdul Majid (1831 – 1834), Demang Abdul Ghani bin Abdul Majid (1834 – 1934) dan Penghulu Mat Natar bin Abdul Ghani (1934 – 1978).
Terdapat sebuah ruang yang dikenali sebagai balai penghadapan di hadapan serambi yang kebiasaannya hanya terdapat di rumah kediaman pembesar. Serambi pula digunakan sebagai ruang perbincangan bersama pembesar-pembesar lainnya.
Rumah ibu berperanan sebagai ruang utama yang dikhususkan kepada tetamu tertentu sahaja. Terdapat sebuah singgahsana yang berperanan sebagai tempat perbincangan rasmi serta sebuah bilik tidur yang dikhususkan kepada ketua keluarga. Loteng di sebelah atas adalah ruang peribadi yang dikhaskan untuk kaum wanita sahaja.
Terdapat pelantar terbuka yang mempunyai pelbagai kegunaan seperti menjemur padi, menakung air hujan dan sebagainya.
Sebuah ruang rehat serta bilik tidur yang agak peribadi dikhususkan kepada kaum wanita sahaja di dalam menjalankan aktiviti seharian. Bahagian dapur berbentuk segiempat tepat serta mempunyai pengaruh senibina Belanda.
Rumah ini kaya dengan ukiran yang mempunyai pelbagai maksud tersirat yang bermotifkan flora dan fauna. Unsur kebudayaan China ditonjolkan jelas dengan motif ‘Ang Ling’ (ukiran Naga Merah) yang dikaitkan dengan kekayaan dan kekuasaan manakala ‘Eng Ling’ (ukiran Naga Emas) yang dikaitkan dengan pengawalan dan perlindungan. Ukiran bintang berbucu enam menjelaskan betapa pemiliknya menghayati penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupannya. Ukiran tulisan Cina yang membawa maksud pengekalan juga membuktikan kekayaan penerapan motif pada bangunan ini.
Kemasan jubin jenis timbul yang dipercayai diperolehi dari Itali dan China pada bahagian tangga jelas menonjolkan cirri-ciri kebudayaan masyarakat Melayu yang mengutamakan tetamu. Kepala di tiang tangga diperbuat dari konkrit yang menyerupai topi soldadu Inggeris.
Kayu bermutu tinggi dari jenis Merbau, Chengal dan Jati digunakan secara meluas pada rumah ini. Manakala Genting Cina digunakan pada bahagian bumbungnya dari jenis konkrit bertekstur berbentuk ‘singgora’. Terdapat dua buah kolah pada bahagian depan yang mempunyai motif labu dan nenas (Ong Lai) yang membawa maksud limpahan ataupun bernasib baik.
‘Berhemah secara kemelayuan, berbincang secara Inggeris’ itulah peganganDemang Abdul Ghani dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin pada zamannya.