GALERI CHENG HO
KESAN PENINGGALAN CHENG HO DI MELAKA
Kesan peninggalan Cheng Ho yang paling besar sekali yang terdapat hingga sekarang di Melaka ialah Bukit China. Bukit China yang dahulunya dikenali dengan nama Bukit Sam Poh (nama Cheng Ho) merupakan kesan warisan sejarah Empayar Melaka yang terkenal di Malaysia dan di rantau ini. Bukit China yang terletak di sebelah timur bandaraya Melaka dikatakan pernah di jadikan tempat perkhemahan anak buah Cheng Ho semasa kunjungan ke Melaka. Mengikut Fu Chunjiang di dalam bukunya The Great Explorer Cheng Ho Ambassador of Peace, Cheng Ho ialah pembesar China yang mengiringi Hang Li Po puteri Raja China yang telah berkahwin dengan Sultan Mansur Syah Raja Melaka (1456-1477).
Raja Melaka telah membina istana untuk Puteri Hang Li Po dan rumah-rumah untuk 500 orang pengirinya di Bukit China. Di kaki Bukit China pada masa ini terdapat Perigi Hang Li Po yang dikenali juga sebagai Perigi Raja. Berdekatan dengan tampat ini terdapat Tokong Zheng He telah dibina pada tahun 1795 oleh masyarakat China sebagai memperingati kunjungan Cheng Ho. Bukit China pada masa ini menjadi tanah perkuburan orang China yang terbesar didunia, di luar negeri China. Dipuncaknya terdapat perkuburan orang-orang Islam termasuk makam Panglima Pidie dari Aceh yang telah terkorban semasa menyerang Belanda di Melaka pada tahun 1547. Bukit China pada masa ini merupakan salah satu daya penarik pelancongan yang utama di Melaka.
Kehadiran Cheng Ho dan pedagang-pedagang China ke Melaka juga telah banyak mempengaruhi cara hidup penduduk-penduduk di rantau ini. Ini termasuklah dalam bidang ilmu, kesenian, pakaian, makanan, seni bina dan lain-lain. Bagi mengingati kunjungan Cheng Ho ke Melaka kerajaan negeri Melaka melalui Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) telah menubuhkan Galeri Cheng Ho dalam Muzium Sejarah di banguan Stadthuys. Di samping itu sebuah pertubuhan China telah membina Cheng Ho Cultural Museum di Jalan Hang Jebat. Di Muzium Negara Kuala Lumpur pula satu mural yang besar yang melakarkan kunjungan Cheng Ho ke Melaka telah pun dibina.
MASYARAKAT BABA NYONYA
Selain dikenali sebagai masyarakat Baba Nyonya, mereka juga digelar kaum Peranakan. Kewujudan masyarakat Peranakan ini terhadil daripada perkahwinan campur di antara kaum Cina dari Tanah Besar China dengan orang tempatan. Kebiasannya cara hidup mereka lebih menyerupai kaum Melayu. Mereka menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa harian, mekai batik sarung, berkain pelikat malah menjalankan upacara perkahwinan seakan-akan kaum Melayu lengkap dengan hantaran perkahwinan dan menggunakan tepak sireh. Mereka juga mahir menyanyikan lagu Dondang Sayang, Keroncong dan juga berpantun sebagai sebahagian dari kebudayaan mereka.