MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA / MELAKA SULTANATE PALACE MUSEUM

SEBELUM KEWUJUDAN MELAKA

Sebelum abad ke-15 tiada catatan jelas oleh para pelayar asing ke Asia Tenggara yang menunjukan kewujudan nama “Melaka”. Dalam catatan China, Ming Shih-lu (Sejarah Ming) menyatakan sebelum kewujudan Melaka kawasan ini dikenali dengan nama Tun-sun-tang-ke-lo-fu-sha. Sumber China hanya mengenali Melaka pada tahun 1403. Pulau Besar yang juga dikenali sebagai Pulau Air telah menjadi lokasi tumpuan kapal-kapal dagangan dari China dan lain-lain. Muara sungai pula didiami suku Orang Laut yang bergantung hidup pada persekitaran sungai dan laut sebagai sumber makanan dan pendapatan.

PEMBUKAAN MELAKA

Melaka dibuka oleh Parameswara, seorang waris keturunan diraja Srivijaya dari Palembang yang kemudiannya memerintah Melaka pada sekitar tahun 1400 (namun terdapat penyelidik mencatatkan tahun 1262 Masihi berdasarkan rungkaian manuskrip lama). Kisah pembukaan Melaka dikaitkan dengan kejadian aneh di mana sedang Parameswara berehat di bawah pohon, anjing-anjing perburuan baginda telah diterajang oleh seekor pelanduk atau kancil putih hingga jatuh ke dalam sungai. Parameswara kagum dengan keberanian yang disaksikannya dan seterusnya menamakan negeri ini dengan nama Melaka bersempena nama pokok yang disandar baginda semasa menyaksikan kejadian tersebut.

RAJA MEMELUK AGAMA ISLAM

Peristiwa Parameswara memeluk agama Islam dicatatkan di dalam buku Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) melalui kisah baginda telah bermimpi bertemu Rasullullah S.A.W dan telah diajar mengucap dua kalimah syahadah. Keesokan harinya pada waktu Asar datang rombongan pedagang dari Jeddah diketuai oleh Sayyid Abdul Aziz. Mereka telah dijemput ke istana seterusnya telah mengislamkan Parameswara dan para pembesar, kemudiannya diikuti oleh rakyat Melaka.

KUNJUNGAN ROMBONGAN CHINA

Pada awal-awal tahun pemerintahan Parameswara iaitu pada 1403, Melaka telah didatangi perutusan baginda Yongle, Maharaja China yang menghantar Laksamana Yin Qing ke negeri-negeri yang diadakan hubungan diplomatik dengan China. Akibat ingin mengimbangkan tekanan daripada Siam dan Majapahit, Parameswara mengalu-alukan kedatangan kapal rombongan diraja China itu sebagai langkah pertama hubungan diplomatik dan bernaung di bawah China sebagai sebuah kuasa besar. Ketika itu Melaka hanya ditandakan di dalam peta China sebagai Wu Shu (Lima Pulau) iaitu merujuk kepada persekitaran Pulau Besar. Pada 1405 sekali lagi Laksamana Yin Qing kembali mengunjungi Melaka dengan membawa surat pengiktirafan kepada Raja Melaka dan mengisytiharkan Melaka sebagai negara berdaulat di bawah naungan Dinasti Ming dan disebut sebagai Man La Jia iaitu sebutan Melaka dalam Bahasa Cina pada masa itu.

LAWATAN PARAMESWARA KE CHINA

Lawatan Parameswara ke China dicatat di dalam rekod Ming dengan cukup terperinci. Contohnya Parameswara bersama Permaisuri, Putera dan Puteri Raja, menteri-menteri serta rombongan seramai 540 orang tiba di China pada 1411 dalam rangka mengeratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Keberangkatan baginda dan rombongan ke China sangat dialu-alukan, disambut dengan meriah, dilayan dan diberi penghormatan dengan amat baik. Kunjungan delegasi Melaka ke China dirakamkan tidak kurang 18 kali bermula tahun 1405 hingga 1435.

LAWATAN PARAMESWARA KE CHINA

Lawatan Parameswara ke China dicatat di dalam rekod Ming dengan cukup terperinci. Contohnya Parameswara bersama Permaisuri, Putera dan Puteri Raja, menteri-menteri serta rombongan seramai 540 orang tiba di China pada 1411 dalam rangka mengeratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Keberangkatan baginda dan rombongan ke China sangat dialu-alukan, disambut dengan meriah, dilayan dan diberi penghormatan dengan amat baik. Kunjungan delegasi Melaka ke China dirakamkan tidak kurang 18 kali bermula tahun 1405 hingga 1435.

PENTADBIRAN KESULTANAN MELAKA DI BUKIT MELAKA

Nama Bukit Melaka (Bukit St. Paul) telah digunakan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ini dapat dilihat di dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) merakamkan sebuah kisah berkaitan Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Syah (1477-1488):

"…Maka Sultan Alau'd-Din dengan Hang Isap pun pergilah mengikut pencuri lima orang itu, maka segala pencuri itu pun lari ke atas Bukit Melaka, maka diikuti baginda ke atas bukit, bertemu di negara bukit itu; maka Sultan Alau'd-Din pun bertempik, lalu diparang baginda seorang, kena pinggangnya putus seperti mentimun, penggal dua. Maka yang empat orang itu lari ke jambatan…”

Selain itu, melalui catatan Barat, terdapat lakaran peta di dalam buku yang ditulis Manuel Godinho de Erédia dalam Description of Malaca memaparkan kawasan pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka di zaman pemerintahan Parameswara yang memaparkan Bukit Melaka ditulis sebagai Monte : Buquet Malaca. Selain “Buquet Malaca” (Bukit Melaka), terdapat nama-nama bukit lain seperti Bukit China (Buquet China), Bukit Pipi (Buquetpipi) dan Bukit Piatu (Buquetpiatto) turut disebut dalam catatan tersebut.

BAHASA DIRAJA

Bahasa Diraja atau Bahasa Istana merupakan kosa kata khas bagi raja dan kaum kerabatnya. Kosa kata ini dicipta bagi meletakkan kedudukan raja lebih dibezakan dengan segala kehormatannya berbanding dengan golongan lain. Berikut merupakan beberapa perkataan Bahasa Istana yang biasa dipakai:  

BAHASA BIASA BAHASA ISTANA
Saya (I) Beta
Duduk, tinggal (to stay) Bersemayam
Jumpa (meet) Mengadap, menghadap
Bercakap, berkata (talk) Bertitah
Berjalan, bersiar-siar (go out) Berangkat
Berjalan, keluar (eg. royal visit) Bercemar duli. mencemar duli
Makan (eat) Santap
Makanan (food) Santapan
Tidur (sleep) Beradu
Tempat tidur (bed chamber) Peraduan
Mandi (bathe) Bersiram
Sakit (become ill) Gering
Sudi, suka akan ( to like) Berkenan
Marah (be angry) Murka
Arahan, mengarahkan (to order) Titah perintah, menitahkan
Terima kasih (to thank) Menjunjung kasih
Kubur (grave) Makam

MATAWANG

Sebelum terdapat penggunaan matawang rasmi di zaman Kesultanan Melayu Melaka, kebanyakan kegiatan perdagangan diurusniagakan secara pertukaran atau bertukar barang, yakni lebih dikenali sebagai barter trade dalam bahasa Inggeris. Namun terdapat juga urusniaga melibatkan penggunaan habuk/debu emas, jongkong perak dan tampang timah. Penggunaan siling tembaga China khususnya dalam proses urusniaga dengan Dinasti China juga digunakan. Matawang logam atau syiling pertama Melaka telah diperkenalkan pada zaman Sultan Muzaffar Syah.

Terdapat empat jenis matawang syiling yang digunakan di zaman Kesultanan Melayu Melaka berdasarkan jumpaan arkeologi di beberapa tempat termasuk Sungai Melaka, Dataran Pahlawan, kawasan tambak laut berhampiran Pulau Melaka dan lain-lain tapak. Matawang syiling tersebut ialah matawang zaman Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Mahmud Syah dan Sultan Ahmad yang kebanyakannya diperbuat daripada timah. Wang syiling ini dikenali sebagai pitis. Terdapat syiling dengan nilai-nilai seperti 1 pitis dan ½ pitis.

Loading

TOP