MUZIUM SEJARAH / HISTORY MUSEUM
PERAHU JALUR
Perahu Jalur adalah dipercayai antara kenderaan air yang terawal dibina oleh manusia untuk tujuan pengangkutan. Apabila pengetahuan manusia mengenai penggunaan alatan batu atau benda tajam kian berkembang di kalangan masyarakat dahulu kala, mereka mula membina kenderaan pengangkutan air dengan menggunakan sebatang kayu yang dikeruk atau ditebuk. Biasanya perahu jenis ini diperbuat daripada kayu jenis timbul yang kukuh dan mudah ditebuk seperti kayu Meranti. Perahu ini masih banyak digunakan sehingga ke hari ini terutamanya oleh masyarakat di pedalaman atau yang tinggal di hulu sungai.
PENGANGKUTAN DI MELAKA
Sejak zaman dahulu lagi, beberapa kerajaan telah wujud di Semenanjung ini. Namun begitu, tidak ada gambaran tentang kenderaan-kenderaan yang digunakan semasa dahulu selain dari orang berjalan kaki, penggunaan binatang-binatang seperti kuda dan gajah untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Sebelum kenderaan-kenderaan laut dan darat wujud, sungai memainkan peranan seperti jalanraya sekarang. Sungai-sungai di Semenanjung menjadi nadi utama perhubungan antara dua destinasi. Pelbagai jenis perahu, kolek, sampan, jalur, rakit dan sebagainya direka serta dibuat untuk perjalanan sungai.
Apabila Kerajaan Melayu Melaka menjadi kerajaan utama, perhubungan antara Melaka sebagai pusat perdagangan dengan negeri-negeri yang ditaklukinya memerlukan sistem jalan raya selain daripada laluan sungai. Binatang-binatang seperti kuda, gajah dan lain-lain masih digunakan dan kenderaan-kenderaan juga diperkenalkan khusus untuk mengangkut barang-barang perniagaan. Kereta lembu dan kereta kerbau mula digunakan. Kereta kuda wujud apabila pengaruh Barat diterima di Melaka. Beberapa tempat telah dipilih untuk melatih binatang-binatang menarik kenderaan. Kenderaan-kenderaan ini, khususnya kereta lembu dan kereta kerbau, berfungsi sebagai pengangkutan utama dalam negeri sehingga ke tahun 1950-an.
Kereta, basikal dan motosikal mula wujud di Melaka pada penghujung kurun ke-19. Perusahaan getah membolehkan keselesaan perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain. Maka wujudlah sistem pengangkutan saperti beca tarik, beca roda tiga dan beca pengangkutan barang. Dengan adanya jalanraya yang baik, kenderaan-kenderaan berat seperti lori, bas dan kereta-kereta bertambah banyak. Perkembangan ini menyekat kegunaan sungai sebagai laluan utama. Keretapi mula berkhidmat dari tahun 1905 dan sistem pengangkutan ini tamat semasa Perang Dunia Kedua.
Sekarang, sistem jalanraya di Negeri Melaka adalah antara yang terbaik di Malaysia. Dengan adanya kemudahan moden, pengangkutan lama tidak dapat bersaing dengan kenderaan moden.
PERIGI BELANDA
Ini adalah sebuah perigi yang telah ditemui semasa kerja-kerja restorasi di Kompleks Stadthuys. Walaupun peta-peta lama menunjukkan terdapat dua buah perigi di bahagian ini, namun lokasi yang tepat perigi-perigi tersebut tidak dapat disahkan sehinggalah projek restorasi dilaksanakan.
Penanggalan tapak jalan simen yang baru dan pembersihan tanahnya mendedahkan susunan batu-bata di kawasan ini.
Pembukaan tanah di bahagian atas secara berhati-hati dan kerja-kerja eskavasi di sekitar kawasan ini menemui satu rongga bulat dan longkang buatan dari blok-blok batu lada disekelilingnya.
Eskavasi seterusnya menjumpai sebuah perigi lama termasuk mata airnya. Walaupun disebut sebagai perigi Belanda, kemungkinan besar pihak Belanda mengubahsuai dan menguatkan perigi ini dengan penyerahan Kota Melaka oleh pihak British dan digunakan semula apabila Sekolah Tinggi Melaka ditempatkan di bangunan bata yang baru sahaja didirikan pada tahun 1884, iaitu bangunan mahkamah di hadapan perigi ini.
Pertambahan aktiviti-aktiviti sekolah mengakibatkan sebuah bangunan lagi dibina disebelahnya dan bangunan yang tertutup ini memaksa penutupan perigi ini.
Kedalaman perigi ini ialah 18 ½ kaki. Walaupun sumber air senang diperolehi, namun ia dianggap tidak selamat untuk menggali lebih dalam dari paras air sekarang. Oleh kerana ia telah menjadi sebahagian dari Kompleks Stadthuys, maka perigi ini dikekalkan untuk dijadikan bahan sejarah.