GALERI SENI RAKYAT / FOLKS ART GALLERY

GALERI SENI RAKYAT

FOLKS ART GALLERY

Dalam menyemarakkan aktiviti seni di Melaka, kerajaan negeri melalui Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dengan kerjasama Kumpulan Pelukis Negeri Melaka telah menubuhkan Galeri Seni Rakyat di Lot 74, Jalan Laksamana, Melaka yang berkonsepkan galeri pameran dan jualan lukisan hasil seni anak tempatan dari pelbagai usia, kaum, bangsa. Galeri ini telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka pada 28 Jun 2008.

Penubuhan galeri ini adalah ilham Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil Yaakob yang turut menyumbang beberapa buah karya beliau untuk tatapan umum. Tujuan utama penubuhan galeri bagi menyediakan ruang kepada para pelukis/bakat muda mempamer dan memperagakan hasil karya mereka untuk memberi peluang kepada rakyat negeri ini dan pelancong luar negara mendekati dan menghayati hasil seni pelukis-pelukis tempatan. Antara pelukis yang menyumbangkan karya adalah Mohd. Yassin Ahmad, Roszainol Hashim, Haji Mohd Tain, Johari Ibrahim, Pardan Moslem, Toh Shia Jade, Titi, Tham Siew Inn, Tham Siew King, Sahar Koyok dan lain-lain yang terdiri dari ahli Kumpulan Pelukis Melaka.

Apa yang lebih penting, galeri ini dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan dan kepentingan seni lukisan dalam kehidupan seharian. Di dalam galeri ini terdapat sebuah mini studio yang juga merupakan tempat pelukis-pelukis berkarya dan menjalankan aktiviti lain seperti bengkel melukis, bengkel seni kartun, bengkel teknik melukis kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan lain-lain. Setiap hari pelawat berpeluang melihat sendiri pelukis menghasilkan karya mereka.

Pada masa ini terdapat lebih 280 buah lukisan hasil karya 52 orang pelukis termasuk ilham Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Utama Mohd. Khalil Yaakob. Untuk lawatan dan sebarang pertanyaan lanjut sila berhubung Syahidah bt Abu Sah, Kurator PERZIM di talian 06-2841934 atau melalui email [email protected].

Selain galeri di bawah pentadbiran Perbadanan Muzium Melaka, para pelancong juga boleh menghayati dan membeli koleksi lukisan pelukis tempatan dan luar negara di galeri-galeri persendirian yang banyak terdapat di sekitar Jonker Street.

Maklumat Lanjut / More Info

Galeri Seni Rakyat

TOP