MUZIUM ISTANA KESULTANAN MELAKA / MELAKA SULTANATE PALACE MUSEUM

LATARBELAKANG ZAMAN KESULTANAN MELAKA

PENGENALAN KESULTANAN MELAYU MELAKA (1403-1511)

Kesultanan Melayu Melaka menjadi sebuah empayar yang gilang-gemilang pada kurun ke-15 sehingga awal kurun ke-16. Kecemerlangan dan kewibawaan sistem pemerintahan Kesultanan Melaka telah menjadikan Melaka sebuah bandar pelabuhan yang sibuk di Asia Tenggara dan dikenali oleh pedagang-pedagang dari timur dan barat. Jajahan takluk Melaka yang meliputi hampir keseluruhan Kepulauan Melayu telah meletakkan Kesultanan Melayu Melaka sebagai induk pergerakan sosiobudaya, politik dan ekonomi pada ketika itu. Peranan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam yang terpenting di Asia Tenggara juga mempunyai kaitan yang rapat dengan pengislaman Sultan Melaka dan institusi kesultanan itu sendiri.

Berdasarkan pada penulisan dan dokumen-dokumen asal yang masih terpelihara sehingga kini, Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka mempunyai sistem pemerintahan beraja yang ideal. Selain dari peraturan adat istiadat yang begitu kukuh diamalkan dalam pembentukan budaya hidup masyarakat, terdapat juga undang-undang bertulis untuk mengawal kesejahteraan umum dalam negeri. Hakikat ini dapat dilihat di dalam contohnya Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.

Susunan gelaran dan peranan orang-orang besar seperti Bendahara, Temenggung, Penghulu Bendahari, Laksamana dan Syahbandar terus digunakan di Tanah Melayu hingga beberapa lama selepas itu sehinggalah menjelang kedatangan kuasa Inggeris dalam kurun ke-19. Kesultanan Melaka juga telah mengasaskan pembentukan sistem budaya dan adat-istiadat Melayu seperti konsep daulat dan derhaka, menjunjung duli, protokol dalam istana, bahasa istana, penganugerahan gelaran, cara berpakaian, konsep taat setia kepada raja dan negeri dan sebagainya yang kebanyakannya masih kukuh dan diamalkan sehingga kini.

Kedaulatan Sultan Melaka masih terus terpelihara dan dibawa ke negeri-negeri lain walaupun Melaka ditakluk oleh Portugis pada tahun 1511. Kebiasaannya setiap pelantikan seseorang Sultan itu akan dikesan, berdasarkan pengiktirafan yang diberikan kepadanya untuk dinobatkan sebagai Sultan yang sah bagi negeri yang berkenaan sekiranya mempunyai pertalian darah dengan Sultan Melaka atau warisnya.

Loading

TOP